RSS

Holier-than-thou

Tangan saya menggigil masa menulis ini. Ada banyak sangat benda yang nak diluah tapi kadang-kadang, bila otak kau dah bersedia nak menyembur 5000 patah perkataan sesaat, tangan kau pulak jadi lambat nak pick-up  sebab tak tau nak tulis yang mana satu dulu. Bila otak dan jari jadi tak synchronize, itu yang buat menggigil tu.

Saya baru dikejutkan dengan berita seorang budak OKU berumur 15 tahun yang dijumpai dalam keadaan maha menyedihkan. Dengan baju koyak rabak, badan yang cuma tinggal rangka dibalut kulit, dikurung dalam bilik yang cuma berlantaikan tanah, dan penuh dengan najis dan sampah, saya rasa bukan saya sahaja yang terkejut. Semua orang terkejut rasanya.

Dan apa yang menyedihkan dan menaikkan api amarah saya adalah kerana kanak-kanak itu ada ibu bapa. Yes, bapanya dah bercerai dengan ibu dan mungkin tinggal entah mana hala langsung tak peduli keberadaan anaknya. Tapi yang hairannya, ibu beliau ada, masih hidup sihat dan walafiat, elok tinggal di rumah itu, tapi tegar membiarkan anaknya dalam keadaan azab sebegitu.

Jadi, binatang apakah ibu tersebut sampai membiarkan anaknya sebegitu rupa?

Saya tahu mungkin ramai binatang dan haiwan yang akan marahkan saya atau berkecil hati dan merasa terhina kerana saya menyamakan makhluk yang tidak layak digelar ibu itu se’spesis’ dengan mereka, kerana binatang pun sayangkan anak-anaknya, akan tetapi saya tidak tahu apakah lagi yang layak dipanggil kepada ibu yang sekeji ini.

Akan tetapi, yang amat menghairankan saya adalah, apabila ramai yang mengutuk perbuatan ibu tersebut, tiba-tiba ada yang bangkit bingkas membela beliau mengatakan “Kau suka-suka hati nak gelar orang binatang kau tu dah baik sangat kah?” atau “Dah kaya-raya senang-senang nak panggil orang binatang” atau ayat-ayat bajet maksum yang lain.

Sebenarnya, ada garis tipis antara manusia positif dengan manusia yang bajet maksum (holier than thou)

Manusia yang optimis, positif, opportunis, liberalis, idealis dan segala ‘is’ yang lain, mereka ini dikurniakan Tuhan dengan kemampuan untuk bersangka baik dalam semua hal.

Sebagai contoh komen seorang sahabat:

“Entahlah. Kita tak tahu apa yang berlaku. Mungkin ibu itu ada alasan sendiri”

Itu adalah orang yang bersangka baik. Walaupun saya  tak bersetuju kerana terang-terang kau tinggal serumah dengan budak tu macam mana boleh biar sampai tinggal rangka? Dah tu anak kau sendiri pulak tu? Tapi saya diamkan sahaja kerana setiap orang berhak di atas pendapatnya.

Dan banyak juga orang yang bersangka baik seperti ini. Di mana kehadiran mereka boleh mengimbangkan antara manusia yang mudah beremosi (macam saya) dengan manusia yang langsung tak nak ambil peduli.

Cuma saya fikir, bersangka baik pun mungkin perlu bertempat.

Seperti jika artis bercerai kita tak tahu salah siapa, jadi tak payah nak jadi hakim menghukum siapa-siapa. Mungkin mereka ada masalah sendiri di sebalik rahsia rumahtangga. Itu bersangka baik.

Atau orang tu mungkin bawak kereta laju berdesup sampai menyelit kiri-kanan tu, mungkin nak cepat balik rumah sebab isteri nak bersalin kot. Itu bersangka baik.

Atau nampak lelaki asing masuk rumah jiran kau yang disewa oleh anak-anak dara bujang, mungkin kau boleh fikir lelaki tu datang sekejap je kot nak pinjam senduk. Itu bersangka baik.

Tapi kalau macam kes seperti di atas yang terang-terang ibu tersebut mengabaikan anaknya, maaflah, saya tidak mempunyai sebongkah hati yang sesuci embun pagi untuk masih bersangka baik.

Ia sama seperti bapa yang merogol anaknya sampai termengandung, berkali-kali. Adakah masih mahu bersangka baik?

Oh, biarlah. Kita tak tahu apa ceritanya. Mungkin budak tu yang seksi sangat kat rumah. Mungkin ayah dia tak tahan nafsu. Mungkin mak dia dah tak boleh nak layan. Etc. Etc.

Entahlah. Bagi saya, kadang-kadang ada benda yang memang tak boleh dimaafkan. Kerana saya bukan maksum. Kerana saya bukan lah manusia sempurna. Dan saya juga tidak lepas dari sikap menghakimi orang lain.

Akan tetapi saya masih menghormati manusia yang bersangka baik. Kerana itu sikap semulajadi mereka yang tidak mudah melatah dan menghakimi. Mereka mempunyai kawalan emosi yang tinggi dan boleh lagi bertimbangrasa dalam hal-hal sebegini.

Tetapi, yang membuat saya menggeleng kepala adalah manusia yang suka menjadi polis moral tidak tentu hala.

Manusia yang suka mengganggap diri holier than thou dan kemudian menghentam orang lain kerana tidak punya toleransi tinggi terhadap benda begini. “Pepandai kau je nak binatangkan mak dia, Kau tu dah elok sangat ke?” Ini contoh manusia holier than thou. Mereka sepatutnya faham bahawa penerimaan setiap manusia tak sama. Jangan semata-mata orang lain mudah marah dan tidak boleh bersabar dengan benda-benda begini, kau pulak nak kutuk orang tersebut.

Metaforanya begini:

Ada tiga sahabat sedang berjalan. Di tengah jalan mereka berjumpa seorang lelaki yang membelasah seorang wanita.

Ali, sebagai manusia yang bersangka baik akan berkata “Biarlah. Kita tak tahu apa cerita mereka. Adalah tu yang buat lelaki tu marah. Mungkin perempuan tu curi duit dia kot” lantas Ali pun berlalu pergi dengan membawa sangkaan baiknya.

Abu, sebagai manusia yang penuh emosi terus menghambur ke arah lelaki itu dan cuba menghentikan perbuatan beliau “Hoi syaitan! Kau ni takde hati perut ke??? Yang kau belasah perempuan ni kenapa?? Tak boleh bawak berbincang elok-elok? Tau guna kaki tangan je…jantan apa kau ni hah??” kata Abu dengan bengisnya.

Ahmad, sebagai manusia holier than thou, tiba-tiba menengking Abu “Hoi Abu, suka-suka hati kau je kata lelaki ni syaitan. Apa kau tu dah baik sangat? Dah gerenti masuk syurga??”

Nampak tak isunya di sini.

Pokoknya adalah, penerimaan orang tak sama. Kau tak boleh nak hukum orang yang menerima sesuatu isu itu tak se’tenang’ atau se’positif’ kau. Kau tak boleh terus maki dia semata-mata kerana dia rasa marah pada benda yang bagi dia tak patut pun berlaku.

Pada pendapat saya, manusia-manusia polis moral dan holier than thou ini bolehlah menjadi pahlawan kekunci (keyboard warrior) di blog-blog gossip. Itu adalah tempat yang paling sesuai untuk menjadi manusia suci. Kerana komen-komen fitnah dan keji dan kutuk dan maki sangat berleluasa di sana.

Kau bolehlah nak menegur seperti “Ente semua ni kutuk Ayu Raudhah tu, ente punya rumah tangga konfem bahagia ke?”

Ye, kau boleh jadi polis moral tahap Pesuruhjaya Polis di sana

Pautan berita tentang kanak-kanak malang tersebut di sini. Maaf lah, tidak ada pautan pasal rumahtangga Ayu Raudhah di sini.

 
Leave a comment

Posted by on June 22, 2014 in jiwa kacau, Manusia

 

Kalau kesunyian itu

 

Kalau kesunyian itu boleh membunuh

Mungkin, sekarang kau sudah di dalam ambulans

Sedang nyawa-nyawa ikan

Berjuang untuk hidup

 

 
Leave a comment

Posted by on June 6, 2014 in Uncategorized

 

Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama

Dulu, Khanyi pernah bertanya kepada saya:

“Awak rasa orang kulit hitam atau kulit putih yang lagi cantik?”

Perlu dimaklumkan bahawa Khanyi adalah seorang gadis dari Afrika Selatan dan berkulit hitam.

Jadi, apakah yang perlu saya jawab?

Jika saya pun berkulit hitam, tentu saya menjawab “Orang kulit hitam la cantik lagi”

Jika saya berketurunan Pan Asian pula, tentu saya akan menjawab “Kulit putih la lagi cantik”

Tapi, memandangkan saya adalah Melayu – Jawa totok berkulit hitam-tidak-putih-pun-tidak-kelabu-mungkin ini, pertanyaan itu membuatkan saya terkebil-kebil. Saya terperangkap antara mahu memberitahu apa yang sebenarnya saya rasa, atau menjaga hati seorang teman.

Ia seperti seorang gadis kurus kering atau gadis obesiti bertanya “Kau rasa orang kurus ke gemuk lagi cantik?”

Jadi, kau yang berat sedang-sedang, BMI stabil, tak kurus tak gemuk ini mahu jawab apa?

Serba salah kan?

Jadi, saya pun menjawab dengan ayat paling klise sepanjang zaman “Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama”

Serius macam jawapan pertandingan Miss Universe.

Lepas itu, apabila pulang ke rumah, masuk ke bilik air, dan melihat berpuluh-puluh jenis produk ‘memutihkan’ wajah sedang berbaris di atas meja solek membuatkan saya rasa seperti mahu hantuk kepala ke dinding akibat malu menjadi seorang yang hipokrit.

Secara jujurnya – sejujur-jujurnya – pada pendapat saya, kecantikan itu subjektif. Ada yang kulit hitam tapi cantik. Ada yang kulit putih, tapi biasa-biasa saja.

Akan tetapi, untuk diri saya sendiri, saya juga terperangkap dengan dogma. Dengan definisi masyarakat. Apa yang cantik dan apa yang tidak. Saya juga antara yang akan ke kaunter kecantikan dan mencari produk mencerahkan muka untuk diaplikasi setiap hari.

Jadi, itu menunjukkan bahawa, pada pendapat dan tindakan saya, saya sebenarnya mahu putih.

Saya kira ini adalah kerana penyakit masyarakat kita juga yang sering saja melabel dan membuat definisi apa yang cantik dan apa yang tidak. Kalau kau gemuk, pendek, hitam, hidung kembang – maka kau akan diejek. Kalau kau slim, tinggi, putih melepak, kulit mulus, hidung mancung – maka kau akan dipuji atau dipuja dan kadang-kadang ditanya, apa tips kecantikan supaya orang lain pun boleh jadi seperti itu juga.

Media juga berperanan dalam mendefinisikan ‘cantik’ mengikut acuan mereka. Semua model-model di majalah adalah kurus, tinggi dan putih malah produk-produk kecantikan juga – kebanyakannya mahu memutihkan kulit. Maka mengikut definisinya – putih itu cantik.

Kita sudah ada satu set guidelines apa yang cantik dan apa yang tidak. Belum lagi dikira tentang peer pressure. Di mana tekanan atau pujian daripada orang sekeliling sama ada rakan-rakan dan keluarga, adalah penyebab keyakinan diri kita jatuh merudum ke tahap di bawah sifar atau melambung naik ke awan sembilan.

Sebenarnya kita (termasuk diri saya juga) sering lupa bahawa apa saja fizikal seseorang itu, adalah ciptaan Tuhan. Dan apabila kita mengutuk atau mengejek orang, maka kita mengutuk ciptaan Tuhan. Sedangkan hebat sangatkah kita untuk mengkritik ciptaan-Nya?

Dulu, semasa saya menjadi guru tuisyen, ada seorang pelajar perempuan yang sedikit berisi tubuhnya. Mati-mati beliau diejek oleh kawan-kawan lelaki sekelas. Kasihan amat saya kepada beliau. Maka, habislah setengah waktu mengajar saya mentarbiah budak-budak yang nakal mengejek itu. Ini kerana, saya selalu berfikir, bagaimanalah manusia-manusia begini mahu melalui kehidupan setiap hari jika orang sekeliling asyik bersikap kejam dan merendah-rendahkan dirinya? Bagaimana mereka mahu membina semula keyakinan diri yang jatuh merudum akibat diejek rakan-rakan?

Seorang kawan saya pernah menulis di dalam buku nota nya “Aku gemuk dan itu ok. (I’m fat and that is fine)”

Saya sangat memuji manusia sebegini. Yang tetap mempunyai keyakinan diri dan tidak kisah akan kata-kata orang. Dan kita sebenarnya perlu manusia-manusia begini.

Perlunya iklan yang berkata “Saya gemuk dan saya ok” atau “Saya hitam dan saya ok” atau “Saya kurus dan saya ok” dan yang sewaktu dengannya. Bukannya “Saya gay dan saya ok”

Baru-baru ini, saya ke Pulau Mantanani, Sabah. Selain daripada kenangan manis dan beberapa pengajaran berguna, saya juga membawa pulang kulit muka yang hitam akibat dibakar cahaya suria. Habislah saya diketawakan rakan-rakan dan diejek kerana kulit muka yang gelap zulumat ini.

Lantas, disebabkan saya seorang wanita normal yang obses pada kecantikan, kelam kabut lah saya mencari petua-petua yang boleh menyebabkan wajah saya keluar daripada kegelapan yang menyelubunginya (ayat tak boleh blah). Kemudian, ketika leka melayari internet, saya tersedar sesuatu:

“Kenapakah saya begitu mengambil berat akan pandangan manusia sedangkan pandangan Tuhan tidak saya pedulikan?”

Tak guna saya sibuk mencari petua mencerahkan kulit sampai solat Maghrib pun di akhir waktu.

Tak guna untuk saya menempek segala macam masker kalau panggilan azan tidak saya endahkan

Sebenarnya ini adalah peringatan untuk diri saya juga, yang kadang-kadang sering mentertawakan suami apabila dia pulang dengan kulit gelap zulumat. Sepatutnya saya perlu cakap “Tak kisah abang hitam atau putih, janji abang jaga solat dan jadi imam yang baik”

Kesimpulannya adalah, tak salah kalau nak jaga kecantikan, tetapi biarlah seimbang (atau perlu lebih lagi) menjaga kecantikan dalaman, iaitu hati dan iman.

Akhirnya, ayat klise sepanjang zaman itu juga yang betul.

“Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama”

p.s: Jangan ejek fizikal orang sangatlah. Takut kena pula pada keluarga atau anak sendiri. (Refleksi untuk diri sendiri juga)

 
Leave a comment

Posted by on May 16, 2014 in Manusia, Refleksi

 

And in your life? What is it that you desire most?

Entah berapa ramai anak yatim atau orang kurang upaya yang tidak jadi saya hulurkan derma kerana teragak-agak bimbang itu hanyalah sindiket semata-mata.

Entah berapa ramai makcik, pakcik, lelaki atau wanita yang menjinjing bungkusan berat di tepi jalan yang tidak saya tumpangkan dengan kereta saya kerana teragak-agak untuk berhenti secara mengejut dan risau kereta saya dilanggar dari belakang atau khuatir mungkin lelaki atau pakcik itu penjenayah yang dicari.

Teragak-agak dalam membuat kebaikan.

Itu adalah masalah yang masih sedang cuba saya atasi.

Lelaki dalam iklan tersebut telah memberi saya pengajaran yang berharga. Beliau tidak berkira-kira dalam membuat kebaikan. Tidak teragak-agak dan membuatnya dengan sepenuh hati. Walaupun dia tidak memdapat apa-apa wang atau materi sebagai balasan.

Tetapi hanya dengan melihat senyuman dan kegembiraan di wajah orang lain, sudah cukup membuat dia bahagia. Itu yang mahal dan tak mampu dibeli.

Mulai saat ini, mari cuba untuk tidak teragak-agak dalam membuat kebaikan.

Hati yang Allah anugerahkan itu, mari gunakan tanpa syak dan ragu.

Sekian, pesanan khidmat masyarakat yang tidak ditaja. 🙂

 
Leave a comment

Posted by on May 4, 2014 in Dunia, Manusia

 

Saya ada untuk kamu.

Dalam dunia ini banyak benda yang susah untuk kita faham. Kerana setiap manusia adalah unik dan tidak mempunyai aliran pemikiran yang sama.

Seorang doktor moden tidak faham kenapa ada yang memilih untuk berubat alternatif homeopati apabila yang sebenarnya kanser beliau cuma boleh dirawat dengan kimoterapi.

Seorang bomoh tidak faham kenapa ada manusia yang memilih untuk berbelanja beribu-ribu ringgit untuk dibedah apabila beliau dengan mudahnya boleh menghalau ‘jin’ dan ‘jembalang’ dalam tubuhnya dengan jampi serapah.

Seorang jurutera yang berfikiran teknikal tidak akan faham bagaimana seorang pemuisi mampu menjadi begitu puitis hanya dengan melihat langit dan laut.

Begitu juga seorang wanita yang berjiwa seni tidak akan faham kenapa teman lelakinya memberi seketul blender pada hari kekasih, sedangkan yang lebih dia mahu hanyalah puisi cinta dengan sekuntum mawar merah.

Jadi hakikatnya, banyak benda yang kita tak akan faham tentang orang lain. Kerana kita semua tidak sama jiwa dan pemikiran. Kerana itulah perlunya saling memahami dan bertolak ansur. Saling menerima dan terbuka.

Saya – contohnya, tidak akan pernah faham sampai bila-bila, kenapa ada wanita yang sering mencipta alasan dan bertahan dengan lelaki-lelaki yang mendera mereka, mental dan fizikal. Saya tidak faham bagaimana ada wanita yang masih berkata “Ini semua salah aku” apabila dirinya diterajang bertubi-tubi. Saya juga tidak faham akan wanita yang masih bertahan, sedaya upaya walau dirinya ditipu, lagi dan lagi, berkali-kali.

Akan tetapi, saya baru sedar bahawa ketidakfahaman saya itu adalah hasil daripada sikap ignorant diri saya sendiri. Saya tidak mahu mencuba untuk peduli. Saya tidak mahu mencuba untuk meletakkan diri dan memakai kasut mereka. Dan, sama sekali bukan silap mereka jika saya tidak faham.

Manusia, jika terjadi sesuatu yang mereka sukar untuk fahami, jalan mudah adalah untuk terus menghukum. Cepat saja untuk menghakimi. Sedangkan, yang sebenarnya perlu mereka lakukan adalah cuba untuk peduli. Dan memahami.

Seorang yang bertudung labuh cepat saja memandang jijik pada wanita yang telanjang rambutnya dengan warna-warna perang.

Seorang wanita yang berambut bebas (free hair) mudah saja mencebik pada wanita yang berpurdah.

Cepat benar kita membuat andaian bahawa wanita begitu rosak akhlak atau wanita begini kolot dan jumud, tanpa cuba mengenali siapa mereka sebenarnya di sebalik penampilan mereka.

Saya baru sedar bahawa saya adalah antara manusia yang begitu cepat menghukum. Begitu mudah menghakimi. Sedangkan diri saya sendiri bukanlah terlalu sempurna untuk menghukum dan menghakimi orang lain.

Baru-baru ini saya berada dalam persimpangan apabila terjadi sesuatu yang sukar saya fahami. Lantas saya memilih untuk berpaling. Dan menjauh. Kerana saya tidak mahu peduli perkara yang saya tidak faham.

Kemudian saya terbaca bahawa Oprah Winfrey, mogul media yang kaya-raya itu juga, pernah begitu ketagihkan cinta lelaki. Walau dilayan seperti sampah, tetapi beliau masih sanggup bertahan hingga ke tahap melutut dan merayu supaya tidak ditinggalkan.

Lantas, ia membuatkan saya terfikir bahawa jika wanita sekaya dan seberjaya itu pun pernah lemah dan jatuh rebah, tentu ia akan terjadi kepada wanita-wanita lain. Kerana setiap orang tidak sama. Ada yang mampu berdikari, ada yang perlu bergantung pada orang lain untuk berdiri.

Jadi, adalah satu kezaliman bagi saya untuk tidak mempedulikan orang lain yang perlukan pertolongan, perlukan nasihat, perlu mengadu kepada saya, hanya kerana saya tidak faham dengan keadaannya.

Jadi, ini adalah permohonan maaf saya kepada beliau. Ini adalah cara saya untuk mengatakan:

“Saya tidak faham kamu. Tapi saya ada untuk kamu. Ini telinga saya. Ini bahu saya. Mengadu dan menangislah sepuasnya. Saya ada.”

 
Leave a comment

Posted by on May 3, 2014 in famili, Peribadi

 

Aku ingin

photo

“aku ingin mencintaimu dengan sederhana;
dengan kata yang tak sempat diucapkan kayu kepada api yang menjadikannya abu

aku ingin mencintaimu dengan sederhana;
dengan isyarat yang tak sempat disampaikan awan kepada hujan yang menjadikannya tiada”

– Sapardi Djoko Damono-

 
1 Comment

Posted by on April 23, 2014 in Uncategorized

 

We all have wounds, but you can’t let that be an excuse to sit on the sidelines. Sometimes in life you have to play in pain. -Joel Osteen

Bayangkan senario ini,

Kau ada kawan. Atau teman. Atau saudara. Atau keluarga. Atau siapa-siapa yang kau anggap paling rapat di dunia. Kawan atau teman atau saudara itu adalah yang paling dekat dengan kau. Kau kenal dia seumur hidup kau. Kalian susah senang bersama.  Kalian berkongsi suka duka ketawa dan air mata. Dia tahu segala jatuh bangun kau. Dan kau tahu segala bangkit rebah dia.. Kau sayang dia. Dan kau mahu dia gembira sentiasa. Kalau boleh, selama-lamanya.

Pokoknya, kau sayang dia. Dan vice versa. 

Tapi masalahnya, kawan atau teman atau saudara kau itu ada tabiat yang agak kasihan. Hatinya sering dihancur-lumatkan oleh orang lain, dan lebih malang lagi, beliau sendiri tidak mahu keluar dari perhubungan neraka itu.

Contoh #1

Kawan baik kau ada teman lelaki yang suka mendera, mentally and physically. Saban hari dia mengadu pada kau:

“Rudy mengamuk lagi semalam. Dia maki aku macam-macam. Pelacur, jalang, perempuan murahan. Punca satu je, dia call masa aku tengah engage. Aku ckp mak aku yang call, dia tak percaya.”

atau

“Dia lempang aku lagi semalam. Depan orang ramai. Kat KLCC. Aku malu sangat. Semua orang tengok”

atau

“Aku dah tak tahan, Lia. Dia kuat cemburu sangat. Malam tadi dia hantuk kepala aku kat dashboard sebab ada office mate aku call masa kitorang keluar”

Dan macam-macam lagi. Dan saban hari, kau pun mendengar setiap kisah malang, keluhan, tangisan, kesedihan kawan baik kau. Dan sesekali kau cuba melarikan mata kau dari melihat setiap lebam dan bengkak di tubuh kawan baik kau, dan setiap kali itu juga hati kau bagai dikeronyok pilu.

Kau pun menasihat, bukan sekali, bukan dua kali, tapi berpuluh juta kali kau menasihat untuk tinggalkan saja lelaki-tak-guna-sesen-pun itu. Kau cakap, ini baru bercinta, kalau sudah kahwin macam mana? Kau yakinkan dia yang dia itu cantik dan menarik dan baik, pasti ada lelaki yang lebih layak untuknya di luar sana. Kau terangkan kepada dia bahawa lelaki gila seperti itu cuma akan membawa bahana dalam rumah tangga.

Dan berpuluh-puluh juta sebab dan alasan kukuh yang kau bentangkan pada dia.

That she deserved better this. Yang dia cuma menganiaya diri sendiri jika berterusan begini.

Tapi sudahnya?

Kawan baik kau itu masih dengan lelaki itu dan akan berkahwin tidak lama lagi.

Kerana katanya: “Aku tahu dia macam tu. Tapi aku cinta sangat pada dia, Lia. Aku tak dapat bayangkan hidup tak ada dia. Aku harap lepas kahwin nanti dia akan berubah”

Contoh #2

Sepupu yang paling rapat dengan kau, punya suami yang kaki perempuan. Lima juta kali dia ditipu hidup-hidup. Berkahwin senyap-senyap bukan sekali, malah dua tiga kali. Kahwin cerai sudah jadi perkara lumrah. Dia pun sudah tidak kenal yang mana satu madu, yang mana satu ‘bekas’ madu, dan yang mana satu ‘bakal’ madu.

Dan saban hari dia pun mengadu pada kau, menelefon dalam esak tangisnya akan nasibnya yang malang sering dipermainkan hati oleh sang suami.

“Aku bagi duit aku semua pada dia. Ini balasan dia pada aku”

atau

“Aku tak boleh tahan tengok muka dia. Aku asyik terbayang apa yang dia buat dengan perempuan tu”

atau

“Aku susah-susah besarkan anak, kerja cari duit, rupanya dia kat luar ada perempuan lain huk huk huk *mengongoi sedih*”

Dan yang sewaktu dengannya.

Lalu sebagai sepupu yang paling rapat, kau pun berikan nasihat. Berikan perangsang. Berbuih-buih mulut kau menasihatkan dia. Kau suruh dia cuba hidup sendiri. Cuba berdikari. Jangan bergantung sangat pada suami. Jangan senang-senang bagi duit lagi. Bla bla bla bla.

Dan sudahnya,

Kau dapat telefon dari sepupu kau

“Aku dengan suami dah berbaik dah. Aku dah maafkan dia dah. Ye, aku tahu ni kali ke lapan belas juta dia buat perangai, tapi aku tak mampu la nak berpisah dengan dia. Aku masih sayangkan dia. Dia pun janji tak akan buat lagi”

“Oh dan lagi satu, duit hasil jual tanah mak aku tu,  semua aku dah bagi dia untuk langsaikan hutang. Kesian aku tengok suami aku tu berkerut je muka tiap bulan. Apa guna suami isteri kalau tak boleh saling membantu kan?”

***********

Berapa ramaikah di antara kita yang mempunyai kenalan atau kawan atau saudara yang seperti ini?

Berapa ramaikah di luar sana yang pernah mengalami situasi seperti ini?

Jika anda tidak pernah ada dan tidak pernah mengalami, tahniah untuk anda. Sesungguhnya, anda telah terlepas dari satu beban emosi yang maha hebat.

Percayalah, tidak ada apa yang lebih menyakitkan daripada melihat orang yang kau sayang berduka dan menangis sedih. Akan tetapi, yang paling menyakitkan adalah apabila dia, orang yang kau sayang itu, tidak ada usaha pun untuk keluar daripada kedukaannya itu.

Dan jika terjadi lagi perkara-perkara celaka, kau lah yang akan dicari untuk mendengar masalahnya. Dan secara tidak langsung, kau juga turut teremosi, menjadi marah dan benci pada sang suami atau sang teman lelaki yang tegar menghancur lumatkan hati orang yang kau sayang.

Masalahnya,

Makhluk Allah itu sendiri tidak mahu keluar dari masalahnya. Sentiasa mencari-cari alasan dan justifikasi untuk terus kekal di dalam kesedihannya.

Analoginya,

Kau nampak dia lemas. Dia menjerit mintak tolong. Kau pun campakkan pelampung. Tapi dia buat tak nampak. Dia tak nak capai pelampung. Dia nak lemas sendiri. Tapi dia tak habis-habis mintak tolong, lagi dan lagi.

Manusia sebegini adalah manusia yang kasihan. Mereka sebenarnya lemah dan tidak ada kekuatan untuk bangun melawan keadaan. Mereka tetap saja mahu terus menerus terperangkap dalam masalah mereka. Dan mereka cuma mahukan pendengar, untuk meluahkan rasa hati dan meraih simpati.

Seriously, it is exhausting. It is emotionally draining. Bila melihat orang yang kau sayang, sanggup menjatuhkan diri berkali-kali ke dalam kecelakaan, tanpa mahu bangkit pun melawan keadaan.

Dan sudahnya, apa yang kau boleh buat hanyalah:

Duduk di tepi tebing, tongkat dagu, memandang dia yang sedang meminta tolong dan berkata “Kau lemas ke? Kesiannya…..” sambil geleng kepala tanda simpati. Dan hanya mampu berdoa supaya satu hari nanti, dia boleh belajar berenang sendiri.

Disclaimer: Dua kisah di atas hanyalah contoh semata-mata. Tak ada kena-mengena dengan yang hidup atau yang mati. Semua nama watak adalah rekaan semata-mata. Sekian.

self-worth-3

intention-self-worth

self-worth

 
4 Comments

Posted by on March 24, 2014 in Uncategorized