RSS

Category Archives: Refleksi

Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama

Dulu, Khanyi pernah bertanya kepada saya:

“Awak rasa orang kulit hitam atau kulit putih yang lagi cantik?”

Perlu dimaklumkan bahawa Khanyi adalah seorang gadis dari Afrika Selatan dan berkulit hitam.

Jadi, apakah yang perlu saya jawab?

Jika saya pun berkulit hitam, tentu saya menjawab “Orang kulit hitam la cantik lagi”

Jika saya berketurunan Pan Asian pula, tentu saya akan menjawab “Kulit putih la lagi cantik”

Tapi, memandangkan saya adalah Melayu – Jawa totok berkulit hitam-tidak-putih-pun-tidak-kelabu-mungkin ini, pertanyaan itu membuatkan saya terkebil-kebil. Saya terperangkap antara mahu memberitahu apa yang sebenarnya saya rasa, atau menjaga hati seorang teman.

Ia seperti seorang gadis kurus kering atau gadis obesiti bertanya “Kau rasa orang kurus ke gemuk lagi cantik?”

Jadi, kau yang berat sedang-sedang, BMI stabil, tak kurus tak gemuk ini mahu jawab apa?

Serba salah kan?

Jadi, saya pun menjawab dengan ayat paling klise sepanjang zaman “Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama”

Serius macam jawapan pertandingan Miss Universe.

Lepas itu, apabila pulang ke rumah, masuk ke bilik air, dan melihat berpuluh-puluh jenis produk ‘memutihkan’ wajah sedang berbaris di atas meja solek membuatkan saya rasa seperti mahu hantuk kepala ke dinding akibat malu menjadi seorang yang hipokrit.

Secara jujurnya – sejujur-jujurnya – pada pendapat saya, kecantikan itu subjektif. Ada yang kulit hitam tapi cantik. Ada yang kulit putih, tapi biasa-biasa saja.

Akan tetapi, untuk diri saya sendiri, saya juga terperangkap dengan dogma. Dengan definisi masyarakat. Apa yang cantik dan apa yang tidak. Saya juga antara yang akan ke kaunter kecantikan dan mencari produk mencerahkan muka untuk diaplikasi setiap hari.

Jadi, itu menunjukkan bahawa, pada pendapat dan tindakan saya, saya sebenarnya mahu putih.

Saya kira ini adalah kerana penyakit masyarakat kita juga yang sering saja melabel dan membuat definisi apa yang cantik dan apa yang tidak. Kalau kau gemuk, pendek, hitam, hidung kembang – maka kau akan diejek. Kalau kau slim, tinggi, putih melepak, kulit mulus, hidung mancung – maka kau akan dipuji atau dipuja dan kadang-kadang ditanya, apa tips kecantikan supaya orang lain pun boleh jadi seperti itu juga.

Media juga berperanan dalam mendefinisikan ‘cantik’ mengikut acuan mereka. Semua model-model di majalah adalah kurus, tinggi dan putih malah produk-produk kecantikan juga – kebanyakannya mahu memutihkan kulit. Maka mengikut definisinya – putih itu cantik.

Kita sudah ada satu set guidelines apa yang cantik dan apa yang tidak. Belum lagi dikira tentang peer pressure. Di mana tekanan atau pujian daripada orang sekeliling sama ada rakan-rakan dan keluarga, adalah penyebab keyakinan diri kita jatuh merudum ke tahap di bawah sifar atau melambung naik ke awan sembilan.

Sebenarnya kita (termasuk diri saya juga) sering lupa bahawa apa saja fizikal seseorang itu, adalah ciptaan Tuhan. Dan apabila kita mengutuk atau mengejek orang, maka kita mengutuk ciptaan Tuhan. Sedangkan hebat sangatkah kita untuk mengkritik ciptaan-Nya?

Dulu, semasa saya menjadi guru tuisyen, ada seorang pelajar perempuan yang sedikit berisi tubuhnya. Mati-mati beliau diejek oleh kawan-kawan lelaki sekelas. Kasihan amat saya kepada beliau. Maka, habislah setengah waktu mengajar saya mentarbiah budak-budak yang nakal mengejek itu. Ini kerana, saya selalu berfikir, bagaimanalah manusia-manusia begini mahu melalui kehidupan setiap hari jika orang sekeliling asyik bersikap kejam dan merendah-rendahkan dirinya? Bagaimana mereka mahu membina semula keyakinan diri yang jatuh merudum akibat diejek rakan-rakan?

Seorang kawan saya pernah menulis di dalam buku nota nya “Aku gemuk dan itu ok. (I’m fat and that is fine)”

Saya sangat memuji manusia sebegini. Yang tetap mempunyai keyakinan diri dan tidak kisah akan kata-kata orang. Dan kita sebenarnya perlu manusia-manusia begini.

Perlunya iklan yang berkata “Saya gemuk dan saya ok” atau “Saya hitam dan saya ok” atau “Saya kurus dan saya ok” dan yang sewaktu dengannya. Bukannya “Saya gay dan saya ok”

Baru-baru ini, saya ke Pulau Mantanani, Sabah. Selain daripada kenangan manis dan beberapa pengajaran berguna, saya juga membawa pulang kulit muka yang hitam akibat dibakar cahaya suria. Habislah saya diketawakan rakan-rakan dan diejek kerana kulit muka yang gelap zulumat ini.

Lantas, disebabkan saya seorang wanita normal yang obses pada kecantikan, kelam kabut lah saya mencari petua-petua yang boleh menyebabkan wajah saya keluar daripada kegelapan yang menyelubunginya (ayat tak boleh blah). Kemudian, ketika leka melayari internet, saya tersedar sesuatu:

“Kenapakah saya begitu mengambil berat akan pandangan manusia sedangkan pandangan Tuhan tidak saya pedulikan?”

Tak guna saya sibuk mencari petua mencerahkan kulit sampai solat Maghrib pun di akhir waktu.

Tak guna untuk saya menempek segala macam masker kalau panggilan azan tidak saya endahkan

Sebenarnya ini adalah peringatan untuk diri saya juga, yang kadang-kadang sering mentertawakan suami apabila dia pulang dengan kulit gelap zulumat. Sepatutnya saya perlu cakap “Tak kisah abang hitam atau putih, janji abang jaga solat dan jadi imam yang baik”

Kesimpulannya adalah, tak salah kalau nak jaga kecantikan, tetapi biarlah seimbang (atau perlu lebih lagi) menjaga kecantikan dalaman, iaitu hati dan iman.

Akhirnya, ayat klise sepanjang zaman itu juga yang betul.

“Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama”

p.s: Jangan ejek fizikal orang sangatlah. Takut kena pula pada keluarga atau anak sendiri. (Refleksi untuk diri sendiri juga)

 
Leave a comment

Posted by on May 16, 2014 in Manusia, Refleksi

 

Persoalan tentang tudung.

Kalau dapat tahu seorang perempuan bawak lelaki bukan muhrim masuk dalam rumah, antara benda pertama yang ditanya adalah

“Perempuan tu bertudung tak?”

Apakah beza perempuan bertudung dan tak bertudung zaman sekarang ini?

Tudung zaman sekarang bukan lagi simbol wanita beriman.
Tudung bukan lagi lesen kau untuk dianggap mulia.
Tudung bukan lagi penyekat untuk kau buat maksiat.

Tudung sekarang adalah fesyen. Ada 1001 alasan kenapa seorang perempuan bertudung. Sebab agama, mak ayah suruh, boyfriend suruh, ikut kawan, sebab cool, sebab ikut trend, sebab fesyen, dan lain-lain.

Jadi, janganlah hairan jika wanita bertudung bawak lelaki ajnabi masuk rumah. Serius, tak hairan.

Tudung, selabuh mana pun, takkan mampu halang kau buat dosa, kalau kau tak ada iman di dada. Dan kau tak hayati pun kenapa kau pakai tudung pada mulanya.

Tudung tak mampu halang kau buat maksiat. Tak ada tudung yang – setiap kali kau bawak masuk lelaki – akan berbunyi siren dengan kuat dan berkata “SILA JAGA IMEJ KAMU SEBAGAI WANITA BERTUDUNG DAN HALAU LELAKI ITU KELUAR SEKARANG JUGA!”

Tak ada!

Tudung hanyalah sehelai kain yang kau pakai di atas kepala ketika keluar ke kota, dan akan kau tanggal ketika berbuat dosa, dan akan dipakai semula keesokkan harinya macam tak ada apa.

Jadi, kalau kau tahu kenapa kau bertudung, kenapa kau DISURUH bertudung, kenapa kau DIWAJIBKAN bertudung, sehelai kain atas kepala itu sudah cukup sebenarnya untuk halang kau buat dosa.

Masalahnya kau sendiri tak tahu kenapa kau bertudung.
Jadi tudung hanya tinggal sebagai sehelai kain yang tak bawak erti apa-apa.

Sekian, tazkirah untuk diri sendiri juga. Untuk lebih menghayati erti sehelai tudung yang dipakai di kepala.
 
4 Comments

Posted by on December 1, 2012 in Bebelan saya, Refleksi

 

The essence of all beautiful art, all great art, is gratitude -Friedrich Nietzsche-

Ketika sedang mencicip kopi di kafe Felda Resident Terengganu, mata saya tertancap ke kaca tv. Di MHI hari ini, ada berita tentang seorang bayi bernama Ahmad Adam Syukri yang sedang tenat. Ibunya menangis teresak-esak.

Dan saya teringat malam sebelumnya, mengadu kepada ibu di telefon tentang mutu makanan Riyaz Hotel yang bertaraf 5 bintang tetapi makanan tengahari setaraf kenduri kahwin saja.

Di sebuah hospital di Sarawak, seorang bayi kematian saraf otak, perlu menggunakan tiub untuk menyedut air liur dari kerongkongnya, kerana dia tidak dapat menelan air liur sendiri,

Dan saya, SAYA, merungut tentang makanan di hotel yang tidak sedap??

What the fu*king WRONG with me???????

Shame on me. *lempang diri sendiri bertalu-talu*

Ya Tuhan, ampunkan hambaMu yang tidak tahu bersyukur ini. =(

Please help his mother by giving a donation to this address:

NORAISYAH MD MALENA
LOT 432 TMN SUSUR JAMBU
LN JAMBU SELATAN
96100 SARIKEI SARAWAK
Untuk sumbangan ke Adam:
Noraisah Binti Mohamed Malena
02040007292201 (CIMB)
161136331818 (Maybank)

Ini facebook adik Adam: link

Adik Adam, moga Tuhan permudahkan urusanmu. *peluk cium dari akak yang jauh*

p.s: Entri ini dipanjangkan dari mukabuku saya.
 
3 Comments

Posted by on October 11, 2012 in Manusia, Refleksi

 

Tentang Adam, sepotong mozek dalam hidup saya (I)

Kata Pak Balia di dalam buku Sang Pemimpi karya Andrea Hirata,

“Setiap peristiwa di jagat raya ini adalah potongan mozek-mozek yang berselerak dan tersebar dalam rentang waktu. Namun, perlahan-lahan dia akan bersatu seperti
teori penggabungan Antoni Gaudi. Mozek-mozek itu akan membina siapa dirimu
dewasa nanti. Maka, berkelana lah mencari potongan mozekmu!”

Dan saya selalu merasakan bahawa setiap manusia, yang hadir di dalam hidup saya adalah antara potongan mozek-mozek yang akan memberi impak ke atas saya dan langsung, membentuk siapa diri saya di akhirnya. Impak itu mungkin dari sebesar-besar alam hingga ke sekecil-kecil zarah. Atau mungkin tidak memberi apa-apa impak langsung kepada diri saya.

Saya yakin Tuhan menjadikan setiap apa itu pasti bersebab.

Ada sebab saya dilahirkan di dalam keluarga saya, menjadi anak kepada En Abdul Halim dan Puan Suhaini.

Ada sebab saya dimasukkan ke darjah 1 Biru, SKPJ dan bertemu lebih tiga puluh kanak-kanak lain yang akan menjadi sahabat-sahabat saya 6 tahun kemudian.

Ada sebab saya belajar di Tingkatan 1 Putih, dimasukkan ke dorm C24B, di sebuah sekolah berasrama penuh di Bukit Mertajam.

Ada sebab saya bertemu dengan lebih seratus kawan-kawan sekolah menengah, yang menjadi teman sekelas atau teman sebilik saya selama 5 tahun kemudiannya.

Ada sebab saya tercampak ke Kuantan, bertemu lagi dengan berpuluh-puluh lagi manusia baru ketika zaman diploma.

Ada sebab saya mendapat tempat di UTP, berjumpa dan berkenalan pula dengan beratus-ratus pelajar di sana.

Ada sebab saya bekerja di Taiping. Ada sebab saya tercampak pula di Kuala Lumpur.

Lantas, jika difikir-fikir semula, hampir 28 tahun saya hidup, entah berapa ribu manusia di muka bumi yang telah saya jumpa dan kenal. Dan setiap satu mereka adalah satu potongan mozek antara ribuan potongan mozek lain yang akan bercantum dan membentuk siapa diri saya sebenarnya. Sepertimana saya, yang merupakan salah satu potongan mozek yang akan membentuk siapa diri mereka pula.

Antara mereka, ada yang memberi impak besar kepada saya. Ada juga yang kecil, atau sederhana, atau mungkin tiada langsung.

Manusia yang tidak memberi impak ini lazimnya kawan-kawan satu universiti yang tidak berapa saya kenal. Yang apabila berselisih hanya mampu tersenyum dan mengangguk sahaja. Yang tidak saya tahu apa nama ibu bapanya. Yang tidak saya peduli apa makanan kegemarannya, dan jauh sekali mahu saya ambil tahu apa impian dan harapannya.

Manusia-manusia ini, jika saya terjumpa di mana-mana, 10 tahun kemudian, mungkin dahi saya akan berkerut dan berfikir “Macam pernah jumpa, tapi di mana ya?”

Ya, saya akan lupa nama mereka, sepertimana mereka yang pasti sudah lupa juga akan nama saya.

 
2 Comments

Posted by on July 30, 2012 in Manusia, Pengalaman, Refleksi

 

Terima kasih Tuan Haji atas sebuah inspirasi.

“Adik nampak tak lelaki yang pakai jubah putih itu?”

Kata ayah, sambil menunjuk kepada seorang lelaki yang sedang makan selang satu meja dari kami sekeluarga. Sebetulnya kami sedang berada di sebuah restoran baru (Tak adalah baru sangat. Saya saja yang baru pertama kali ke sana) di Sungai Petani yang menghidangkan mi udang paling sedap di alam semesta.

Saya pun memandang lelaki itu. Perkara pertama yang menerpa cepu kepala saya adalah “warna putih”. Kerana segala-gala tentangnya berwarna putih. Beliau memakai serban putih, jubah putih, rambutnya putih, malah menyimpan misai dan janggut panjang yang juga sudah memutih.

Orang tua seperti ini kalau terserempak di mana-mana, waktu tengah malam buta, pada bulan Ramadhan misalnya, kemudian memberi kau beberapa nasihat berguna, mesti lepas itu akan hilang ghaib macam itu saja. Dan kau mesti fikir, malam ini Lailatul Qadar agaknya.

Ya, orang tua begini, boleh buat mata kau silau dek cahaya keimanan yang terpancar-pancar dari wajahnya.

“Kenapa dengan lelaki tu yah?” tanya saya kembali.

“Itu bekas pengetua ayah. Masa di Merbok dulu….” jawab ayah.

Saya pandang lagi lelaki itu. Ternyata dia mempunyai sebuah keluarga yang besar. Kerana di sekelilingnya ada ramai anak-anak dan cucu-cucunya turut makan bersama.

Lantas, ayah bercerita tentang lelaki itu, yang dipanggilnya Tuan Haji (Namanya saya dah lupa)

Kata ayah, lelaki itu adalah manusia yang tidak pernah berhutang. Beliau begitu menjaga setiap sen duit dan hartanya daripada segala perkara-perkara syubhah. Perkara haram memang jauh sekali.

Beliau tidak pernah menyimpan duit di dalam bank konvensional yang mungkin terlibat dengan riba. Setiap kali duit gaji masuk ke dalam bank, beliau akan mengeluarkan kesemua duitnya (kecuali RM10) dan disimpan di tempat lain. Sehinggalah wujudnya Bank Islam dan Tabung Haji, barulah beliau menyimpan duitnya.

Beliau juga tidak akan sama sekali membeli rumah dengan bank konvensional. Beliau hanya mula memiliki rumah selepas wujudnya Bank Islam.

Semasa menjadi pengetua, beliau mendapat Elaun Rumah sebanyak RM700. Tetapi, sewa rumahnya ketika itu hanyalah RM400. Akan tetapi, beliau tetap juga membayar tuan rumah sebanyak RM700.

“Eh Tuan Haji, sewa rumah saya RM400 saja lah.” kata tauke tuan rumah.

“Tak apalah. Kamu ambil lah RM700. Elaun rumah saya banyak itu. Berdosa kalau saya guna duit itu bukan untuk bayar sewa rumah.” jawabnya.

Ya, beliau sama sekali tidak akan menggunakan lebihan RM300 itu untuk perkara lain selain membayar sewa rumah, kerana namanya adalah Elaun Rumah, maka satu sen pun tidak akan digunakan untuk selain daripada Rumah.

Dan sudah tentu, beliau sama sekali tidak mempunyai kad kredit.

Dan yang paling menarik hati saya adalah ketika ayah bercerita, bahawa jika makan di gerai, Tuan Haji akan terus membayar harga makanan, SEBELUM makanan itu sampai. Sangat berbeza dengan kita yang hanya membayar selepas makan.

Lantas ayah pernah bertanya,

“Kenapa Tuan Haji bayar makanan sebelum makan?”

Jawapannya membuat saya termenung sejenak.

“Saya bayar dulu sebab saya tak tahu bila saya mati. Mana tahu saya mati masa tengah makan, jadi tak sempat nak bayar.”

Saya terpegun mendengar cerita ayah.

Sebaik-baik manusia adalah yang sentiasa mengingati mati, dan lelaki tua ini mengingati mati pada setiap saat, malah ketika makanan terhidang di depan mata, tetap juga mati yang menjengah mindanya.

Lalu saya berfikir-fikir sendiri. Sepanjang 27 tahun saya hidup, pernahkah, walau SEKALI, saya mengingati mati ketika hendak makan? Tak pernah, rasanya. Lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadhan waktu hendak berbuka. Saat pelbagai makanan sudah tersedia depan mata, memang haram-langsung-tak-terfikir-pasal-mati-lah-jawabnya.

Yang saya fikirkan saat itu, adalah apa benda yang nak dimakan dulu. “Mula-mula minum air tebu, lepas tu makan popia basah, lepas tu makan murtabak, nasik dengan ayam makan kemudian, makan buah dulu…etc etc etc”

Ya, saya lebih sibuk berfikir bagaimana ‘menyusun atur’ makanan di dalam perut untuk sistem penghadaman daripada mengingati akan kematian.

*menyedihkan*

Saya pandang lagi Tuan Haji itu. Beliau kelihatan begitu tenang sekali. Jika tidak kerana uban di kepala dan janggutnya, tentu saya tidak menyangka yang beliau sudah berusia 70-an, kerana wajahnya yang seperti tidak dimakan tua.

Saya belajar sesuatu dari kisahnya. Saya harap, dengan menulis tentang beliau di sini, anda juga dapat belajar sesuatu daripadanya.

Dan moga-moga kisahnya dapat memberi inspirasi kepada saya, kepada anda, kepada kita semua supaya lebih berhati-hati dalam urusan kewangan kita. InsyaAllah.

*credit picture to Google Image*

 
10 Comments

Posted by on May 10, 2012 in Manusia, Refleksi

 

tentang Zaki, budaya Melayu, Julia, erti hidup pada kaca mata Andrea Hirata, dan nasihat tentang perkahwinan.

Katanya, kawannya yang bernama Zaki* (bukan nama sebenar) itu akan berkahwin.

Katanya lagi, dia risau jika Zaki berkahwin.

Katanya lagi sekali, ini kerana Zaki adalah seorang yang tidak ada nafsu kepada wanita dan naluri seksualnya lebih terarah kepada lelaki.

Atau dalam erti kata lain, Zaki adalah seorang pengamal homoseksual atau gay.

“Aku tak faham Sue. Kenapa dia perlu kahwin hanya kerana nak puaskan hati ibu bapa dia yang risau tengok dia lama sangat membujang? Kenapa dia perlu tunduk pada tekanan orang lain?”

Ya, Zaki adalah dari keluarga Melayu. Dan sebagai seorang Melayu, saya juga tersangat faham akan situasi yang dihadapi Zaki.

Err….bukan situasi sebagai gay. Tapi situasi sebagai anak-muda-lama-sangat-membujang-tak-elok-baiklah-kahwin-cepat-cepat!

Saya melepaskan keluhan. Yang sebenarnya saya agak kecewa dengan budaya Melayu. Atau budaya apa-apa saja bangsa yang beriya-iya benorrrrrrrrr mahu anak mereka berkahwin tanpa mempedulikan sama ada anak itu bersedia atau tidak sebenarnya untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Read the rest of this entry »

 
4 Comments

Posted by on April 29, 2012 in Manusia, Refleksi

 

“Life is given to us, we earn it by giving it” – Rabindranath Tagore

November 2009

Saya masih lagi bekerja separuh masa di McDonald’s. Hari Ahad itu memang sibuk. Orang ramai berpusu-pusu. Saya perlu segera membersihkan meja supaya pelanggan yang baru datang boleh duduk dan makan.

Di satu sudut, ada sekumpulan pelajar lelaki. Lebih kurang 7-8 orang kesemuanya. Berpakaian batik asrama warna hijau pucuk muda. Tidak pasti pula saya sekolah mana. Mereka duduk di 2 meja yang sebelah-menyebelah. Ada 1 meja di sebelah mereka, dan ia diduduki oleh hanya seorang pelajar. Saya boleh meneka, dia juga adalah dari kelompok yang sama, tapi mungkin kerana tidak cukup tempat duduk, dia terpaksa duduk di meja kosong sebelah.

Apa yang menarik perhatian saya adalah kerana, pelajar lelaki ini tidak ada apa-apa makanan di atas mejanya. Tatkala rakan-rakan lain sedang enak mengunyah burger, fries dan ayam goreng, dia hanya duduk diam-diam menyedut Coke dalam gelas minuman. Saya agak pelik, tetapi tidak terfikir pula untuk bertanya.

“Dia belum lapar barangkali” fikir saya.

30 minit kemudian, saya datang semula mengemas meja. Saya lihat dia sedang enak mengunyah ayam goreng. Saya pergi ke arahnya.

Read the rest of this entry »

 
9 Comments

Posted by on December 16, 2011 in Manusia, Pengalaman, Refleksi