RSS

Category Archives: Peribadi

Saya ada untuk kamu.

Dalam dunia ini banyak benda yang susah untuk kita faham. Kerana setiap manusia adalah unik dan tidak mempunyai aliran pemikiran yang sama.

Seorang doktor moden tidak faham kenapa ada yang memilih untuk berubat alternatif homeopati apabila yang sebenarnya kanser beliau cuma boleh dirawat dengan kimoterapi.

Seorang bomoh tidak faham kenapa ada manusia yang memilih untuk berbelanja beribu-ribu ringgit untuk dibedah apabila beliau dengan mudahnya boleh menghalau ‘jin’ dan ‘jembalang’ dalam tubuhnya dengan jampi serapah.

Seorang jurutera yang berfikiran teknikal tidak akan faham bagaimana seorang pemuisi mampu menjadi begitu puitis hanya dengan melihat langit dan laut.

Begitu juga seorang wanita yang berjiwa seni tidak akan faham kenapa teman lelakinya memberi seketul blender pada hari kekasih, sedangkan yang lebih dia mahu hanyalah puisi cinta dengan sekuntum mawar merah.

Jadi hakikatnya, banyak benda yang kita tak akan faham tentang orang lain. Kerana kita semua tidak sama jiwa dan pemikiran. Kerana itulah perlunya saling memahami dan bertolak ansur. Saling menerima dan terbuka.

Saya – contohnya, tidak akan pernah faham sampai bila-bila, kenapa ada wanita yang sering mencipta alasan dan bertahan dengan lelaki-lelaki yang mendera mereka, mental dan fizikal. Saya tidak faham bagaimana ada wanita yang masih berkata “Ini semua salah aku” apabila dirinya diterajang bertubi-tubi. Saya juga tidak faham akan wanita yang masih bertahan, sedaya upaya walau dirinya ditipu, lagi dan lagi, berkali-kali.

Akan tetapi, saya baru sedar bahawa ketidakfahaman saya itu adalah hasil daripada sikap ignorant diri saya sendiri. Saya tidak mahu mencuba untuk peduli. Saya tidak mahu mencuba untuk meletakkan diri dan memakai kasut mereka. Dan, sama sekali bukan silap mereka jika saya tidak faham.

Manusia, jika terjadi sesuatu yang mereka sukar untuk fahami, jalan mudah adalah untuk terus menghukum. Cepat saja untuk menghakimi. Sedangkan, yang sebenarnya perlu mereka lakukan adalah cuba untuk peduli. Dan memahami.

Seorang yang bertudung labuh cepat saja memandang jijik pada wanita yang telanjang rambutnya dengan warna-warna perang.

Seorang wanita yang berambut bebas (free hair) mudah saja mencebik pada wanita yang berpurdah.

Cepat benar kita membuat andaian bahawa wanita begitu rosak akhlak atau wanita begini kolot dan jumud, tanpa cuba mengenali siapa mereka sebenarnya di sebalik penampilan mereka.

Saya baru sedar bahawa saya adalah antara manusia yang begitu cepat menghukum. Begitu mudah menghakimi. Sedangkan diri saya sendiri bukanlah terlalu sempurna untuk menghukum dan menghakimi orang lain.

Baru-baru ini saya berada dalam persimpangan apabila terjadi sesuatu yang sukar saya fahami. Lantas saya memilih untuk berpaling. Dan menjauh. Kerana saya tidak mahu peduli perkara yang saya tidak faham.

Kemudian saya terbaca bahawa Oprah Winfrey, mogul media yang kaya-raya itu juga, pernah begitu ketagihkan cinta lelaki. Walau dilayan seperti sampah, tetapi beliau masih sanggup bertahan hingga ke tahap melutut dan merayu supaya tidak ditinggalkan.

Lantas, ia membuatkan saya terfikir bahawa jika wanita sekaya dan seberjaya itu pun pernah lemah dan jatuh rebah, tentu ia akan terjadi kepada wanita-wanita lain. Kerana setiap orang tidak sama. Ada yang mampu berdikari, ada yang perlu bergantung pada orang lain untuk berdiri.

Jadi, adalah satu kezaliman bagi saya untuk tidak mempedulikan orang lain yang perlukan pertolongan, perlukan nasihat, perlu mengadu kepada saya, hanya kerana saya tidak faham dengan keadaannya.

Jadi, ini adalah permohonan maaf saya kepada beliau. Ini adalah cara saya untuk mengatakan:

“Saya tidak faham kamu. Tapi saya ada untuk kamu. Ini telinga saya. Ini bahu saya. Mengadu dan menangislah sepuasnya. Saya ada.”

 
Leave a comment

Posted by on May 3, 2014 in famili, Peribadi

 

Kronologi Ogos 2013

Bulan Ogos untuk tahun ini. Macam-macam perkara berlaku. Ini secara kronologi, seringkas mungkin.

1 Ogos 2013

Genap 2 tahun bekerja di Kuala Lumpur. Cepat sungguh masa berlalu. Untuk seseorang yang pernah belajar dan bekerja di tempat yang aman damai tenang sunyi seperti Gambang, Taiping dan Seri Iskandar, sememangnya menetap di KL adalah satu kejutan budaya buat saya.

kuala-lumpur-HDR

Antara yang membuatkan saya agak terkejut masa mula-mula menjejakkan tapak kaki di sini adalah:

  • The traffic jam. Ya Tuhan, unbelieveable. Di Taiping, saya cuma mengambil masa 7 minit untuk ke tempat kerja. Di sini saya perlu bertolak 30 minit / sejam lebih awal.
  • Adalah perkara biasa rupa-rupanya, untuk melihat jalan raya sudah penuh dengan kenderaan seawal 6.30 pagi. Jika di Taiping, kau masih boleh berguling-guling atas jalan pukul 7.00 pagi.
  • Sumpah, saya tak pernah tengok manusia yang begitu gila shopping sepertimana di KL. Seolah2 setiap warganya telah diprogramkan minda untuk menjadi hilang akal ketika musim sales. Saya melihat ini ketika singgah di Jusco untuk membeli sepasang stokin dan….humang aih, manusia ramai tak hengat. Rupa-rupanya hari itu adalah AEON JCard Day. Ouh-kay…Macam itu rupanya.
  • Lelaki dan perempuan boleh duduk serumah dan sesuka hati mengiklankannya di Mudah.My.
  • Kuala Lumpur adalah syurga pusat membeli-belah. Saya agak terkesima melihat besar-besar gedabak dan bersepah shopping complex di sini.
  • Kos sara hidup – tinggi tak ingat. Saya sewa sebuah rumah teres setingkat dengan harga RM150 di Taiping. Tapi jumlah sebanyak itu tak mampu lagi nak bagi kau sebuah bilik kecil di flat sempit.
  • Malam di Kuala Lumpur – heaven. Saya suka pemandangan KLCC waktu malam. Tengok banyak kali pun tak jemu.
  • Mindset MYOB (Mind Your Own Business) yang tinggi di antara warganya. Bersepah2 kereta rosak di tepi jalan, tapi jarang sangatlah tengok orang berhenti dan membantu. (termasuklah saya =P)

Ok, itu saja kejutan budaya saya. Tapi sekarang macam dah lali kot dengan keadaan di sini.

Tempat kerja yang sekarang – awesome. Cuti banyak, kawan-kawan best, boss sempoi, selalu ada makan-makan, flexible hours, ada insuran perubatan, etc etc. Seriously, no complaint at all. I’m happy here. (^_^)

Read the rest of this entry »

 
4 Comments

Posted by on August 28, 2013 in famili, Kerja, Peribadi

 

Apabila hati wanita sudah penat.

Kau ada paranoia yang aneh.

Iaitu kau akan sentiasa risau berganda-ganda jika orang yang kau sayang perlu pergi ke sesuatu tempat dan menempuh perjalanan yang lama.

Ini kerana kau masih ingat wajah nenek yang jatuh terduduk dan menangis sambil beristighfar “Ya Allah anak aku, anak aku Ya Allah” bila mendapat panggilan telefon yang mengatakan Pak Su kemalangan motosikal 20 tahun yang lalu.

Ini kerana kau dapat bayangkan betapa hancurnya hati makcik bila dapat tahu anaknya meninggal akibat kemalangan pada malam hari raya, beberapa tahun yang lalu.

Ini kerana, kau sudah tengok berpuluh drama melayu yang ada babak ini – panggilan telefon berdering, pelakon angkat telefon, kemudian muka terkejut sambil berkata “Apa? Dia kemalangan??”, gagang telefon terlepas, dan pelakon mengongoi sedih.

Jadi, seboleh-bolehnya kau tak mahu melalui keadaan yang sama. Oleh sebab itu, kau amat particular pasal ini. Kalau keluarga kau pulang ke kampung naik kereta, menempuh perjalan yang beratus kilometer, kalau tidak mereka yang telefon kau, mesti kau yang akan menghubungi mereka. Bertanya sudah sampai atau belum. Dan kalau gagal dihubungi, kau akan cuba juga, berkali-kali sampai dapat. Walau kau terpaksa berjaga sampai pukul 4 pagi.

Begitu juga dengan diri kau. Kalau kau perlu memandu jauh, kau akan terus maklumkan pada keluarga yang kau sudah selamat sampai. Supaya mereka juga tidak perlu risau.

Jadi, apabila seseorang yang sudah kau nobatkan sebagai antara manusia yang kau sayang mahu menempuh perjalanan dari utara ke selatan, perlu melalui beberapa buah negeri di antaranya dengan jarak beratus kilometer, paranoid kau pun kembali.

Kau tinggalkan mesej seperti biasa, meminta dia agar memberitahu diri ini andai sudah tiba ke destinasi.

Dia bertolak tengahari dan sepatutnya sampai petang. Kau tunggu sehingga malam. Masih tiada apa-apa berita. Kau telefon berkali-kali tetapi dimasukkan ke mel suara. Kau tinggalkan beberapa mesej bertanya lagi dan lagi, tetapi mesej juga tidak dapat disampaikan sebab mungkin, handphonenya kehabisan bateri.

Kau tunggu lagi. Mungkin bila dia sudah sampai, dia akan cas handphonenya dan terus menghubungi dan maklumkan pada kau yang dia sudah selamat sampai. Lagipun kau tak mahu terlampau kerap menghubungi kerana tidak mahu di’cop’ wanita psycho atau over possessive sampai merimaskan dirinya.

Jadi kau pun tunggu. Dan tunggu.

Sampai tengah malam, kau mula risau. Kau telefon dia lagi tapi masih tidak dapat. Kau telefon adiknya yang bersama dengannya dalam perjalanan, tapi tidak berangkat. Kau tinggalkan mesej, tidak berbalas.

Kau panik. Darjah paranoid kau naik mendadak. Kau mula terbayang benda bukan-bukan.

Macam mana kalau dia kemalangan tapi keluarganya lupa nak beritahu kau, dan kau cuma dapat tahu seminggu kemudian?

Macam mana kalau kereta dia terbakar dan mayatnya tak boleh dikenal pasti kerana semua dokumen pengenalan diri pun terbakar, dan dia sekarang terbaring di bilik mayat hospital, tanpa dituntut keluarga dan diberi nama “John Doe”?

Macam mana kalau keretanya jatuh gaung dan tak ada siapa yang lalu dan berikan bantuan?

Dan segala macam andaian negatif bermain dalam fikiran kau.

Kau tidur pukul 1 pagi dengan handphone di tangan dan terjaga pukul 3 pagi. Kau mimpi buruk tentang dia. Kau bangun dan ambil wuduk. Buat solat hajat minta tolong pada Tuhan lindungi dia dan keluarganya. Kerana kau masih belum bersedia untuk hidup tanpa dia, jadi kau merayu sangat2 pada Tuhan, dengan linangan air mata, meminta agar Tuhan hantarkan seribu malaikat memayungkan dia dari segala bencana dan malapetaka.

Kau telefon dia lagi, masih tidak dapat.

Tiba-tiba kau terfikir untuk hubungi nombor kedua dia, yang jarang-jarang dia guna dan selalunya nombor itu kau tak dapat tembusi pun sebenarnya.

Pukul 3.30 pagi, kau dail nombor itu. Kau betul-betul tak sangka, ada nada dering di hujung talian. Kau diam dan menanti.

Tiba-tiba kau dengar suara mengantuk dia berkata “Hello…..”

Kau diam. Dan kau letakkan telefon tanpa berkata apa-apa.

Kau pergi basuh kaki dan tidur. Cuba untuk tidur walau mata kau sudah macam empangan pecah. Bantal kau basah dek air mata kau yang tumpah. Kau lega sebab dia selamat, tapi hati kau pecah belah.

Payah sangatkah untuk memberitahu bahawa dia sudah sampai? Susah sangatkah untuk menaip 3 patah perkataan di mesej yang berbunyi “Saya sudah sampai”? Adakah memerlukan kudrat yang terlampau besar untuk menaip cuma satu mesej tersebut?

Untuk satu malam, kau biarkan diri kau berendam air mata. Kau berendam, malah berenang atau mungkin, sudah boleh scuba diving dalam air mata kau sendiri.

Tapi cuma untuk satu malam ini.

Satu malam sahaja.

Esok, kau berjanji pada diri sendiri, tidak akan membazirkan lagi masa, tenaga dan air mata kau untuk merisaukan dia. Amatlah tidak berbaloi.

Kau tidak akan lagi peduli sama ada dia sampai atau tidak, di mana-mana saja destinasi, kau tidak mahu ambil tahu lagi, dan kau mahu berhenti untuk terlalu mengambil berat dan terlalu menyayangi. Tidak perlu. Kerana dia juga tidak ambil berat akan perasaan kau. Jadi, tidak ada guna untuk kau terlalu merisaukan dia melampau-lampau.

Jika dia mahu telefon memberitahu, kau hargai dan ucapkan terima kasih. Jika dia tidak ingat atau lupa, kau juga tidak akan terhegeh-hegeh bertanya. Sebab kau sudah penat untuk merisaukan dia, yang tidak mengambil endah akan kerisauan kau.

Jika (minta dijauhkan), tetapi jika terjadi juga, satu hari kau mendapat panggilan telefon mengatakan dia kemalangan, kau tetap akan memberi reaksi sama macam orang lain juga.

Terkejut, menangis, sedih, hancur luluh hati, kemudian pergi melawat dia di hospital atau di tanah perkuburan – jika sudah sampai ajalnya. Memberikan dia buah tangan dan bunga di atas meja atau membacakan doa di pusara – sekali lagi jika sudah sampai ajalnya.

Dengan berhenti untuk mengambil berat akan keselamatan dirinya, kau sebenarnya sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi segala kemungkinan, jika terjadi bencana atas dirinya.

Dan bersedia untuk hidup tanpa dia.

 
6 Comments

Posted by on August 18, 2013 in Peribadi

 

Dan benarlah sesungguhnya jodoh itu rahsia Tuhan

Dia itu baru saya kenali. Dia datang menyapa di awal Januari. Kemudian mendiamkan diri dan menyepi tanpa berita selama 2 purnama.

Kemudian, muncul pula secara tiba-tiba ketika April menjelma.

Dan kini kami dalam perjalanan mahu menguatkan hubungan ke sebuah ikatan yang sah, hujung tahun ini.(InsyaAllah…amin)

Kiranya, jika dicampur didarab ditolak bahagi, usia perkenalan kami tidak sampai 2 bulan, terus sahaja berjumpa ibu bapa, dan kemudian terus sahaja mahu menuju ke alam perkahwinan, tentunya jika diizin Tuhan.

Sebetulnya saya sangat bersyukur. Kerana usia perkenalan kami tidak lama, dan terus sahaja kami mengambil keputusan untuk ke peringkat seterusnya. Ini kerana, Tuhan saja yang tahu, betapa penat, letih, lelah, jemu, dan jelaknya saya dengan perhubungan cinta lama-lama-lama-lama tapi akhirnya tidak kesampaian.

Jadi, saya sudah menyimpan hasrat di dalam hati. Cukuplah berkenalan dan bercinta sekejap saja, dan selebihnya, bercintalah lagi selepas sah menjadi suami isteri pula.

Saya juga bertanya, banyak kali, berpuluh kali, kepada diri sendiri. Apakah betul keputusan ini? Benarkah dia jodoh yang saya cari? Apa betulkah dia yang tertulis sebagai suami? Betulkah namanya yang ditakdirkan dengan saya sejak azali?

Dan saya juga tertanya-tanya – adakah saya sudah terdesak, mahu dikaut dan dihangkut sahaja sesiapa yang sudi, kerana sudah terlampau jemu bersendiri? Dan lebih-lebih lagi mengenangkan usia yang bukanlah semakin muda, lantas saya tidak kisah berkahwin dengan sesiapa sahaja yang melamar saya?

Berkali-kali saya tanyakan soalan ini.

Dan semakin hari saya semakin pasti. Bukanlah kerana terdesak. Bukanlah kerana risau. Bukanlah kerana bimbang atau gusar akan usia sendiri. Tapi, sebenarnya, kami memang benar-benar serasi. Dan sememangnya, dia telah membuat saya tersungkur berdebuk-debuk jatuh hati. Dan sungguh, apabila yang dikata jodoh itu sudah tiba, kamu tidak akan ragu-ragu lagi.

Dan saya sangat pasti, cuma wajah dia yang mahu saya tatap, setiap waktu setiap ketika setiap hari setiap minggu setiap bulan setiap tahun setiap dekad setiap abad.

Jadi, dalam perjalanan ini, untuk menoktahkan sebuah pencarian, untuk menamatkan sebuah penantian,

Saya berdoa, semoga Tuhan permudahkan segala urusan.

Dan semoga dapatlah kami menyempurnakan separuh iman.

Amin.

 
9 Comments

Posted by on June 28, 2013 in Peribadi

 

Saya dan ekzema.

Saya mula mengalami gatal-gatal di bahagian pelipat tangan ketika usia saya 22 tahun. Semasa mula-mula saya masuk ke UTP. Dan perkara itu makin teruk setiap kali perubahan cuaca (terlalu sejuk atau terlalu panas), tahap stress yang melampau (waktu final exam) , dan ketika badan berpeluh.

Gatal di bahagian pelipat tangan ini pada mulanya hanyalah seperti setompok ruam, tetapi makin lama, apabila digaru, ia merebak dan membesar menjadi seperti peta dunia di tangan saya. Dan perasaan gatal ini adalah tidak dapat digambarkan. Orang yang gatal nak kahwin pun rasanya tak gatal macam ni.

It is so unbearable, believe me.

Semakin saya garu, semakin gatal dan kadang-kadang sehingga berdarah-darah tangan ini saya kerjakan. Saya mencuba cold pack atau tuala yang direndam air panas untuk mengurangkan rasa gatal, tetapi tidak berkesan. Dan kepuasan yang tidak terhingga saya kecapi hanya dengan menggaru dan menggaru hingga luka. Kadang-kadang, kerana tidak tertahan penderitaan yang saya alami (ceh ceh) hingga saya terfikir untuk mengelar tangan dengan pisau, dan memerah air limau ke atas luka itu, untuk menghilangkan rasa gatal yang amat-tak-tau-nak-cakap-rasa-macam-nak-menggelupur-pun-ada.

So, you get the picture how itchy my arms were during that time.

Saya sudah berjumpa dengan doktor dan ahli farmasi, dan pelbagai sebab yang saya dapat. Kurang vitamin C, kurang air dalam badan, terlampau stress menyebabkan perubahan hormon, dan lain-lain. Mereka memberikan krim putih ( yang saya dapat tahu namanya cortisone) yang akan menyebabkan kulit saya pulih, tapi cuma untuk beberapa minggu, dan penyakit tersebut akan datang semula, dan saya terpaksa terus menerus menyapu cortisone.

Jadi, apabila saya berjumpa seorang doktor yang baik hati, pada usia saya 28 tahun (selepas lebih 6 tahun mengalami kegatalan tersebut), alangkah terkejutnya saya apabila, dengan hanya melihat sekali sahaja ruam di tangan saya, beliau menggeleng-geleng kepala dan berkata:

“My dear friend, what you have here is ECZEMA”

Hah??? Apakah??

Ia seperti halilintar membelah kepala tatkala mendengar perkataan tersebut. (wah, hiperbola gila) Saya ada kawan yang mengidap eczema, tetapi penyakit ini masih asing bagi saya. Kemudian, saya pun menggugel segala-galanya yang boleh saya tahu tentang penyakit ini, dan cara mengatasinya.

Kebanyakan info yang saya dapat, untuk menyembuhkan penyakit ini in natural ways adalah dengan mengubah diet. Dan meminum green smoothie.  Ia adalah kombinasi sayur-sayuran dan buah-buahan yang diblender menjadi hancur seperti smoothie.

green-smoothie-pic

Lantas saya pun cuba mengamalkan green smoothie dan Alhamdulillah, dengan izin Allah, eczema saya hilang, kulit di pelipat tangan kembali licin, dan saya sudah tidak mengalami gatal-gatal. Saya mula minum 2 gelas besar sehari (lebih kurang 1 liter), selama hampir 5 bulan, and the result is amazing! (Ok, serius macam testimoni pelanggan untuk produk kuruskan badan..huhu.. :P)

Walaupun warnanya hijau, dan rupanya agak huduh (boss saya kata macam muntah badang), tapi percayalah, rasanya sedap! 🙂

Ini resepi yang saya suka:

  • Sayur-sayuran (tak kisah sayur apa asalkan berwarna hijau, contoh: bayam, sawi, kangkung, etc etc)
  • 3 biji pisang (mesti pisang yang dah masak dan kalau boleh, yang ada tompok hitam di kulit pisang tu)
  • 2 biji limau
  • Secawan strawberri
  • Air secukup rasa

Campurkan semua dan blender sesuka hati sampai hancur, dan minum setiap hari.

Kamu juga boleh cuba google dan cari resepi green smoothie yang lain. Dan saya juga mencuba-cuba juga pelbagai resepi lain.

So, to all eczemian (apakah perkataan ini?) out there, you should give green smoothie a try. It is so totally worth it. 😉

Vitamix_Green-Smoothie

Ini adalah Vitamix, blender berkuasa tinggi. Ia paling popular di kalangan peminum green smoothie yang hardcore. Ini kerana smoothie yang dihasilkan betul-betul hancur dan menjadi lemak berkrim disukai ramai. Harganya lebih kurang RM3000. Saya sedang berjimat-cermat menyimpan lima puluh sen sehari untuk memilikinya. (T_T)

 
28 Comments

Posted by on March 23, 2013 in Pengalaman, Peribadi

 

“If worrying about what other people think of you is your biggest problem then you must live in a small world.” – Unknown

Ini peringatan kepada diri sendiri untuk beberapa (puluh) tahun akan datang (jika umur panjang dan sudah berkahwin waktu itu)

Wahai Suhaila

Jika bertemu dengan sahabat lama yang masih single, dan kamu ketika itu sudah berkahwin dan hidup bahagia dengan berbelas cahaya mata (ok, hiperbola), sila jangan bertanya kepada sahabat lama itu “Bila nak kahwin?”

Kerana kamu sendiri tahu bagaimana rasanya, dan kamu lebih arif untuk tidak bertanya,

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Suhaila, dari beberapa (puluh) tahun yang lalu. (Tahun 2013)

Sebetulnya, saya telah terserempak dengan seorang teman lama beberapa bulan lalu. Bertahun-tahun tidak bertemu dan tidak berhubungan, tentu sekali, saya sudah dapat meneka, pasti soalan status diri juga yang akan ditanya.

Apabila saya katakan bahawa saya masih belum berkahwin dan baru sahaja menoktahkan sebuah hubungan yang berusia hampir 3 tahun, dia begitu terkejut. Daripada cara dia terkejut, seolah-olah saya memberitahunya yang saya telah membeli senapang M16 dan menembak manusia secara rambang di pasaraya Tesco Ampang.

“Ya Allah Sue, kenapa kau buat macam tu? Kenapa Sue? Kenapaaaaaa??? Whyyyyy???” *sambil menggoncang-goncang bahu saya dengan muka tidak percaya*

Ok, dialog adalah ditokok tambah untuk efek lebih dramatik. Tapi, yang sebetulnya memang dia terkejut. Dia tidak sangka saya masih mampu memutuskan sebuah hubungan pada usia 28 tahun! Ini kerana, saya tidak sepatutnya memilih-milih lagi. Masa sudah suntuk. Kaut dan hangkut sesiapa saja yang mahu berkahwin dengan saya.

“Kau dah 28 dah Sue….bila nak kahwin ni?? Kau ni biar betul Sue…..lelaki macam mana yang kau nak ni…” ujarnya risau, seperti memikirkan satu permasalahan berat yang mampu membawa kepada dunia akan kiamat. *again, hiperbola*

Saya agak kasihan dengan dia sebenarnya. Tidak pasal-pasal, status diri saya menjadi permasalahan besar baginya. Harap-harap, dia tidak terlalu lama merisaukan saya.

Begitu juga seorang kawan lama yang juga berkata dengan nada kagum:

“Beraninya kau Sue. Break-up dengan dia. Kau memang tak takut jadi solo ye?”

Ya, breaking up adalah satu perkara normal ketika usia kau 18 tahun.

Tetapi tidak normal jika usia kau sudah 28 tahun.

Dan adalah satu kegilaan untuk masih breaking up pada usia 38 tahun.

Tapi saya kira, itu sahaja pilihan yang terbaik. Bukanlah keputusan ini melulu. Saya memikirkannya banyak kali, masak-masak-masak sampai hangus rentung rasanya. Sebetulnya, lelaki itu, yang saya kenal hampir 3 tahun itu, adalah seorang lelaki yang sangat baik. Apabila saya katakan sangat baik, maka percayalah, dia sememangnya SANGAT BAIK.

Dia sangat baik dan penyantun pada keluarganya, pada kawan-kawannya, pada orang sekelilingnya (sama ada yang dia kenal atau tidak) dan juga sangat baik kepada saya. Dia melayan saya tanpa cacat cela. Dia sedaya upaya sentiasa cuba mahu menggembirakan saya. Sungguh, saya tidak ada satu apa pun perkara buruk yang mahu diperkatakan tentangnya, melainkan yang muluk-muluk sahaja.

Jadi kenapakah saya menoktahkan hubungan dengan lelaki sebaik ini? Biarlah kami saja yang tahu. Dan kerana saya baru sedar, bahawa untuk hidup dengan seseorang, memerlukan lebih dari sebongkah hati yang baik. Banyak lagi perkara rupanya yang perlu ditimbang kira disukat segala.

Baiklah, sila abaikan tentang love life saya yang membosankan itu.

Apa yang ingin saya katakan ialah, kenapa perlu rasa takut untuk hidup menyendiri? Sebenarnya saya tidak bersendiri pun. Saya ada keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa menceriakan. Jadi, apabila reaksi teman tersebut yang begitu terkejut seolah-olah saya baru melakukan satu jenayah besar, saya jadi aneh.

Jadi, ini adalah kata-kata untuk diri saya sendiri, atau untuk kamu yang se’kasut’ dengan saya, atau sesiapa sahaja yang sudi membaca dan mencerna kata-kata saya:

Jangan takut untuk keluar dari sebuah hubungan yang hanya mendukakan kamu, tidak kisah berapa pun usia kamu. Jangan risau persoalan masih ada lagikah yang sudi? Kerana yakinlah, pegang betul-betul, bahawa janji Allah itu pasti. Jodoh kamu, insyaAllah sudah ditetapkan sejak azali.

Jadi, keluarlah jika kamu rasa tidak bahagia.

Keluarlah jika dia suka mendera atau tidak menghormati kamu sebagai wanita.

Keluarlah jika kamu tidak gembira.

Keluarlah, atas apa saja sebab yang kamu rasa, keluarlah dari hubungan itu.

Sebelum ia disimpul mati oleh satu ikatan rasmi. Dan jangan takut untuk bersendiri.

Jangan dikuasai perasaan risau tidak ada siapa lagi yang mahu, jadi terpaksa jugalah bertahan dengan lelaki-yang-tidak-berguna itu

ataupun berasa malu dengan kata-kata orang sekeliling.

Kerana setiap orang berhak untuk bahagia dengan cara tersendiri.

Don’t succumb to dogma.

Don’t give in to society’s expectation on how you should live your life.

Don’t let others define your happiness.

Because in the end, it is YOU, who will determine your own happiness.

And to him, who inspires this entry, I wish you well.

You are still in my prayers.

Still.

And always. 🙂

 
11 Comments

Posted by on March 19, 2013 in Peribadi

 

Untuk kamu yang bernama Jodoh

Untuk kamu yang bernama Jodoh,

Salam sejahtera saya ucapkan kepada kamu.

Siapa pun kamu. Di mana pun kamu berada. Semoga kamu sihat dan bahagia hendaknya.

Sering saja, saya tertanya-tanya tentang kamu, setiap masa setiap ketika.

Walau tidak pernah mengenali dan berjumpa, tanpa pernah bersua muka, apatah lagi mendengar suara, tetap saja kamu menjajah seluruh pelusuk minda saya.

Bagaimanakah rupa kamu?

Adakah kamu ini tinggi orangnya, atau rendah atau mungkin sederhana sahaja?

Bercermin matakah kamu, atau mungkin kamu punya sepasang mata sempurna yang tidak perlukan bantuan lensa untuk melihat atau membaca?

Berkumis dan berjanggutkah kamu atau kamu lebih selesa mempunyai wajah yang bersih tanpa sebarang bulu-bulu tumbuh meliar di muka?

Apakah kamu seorang yang sentiasa kemas bertali leher dan berkemeja dengan sepatu kilat bercahaya, atau lebih selesa  hanya bertshirt dengan jeans dan berselipar sahaja?

Apakah hobi kamu? Kegemaran kamu? Kebencian kamu? Prinsip hidup kamu? Impian kamu? Cerewetkah kamu? Perfectionist kah kamu? Semberonokah kamu? Kelakarkah kamu? Pemalukah kamu? Dan sejuta persoalan lain lagi yang ingin saya tahu tentang kamu.

Untuk kamu yang bernama Jodoh,

Saya sudah berhenti meletakkan kriteria tertentu untuk kamu. Saya sudah mula bersifat realistik apabila datang persoalan tentang kamu. Saya sudah tidak mahu mengharapkan kamu sebagai seorang lelaki yang sempurna, beriman, bijak,  kacak, tampan, tinggi, dengan kocek penuh berisi.

Cukuplah kamu sebagai lelaki penuh sederhana, yang bisa membuatkan setiap hal kecil menjadi istimewa, dan mampu menerima saya apa adanya.

Ini kerana saya juga wanita yang sederhana, malah punya sejuta kekurangan di sini sana dengan seribu kelemahan dan kejelikkan yang tidak tergambarkan.

Untuk kamu yang bernama Jodoh,

Kerana saya tidak punya kuasa hikmat untuk terbang ke Arasy sana, menyelak lembaran takdir, melihat nama siapakah yang tertulis di sebelah nama saya,

Kerana saya tiada kuasa paranormal yang boleh melihat masa depan sendiri,

Kerana saya bukanlah tukang tilik yang mampu menilik garis jodoh di telapak tangan saya,

Kerana sehingga kini, saya sendiri tidak pasti siapakah kamu, bakal jodoh saya, yang akan menjadi seorang suami, kekasih, imam, pemimpin dan bapa kepada anak-anak saya,

Maka, saya hanya mampu berharap dan berdoa,

Dan apabila berbicara tentang harapan dan doa, saya ada selautan harapan dan doa untuk kamu.

Saya berharap kamu baik-baik sahaja. Siapa pun kamu dan di mana pun kamu berada.

Saya berdoa supaya kamu sentiasa di bawah lindungan rahmat dan peliharaan-Nya.

Saya berdoa supaya satu hari nanti, Tuhan Sang Pencipta Hati akan menemukan kita, di satu titik  yang sama, apabila sudah tiba masanya.

Saya berharap kamu tidak akan lelah mencari saya,

sepertimana saya yang tidak akan berhenti mencari kamu.

Siapa pun kamu, saya titipkan doa selalu untukmu.

Janganlah penat dan lelah dalam kembaramu mencari arah menuju ke hati saya,

sepertimana saya yang tidak akan putus asa mencari dan menunggu kehadiran kamu.

Saya percaya, kembara kita akan segera usai.

Segera.

InsyaAllah, percayalah.

=)

 
13 Comments

Posted by on November 3, 2012 in Peribadi, Uncategorized