RSS

Category Archives: Pengalaman

Saya dan ekzema.

Saya mula mengalami gatal-gatal di bahagian pelipat tangan ketika usia saya 22 tahun. Semasa mula-mula saya masuk ke UTP. Dan perkara itu makin teruk setiap kali perubahan cuaca (terlalu sejuk atau terlalu panas), tahap stress yang melampau (waktu final exam) , dan ketika badan berpeluh.

Gatal di bahagian pelipat tangan ini pada mulanya hanyalah seperti setompok ruam, tetapi makin lama, apabila digaru, ia merebak dan membesar menjadi seperti peta dunia di tangan saya. Dan perasaan gatal ini adalah tidak dapat digambarkan. Orang yang gatal nak kahwin pun rasanya tak gatal macam ni.

It is so unbearable, believe me.

Semakin saya garu, semakin gatal dan kadang-kadang sehingga berdarah-darah tangan ini saya kerjakan. Saya mencuba cold pack atau tuala yang direndam air panas untuk mengurangkan rasa gatal, tetapi tidak berkesan. Dan kepuasan yang tidak terhingga saya kecapi hanya dengan menggaru dan menggaru hingga luka. Kadang-kadang, kerana tidak tertahan penderitaan yang saya alami (ceh ceh) hingga saya terfikir untuk mengelar tangan dengan pisau, dan memerah air limau ke atas luka itu, untuk menghilangkan rasa gatal yang amat-tak-tau-nak-cakap-rasa-macam-nak-menggelupur-pun-ada.

So, you get the picture how itchy my arms were during that time.

Saya sudah berjumpa dengan doktor dan ahli farmasi, dan pelbagai sebab yang saya dapat. Kurang vitamin C, kurang air dalam badan, terlampau stress menyebabkan perubahan hormon, dan lain-lain. Mereka memberikan krim putih ( yang saya dapat tahu namanya cortisone) yang akan menyebabkan kulit saya pulih, tapi cuma untuk beberapa minggu, dan penyakit tersebut akan datang semula, dan saya terpaksa terus menerus menyapu cortisone.

Jadi, apabila saya berjumpa seorang doktor yang baik hati, pada usia saya 28 tahun (selepas lebih 6 tahun mengalami kegatalan tersebut), alangkah terkejutnya saya apabila, dengan hanya melihat sekali sahaja ruam di tangan saya, beliau menggeleng-geleng kepala dan berkata:

“My dear friend, what you have here is ECZEMA”

Hah??? Apakah??

Ia seperti halilintar membelah kepala tatkala mendengar perkataan tersebut. (wah, hiperbola gila) Saya ada kawan yang mengidap eczema, tetapi penyakit ini masih asing bagi saya. Kemudian, saya pun menggugel segala-galanya yang boleh saya tahu tentang penyakit ini, dan cara mengatasinya.

Kebanyakan info yang saya dapat, untuk menyembuhkan penyakit ini in natural ways adalah dengan mengubah diet. Dan meminum green smoothie.  Ia adalah kombinasi sayur-sayuran dan buah-buahan yang diblender menjadi hancur seperti smoothie.

green-smoothie-pic

Lantas saya pun cuba mengamalkan green smoothie dan Alhamdulillah, dengan izin Allah, eczema saya hilang, kulit di pelipat tangan kembali licin, dan saya sudah tidak mengalami gatal-gatal. Saya mula minum 2 gelas besar sehari (lebih kurang 1 liter), selama hampir 5 bulan, and the result is amazing! (Ok, serius macam testimoni pelanggan untuk produk kuruskan badan..huhu.. :P)

Walaupun warnanya hijau, dan rupanya agak huduh (boss saya kata macam muntah badang), tapi percayalah, rasanya sedap! 🙂

Ini resepi yang saya suka:

  • Sayur-sayuran (tak kisah sayur apa asalkan berwarna hijau, contoh: bayam, sawi, kangkung, etc etc)
  • 3 biji pisang (mesti pisang yang dah masak dan kalau boleh, yang ada tompok hitam di kulit pisang tu)
  • 2 biji limau
  • Secawan strawberri
  • Air secukup rasa

Campurkan semua dan blender sesuka hati sampai hancur, dan minum setiap hari.

Kamu juga boleh cuba google dan cari resepi green smoothie yang lain. Dan saya juga mencuba-cuba juga pelbagai resepi lain.

So, to all eczemian (apakah perkataan ini?) out there, you should give green smoothie a try. It is so totally worth it. 😉

Vitamix_Green-Smoothie

Ini adalah Vitamix, blender berkuasa tinggi. Ia paling popular di kalangan peminum green smoothie yang hardcore. Ini kerana smoothie yang dihasilkan betul-betul hancur dan menjadi lemak berkrim disukai ramai. Harganya lebih kurang RM3000. Saya sedang berjimat-cermat menyimpan lima puluh sen sehari untuk memilikinya. (T_T)

Advertisements
 
28 Comments

Posted by on March 23, 2013 in Pengalaman, Peribadi

 

Permasalahan serupa. Di tempat berbeza. Dan sungguh menyerabutkan minda.

Eh dah Disember.

Eh cepatnya dah nak habis 2012.

Eh Nostradamus kata nak kiamat tahun ni.

Eh lamanya tak update blog.

Eh buat-buat terkejut pulak.

Ok, perkembangan terbaru, saya akan pindah rumah lagi. Hahahaha! *gelak sedih sambil menitiskan air mata* (T_T)

Dalam masa setahun, ini kali keempat saya akan berpindah. Mungkin akan menyamai rekod di Taiping dahulu, lapan kali dalam masa dua tahun.

Permasalahan yang sama.

Lelaki. Lelaki. Lelaki. Lelaki. Masuk rumah sesuka hati.

Dua minggu menyewa bilik di rumah baru, sudah 4 orang lelaki berbeza yang saya jumpa berkeliaran di dalam rumah. Kalau ditakdirkan waktu itu ada serbuan Jabatan Agama, maka nama saya akan terpampang di dada akhbar, ditangkap berkhalwat dan mendapat tajaan berkahwin secara percuma.

Saya sungguh penat dengan masalah begini sebenarnya.

Di Taiping juga begitu. Di sini juga, terjadi lagi.

Tak faham betul. Adakah muka saya ini mempunyai cop di dahi, yang bermaksud “Jika kamu mahu bawak masuk lelaki dalam rumah, sila ambil saya sebagai housemate kerana sungguh, I’m cool with that.”

Tak, hakikatnya, saya tidak boleh kompromi tentang itu.

Sebelum masuk lagi, saya sudah terangkan, tidak mahu kaum Adam di dalam rumah. Dan mereka kata, bukanlah tidak ada langsung kawan-kawan lelaki, akan ada juga yang datang ke rumah, sekadar hantarkan barang dan balik. Ok, saya boleh terima itu.

Tiba-tiba, balik rumah pukul 1 pagi, seorang lelaki sedang tidur di sofa, dengan bertuala menampakkan seluar dalam warna hitam, nyenyak tidur macam rumah bapak dia. Dan percayalah, itu adalah pemandangan yang sangat, sangat menjelikkan.

Bangun pagi mahu ke tandas pula, eh tiba-tiba, seorang lelaki keluar dari bilik yang tidak berpenghuni, dan menonong saja keluar dari rumah.

Bermaksud, sepanjang malam yang ada cuma saya dan dia, di bilik berasingan.

Bermaksud, jika ditakdirkan Tuhan, diserbu JAWI, saya tidak ada alasan kenapa kami berdua saja di rumah,kerana alasan “Tak tahu menahu siapa manusia ini” adalah alasan yang mungkin seringkali didengar pegawai JAWI oleh pasangan berkhalwat.

Bermaksud, lelaki itu jika dikuasai syaitonnirrojim, boleh saja mengapa-apakan saya dengan sewenang-wenangnya.

Pada waktu ini, saya cemburu dengan kakak saya. Jika dia sekarang di tempat saya, tentu, dia akan memaki hamun kawan serumah dua orang itu yang sesuka hati memberi kunci menumpangkan kawan lelaki mereka. Tentu, dia akan menghambur sesedap rasa meluah segala amarah di dada.

Masalahnya sekarang, saya adalah seorang Suhaila, yang benci pada konfrontasi. Yang lebih senang berdiam diri. Yang tidak berani bersuara.

Jadi, yang mampu saya buat, adalah beritahu, secara diplomasi, kenapa saya mahu pindah rumah lagi sekali, menyatakan ketidakselesaan saya dengan situasi sebegini, dan mengatakan saya akan pindah selewatnya bulan Januari.

Masih lagi dengan diplomasi.

Padahal yang sebenarnya, yang mahu saya katakan kepada budak berdua itu adalah:

“Korang ni memang tak guna bawak lelaki tak bagitahu aku memang celaka pegi mati”

Dah, sekian.

Oh ada sambungan lagi:

Ini tips kepada perempuan di luar sana yang seperti saya, sedang mencari-cari rumah/bilik sewa yang sesuai di ibu kota. Jika kamu melayari laman web Mudah.My mencari rumah/bilik sewa, janganlah terkejut jika ada iklannya yang memberitahu terus-terang, tidak kisah duduk serumah lelaki perempuan.

Contoh iklan:

  1. Open to couple, female or male.
  2. Rumah sekarang ada dua perempuan dan seorang lelaki.
  3. Tak kisah lelaki atau perempuan, janji bayar sewa tepat pada masa.
  4. Dan yang sewaktu dengannya.

Pada mulanya, saya juga menjadi jakun dan terkejut beruk dengan keadaan begini. Tapi lama-lama macam dah tak hairan. Antara iklan paling menakjubkan yang saya pernah jumpa:

  1. Mahukan lelaki lembut sahaja
  2. Penyewa mestilah memahami keadaan kami yang bercinta sesama gegirl. Hik hik hik. (ya betul, ada ‘hik hik hik’ di hujung ayat)

Jadi, modus operandi saya adalah mencari iklan yang mengatakan ‘Bilik untuk penyewa perempuan sahaja”.

Tetapi malang, M.O saya itu masih ada kekurangan. Tidaklah bermakna jika mereka mahukan ‘Perempuan sahaja’ sebagai penyewa rasmi, mereka tidak membawa masuk lelaki sebagai penyewa tidak rasmi.

Jadi nasihat saya adalah, cari iklan yang tertulis secara spesifik:

  1. Mahukan muslimah yang tidak sosial
  2. Lelaki tidak dibenarkan langsung dalam rumah.
  3. Lelaki adalah diharamkan sama sekali menjejakkan kaki walau seinci
  4. Dan yang sewaktu dengannya.

Happy house/room hunting! Wish me luck guys. Moga-moga ini peng’hijrah’an bilik terakhir untuk tahun ini. Dan tahun depan. Dan tahun-tahun akan datang.

Penat weh angkat barang. (T_T)

 
7 Comments

Posted by on December 1, 2012 in Bengong, jiwa kacau, Manusia, Pengalaman

 

Dalam dunia ini ada 6 billion manusia

Di Car Boot Sale Sri Putra;

Wajahnya tebal dengan mekap. Di pergelangan tangannya ada barang kemas sehasta.

“Baju kurung ni RM5?”
“Ya kak, baju-baju itu org derma. Jadi kami jual untuk charity ajar anak yatim dan miskin”
“Huh? Kalau barang derma patut jual murah lagi. RM2 jer. Korang tak keluarkan modal pun.”
“Itu dah murah kak. Kami tak ambil sesen pun. Modal kami duit minyak datang sini pun tak ambil. Kerja sukarela je kak.”
“Hmmpphh…”

Dia mendengus sambil berlalu pergi.

**********

Wajahnya terlindung di sebalik purdah hitam dan jubah hitam. Hampir usai waktu menjual, beliau berkata:

“Nah dik, ambil RM50 ni. Akak derma untuk anak2 yatim tu.”

**********

Dalam hidup, kita akan berjumpa dgn macam2 manusia.

Yang cantik, hodoh, kacak, tampan, kurus, gemuk, tinggi, rendah, lebar, panjang, dan lain-lain sifat lagi.
Yang baik, jahat, celupar, pendiam, ceria, busuk hati, dengki, dermawan, kedekut dan lain-lain sikap lagi.

Dan tugas kita adalah untuk menapis setiap kualiti manusia yang kita jumpa, yang baik kita ceduk ambil dan jadikan teladan, yang buruk kita tolak tepi dan jadikan sempadan.

Ayuh, tunjukkan kualiti kita yang baik-baik sahaja pd semua org. Supaya boleh dijadikan teladan oleh orang lain yang bertemu dgn kita.

Peace! (^_~)

 
Leave a comment

Posted by on November 12, 2012 in Manusia, Pengalaman

 

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

Keluarga saya baik-baik, kawan-kawan, guru-guru, pensyarah-pensyarah, teman sekerja, makcik cleaner, pakcik sekuriti, makcik jual nasi lemak, rakan sekelas, teman-teman di media sosial, malah sesiapa saja yang saya jumpa, adalah orang yang baik-baik.

Tidak ada yang cuba berbuat jahat kepada saya.

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

Jadi, apabila saya berjumpa dengan seorang pakcik di dalam LRT, lingkungan umur 50-an, wajah yang kemas seperti orang berpendidikan, seluar panjang dan kemeja yang kemas bergosok, saya betul-betul yakin, beliau juga orang baik-baik.

Cara cakapnya tenang. Campur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Perkataan yang keluar dari mulutnya juga sopan terjaga.

Ceritanya, dia seorang warga Singapura, datang ke Malaysia kerana ada mesyuarat di Putrajaya. Beg sandangnya tertinggal di dalam teksi. Langsung tidak dapat dicari lagi. Dia mahu naik bas, ada adiknya di Johor Bharu. Tetapi, tiada duit mahu membeli tiket.Kata pemandu bas, naik mesti ada tiket. Walaupun katanya, adiknya akan menunggu di stesen bas untuk membayarkan tiketnya, tetapi pemandu enggan.

Kecewa benar dia dengan sikap pemandu bas yang tidak bertimbang rasa. Suaranya serak-serak. Air mata tergenang di pelupuk matanya. Hati saya dirundung kasihan yang amat.

Dia bercerita lagi tentang keluarganya. Sudah berkahwin dengan warganegara Jepun. Punya 3 anak. Nama mereka ada disebut tapi saya sudah lupa. Bercerita lagi dia tentang anak-anaknya. Kerja apa mereka. Dan di mana mereka sekarang.

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik. Dan saya yakin, pakcik itu juga niatnya baik dan memang perlukan pertolongan.

Ini kerana, saya juga pernah berada di tempatnya. Di tingkatan 2, terpaksa menebalkan muka, meminta wang dari orang lalu lalang, untuk membeli tiket bas berharga RM2.00 untuk pulang ke asrama, selepas beg sekolah diragut orang.

Kakak saya, pernah juga meminjam telefon bimbit entah siapa-siapa, selepas begnya tertinggal di dalam teksi, dan dia mahu menelefon teman serumah.

Saya juga terpaksa menahan malu, meminjam syiling RM0.20 dari entah manusia mana di pasaraya, kerana terlupa membawa dompet, dan perlu menelefon ibu dengan telefon awam.

Pokoknya di sini, jika ada orang datang pada saya, katanya perlu pertolongan kerana dilanda malang tiba-tiba atau kesusahan yang tak diduga, saya akan mudah percaya. Kerana saya pernah berada di tempatnya. Pernah berdiri di dalam ‘kasut’nya.

Jadi, saya pun memberikan pakcik itu sejumlah wang. Jumlah yang dikatanya untuk membeli tiket bas dari KL ke JB. Harga RM150. Dia bersyukur tak terhingga.

“Betullah memang Tuhan akan tolong kalau kita mintak sungguh-sungguh. 3 jam pakcik di surau Puduraya, berdoa kalau-kalau ada yang akan menolong. Anak memang baik hati. Terima kasih banyak-banyak”

Kemudian, saya pulang ke pejabat. Saya semak harga tiket bas dari KL-JB. Tak sampai RM50. Kawan sepejabat hairan, mana mungkin harga tiket bas sampai seratus lebih.

Saya tepuk dahi. Sudah kena tipu rupanya saya ini. Langsung tak terfikir kerana saya tidak pernah naik bas KL-JB. Patutlah, kawan-kawan mengatakan saya ini lurus bendul. Mudah sangat percayakan orang. Terlampau lurus, kata mereka, hinggakan – gurau mereka – jika mahu membuat garisan, tidak perlu gunakan pembaris. Guna saja Suhaila. Tidak tahu saya mahu ketawa atau menangis dengan jenaka mereka.

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

Tahun lepas, bapa seorang sahabat telah diserang sekumpulan lelaki-lelaki keji. Lelaki-lelaki sampah itu telah mengerumuni bapa sahabat saya itu di dalam kereta, dan mahu merompak dompet dan telefon bimbitnya. Kejadian berlaku betul-betul di depan pintu pagar rumahnya.

Bapa sahabat saya menyerahkan semua wang dan telefon bimbit yang dia ada. Tetapi, syaitan-syaitan itu tidak puas hati lantas menetak pakcik itu dengan parang. Mujur beliau sempat menahan wajahnya dengan tangan. Akibatnya, urat di ibu jari putus, dan sampai sekarang, dia tidak boleh menggenggam tangannya dengan betul.

Jadi, teringatkan kejadian itu, saya bersyukur kepada diri sendiri. Walaupun pakcik di LRT itu menipu wang saya, tetapi sekurang-kurangnya dia meminta dengan cara yang tidak membahayakan saya secara fizikal. Tidak meletakkan parang di leher, atau tidak mengacu pistol di pinggang, atau lebih parah, lepas diberi duit, boleh saja dia menculik atau melarikan saya atau apa-apa saja benda bahaya yang sering dilakukan orang.

Ya, dia menipu saya, tetapi sekurang-kurangnya dia tidak membahayakan saya.

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

Walaupun ada orang yang berbuat jahat kepada saya, sekurang-kurangnya jahat beliau masih lagi kategori ‘baik’.

Pengajaran yang saya dapat adalah:

Kalau ada orang yang datang minta duit untuk beli tiket bas sebab beg tertinggal / diragut / dirompak / atau yang sewaktu dengannya, pergi ke stesen bas bersama-sama dengan orang itu, dan belikan tiket bas kepadanya. Jangan sekali-kali berikan duit buta-buta.

Sekian.

 
14 Comments

Posted by on October 19, 2012 in Pengalaman

 

Tentang Adam, sepotong mozek dalam hidup saya (II)

Lalu, apabila saya bertemu Adam (bukan nama sebenar) beberapa tahun lepas, saya ternanti-nanti impak bagaimanakah yang akan beliau beri dalam hidup saya. Adakah beliau juga hanya akan datang dan pergi tanpa meninggalkan sekelumit jejak pun di dalam hidup saya?

Rupa-rupanya, Adam adalah antara manusia yang sangat, sangat banyak mengajar saya tentang hidup.

Salah satunya adalah peristiwa ini yang berlaku awal tahun lalu.

Satu hari, ketika sedang makan di sebuah gerai, dia berkata,

“Sue, kau nampak orang tua peminta sedekah yang duduk sebelah farmasi tu?”

Saya menoleh, melihat orang tua itu, yang kelihatannya tiada cacat anggota, cuma wajahnya kusut masai serabut serabai, dan seketul cawan plastik diletakkan di sebelahnya.

“Aku bagi duit dekat dia hari itu. Tiba-tiba dia bawak keluar rokok, dan selamba hisap rokok. Lalu aku terfikir, “kalau dia boleh beli sekotak rokok harga RM10, entah-entah duit aku bagi ni pun dia guna untuk beli benda tak berfaedah tu.” Terus habis hilang rasa ikhlas aku nak bersedekah dekat dia tadi.”

Ujar Adam, dengan muka sedikit kesal.

Saya terdiam. Lantas, saya bersuara dan menasihati beliau, kerana sudut perspektif saya dalam hal bersedekah adalah sangat bertentangan dengannya.

Jika dia melihat bersedekah itu adalah untuk kebaikan si peminta sedekah, saya pula berpendapat, bersedekah itu juga adalah untuk DIRI SAYA sendiri.

Ya, saya memang mahu meringankan beban si peminta sedekah, tapi dalam masa yang sama, saya tidak peduli duit saya itu digunakan untuk apa, kerana saya juga mendapat faedah dari memberi sedekah kepada orang lain.

Ini kerana, dengan menderma dan bersedekah, saya harap ia dapat juga menyucikan harta saya dari perkara-perkara haram dan syubhah.

Bukan semua harta saya adalah halal. Bukan setiap sen gaji yang saya dapat setiap bulan itu, layak untuk saya.

Dalam 8 jam saya bekerja, entah berapa jam yang saya gunakan untuk urusan peribadi yang tidak ada kena-mengena dengan kerja, malah kadang-kadang langsung tak berfaedah pun seperti melayari internet, bermain games, membaca blog atau melawat laman sosial?

Dalam setahun saya bekerja, entah berapa hari saya membuat muka berkerut-kerut di depan doktor “Saya sakit perut doktor” atau “Saya sakit kepala doktor”, dan diberi ubat, dan mendapat MC sambil menjerit girang dalam hati “Yeayyyyy!!!!”, dan terus balik ke rumah untuk tidur, dan petang  kemudiannya bangun pula untuk membeli belah pula dengan sesuka hati.

Pendek kata, ada bahagian gaji yang saya terima setiap bulan itu ‘haram’ untuk saya.

Kerana saya bermain games waktu pejabat.

Kerana saya mem’beli’ mc jika malas datang kerja.

Ya, ini benda yang saya buat, dan saya tidak bangga dengannya.

Itu belum dikira lagi urusan kewangan yang syubhah dan haram, seperti menggunakan bank konvensional dan jual beli kereta yang mengamalkan bunga dan riba.

Oleh kerana itulah, saya harap, dengan bersedekah atau menderma, saya dapat menyucikan sedikit harta-harta saya dari palitan kotor dosa, bunga dan riba. Bagi saya, bersedekah itu bukan saja dapat membersihkan jiwa, melepaskan hati dari dibelenggu kemewahan dunia, tapi ia juga dapat menyucikan harta yang kita ada.

Konsep inilah yang saya terangkan kepada Adam, dan nampaknya dia boleh terima. Saya harap sebagai salah satu mozek di dalam hidupnya, saya dapat memberi sedikit impak kepada cara dia melihat urusan menderma dan bersedekah.

 

 

 

 
Leave a comment

Posted by on August 2, 2012 in Manusia, Nostalgia, Pengalaman

 

Tentang Adam, sepotong mozek dalam hidup saya (I)

Kata Pak Balia di dalam buku Sang Pemimpi karya Andrea Hirata,

“Setiap peristiwa di jagat raya ini adalah potongan mozek-mozek yang berselerak dan tersebar dalam rentang waktu. Namun, perlahan-lahan dia akan bersatu seperti
teori penggabungan Antoni Gaudi. Mozek-mozek itu akan membina siapa dirimu
dewasa nanti. Maka, berkelana lah mencari potongan mozekmu!”

Dan saya selalu merasakan bahawa setiap manusia, yang hadir di dalam hidup saya adalah antara potongan mozek-mozek yang akan memberi impak ke atas saya dan langsung, membentuk siapa diri saya di akhirnya. Impak itu mungkin dari sebesar-besar alam hingga ke sekecil-kecil zarah. Atau mungkin tidak memberi apa-apa impak langsung kepada diri saya.

Saya yakin Tuhan menjadikan setiap apa itu pasti bersebab.

Ada sebab saya dilahirkan di dalam keluarga saya, menjadi anak kepada En Abdul Halim dan Puan Suhaini.

Ada sebab saya dimasukkan ke darjah 1 Biru, SKPJ dan bertemu lebih tiga puluh kanak-kanak lain yang akan menjadi sahabat-sahabat saya 6 tahun kemudian.

Ada sebab saya belajar di Tingkatan 1 Putih, dimasukkan ke dorm C24B, di sebuah sekolah berasrama penuh di Bukit Mertajam.

Ada sebab saya bertemu dengan lebih seratus kawan-kawan sekolah menengah, yang menjadi teman sekelas atau teman sebilik saya selama 5 tahun kemudiannya.

Ada sebab saya tercampak ke Kuantan, bertemu lagi dengan berpuluh-puluh lagi manusia baru ketika zaman diploma.

Ada sebab saya mendapat tempat di UTP, berjumpa dan berkenalan pula dengan beratus-ratus pelajar di sana.

Ada sebab saya bekerja di Taiping. Ada sebab saya tercampak pula di Kuala Lumpur.

Lantas, jika difikir-fikir semula, hampir 28 tahun saya hidup, entah berapa ribu manusia di muka bumi yang telah saya jumpa dan kenal. Dan setiap satu mereka adalah satu potongan mozek antara ribuan potongan mozek lain yang akan bercantum dan membentuk siapa diri saya sebenarnya. Sepertimana saya, yang merupakan salah satu potongan mozek yang akan membentuk siapa diri mereka pula.

Antara mereka, ada yang memberi impak besar kepada saya. Ada juga yang kecil, atau sederhana, atau mungkin tiada langsung.

Manusia yang tidak memberi impak ini lazimnya kawan-kawan satu universiti yang tidak berapa saya kenal. Yang apabila berselisih hanya mampu tersenyum dan mengangguk sahaja. Yang tidak saya tahu apa nama ibu bapanya. Yang tidak saya peduli apa makanan kegemarannya, dan jauh sekali mahu saya ambil tahu apa impian dan harapannya.

Manusia-manusia ini, jika saya terjumpa di mana-mana, 10 tahun kemudian, mungkin dahi saya akan berkerut dan berfikir “Macam pernah jumpa, tapi di mana ya?”

Ya, saya akan lupa nama mereka, sepertimana mereka yang pasti sudah lupa juga akan nama saya.

 
2 Comments

Posted by on July 30, 2012 in Manusia, Pengalaman, Refleksi

 

Kuching May 2012

 
Leave a comment

Posted by on July 30, 2012 in Pengalaman