RSS

Category Archives: Nostalgia

ayah, maafkan anakmu ini.(yang hanya mahu dihargai tetapi tidak tahu menghargai)

suatu waktu dahulu, di sebuah daerah lampau, dalam sudut kenangan paling dalam, seorang teman pernah bertanya kepada saya,

esok hari ibu. saya mahu masakkan sesuatu untuk ibu saya. apa pendapat awak?

teman itu seorang lelaki. dan apabila anak lelaki mahu masakkan sesuatu kepada ibunya, saya kira itu adalah hadiah paling istimewa. paling berharga.

seolah-olah saya, sebagai anak perempuan, tolong membaikikan kereta ayah yang sudah lama terperuk kerana rosak.

dan pada hari bapa, ada nota yang bertulis “ayah, adik dah repairkan kereta ayah. selamat hari bapa! =)” elok terletak di windshield kereta.

metaforanya begitu.

kerana anak perempuan tidak bisa membaiki kereta. mungkin ada tapi jarang.

sepertimana anak lelaki tidak bisa memasak. memang ada tapi jarang.

jadi, perkara-perkara yang jarang dibuat, tetapi dilakukan untuk orang tersayang, tentu ia sangat berharga.

jadi, saya menyokong teman saya itu. saya katakan padanya

“bagus sekali. masakkan makanan yang ibu awak suka. dan tinggalkan nota di bawah tudung saji. katakan awak sayangkan dia dan masakan ini sempena hari ibu.”

malam itu saya menelefon dia. bertanya apa reaksi ibunya setelah menerima kejutan hadiah sempena hari ibu.

dia menjawab, dalam nada suram dan kelam,

“entahlah. dia diam sahaja.”

“awak letak nota tak di bawah tudung saji? kata awak masakkan ayam masak kicap itu untuk dia sempena hari ibu?

“sudah. dia nampak. tapi dia buat tak tahu. sampai sekarang dia tak cakap apa-apa. dia makan saja.”

entah kenapa, hati saya luruh. dapat saya rasakan, tentu hatinya lebih pedih lagi. mungkin ibunya seorang yang konservatif. orang dulu-dulu yang tidak bisa menunjukkan kasih sayang. tidak betah memeluk cium anak-anak apabila sudah besar.

saya bayangkan jika ibu di tempatnya. tentu, ibu akan memeluk dan mencium saya. walau saya sudah berusia dua puluhan. dan akan mengatakan terima kasih. dan memberitahu dia juga sayangkan saya. dan memuji-muji betapa saya anak yang baik kerana mengingati hari istimewanya.

entahlah. semua ibu tidak sama. walaupun saya pasti, ibunya juga tentu amat sayangkan dia. cuma cara menunjukkan itu yang berbeza.

hari ini, saya merasa apa yang dia rasa.

rasa tidak dihargai.

menempahkan sebuah bilik apartment di port dickson untuk keluarga bercuti, rupa-rupanya menghadiahkan saya sebuah duka tersembunyi.

ayah menelefon marah-marah. katanya bilik terlampau panas. penghawa dingin rosak. dia mahu pulang katanya. dan tidak mahu menghabiskan baki percutian yang tersisa.

air mata hampir luruh mendengar suara keras ayah di corong telefon. tetapi saya sabarkan hati. ayah memang begitu. barannya masih ada. lantas saya berurusan dengan pemilik apartment. mohon ditukarkan bilik.

urusan selesai.

sekarang saya masih lagi di bilik pejabat. terasa keterujaan untuk menyertai keluarga bercuti di port dickson pada keesokkan hari mati serta merta. padam lenyap begitu sahaja.

kemudian saya ingatkan diri, bahawa rasa ‘tidak dihargai’ ini sebenarnya kecil sahaja. sekelumit cuma. sebesar hama. sehalus kuman. sekenit bakteria.

saya teringatkan telefon bimbit beratus ringgit yang ayah belikan. jatuh dalam air dan langsung rosak tak boleh dibaiki lagi.

telefon sebelum sebelum itu, juga ayah belikan, hilang tertinggal entah di mana.

jam tangan yang ayah beri sempena hadiah nombor satu ketika sekolah rendah, pakai sekejap sudah hilang.

rantai leher, buku sekolah, jam tangan, telefon bimbit, external hard disk, walkman, mp3 player, laptop dan entah berapa banyak lagi barang yang ayah belikan, pasti hilang , dicuri orang, tertinggal di mana-mana atau rosak.

kerana saya tidak tahu menjaga. kerana saya asyik terlupa. kerana saya rasa tidak penting. kerana saya tak tahu menghargai.

“apa saja barang yang ayah beli, hangpa tak pernah nak hargai”

pernah ayah mengeluh, begitu. dulu. kepada kami adik beradik.

jadi, apalah sangat ‘pengorbanan’ saya yang baru satu ini sahaja, berbanding entah berapa ribu yang ayah berhabis untuk saya,

dan tak pernah saya hargai. tak pernah saya hargai.

minta maaf ayah. atas kekhilafan anakmu ini.

minta maaf. minta maaf sekali lagi. =(

Advertisements
 
2 Comments

Posted by on October 24, 2012 in famili, Nostalgia

 

Tentang Adam, sepotong mozek dalam hidup saya (II)

Lalu, apabila saya bertemu Adam (bukan nama sebenar) beberapa tahun lepas, saya ternanti-nanti impak bagaimanakah yang akan beliau beri dalam hidup saya. Adakah beliau juga hanya akan datang dan pergi tanpa meninggalkan sekelumit jejak pun di dalam hidup saya?

Rupa-rupanya, Adam adalah antara manusia yang sangat, sangat banyak mengajar saya tentang hidup.

Salah satunya adalah peristiwa ini yang berlaku awal tahun lalu.

Satu hari, ketika sedang makan di sebuah gerai, dia berkata,

“Sue, kau nampak orang tua peminta sedekah yang duduk sebelah farmasi tu?”

Saya menoleh, melihat orang tua itu, yang kelihatannya tiada cacat anggota, cuma wajahnya kusut masai serabut serabai, dan seketul cawan plastik diletakkan di sebelahnya.

“Aku bagi duit dekat dia hari itu. Tiba-tiba dia bawak keluar rokok, dan selamba hisap rokok. Lalu aku terfikir, “kalau dia boleh beli sekotak rokok harga RM10, entah-entah duit aku bagi ni pun dia guna untuk beli benda tak berfaedah tu.” Terus habis hilang rasa ikhlas aku nak bersedekah dekat dia tadi.”

Ujar Adam, dengan muka sedikit kesal.

Saya terdiam. Lantas, saya bersuara dan menasihati beliau, kerana sudut perspektif saya dalam hal bersedekah adalah sangat bertentangan dengannya.

Jika dia melihat bersedekah itu adalah untuk kebaikan si peminta sedekah, saya pula berpendapat, bersedekah itu juga adalah untuk DIRI SAYA sendiri.

Ya, saya memang mahu meringankan beban si peminta sedekah, tapi dalam masa yang sama, saya tidak peduli duit saya itu digunakan untuk apa, kerana saya juga mendapat faedah dari memberi sedekah kepada orang lain.

Ini kerana, dengan menderma dan bersedekah, saya harap ia dapat juga menyucikan harta saya dari perkara-perkara haram dan syubhah.

Bukan semua harta saya adalah halal. Bukan setiap sen gaji yang saya dapat setiap bulan itu, layak untuk saya.

Dalam 8 jam saya bekerja, entah berapa jam yang saya gunakan untuk urusan peribadi yang tidak ada kena-mengena dengan kerja, malah kadang-kadang langsung tak berfaedah pun seperti melayari internet, bermain games, membaca blog atau melawat laman sosial?

Dalam setahun saya bekerja, entah berapa hari saya membuat muka berkerut-kerut di depan doktor “Saya sakit perut doktor” atau “Saya sakit kepala doktor”, dan diberi ubat, dan mendapat MC sambil menjerit girang dalam hati “Yeayyyyy!!!!”, dan terus balik ke rumah untuk tidur, dan petang  kemudiannya bangun pula untuk membeli belah pula dengan sesuka hati.

Pendek kata, ada bahagian gaji yang saya terima setiap bulan itu ‘haram’ untuk saya.

Kerana saya bermain games waktu pejabat.

Kerana saya mem’beli’ mc jika malas datang kerja.

Ya, ini benda yang saya buat, dan saya tidak bangga dengannya.

Itu belum dikira lagi urusan kewangan yang syubhah dan haram, seperti menggunakan bank konvensional dan jual beli kereta yang mengamalkan bunga dan riba.

Oleh kerana itulah, saya harap, dengan bersedekah atau menderma, saya dapat menyucikan sedikit harta-harta saya dari palitan kotor dosa, bunga dan riba. Bagi saya, bersedekah itu bukan saja dapat membersihkan jiwa, melepaskan hati dari dibelenggu kemewahan dunia, tapi ia juga dapat menyucikan harta yang kita ada.

Konsep inilah yang saya terangkan kepada Adam, dan nampaknya dia boleh terima. Saya harap sebagai salah satu mozek di dalam hidupnya, saya dapat memberi sedikit impak kepada cara dia melihat urusan menderma dan bersedekah.

 

 

 

 
Leave a comment

Posted by on August 2, 2012 in Manusia, Nostalgia, Pengalaman

 

Doktor # 2 yang istimewa

Doktor #2

Awal tahun 2011.

Saya melangkah masuk ke sebuah klinik di Taiping. Terpampang nama Klinik Fuad di papan tanda di luar klinik. Susun atur klinik ini tidak banyak beza dengan klinik-klinik lain. Tempat duduk panjang, kipas dinding, televisyen di sudut atas untuk membunuh waktu sementara menunggu, tempat mendaftar, tempat mengambil ubat dan bilik doktor sebelah-menyebelah.

Nama saya dipanggil. Saya masuk dan bertemu dengan doktor yang akan merawat.

Walaupun nama di luar klinik adalah Klinik Fuad, tetapi doktor yang merawat saya sama sekali bukan Dr Fuad kerana beliau adalah seorang perempuan.  Beliau bertudung tiga segi labuh, memakai cermin mata, berbadan sedikit gempal, dan ada beberapa helai uban yang terjulur keluar di celah-celah tudungnya.

Dari wajahnya, saya rasakan beliau bukan berbangsa Melayu. Mungkin lebih kepada keturunan Benggali. Kulitnya cerah. Beliau menyambut saya dengan senyuman yang menyenangkan. Di atas meja, ada gambar keluarganya di dalam bingkai kaca.

“Ya, sakit apa?” tanya beliau, ceria.

“Demam doktor.” jawab saya.

Selepas itu, entah bagaimana, kami berbual. Dia bertanya apa kerja saya. Saya jawab “chemist”. Dia bertanya “di mana?”. Saya jawab “Kilang magnesium”.

Dia bertanya lagi “Bagaimana buat magnesium?”

Saya menjawab lagi “Magnesium diambil dari sejenis batu, dolomite. Diekstrak di bawah suhu 1200oC, melalui proses yang dipanggil ‘pidgeon process’, bla bla bla, dan akhirnya menjadi sejongkong magnesium. Seperti jongkong emas. Tetapi ini jongkong magnesium.”

Dia bertanya dan bertanya dan bertanya lagi.

Dan saya dengan senang hatinya, menjawab dan menjawab dan menjawab lagi.

Ini adalah pertama kali saya bertemu dengan seorang doktor yang begitu berminat dengan kerja saya.  Tidak banyak doktor yang mahu berbual perkara-perkara  lain dengan pesakitnya, terutama di klinik, di mana banyak pesakit lagi yang sedang menunggu di luar.

Tetapi, doktor yang satu ini begitu berbeza.

She’s genuinely interested in me, and my job.

Wow, this is so interesting. Satu pengetahuan yang baru. Saya tak tahu magnesium boleh diambil dari batu” katanya, tersenyum ceria.

Lalu kami berbual lagi. Saya bertanya pula kepada beliau. Latar belakangnya. Di mana dia belajar dahulu? Sukar kah menjadi doktor? Berapa tahun belajar? Dan macam-macam benda lagi.

Kami berbual, bergurau dan ketawa. Kami seperti dua orang sahabat yang sudah lama tidak berjumpa. Malah, saya sendiri sudah lupa kenapa saya datang bertemu dengannya, iaitu saya sepatutnya sakit, dan dia sepatutnya memeriksa, menulis sesuatu di kertas, dan sepatutnya berkata akan memberi ubat, dan saya sepatutnya keluar selepas berkata “Terima kasih doktor”.

Seperti doktor-doktor lain, sebelum-sebelum ini.

Tetapi beliau bukanlah doktor-doktor lain. Beliau adalah doktor yang istimewa. Satu dalam sejuta. Beliau tidak perlukan ubat untuk merawat, cukup dengan beraksi penuh minat, berbual dan bertanya, and to be genuinely interested about an individual, beliau sudah dapat membuatkan pesakitnya rasa sihat walafiat. Beliau melayan saya bukan sebagai seorang pesakit, tetapi sebagai seorang sahabat. And it makes all the difference.

Saya keluar dari Klinik Fuad dengan senyuman lebar hingga ke telinga. Saya rasa gembira satu macam. Saya rasa seperti sudah sihat walafiat. Demam saya juga sudah hilang entah ke mana.

Terus saja saya katakan kepada sahabat yang menemani “Doktor dalam tu baaaaiiiiiiiikkkkkkkkkkkk sangat. Peramah sangat. Kalau Sue sakit lagi lepas ni, mesti Sue datang sini lagi.”

Ya, saya mesti datang ke situ lagi. Sekadar untuk berbual dengannya. Dan mungkin untuk memberitahu bahawa beliau adalah doktor yang berbeza.

Beliau adalah doktor yang istimewa. Satu dalam sejuta.

 
2 Comments

Posted by on January 28, 2012 in Nostalgia, Pengalaman

 

lima tahun lalu.

Ketika itu makcik sedang mengandungkan anak yang ke-enam. Ajaibnya, lima orang anak makcik yang sebelumnya lahir berselang seli jantina.

Yang sulung – lelaki, kedua – perempuan, ketiga – lelaki, keempat – perempuan dan kelima – lelaki.

Maka, adalah normal untuk kami semua menjangkakan anak keenam ini pastinya perempuan.

Oleh itu, apabila makcik selamat melahirkan anak lelaki yang comel dan sihat, saya bergurau dengan beliau.

“Alah makcik, ingatkan yang ini perempuan.”

“Itulah pasal, pakcik kau dah lupa formula” jawab beliau selamba.

🙂

 
2 Comments

Posted by on October 24, 2011 in famili, Nostalgia

 

“Memory is a way of holding onto the things you love, the things you are, the things you never want to lose.”

Ini bukan surat cinta buat sang kekasih hati.

Ini bukan satu deklarasi bahawa hati ini sudah dimiliki.

Ini bukan pengumuman menghebahkan rasa cinta yang tak bertepi.

Kerana pada usia 27 tahun, satu perkara yang saya belajar tentang CINTA adalah ini:

“Jika kau terlalu menghebah-hebahkan ia, jika kau terlalu mengembur-gemburkan ia, jika kau terlalu suka mengumumkan kepada dunia, berkongsi cerita bahawa betapa kau terlalu bahagia, dan kau hebahkan ke seantero dunia, melalui facebook atau friendster atau blog misalnya, memaparkan gambar  kau dengan dia sedang berpelukan mesra,

tidaklah mengapa…

jika hubungan itu menjadi, Alhamdulillah syukur sekali.

akan tetapi, jika hubungan itu tidak menjadi, silap-silap kau yang akan malu sendiri. “

Yes, I’ve learnt that the hard way.

Read the rest of this entry »

 
12 Comments

Posted by on July 24, 2011 in Nostalgia, Pengalaman, Peribadi, Teman

 

I can no other answer make, but, thanks, and thanks. ~William Shakespeare

Dia itu, seorang sahabat yang pernah akrab. Mula berkenalan rapat saat sama-sama praktikal dahulu, dan menjadi rafik akrab pada semester-semester terakhir di universiti.

Banyak juga saya berkongsi rasa dengan dia, bercerita tentang mimpi dan harapan, tentang angan dan kenyataan. Sering juga kami berdebat hebat. Dia penyokong kuat kerajaan dan saya, pendukung  ‘totok’ barisan pembangkang.

Malah, ketika mendapat tahu ibu ditimpa sakit, dia orang pertama yang saya luahkan walang di hati. Kerana saya tahu, dia pernah mengalami, maka pasti dia akan memahami.

Tetapi, lazimnya kawan akrab yang lain, kami semakin berjauhan. Kerana lazimnya di alam pekerjaan, payah untuk saling berhubungan. Atau mungkin kerana sudah tiada apa topik yang mahu dibualkan. Atau mungkin kerana masing-masing dihambat kesibukan.

Lalu, dia itu hanya mampu saya pahatkan dalam kanvas kenangan. Yang mungkin semakin lama, akan luput dari ingatan.

***

Dia itu, junior ketika di universiti. Berkenalan kerana melakukan tesis projek tahun akhir yang sama. Selama satu semester, hanya dia yang saya hadapkan, di dalam makmal bersama-sama melakukan kajian.

Perbualan kami terhad dalam ruang lingkup kajian semata-mata. Berbincang tentang keputusan eksperimen atau bertanya tentang laporan. Kerana dia lelaki, maka dia yang diharapkan untuk melakukan kerja-kerja keras. Pernah juga, dia terpaksa mengangkut berpuluh-puluh tong berisi sisa-sisa kumbahan naik ke atas lori, hingga katanya dia betul-betul mahu pengsan.

Tetapi, lazimnya sebuah perhubungan senior-junior yang lain, maka hubungan kami juga terhenti di ruang lingkup makmal sahaja. Tidak ada cerita yang mahu dipanjangkan, tidak ada hal peribadi yang mahu dikongsi, tidak ada kegembiraan yang mahu dirai. Perbualan kami terhad kepada projek dan kajian semata-mata.

Dan dia juga, akhirnya tinggal kenangan di dalam minda saya.

***

Dia itu, supervisor saya ketika tahun terakhir di universiti. Kebaikannya, Tuhan sahaja yang Mengetahui. Beliau sentiasa mahu membantu, sedaya mana yang mampu.

Walaupun tahun akhir universiti adalah tahun paling mencabar bagi saya, tetapi dengan bantuan beliau, syukur Projek Tahun Akhir dapat saya tempuh dengan berjaya.

Dan lazimnya seperti perhubungan pensyarah-anak didik yang lain, maka perhubungan itu terhenti begitu sahaja, saat tersarungnya jubah graduasi dan topi mortar di atas kepala. Dan saat sang anak didik keluar ke alam kerja, maka pensyarah tinggal di universiti, menabur bakti kepada anak didiknya yang lain pula.

***

Tiga manusia ini bukanlah tidak boleh saya hubungi langsung.

Bukanlah tidak boleh saya bertanyakan khabar berita mereka.

Bukanlah langsung tidak mampu untuk saya jejaki sekadar mahu bertanyakan apa cerita mereka kini.

Tetapi entah kenapa,

hubungan itu saya biarkan begitu sahaja, berlalu pergi dibawa angin waktu.

ikon yahoo messengger atau google talk yang berkelip-kelip di sebelah nama mereka tidak pernah saya endahkan.

nombor telefon di dalam telefon bimbit tidak pula terfikir untuk saya dailkan.

seolah-olah takdirnya hadir mereka itu, hanya sebentar cuma, dan selepas melangkah ke  alam kerja, kami seolah-olah terpisah oleh dua dunia berbeza.

***

akan tetapi, pada satu hari, saya memerlukan pertolongan mereka. benar-benar terdesak memerlukan mereka.

lantas nombor mereka saya dail juga.

ikon google talk itu saya klik juga.

setelah sekian lama.

hanya untuk meminta pertolongan.

dan ajaibnya, mereka tetap sudi membantu, sedaya mana yang mampu. mereka tidak kisah tentang saya yang menyepikan diri. mereka tidak hiraukan tentang saya yang tidak pernah mahu ambil peduli.

kerana bagi mereka, kita sesama manusia adalah bersaudara. dan perhubungan kami sebenarnya tidak pernah mati. tidak pernah terhenti.

***

dan atas kesudian mereka masih sudi membantu seorang suhaila,

yang lebih senang mendiamkan dirinya

yang tidak pernah peduli tentang orang lain yang pernah ada dalam hidupnya

yang lebih senang menyepikan sebuah perhubungan kerana sudah tidak tahu  mahu bicara tentang apa

yang hanya mencari mereka saat dia terdesak perlukan bantuan sahaja

ya, dan atas kesudian itu,

mohd shahnaz, khairul anwar dan dr azmuddin,

dari sudut hati paling dalam,

saya hanya mampu mengucapkan,

terima kasih yang tidak terhingga.

terima kasih. terima kasih banyak-banyak.

One can pay back the loan of gold, but one dies forever in debt to those who are kind.  ~Malayan Proverb

 
3 Comments

Posted by on June 20, 2011 in Nostalgia, Peribadi, Teman

 

Kegembiraan #3

Kegembiraan adalah …

3. Bau rumput basah selepas hujan.

**********

Saya mula jatuh cinta tergolek-golek pada bau rumput basah selepas hujan adalah ketika saya berada di semester akhir di Tronoh. Bilik saya ketika itu adalah bilik paling bawah, dan di hadapannya ada taman kecil, sebatang pokok, rumput-rumput dan bunga-bungaan berwarna putih yang saya tidak tahu apa namanya.

Setiap kali waktu pagi, kicauan burung di luar tingkap adalah sesuatu yang sungguh mendamaikan telinga. Jika malam sebelumnya  hujan, bau rumput basah ketika waktu pagi adalah suatu perasaan yang tak terungkap, suatu nikmat yang paling padat – bak kata Pak Samad Said.

Jadi, ya, bau rumput basah selepas hujan juga adalah sesuatu yang menggembirakan bagi saya.

Lalu saya terfikir bahawa saya tidak perlukan gajet tercanggih, iphone termahal, kereta terhebat, suami terkaya, atau rumah terbesar untuk saya berasa gembira.

Cukup dengan hanya memandang ke bawah, melihat rumput yang saya pijak, dan benar-benar menghidu aromanya ketika ia basah ditimpa hujan, itu sudah cukup untuk mendamaikan sebuah jiwa.

Kadang-kadang, kita terlalu mengejar nikmat material ciptaan manusia sehingga terlupa, nikmat alam semulajadi ciptaan Illahi itulah nikmat yang paling hakiki.

 

 
2 Comments

Posted by on January 28, 2011 in Nostalgia, siri 30 kegembiraan