RSS

Category Archives: negara

“Power is dangerous unless you have humility” – Richard J. Daley

Sudah banyak kali ditahan beberapa polis trafik dgn motosikal besar siap dgn siren. Saya jadi cuak. Disangka ada buat salah apa-apa. Tapi rupa-rupanya polis trafik itu suruh berhenti.

Kerana ada kereta menteri mahu lalu.

“Berhenti, berhenti, kereta YB nak lalu” kata mereka.

Alahai Pak Menteri,

Masih belum cukupkah, wang ringgit kamu yang berjuta, mahligai kamu yang tersergam bak istana, kereta mewah jenama luar negara, barang kemas dan permata segala,

takkanlah di jalan raya juga, yang digunakan bersama rakyat jelata, masih lagi mahu tunjuk kuasa?

macam mana nak faham apa yang rakyat lalui, kalau berkongsi kesesakan jalan raya pun kamu tak mahu tempuhi?

mujurlah di akhirat nanti tidak boleh bawa escort.

kalaulah boleh, mungkin begini kata escort2 pak menteri.

“Berhenti, berhenti, YB nak lalu Titian Sirat. Berhenti, berhenti!!” Pffftttt. 

tuan,
terlalu lama duduk dalam besar membuat kita lupa
ujudnya kecil keliling. – Abdullah Jones

Cubalah sesekali bersusah, berlapar, berdahaga, berkenderaan awam, bersesak di jalan raya, seperti kami?

p.s: Ini copy paste dari muka buku saya.

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on July 18, 2013 in negara

 

Kejadian di bulan Ramadhan – dan kenapa saya sayangkan Malaysia.

Kejadian pertama:

Di KL Central.

Saya mengambil keputusan untuk berbuka di McDonalds. Azan sudah berbunyi. Umat manusia ramai tiada ampun. Kakitangan McDonalds terkejar ke sana sini melayan pelanggan. Lantas, saya mengambil tempat beratur di kedudukan paling belakang.

Di hadapan saya ada sekumpulan remaja berbangsa Cina.

Waktu berbuka sudah berlalu lebih 15 minit. Saya hanya berbuka dengan air mineral sementara menunggu giliran saya di kaunter.

Kemudian, tiba-tiba sekumpulan remaja ini, melihatkan saya yang beragama Islam, dan atas menghormati saya yang sedang berpuasa dan perlu berbuka, mereka lantas memberi saya peluang ke depan. Terus saja saya dapat memintas 5 giliran dan dapat memesan makanan.

Alhamdulillah. 🙂

Kejadian kedua:

Di dalam kereta ketika baru pulang dari ofis.

Seperti biasa, sedang tersekat di dalam kesesakan jalan raya. Kereta di sebelah saya, pemandunya seorang lelaki India.

Beliau sedang enak mengunyah pizza. Saya memandang beliau penuh minat. Tidak sedikit pun saya marah kerana beliau makan di hadapan saya. Saya cuma terliur melihat pizza yang sedang dikunyah beliau. Dan mula berfikir-fikir untuk singgah di Domino’s dalam perjalanan pulang.

Tiba-tiba beliau mungkin tersedar saya sedang melihat beliau penuh minat, lantas berhenti makan. Mengangkat tangan dan terangguk-angguk sambil berkata “Sorry, sorry…”

Saya menggeleng kepala dan menunjukkan isyarat “Tak apa. It’s okay. No problem.”

Kami masing-masing senyum sambil memberi tunduk hormat, sebelum masing-masing menarik ‘gear’ dan menekan minyak kereta, membelah kesesakan jalan raya.

Kejadian ketiga:

Di DiGi Centre, Cheras Plaza.

Saya ke sana untuk menukar sim card telefon bimbit. Ini kerana sim card  saya sudah rosak, sedang nyawa-nyawa ikan sikit lagi akan meninggalkan dunia yang fana ini.

Lantas, saya mengambil keputusan untuk menukarkan beliau dengan yang baru.

Petugas DiGi di kaunter melayan saya dengan baik dan berhemah. Tiba-tiba datang kawannya, juga berbangsa Cina dengan sekeping hotdog di tangan. Sambil mengunyah hotdog, beliau meneruskan kerja di hadapan komputer.

Tiba-tiba petugas DiGi yang sedang melayan saya itu berpaling kepada kawannya dan berbisik “Eh, dia puasa lah…”

Saya agak tergamam. Dan berkata “Eh it’s ok. No problem…” Sebetulnya saya memang tak kisah. Sebab saya fikir, tak ada orang Islam yang akan goyah imannya semata-mata melihat orang lain makan. Maksud saya, tak ada orang yang akan berkata “Eh, aku tak tahan tengok dia makan. Aku kena bukak puasalah macam ni”.

Ketika saya kanak-kanak dulu, itu mungkin. Zaman belum baligh. Zaman belum mumaiyiz. Tapi lepas lebih 15 tahun berpuasa, saya fikir iman saya lebih kuat dari itu.

Tetapi, kawannya itu tetap berkata “Sorry, sorry…” dan terus berlalu dari situ, membawa hotdognya sekali dan mungkin, terus makan senyap-senyap di dalam bilik.

******

Jika saya menyertai pertandingan sempena kemerdekaan mysyg ini,  , mungkin inilah yang akan saya katakan. Dan 140 perkataan untuk Twitter tidak mungkin dapat merumuskan kenapa saya sayang Malaysia.

Walaupun politik Malaysia sangat, sangat memualkan.

Walaupun filem Malaysia kebanyakannya menyedihkan, sampaikan tengok cerita hantu atau cerita kelakar pun rasa macam nak menangis, (ouh, tapi masih ada yang boleh dipuji dan kena dengan jiwa saya. Songlap misalnya. Dan Talentime. Dan Bunohan)

Walaupun tahap kebersihan di jalan raya dan tandas awamnya masih di tahap tidak memuaskan

Walaupun sistem perundangannya agak kelakar dan tak masuk akal (di mana orang yang melapor rasuah digari tetapi orang yang merasuah itu tidak lah pula)

Tetapi tetap juga saya sayangkan Malaysia.

Ini kerana, selain daripada ia adalah tempat tumpah darah saya, ibu bapa saya, keluarga saya, Malaysia juga adalah negara yang mempunyai perpaduan kaum yang boleh dikagumi.

Saya sayang Malaysia kerana bangsa bukan Islam menghormati dan sanggup tidak makan di hadapan saya, ketika bulan Ramadhan.

Saya sayang Malaysia kerana ketika Tahun Baru Cina, walaupun kami sekeluarga tidak boleh tidur akibat dentuman mercun yang bertalu-talu, tetapi kami tidak buat laporan polis ke atas jiran-jiran kami atas tuduhan menganggu ketenteraman awam. Kerana kami menghormati mereka dan perayaan mereka yang hanya setahun sekali.

Saya sayang Malaysia kerana ibu kawan saya yang beragama Hindu menyambut kami dengan baik, menghidangkan kami dengan makanan halal ketika kami melawat rumahnya sempena Deepavali.

Saya sayang Malaysia kerana walaupun laungan azan berkumandang di subuh hari, di setiap pelusuk tempat, tetapi tidak ada manusia yang gila menembak jemaah masjid membabi buta kerana mengamuk asyik terjaga dari tidur setiap pagi.

Saya sayang Malaysia kerana kawan saya yang berbangsa Cina menawarkan nasi lemak kepada saya dengan kata-kata “Ini halal ni. You jangan risau. I beli dari orang Melayu.”

Saya sayang Malaysia kerana bekas majikan yang berbangsa Cina – beliaulah yang akan mengingatkan jika saya perlu berhenti kerja sekejap untuk solat.

Saya sayang Malaysia kerana walaupun jalan raya sesak jika ada perayaan kaum Hindu di kuil, tetapi setiap orang memahami dan menghormati dan tidak ada yang keluar dari kereta dan memaki-maki.

Dan banyak lagi sebab lain sebab apa saya sayangkan negara ini.

Untuk mencapai perpaduan kaum yang seperti ini, saya kira bukanlah perkara mudah. Dan saya salut kepada pemimpin negara, pejuang merdeka, dan sesiapa saja yang terlibat dalam pembentukan Malaysia di awalnya.

Mereka ini berlainan agama, bangsa, warna kulit dan paras rupa, tapi boleh hidup ‘sebumbung’ dan saling menghormati.

Oleh sebab itulah saya hairan dan sedih apabila ada negara lain – Iraq dan Afghanistan misalnya – yang seagama, menyembah Tuhan yang sama, percaya pada nabi dan rasul yang sama, yakin wujudnya malaikat, beriman pada hari kiamat, tetapi kerana berlainan fahaman – Syiah dan Sunni – sanggup pula berbunuhan sesama sendiri.

Ia adalah sangat, sangat menyedihkan.

Kenapa sampai berbunuhan? Tak bolehkah kau hormat fahaman mereka, dan mereka hormat fahaman kau? *sick*

Apa-apa pun, saya amat bertuah dilahirkan di sini.

Kita sudah 55 tahun merdeka. 13 Mei sudah 43 tahun berlalu.

Kalau ada yang masih melalak nak mempertahankan ketuanan itu ketuanan ini, letak kepala lembu di kuil dan kepala babi di masjid, saya dah tak tahu nak cakap apa.

Cukup-cukuplah jadi rasis.

Albeit it’s still too early, I just want to wish “Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 55″

Ouh, dan terima kasih para pemimpin, kerana undang-undang senjata api yang ketat di negara ini. Di mana kau takkan boleh nampak pistol dan senapang dijual sesuka hati di kedai. Sejak kejadian tembakan berleluasa di US, saya rasa begitu bersyukur dilahirkan di Malaysia.

Tapi kan, tema dan logo tu, boleh tukar tak bagi sedap sikit? 😉

p.s: This is one of my favourite Merdeka Day’s commercial. -link-

p.s.2 : Penyertaan mysyg yang saya suka:

‏#MYsyg The best moment was that Malaysian get together in a Mamak to cheer for their favourite teams no matter what race they are.

-Wen hao-
 
2 Comments

Posted by on August 11, 2012 in Manusia, negara

 

Patriotik

Saya terbaca entah-di-mana bahawa kanak-kanak di Palestin, apabila ditanya:

“Kamu anak siapa?”

Mereka tidak menjawab

“Saya anak Abdullah” atau “Saya anak Kassim” atau “Saya anak *letak nama bapa di sini*”

Tetapi mereka menjawab

“Saya anak PALESTIN..”

Saya cuba berimajinasikan kalau keadaan yang sama berlaku di Malaysia.

“Kamu anak siapa?”

Mereka tidak menjawab

“Saya anak Lim” atau “Saya anak Mutusamy” atau “Saya anak Harun”

Tetapi mereka menjawab

“Saya anak MALAYSIA”

Pergh…memang patriotik habissss….!! 😛

Tapi saya fikir, untuk seorang rakyat berasa bangga akan negaranya, negara itu sendiri perlulah mempunyai sesuatu yang mampu dibanggakan.

Seperti pemimpin yang zuhud misalnya. 😛

 
2 Comments

Posted by on November 22, 2011 in negara

 

Ada sesuatu bergelodak dalam jiwa dan harus saya luahkan di sini.

Saya tak tahu apa yang mereka alami. Apa yang mereka hadapi. Sebab saya bukan mereka. Dan tidak pernah berada dalam sepatu mereka.

Saya sudah biasa dibesarkan dalam lingkungan keselesaan. Diberi hak keistimewaan itu dan ini. Bila isi borang, sudah biasa tanda ‘right’  pada kotak di sebelah perkataan ‘BUMIPUTRA’. Apabila masuk asrama penuh, boleh kata 99% adalah sama sebangsa. Apabila masuk universiti kerajaan, 80-90% juga adalah sebangsa seagama. Cuma, apabila sambung ijazah  di universiti swasta saja, baru boleh nampak kepelbagaian dan warna warni pelbagai bangsa dari seluruh dunia.

Jadi, saya dibesarkan dalam mentaliti bahawa saya adalah bangsa majoriti yang sering diberi keutamaan dan hak keistimewaan. Dan saya langsung, langsung tidak tahu atau mungkin pura-pura tidak tahu apa yang bangsa lain hadapi atau alami di negara Satu Malaysia yang terchenta ini.

Cuma apabila sudah bekerja di syarikat yang majoriti adalah bangsa bukan bumiputra, barulah saya sedar, walau saya mahu menganggap bahawa saya dan mereka adalah sama, tetap punya hak dan kebebasan yang sama, tetapi saya terpaksa akui, bahawa mereka perlu berusaha lebih gigih untuk mendapat apa yang saya dapat. They have to struggle to survive. Dan sering juga saya mendengar kata-kata seperti ini:

“You orang Melayu tak apa, orang lain tak akan kacau punya”

“You bumiputra senang dapat pinjaman maa…”

“You tak apa, orang Melayu senang masuk Universiti. Dapat biasiswa lagi…”

“Anak I masuk tusyen dari tadika sebab persaingan hebat maa….You orang Melayu senang masuk asrama penuh. Kita orang ni, kalau tak struggle, susah loooo….”

dan Melayu itu dan Melayu ini dan Melayu begitu dan Melayu begini.

Akhirnya, tamparan terhebat saya terima pada minggu lepas, tatkala bercerita tentang pinjaman PTPTN yang begitu menjerut, dan ketika saya mengeluh betapa bunga pinjaman yang terlalu tinggi dan betapa tidak patutnya kerajaan membebankan pelajar dengan pinjaman yang begitu mencekikdarahkan dan mengutuk pula menteri-menteri yang sampai sekarang pun masih belum melunaskan pinjaman , saya dibalas dengan kata-kata begini:

“Alaa…tak apa maaa…orang lain punya hutang, itu biar dia orang settle. Kita sudah hutang kerajaan, kerajaan sudah kasi duit untuk kita belajar, sudah kerja kita bayar saja maaa….”

Ya, itu kata-kata dari seorang teman sepejabat yang punya keputusan SPM bagus tetapi tidak dapat masuk mana2  universiti awam, dan akhirnya terpaksa ke universiti swasta. Dan rumahnya adalah rumah papan di tengah hutan belukar yang hampir roboh tetapi tetap juga tidak layak untuk mendapat biasiswa, dan akhirnya terpaksa berhutang dengan PTPTN.

Tetapi, despite of everything, dia masih lagi tenang dan langsung tidak mengeluh.

Pada saat dan ketika itu, saya rasa macam nak merangkak dalam selimut dan tidak keluar2 kepala dah sebab malu, kepada dia, dan kepada diri sendiri.

Walau berat hati, saya terpaksa akui, hak keistimewaan kadang-kadang buat kita jadi terlebih manja dan mengada-ngada.

😦

 
3 Comments

Posted by on July 3, 2010 in Manusia, negara

 

Kecewa rakyat marhaen vs ayam goreng ulam kacang botol dengan kicap.Nyam,nyam!!

Marah betul apek perut gendut itu. Marah bukan main.

“Ah, tutup saja itu tivi. Jangan percaya. Itu semua propaganda Ar-Tee-Em saja.” dengusnya.

Wah, ini memang marah betul ni. Sampai rancangan wanita yang membincangkan topik kenapa wanita sekarang suka berkahwin lelaki lebih muda pun dituduh sebagai satu propaganda. Satu konspirasi. Ada muslihat tersembunyi. Ada udang di sebalik mi.

Sedangkan trang-tang-tang rancangan itu milik satu syarikat swasta. Tidak ada kena-mengena dengan Ar-Tee-Em.

Apek  perut gendut itu bingkas bangun mahu membayar makanan yang dibungkusnya. Sempat lagi dia merungut pada makcik jaga gerai yang sungguh peramah dan suka tersenyum itu. (saya kata makcik itu. bukan apek perut gendut)

“Ahhh…undi PASS pun tarak guna. Dapat dekat Bee-End jugak!! Ini macam gua masuk komunis lagi senang!” marahnya sambil berlalu pergi dari situ. Dengan perut gendutnya.

Memang marah betul dia. Marah bukan main-main. Kecewa sungguh-sungguh. Harapan menggunung kini hancur berkecai. Negerinya sudah bertukar hak milik.

Saya diam saja. Melihat dia pergi. Dengan perut gendutnya. Saya sudah tidak peduli apa-apa. Payah untuk saya peduli apa-apa bila di depan sudah terhidang ayam goreng, ulam kacang botol dan sambal belacan. Memang masyuk tak ingat dunia.

Ouh, jangan lupa. Kicap mesti ada ya?

Nyam nyam!!

Nota kaki 1: kadang-kadang bagus juga sikap tak peduli dan tak mahu ambil tahu ini. tak perlu serabut kepala. tak perlu memaki hamun segala. sebab hakikatnya, diri ini sudah terlalu penat untuk ambil tahu. sudah terlalu lelah untuk rasa kecewa dengan dunia polit(a)ik Malaysia. apa nak jadi pun, gasaklah! duduk bilik, goyang kaki, tengok movie lagi bagus.lalalala~

Nota kaki 2: kata ayah “biarlah. itu semua atas izin Tuhan. Dia rasa nak bagi, Dia bagi. sekarang dah Dia nak ambil, Dia pun ambil lah balik. semua tu kan pinjaman dari Dia saja.”

Nota kaki 3: bukankah bagus kalau semua urusan, selepas berusaha,  akhirnya kita serah pada Tuhan. Konsep redha pada takdir, berapa orang yang betul-betul faham  agaknya ya?

 
5 Comments

Posted by on February 6, 2009 in Manusia, negara

 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan

Arwah Tok Wan cukup anti dengan Jepun.

Daripada dia saya dapat cerita yang tentera Jepun dulu seksa penduduk Malaya dengan bagi minum air sabun. Lepas itu dia pijak perut orang itu. Kadang-kadang, mereka angkat pedang samurai tinggi-tinggi dan pancung kepala orang.

Ngeri.

Sebab tentera Jepun lah, arwah Tok Wan tak boleh sambung belajar di sekolah walaupun dia pelajar yang pandai. Sebab itu, arwah benci sangat-sangat pada Jepun.

Kalau cerita Jepun atau berita tentang Jepun atau tempat-tempat di Jepun keluar tv, arwah akan acu-acu penumbuk di skrin. Tanda geram. Tanda dendam.

Sekarang arwah dah tak ada. Jepun juga dah tak ada. Tapi kesan duka yang Jepun bawa tetap terasa . Tetap tertinggal pada orang-orang macam arwah Tok Wan yang melalui sendiri pengalaman dijajah.

Al-Fatihah untuk arwah Tok Wan.

                                           xxxxxxxxxxxxxxxxxxx

“Sue patut bersyukur tinggal di Malaysia. Walaupun pemimpinnya Sue tak suka, tapi sekurang-kurangnya dia orang Islam. Dia tak akan biar orang Islam ditindas atau dibunuh.”

Itu kata-kata seorang teman dari Thailand.

Dia menceritakan tentang pergolakan di negaranya. Tentang pembunuhan orang Islam di Yala, di Pattani dan di Tak Bai. Tentang saudara-saudaranya yang ramai telah terbunuh oleh tentera kerajaan. Tentang bagaimana seorang tentera naik ke mimbar dan menembak rambang orang-orang yang sedang sembahyang di masjid. Tentang kepala-kepala orang Islam yang dipancung dan diletak di atas jambatan.

Dia bercerita tentang hak orang Islam yang dihalang di Thailand. Tentang mereka dilarang bertudung di sekolah. Tentang penduduk Islam dilarang memegang jawatan-jawatan atau kerja-kerja professional. Tentang orang Islam yang sentiasa dianggap pengganas.

Tentang penderitaan. Tentang penindasan.Tentang penganiayaan.

Dia buat saya lebih menghargai nilai sebuah keamanan. Di negara saya.

                                  xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-51.

 
Leave a comment

Posted by on August 30, 2008 in negara, Refleksi