RSS

Category Archives: Manusia

Antara kurma dan limau mandarin

Di sebuah pejabat di sebuah negeri di sebuah negara di sebuah planet

Minah bertanya “Eh nak bagi ke hadiah kurma pada Lim Tat?”

Tipah menjawab “Eh bagila. Kan dia dah nampak kita edarkan kurma pada semua orang. Apa dia kata nanti. Dia seorang tak dapat. Lagipun mesti dia nak bekas tupperware yang kita guna untuk isi kurma tu “

Atan menyampuk “Ah tak payah bagi lah kat dia. Kalau dia tanya kita jawab ‘ni untuk orang Islam yang berpuasa je. You bukan Islam so tak boleh dapat.”

Tiba-tiba Tipah terfikir:

Bayangkan kalau kau seorang sahaja, satu-satunya orang Melayu yang beragama Islam bekerja di sebuah syarikat yang 100% bangsa Cina, dan pada Tahun Baru Cina kau tengok semua orang dapat limau mandarin. Bila kau bertanya limau untuk kau mana, kawan sekerja bangsa Cina itu menjawab:

“Eh limau ini untuk bangsa Cina yang beragama Buddha saja. You bukan orang Cina so you tak boleh dapat”

Agak-agak apa lah perasaan kita? Kalau tak rasa disiat belati mungkin bagai dihiris sembilu.

Nak bergurau boleh. Berlawaklah apa saja. Tapi selalunya – lawak-lawak rasis, dan menyentuh sensitiviti kaum, bangsa dan agama ini – lawak-lawak sebegitu, memang sangat tak professional dan tak matang.

Dan tak kelakar langsung pun.

Macam mana nak mengajak orang ke agama Islam kalau akhlak Islam kita pun macam entah apa-apa.

#notetomyselftoo

 
Leave a comment

Posted by on June 27, 2014 in Bengong, Kerja, Manusia

 

Holier-than-thou

Tangan saya menggigil masa menulis ini. Ada banyak sangat benda yang nak diluah tapi kadang-kadang, bila otak kau dah bersedia nak menyembur 5000 patah perkataan sesaat, tangan kau pulak jadi lambat nak pick-up  sebab tak tau nak tulis yang mana satu dulu. Bila otak dan jari jadi tak synchronize, itu yang buat menggigil tu.

Saya baru dikejutkan dengan berita seorang budak OKU berumur 15 tahun yang dijumpai dalam keadaan maha menyedihkan. Dengan baju koyak rabak, badan yang cuma tinggal rangka dibalut kulit, dikurung dalam bilik yang cuma berlantaikan tanah, dan penuh dengan najis dan sampah, saya rasa bukan saya sahaja yang terkejut. Semua orang terkejut rasanya.

Dan apa yang menyedihkan dan menaikkan api amarah saya adalah kerana kanak-kanak itu ada ibu bapa. Yes, bapanya dah bercerai dengan ibu dan mungkin tinggal entah mana hala langsung tak peduli keberadaan anaknya. Tapi yang hairannya, ibu beliau ada, masih hidup sihat dan walafiat, elok tinggal di rumah itu, tapi tegar membiarkan anaknya dalam keadaan azab sebegitu.

Jadi, binatang apakah ibu tersebut sampai membiarkan anaknya sebegitu rupa?

Saya tahu mungkin ramai binatang dan haiwan yang akan marahkan saya atau berkecil hati dan merasa terhina kerana saya menyamakan makhluk yang tidak layak digelar ibu itu se’spesis’ dengan mereka, kerana binatang pun sayangkan anak-anaknya, akan tetapi saya tidak tahu apakah lagi yang layak dipanggil kepada ibu yang sekeji ini.

Akan tetapi, yang amat menghairankan saya adalah, apabila ramai yang mengutuk perbuatan ibu tersebut, tiba-tiba ada yang bangkit bingkas membela beliau mengatakan “Kau suka-suka hati nak gelar orang binatang kau tu dah baik sangat kah?” atau “Dah kaya-raya senang-senang nak panggil orang binatang” atau ayat-ayat bajet maksum yang lain.

Sebenarnya, ada garis tipis antara manusia positif dengan manusia yang bajet maksum (holier than thou)

Manusia yang optimis, positif, opportunis, liberalis, idealis dan segala ‘is’ yang lain, mereka ini dikurniakan Tuhan dengan kemampuan untuk bersangka baik dalam semua hal.

Sebagai contoh komen seorang sahabat:

“Entahlah. Kita tak tahu apa yang berlaku. Mungkin ibu itu ada alasan sendiri”

Itu adalah orang yang bersangka baik. Walaupun saya  tak bersetuju kerana terang-terang kau tinggal serumah dengan budak tu macam mana boleh biar sampai tinggal rangka? Dah tu anak kau sendiri pulak tu? Tapi saya diamkan sahaja kerana setiap orang berhak di atas pendapatnya.

Dan banyak juga orang yang bersangka baik seperti ini. Di mana kehadiran mereka boleh mengimbangkan antara manusia yang mudah beremosi (macam saya) dengan manusia yang langsung tak nak ambil peduli.

Cuma saya fikir, bersangka baik pun mungkin perlu bertempat.

Seperti jika artis bercerai kita tak tahu salah siapa, jadi tak payah nak jadi hakim menghukum siapa-siapa. Mungkin mereka ada masalah sendiri di sebalik rahsia rumahtangga. Itu bersangka baik.

Atau orang tu mungkin bawak kereta laju berdesup sampai menyelit kiri-kanan tu, mungkin nak cepat balik rumah sebab isteri nak bersalin kot. Itu bersangka baik.

Atau nampak lelaki asing masuk rumah jiran kau yang disewa oleh anak-anak dara bujang, mungkin kau boleh fikir lelaki tu datang sekejap je kot nak pinjam senduk. Itu bersangka baik.

Tapi kalau macam kes seperti di atas yang terang-terang ibu tersebut mengabaikan anaknya, maaflah, saya tidak mempunyai sebongkah hati yang sesuci embun pagi untuk masih bersangka baik.

Ia sama seperti bapa yang merogol anaknya sampai termengandung, berkali-kali. Adakah masih mahu bersangka baik?

Oh, biarlah. Kita tak tahu apa ceritanya. Mungkin budak tu yang seksi sangat kat rumah. Mungkin ayah dia tak tahan nafsu. Mungkin mak dia dah tak boleh nak layan. Etc. Etc.

Entahlah. Bagi saya, kadang-kadang ada benda yang memang tak boleh dimaafkan. Kerana saya bukan maksum. Kerana saya bukan lah manusia sempurna. Dan saya juga tidak lepas dari sikap menghakimi orang lain.

Akan tetapi saya masih menghormati manusia yang bersangka baik. Kerana itu sikap semulajadi mereka yang tidak mudah melatah dan menghakimi. Mereka mempunyai kawalan emosi yang tinggi dan boleh lagi bertimbangrasa dalam hal-hal sebegini.

Tetapi, yang membuat saya menggeleng kepala adalah manusia yang suka menjadi polis moral tidak tentu hala.

Manusia yang suka mengganggap diri holier than thou dan kemudian menghentam orang lain kerana tidak punya toleransi tinggi terhadap benda begini. “Pepandai kau je nak binatangkan mak dia, Kau tu dah elok sangat ke?” Ini contoh manusia holier than thou. Mereka sepatutnya faham bahawa penerimaan setiap manusia tak sama. Jangan semata-mata orang lain mudah marah dan tidak boleh bersabar dengan benda-benda begini, kau pulak nak kutuk orang tersebut.

Metaforanya begini:

Ada tiga sahabat sedang berjalan. Di tengah jalan mereka berjumpa seorang lelaki yang membelasah seorang wanita.

Ali, sebagai manusia yang bersangka baik akan berkata “Biarlah. Kita tak tahu apa cerita mereka. Adalah tu yang buat lelaki tu marah. Mungkin perempuan tu curi duit dia kot” lantas Ali pun berlalu pergi dengan membawa sangkaan baiknya.

Abu, sebagai manusia yang penuh emosi terus menghambur ke arah lelaki itu dan cuba menghentikan perbuatan beliau “Hoi syaitan! Kau ni takde hati perut ke??? Yang kau belasah perempuan ni kenapa?? Tak boleh bawak berbincang elok-elok? Tau guna kaki tangan je…jantan apa kau ni hah??” kata Abu dengan bengisnya.

Ahmad, sebagai manusia holier than thou, tiba-tiba menengking Abu “Hoi Abu, suka-suka hati kau je kata lelaki ni syaitan. Apa kau tu dah baik sangat? Dah gerenti masuk syurga??”

Nampak tak isunya di sini.

Pokoknya adalah, penerimaan orang tak sama. Kau tak boleh nak hukum orang yang menerima sesuatu isu itu tak se’tenang’ atau se’positif’ kau. Kau tak boleh terus maki dia semata-mata kerana dia rasa marah pada benda yang bagi dia tak patut pun berlaku.

Pada pendapat saya, manusia-manusia polis moral dan holier than thou ini bolehlah menjadi pahlawan kekunci (keyboard warrior) di blog-blog gossip. Itu adalah tempat yang paling sesuai untuk menjadi manusia suci. Kerana komen-komen fitnah dan keji dan kutuk dan maki sangat berleluasa di sana.

Kau bolehlah nak menegur seperti “Ente semua ni kutuk Ayu Raudhah tu, ente punya rumah tangga konfem bahagia ke?”

Ye, kau boleh jadi polis moral tahap Pesuruhjaya Polis di sana

Pautan berita tentang kanak-kanak malang tersebut di sini. Maaf lah, tidak ada pautan pasal rumahtangga Ayu Raudhah di sini.

 
Leave a comment

Posted by on June 22, 2014 in jiwa kacau, Manusia

 

Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama

Dulu, Khanyi pernah bertanya kepada saya:

“Awak rasa orang kulit hitam atau kulit putih yang lagi cantik?”

Perlu dimaklumkan bahawa Khanyi adalah seorang gadis dari Afrika Selatan dan berkulit hitam.

Jadi, apakah yang perlu saya jawab?

Jika saya pun berkulit hitam, tentu saya menjawab “Orang kulit hitam la cantik lagi”

Jika saya berketurunan Pan Asian pula, tentu saya akan menjawab “Kulit putih la lagi cantik”

Tapi, memandangkan saya adalah Melayu – Jawa totok berkulit hitam-tidak-putih-pun-tidak-kelabu-mungkin ini, pertanyaan itu membuatkan saya terkebil-kebil. Saya terperangkap antara mahu memberitahu apa yang sebenarnya saya rasa, atau menjaga hati seorang teman.

Ia seperti seorang gadis kurus kering atau gadis obesiti bertanya “Kau rasa orang kurus ke gemuk lagi cantik?”

Jadi, kau yang berat sedang-sedang, BMI stabil, tak kurus tak gemuk ini mahu jawab apa?

Serba salah kan?

Jadi, saya pun menjawab dengan ayat paling klise sepanjang zaman “Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama”

Serius macam jawapan pertandingan Miss Universe.

Lepas itu, apabila pulang ke rumah, masuk ke bilik air, dan melihat berpuluh-puluh jenis produk ‘memutihkan’ wajah sedang berbaris di atas meja solek membuatkan saya rasa seperti mahu hantuk kepala ke dinding akibat malu menjadi seorang yang hipokrit.

Secara jujurnya – sejujur-jujurnya – pada pendapat saya, kecantikan itu subjektif. Ada yang kulit hitam tapi cantik. Ada yang kulit putih, tapi biasa-biasa saja.

Akan tetapi, untuk diri saya sendiri, saya juga terperangkap dengan dogma. Dengan definisi masyarakat. Apa yang cantik dan apa yang tidak. Saya juga antara yang akan ke kaunter kecantikan dan mencari produk mencerahkan muka untuk diaplikasi setiap hari.

Jadi, itu menunjukkan bahawa, pada pendapat dan tindakan saya, saya sebenarnya mahu putih.

Saya kira ini adalah kerana penyakit masyarakat kita juga yang sering saja melabel dan membuat definisi apa yang cantik dan apa yang tidak. Kalau kau gemuk, pendek, hitam, hidung kembang – maka kau akan diejek. Kalau kau slim, tinggi, putih melepak, kulit mulus, hidung mancung – maka kau akan dipuji atau dipuja dan kadang-kadang ditanya, apa tips kecantikan supaya orang lain pun boleh jadi seperti itu juga.

Media juga berperanan dalam mendefinisikan ‘cantik’ mengikut acuan mereka. Semua model-model di majalah adalah kurus, tinggi dan putih malah produk-produk kecantikan juga – kebanyakannya mahu memutihkan kulit. Maka mengikut definisinya – putih itu cantik.

Kita sudah ada satu set guidelines apa yang cantik dan apa yang tidak. Belum lagi dikira tentang peer pressure. Di mana tekanan atau pujian daripada orang sekeliling sama ada rakan-rakan dan keluarga, adalah penyebab keyakinan diri kita jatuh merudum ke tahap di bawah sifar atau melambung naik ke awan sembilan.

Sebenarnya kita (termasuk diri saya juga) sering lupa bahawa apa saja fizikal seseorang itu, adalah ciptaan Tuhan. Dan apabila kita mengutuk atau mengejek orang, maka kita mengutuk ciptaan Tuhan. Sedangkan hebat sangatkah kita untuk mengkritik ciptaan-Nya?

Dulu, semasa saya menjadi guru tuisyen, ada seorang pelajar perempuan yang sedikit berisi tubuhnya. Mati-mati beliau diejek oleh kawan-kawan lelaki sekelas. Kasihan amat saya kepada beliau. Maka, habislah setengah waktu mengajar saya mentarbiah budak-budak yang nakal mengejek itu. Ini kerana, saya selalu berfikir, bagaimanalah manusia-manusia begini mahu melalui kehidupan setiap hari jika orang sekeliling asyik bersikap kejam dan merendah-rendahkan dirinya? Bagaimana mereka mahu membina semula keyakinan diri yang jatuh merudum akibat diejek rakan-rakan?

Seorang kawan saya pernah menulis di dalam buku nota nya “Aku gemuk dan itu ok. (I’m fat and that is fine)”

Saya sangat memuji manusia sebegini. Yang tetap mempunyai keyakinan diri dan tidak kisah akan kata-kata orang. Dan kita sebenarnya perlu manusia-manusia begini.

Perlunya iklan yang berkata “Saya gemuk dan saya ok” atau “Saya hitam dan saya ok” atau “Saya kurus dan saya ok” dan yang sewaktu dengannya. Bukannya “Saya gay dan saya ok”

Baru-baru ini, saya ke Pulau Mantanani, Sabah. Selain daripada kenangan manis dan beberapa pengajaran berguna, saya juga membawa pulang kulit muka yang hitam akibat dibakar cahaya suria. Habislah saya diketawakan rakan-rakan dan diejek kerana kulit muka yang gelap zulumat ini.

Lantas, disebabkan saya seorang wanita normal yang obses pada kecantikan, kelam kabut lah saya mencari petua-petua yang boleh menyebabkan wajah saya keluar daripada kegelapan yang menyelubunginya (ayat tak boleh blah). Kemudian, ketika leka melayari internet, saya tersedar sesuatu:

“Kenapakah saya begitu mengambil berat akan pandangan manusia sedangkan pandangan Tuhan tidak saya pedulikan?”

Tak guna saya sibuk mencari petua mencerahkan kulit sampai solat Maghrib pun di akhir waktu.

Tak guna untuk saya menempek segala macam masker kalau panggilan azan tidak saya endahkan

Sebenarnya ini adalah peringatan untuk diri saya juga, yang kadang-kadang sering mentertawakan suami apabila dia pulang dengan kulit gelap zulumat. Sepatutnya saya perlu cakap “Tak kisah abang hitam atau putih, janji abang jaga solat dan jadi imam yang baik”

Kesimpulannya adalah, tak salah kalau nak jaga kecantikan, tetapi biarlah seimbang (atau perlu lebih lagi) menjaga kecantikan dalaman, iaitu hati dan iman.

Akhirnya, ayat klise sepanjang zaman itu juga yang betul.

“Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama”

p.s: Jangan ejek fizikal orang sangatlah. Takut kena pula pada keluarga atau anak sendiri. (Refleksi untuk diri sendiri juga)

 
Leave a comment

Posted by on May 16, 2014 in Manusia, Refleksi

 

And in your life? What is it that you desire most?

Entah berapa ramai anak yatim atau orang kurang upaya yang tidak jadi saya hulurkan derma kerana teragak-agak bimbang itu hanyalah sindiket semata-mata.

Entah berapa ramai makcik, pakcik, lelaki atau wanita yang menjinjing bungkusan berat di tepi jalan yang tidak saya tumpangkan dengan kereta saya kerana teragak-agak untuk berhenti secara mengejut dan risau kereta saya dilanggar dari belakang atau khuatir mungkin lelaki atau pakcik itu penjenayah yang dicari.

Teragak-agak dalam membuat kebaikan.

Itu adalah masalah yang masih sedang cuba saya atasi.

Lelaki dalam iklan tersebut telah memberi saya pengajaran yang berharga. Beliau tidak berkira-kira dalam membuat kebaikan. Tidak teragak-agak dan membuatnya dengan sepenuh hati. Walaupun dia tidak memdapat apa-apa wang atau materi sebagai balasan.

Tetapi hanya dengan melihat senyuman dan kegembiraan di wajah orang lain, sudah cukup membuat dia bahagia. Itu yang mahal dan tak mampu dibeli.

Mulai saat ini, mari cuba untuk tidak teragak-agak dalam membuat kebaikan.

Hati yang Allah anugerahkan itu, mari gunakan tanpa syak dan ragu.

Sekian, pesanan khidmat masyarakat yang tidak ditaja. 🙂

 
Leave a comment

Posted by on May 4, 2014 in Dunia, Manusia

 

Sabar

Baru-baru ini saya belajar satu perkara : bahawa kesabaran MEMANG ada batasnya. Dan saya bukanlah orang yang mudah hilang sabar – kepada orang yang tidak rapat dengan saya.

Walaupun begitu, saya akui, bahawa kesabaran yang TANPA BATASAN adalah terpaling baik. Dan manusia yang mampu bersabar walau dalam apa jua keadaan pun adalah manusia terpaling hebat.

Saya sedang belajar, melatih diri untuk lebih banyak bersabar.

Akan tetapi, tetap juga saya percaya, kadang-kadang, kita perlu marah, perlu suarakan apa yang kita rasa, perlu beritahu apa yang terbuku, supaya orang lain tahu.

Dan tak akan pijak kepala kita.

 

 
2 Comments

Posted by on January 31, 2013 in Bengong, Manusia

 

Permasalahan serupa. Di tempat berbeza. Dan sungguh menyerabutkan minda.

Eh dah Disember.

Eh cepatnya dah nak habis 2012.

Eh Nostradamus kata nak kiamat tahun ni.

Eh lamanya tak update blog.

Eh buat-buat terkejut pulak.

Ok, perkembangan terbaru, saya akan pindah rumah lagi. Hahahaha! *gelak sedih sambil menitiskan air mata* (T_T)

Dalam masa setahun, ini kali keempat saya akan berpindah. Mungkin akan menyamai rekod di Taiping dahulu, lapan kali dalam masa dua tahun.

Permasalahan yang sama.

Lelaki. Lelaki. Lelaki. Lelaki. Masuk rumah sesuka hati.

Dua minggu menyewa bilik di rumah baru, sudah 4 orang lelaki berbeza yang saya jumpa berkeliaran di dalam rumah. Kalau ditakdirkan waktu itu ada serbuan Jabatan Agama, maka nama saya akan terpampang di dada akhbar, ditangkap berkhalwat dan mendapat tajaan berkahwin secara percuma.

Saya sungguh penat dengan masalah begini sebenarnya.

Di Taiping juga begitu. Di sini juga, terjadi lagi.

Tak faham betul. Adakah muka saya ini mempunyai cop di dahi, yang bermaksud “Jika kamu mahu bawak masuk lelaki dalam rumah, sila ambil saya sebagai housemate kerana sungguh, I’m cool with that.”

Tak, hakikatnya, saya tidak boleh kompromi tentang itu.

Sebelum masuk lagi, saya sudah terangkan, tidak mahu kaum Adam di dalam rumah. Dan mereka kata, bukanlah tidak ada langsung kawan-kawan lelaki, akan ada juga yang datang ke rumah, sekadar hantarkan barang dan balik. Ok, saya boleh terima itu.

Tiba-tiba, balik rumah pukul 1 pagi, seorang lelaki sedang tidur di sofa, dengan bertuala menampakkan seluar dalam warna hitam, nyenyak tidur macam rumah bapak dia. Dan percayalah, itu adalah pemandangan yang sangat, sangat menjelikkan.

Bangun pagi mahu ke tandas pula, eh tiba-tiba, seorang lelaki keluar dari bilik yang tidak berpenghuni, dan menonong saja keluar dari rumah.

Bermaksud, sepanjang malam yang ada cuma saya dan dia, di bilik berasingan.

Bermaksud, jika ditakdirkan Tuhan, diserbu JAWI, saya tidak ada alasan kenapa kami berdua saja di rumah,kerana alasan “Tak tahu menahu siapa manusia ini” adalah alasan yang mungkin seringkali didengar pegawai JAWI oleh pasangan berkhalwat.

Bermaksud, lelaki itu jika dikuasai syaitonnirrojim, boleh saja mengapa-apakan saya dengan sewenang-wenangnya.

Pada waktu ini, saya cemburu dengan kakak saya. Jika dia sekarang di tempat saya, tentu, dia akan memaki hamun kawan serumah dua orang itu yang sesuka hati memberi kunci menumpangkan kawan lelaki mereka. Tentu, dia akan menghambur sesedap rasa meluah segala amarah di dada.

Masalahnya sekarang, saya adalah seorang Suhaila, yang benci pada konfrontasi. Yang lebih senang berdiam diri. Yang tidak berani bersuara.

Jadi, yang mampu saya buat, adalah beritahu, secara diplomasi, kenapa saya mahu pindah rumah lagi sekali, menyatakan ketidakselesaan saya dengan situasi sebegini, dan mengatakan saya akan pindah selewatnya bulan Januari.

Masih lagi dengan diplomasi.

Padahal yang sebenarnya, yang mahu saya katakan kepada budak berdua itu adalah:

“Korang ni memang tak guna bawak lelaki tak bagitahu aku memang celaka pegi mati”

Dah, sekian.

Oh ada sambungan lagi:

Ini tips kepada perempuan di luar sana yang seperti saya, sedang mencari-cari rumah/bilik sewa yang sesuai di ibu kota. Jika kamu melayari laman web Mudah.My mencari rumah/bilik sewa, janganlah terkejut jika ada iklannya yang memberitahu terus-terang, tidak kisah duduk serumah lelaki perempuan.

Contoh iklan:

  1. Open to couple, female or male.
  2. Rumah sekarang ada dua perempuan dan seorang lelaki.
  3. Tak kisah lelaki atau perempuan, janji bayar sewa tepat pada masa.
  4. Dan yang sewaktu dengannya.

Pada mulanya, saya juga menjadi jakun dan terkejut beruk dengan keadaan begini. Tapi lama-lama macam dah tak hairan. Antara iklan paling menakjubkan yang saya pernah jumpa:

  1. Mahukan lelaki lembut sahaja
  2. Penyewa mestilah memahami keadaan kami yang bercinta sesama gegirl. Hik hik hik. (ya betul, ada ‘hik hik hik’ di hujung ayat)

Jadi, modus operandi saya adalah mencari iklan yang mengatakan ‘Bilik untuk penyewa perempuan sahaja”.

Tetapi malang, M.O saya itu masih ada kekurangan. Tidaklah bermakna jika mereka mahukan ‘Perempuan sahaja’ sebagai penyewa rasmi, mereka tidak membawa masuk lelaki sebagai penyewa tidak rasmi.

Jadi nasihat saya adalah, cari iklan yang tertulis secara spesifik:

  1. Mahukan muslimah yang tidak sosial
  2. Lelaki tidak dibenarkan langsung dalam rumah.
  3. Lelaki adalah diharamkan sama sekali menjejakkan kaki walau seinci
  4. Dan yang sewaktu dengannya.

Happy house/room hunting! Wish me luck guys. Moga-moga ini peng’hijrah’an bilik terakhir untuk tahun ini. Dan tahun depan. Dan tahun-tahun akan datang.

Penat weh angkat barang. (T_T)

 
7 Comments

Posted by on December 1, 2012 in Bengong, jiwa kacau, Manusia, Pengalaman

 

Dalam dunia ini ada 6 billion manusia

Di Car Boot Sale Sri Putra;

Wajahnya tebal dengan mekap. Di pergelangan tangannya ada barang kemas sehasta.

“Baju kurung ni RM5?”
“Ya kak, baju-baju itu org derma. Jadi kami jual untuk charity ajar anak yatim dan miskin”
“Huh? Kalau barang derma patut jual murah lagi. RM2 jer. Korang tak keluarkan modal pun.”
“Itu dah murah kak. Kami tak ambil sesen pun. Modal kami duit minyak datang sini pun tak ambil. Kerja sukarela je kak.”
“Hmmpphh…”

Dia mendengus sambil berlalu pergi.

**********

Wajahnya terlindung di sebalik purdah hitam dan jubah hitam. Hampir usai waktu menjual, beliau berkata:

“Nah dik, ambil RM50 ni. Akak derma untuk anak2 yatim tu.”

**********

Dalam hidup, kita akan berjumpa dgn macam2 manusia.

Yang cantik, hodoh, kacak, tampan, kurus, gemuk, tinggi, rendah, lebar, panjang, dan lain-lain sifat lagi.
Yang baik, jahat, celupar, pendiam, ceria, busuk hati, dengki, dermawan, kedekut dan lain-lain sikap lagi.

Dan tugas kita adalah untuk menapis setiap kualiti manusia yang kita jumpa, yang baik kita ceduk ambil dan jadikan teladan, yang buruk kita tolak tepi dan jadikan sempadan.

Ayuh, tunjukkan kualiti kita yang baik-baik sahaja pd semua org. Supaya boleh dijadikan teladan oleh orang lain yang bertemu dgn kita.

Peace! (^_~)

 
Leave a comment

Posted by on November 12, 2012 in Manusia, Pengalaman