RSS

Category Archives: jiwa kacau

Holier-than-thou

Tangan saya menggigil masa menulis ini. Ada banyak sangat benda yang nak diluah tapi kadang-kadang, bila otak kau dah bersedia nak menyembur 5000 patah perkataan sesaat, tangan kau pulak jadi lambat nak pick-up  sebab tak tau nak tulis yang mana satu dulu. Bila otak dan jari jadi tak synchronize, itu yang buat menggigil tu.

Saya baru dikejutkan dengan berita seorang budak OKU berumur 15 tahun yang dijumpai dalam keadaan maha menyedihkan. Dengan baju koyak rabak, badan yang cuma tinggal rangka dibalut kulit, dikurung dalam bilik yang cuma berlantaikan tanah, dan penuh dengan najis dan sampah, saya rasa bukan saya sahaja yang terkejut. Semua orang terkejut rasanya.

Dan apa yang menyedihkan dan menaikkan api amarah saya adalah kerana kanak-kanak itu ada ibu bapa. Yes, bapanya dah bercerai dengan ibu dan mungkin tinggal entah mana hala langsung tak peduli keberadaan anaknya. Tapi yang hairannya, ibu beliau ada, masih hidup sihat dan walafiat, elok tinggal di rumah itu, tapi tegar membiarkan anaknya dalam keadaan azab sebegitu.

Jadi, binatang apakah ibu tersebut sampai membiarkan anaknya sebegitu rupa?

Saya tahu mungkin ramai binatang dan haiwan yang akan marahkan saya atau berkecil hati dan merasa terhina kerana saya menyamakan makhluk yang tidak layak digelar ibu itu se’spesis’ dengan mereka, kerana binatang pun sayangkan anak-anaknya, akan tetapi saya tidak tahu apakah lagi yang layak dipanggil kepada ibu yang sekeji ini.

Akan tetapi, yang amat menghairankan saya adalah, apabila ramai yang mengutuk perbuatan ibu tersebut, tiba-tiba ada yang bangkit bingkas membela beliau mengatakan “Kau suka-suka hati nak gelar orang binatang kau tu dah baik sangat kah?” atau “Dah kaya-raya senang-senang nak panggil orang binatang” atau ayat-ayat bajet maksum yang lain.

Sebenarnya, ada garis tipis antara manusia positif dengan manusia yang bajet maksum (holier than thou)

Manusia yang optimis, positif, opportunis, liberalis, idealis dan segala ‘is’ yang lain, mereka ini dikurniakan Tuhan dengan kemampuan untuk bersangka baik dalam semua hal.

Sebagai contoh komen seorang sahabat:

“Entahlah. Kita tak tahu apa yang berlaku. Mungkin ibu itu ada alasan sendiri”

Itu adalah orang yang bersangka baik. Walaupun saya  tak bersetuju kerana terang-terang kau tinggal serumah dengan budak tu macam mana boleh biar sampai tinggal rangka? Dah tu anak kau sendiri pulak tu? Tapi saya diamkan sahaja kerana setiap orang berhak di atas pendapatnya.

Dan banyak juga orang yang bersangka baik seperti ini. Di mana kehadiran mereka boleh mengimbangkan antara manusia yang mudah beremosi (macam saya) dengan manusia yang langsung tak nak ambil peduli.

Cuma saya fikir, bersangka baik pun mungkin perlu bertempat.

Seperti jika artis bercerai kita tak tahu salah siapa, jadi tak payah nak jadi hakim menghukum siapa-siapa. Mungkin mereka ada masalah sendiri di sebalik rahsia rumahtangga. Itu bersangka baik.

Atau orang tu mungkin bawak kereta laju berdesup sampai menyelit kiri-kanan tu, mungkin nak cepat balik rumah sebab isteri nak bersalin kot. Itu bersangka baik.

Atau nampak lelaki asing masuk rumah jiran kau yang disewa oleh anak-anak dara bujang, mungkin kau boleh fikir lelaki tu datang sekejap je kot nak pinjam senduk. Itu bersangka baik.

Tapi kalau macam kes seperti di atas yang terang-terang ibu tersebut mengabaikan anaknya, maaflah, saya tidak mempunyai sebongkah hati yang sesuci embun pagi untuk masih bersangka baik.

Ia sama seperti bapa yang merogol anaknya sampai termengandung, berkali-kali. Adakah masih mahu bersangka baik?

Oh, biarlah. Kita tak tahu apa ceritanya. Mungkin budak tu yang seksi sangat kat rumah. Mungkin ayah dia tak tahan nafsu. Mungkin mak dia dah tak boleh nak layan. Etc. Etc.

Entahlah. Bagi saya, kadang-kadang ada benda yang memang tak boleh dimaafkan. Kerana saya bukan maksum. Kerana saya bukan lah manusia sempurna. Dan saya juga tidak lepas dari sikap menghakimi orang lain.

Akan tetapi saya masih menghormati manusia yang bersangka baik. Kerana itu sikap semulajadi mereka yang tidak mudah melatah dan menghakimi. Mereka mempunyai kawalan emosi yang tinggi dan boleh lagi bertimbangrasa dalam hal-hal sebegini.

Tetapi, yang membuat saya menggeleng kepala adalah manusia yang suka menjadi polis moral tidak tentu hala.

Manusia yang suka mengganggap diri holier than thou dan kemudian menghentam orang lain kerana tidak punya toleransi tinggi terhadap benda begini. “Pepandai kau je nak binatangkan mak dia, Kau tu dah elok sangat ke?” Ini contoh manusia holier than thou. Mereka sepatutnya faham bahawa penerimaan setiap manusia tak sama. Jangan semata-mata orang lain mudah marah dan tidak boleh bersabar dengan benda-benda begini, kau pulak nak kutuk orang tersebut.

Metaforanya begini:

Ada tiga sahabat sedang berjalan. Di tengah jalan mereka berjumpa seorang lelaki yang membelasah seorang wanita.

Ali, sebagai manusia yang bersangka baik akan berkata “Biarlah. Kita tak tahu apa cerita mereka. Adalah tu yang buat lelaki tu marah. Mungkin perempuan tu curi duit dia kot” lantas Ali pun berlalu pergi dengan membawa sangkaan baiknya.

Abu, sebagai manusia yang penuh emosi terus menghambur ke arah lelaki itu dan cuba menghentikan perbuatan beliau “Hoi syaitan! Kau ni takde hati perut ke??? Yang kau belasah perempuan ni kenapa?? Tak boleh bawak berbincang elok-elok? Tau guna kaki tangan je…jantan apa kau ni hah??” kata Abu dengan bengisnya.

Ahmad, sebagai manusia holier than thou, tiba-tiba menengking Abu “Hoi Abu, suka-suka hati kau je kata lelaki ni syaitan. Apa kau tu dah baik sangat? Dah gerenti masuk syurga??”

Nampak tak isunya di sini.

Pokoknya adalah, penerimaan orang tak sama. Kau tak boleh nak hukum orang yang menerima sesuatu isu itu tak se’tenang’ atau se’positif’ kau. Kau tak boleh terus maki dia semata-mata kerana dia rasa marah pada benda yang bagi dia tak patut pun berlaku.

Pada pendapat saya, manusia-manusia polis moral dan holier than thou ini bolehlah menjadi pahlawan kekunci (keyboard warrior) di blog-blog gossip. Itu adalah tempat yang paling sesuai untuk menjadi manusia suci. Kerana komen-komen fitnah dan keji dan kutuk dan maki sangat berleluasa di sana.

Kau bolehlah nak menegur seperti “Ente semua ni kutuk Ayu Raudhah tu, ente punya rumah tangga konfem bahagia ke?”

Ye, kau boleh jadi polis moral tahap Pesuruhjaya Polis di sana

Pautan berita tentang kanak-kanak malang tersebut di sini. Maaf lah, tidak ada pautan pasal rumahtangga Ayu Raudhah di sini.

 
Leave a comment

Posted by on June 22, 2014 in jiwa kacau, Manusia

 

Still safe and sound.

1. Hye!

2. Ok, I know it has been a while.

3. And I know you missed me… Muehehe *gedik*

4. Perkembangan terbaru – sudah berpindah ke rumah baru. Kali ini, teman-teman serumah juga adalah jenis yang allergic dengan makhluk berhalkum di dalam rumah. Harapnya, teman-teman ini adalah yang sama sampai bila-bila, dan harapnya saya dapat tetap di rumah ini, at least for 1 year. (ya, saya tak pernah duduk lama di sesebuah rumah sewa melebihi setahun)

5. Beberapa bulan lalu, telah berlaku satu peristiwa-sedih-yang-tidak-perlu-dinyatakan dalam hidup saya, dan peristiwa-sedih-yang-tidak-perlu-dinyatakan itu membuatkan saya rasa bersalah, sedih dan gundah gulana. Maka, untuk melupakan peristiwa-sedih-yang-tidak-perlu-dinyatakan itu, saya dengan mengada-ngadanya telah menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti.

6. Kelas renang, kelas piano, berjinak-jinak dengan paint-by-number, menjadi sukarelawan dalam badan-badan kebajikan adalah antara aktiviti yang saya sertai dengan tujuan untuk menyibukkan diri. Hasilnya,  saya benar-benar-benar-benar sibuk. Setiap masa ada saja aktiviti yang menuntut tenaga dan masa saya. Sehingga kadang-kadang saya terabaikan perkara-perkara yang paling utama dalam hidup – ibadah, kesihatan dan keluarga.

7. Terlampau lama tidak bersenam membuatkan saya rasa bersalah pada tubuh badan yang diamanah Illahi.

8. Terlampau lama tidak pulang ke kampung juga membuatkan saya rasa bersalah, terutama kepada nenek yang seringkali bertanya bila saya akan pulang menjenguknya, kerana mungkin dia sunyi, barangkali.

9. Saya baru sahaja mengkhatamkan buku The Kid dari Kevin Lewis yang saya beli pada BBW yang lalu. Ia adalah sebuah memoir yang agak depressing tetapi mempunyai pengakhiran yang baik. Sememangnya, pasti ada jalur perak di sebalik awan kelabu. Buku ini boleh dijadikan sumber inspirasi kepada manusia2 yang berasakan hidupnya adalah yang paling ‘tahi’ dalam dunia, yang sudah putus asa dengan nasib yang dihulurkan takdir kepadanya. Sememangnya, di luar sana, ada ramai lagi manusia yang lebih malang nasibnya dari kita, tetapi berjaya bangkit semula, melawan sekuat tenaga dan akhirnya, ada bahagia yang menanti di hujung sana.

x11423

10. Cukuplah sepuluh dahulu. Akan datang, saya akan tulis sepuluh lagi. Maaf ya, komen2 anda masih belum berbalas. Akan saya usahakan. Oh by the way, saya suka lagu ini. Stay safe and sound everyone. 🙂

 
2 Comments

Posted by on January 30, 2013 in Buku, jiwa kacau, lagu

 

Permasalahan serupa. Di tempat berbeza. Dan sungguh menyerabutkan minda.

Eh dah Disember.

Eh cepatnya dah nak habis 2012.

Eh Nostradamus kata nak kiamat tahun ni.

Eh lamanya tak update blog.

Eh buat-buat terkejut pulak.

Ok, perkembangan terbaru, saya akan pindah rumah lagi. Hahahaha! *gelak sedih sambil menitiskan air mata* (T_T)

Dalam masa setahun, ini kali keempat saya akan berpindah. Mungkin akan menyamai rekod di Taiping dahulu, lapan kali dalam masa dua tahun.

Permasalahan yang sama.

Lelaki. Lelaki. Lelaki. Lelaki. Masuk rumah sesuka hati.

Dua minggu menyewa bilik di rumah baru, sudah 4 orang lelaki berbeza yang saya jumpa berkeliaran di dalam rumah. Kalau ditakdirkan waktu itu ada serbuan Jabatan Agama, maka nama saya akan terpampang di dada akhbar, ditangkap berkhalwat dan mendapat tajaan berkahwin secara percuma.

Saya sungguh penat dengan masalah begini sebenarnya.

Di Taiping juga begitu. Di sini juga, terjadi lagi.

Tak faham betul. Adakah muka saya ini mempunyai cop di dahi, yang bermaksud “Jika kamu mahu bawak masuk lelaki dalam rumah, sila ambil saya sebagai housemate kerana sungguh, I’m cool with that.”

Tak, hakikatnya, saya tidak boleh kompromi tentang itu.

Sebelum masuk lagi, saya sudah terangkan, tidak mahu kaum Adam di dalam rumah. Dan mereka kata, bukanlah tidak ada langsung kawan-kawan lelaki, akan ada juga yang datang ke rumah, sekadar hantarkan barang dan balik. Ok, saya boleh terima itu.

Tiba-tiba, balik rumah pukul 1 pagi, seorang lelaki sedang tidur di sofa, dengan bertuala menampakkan seluar dalam warna hitam, nyenyak tidur macam rumah bapak dia. Dan percayalah, itu adalah pemandangan yang sangat, sangat menjelikkan.

Bangun pagi mahu ke tandas pula, eh tiba-tiba, seorang lelaki keluar dari bilik yang tidak berpenghuni, dan menonong saja keluar dari rumah.

Bermaksud, sepanjang malam yang ada cuma saya dan dia, di bilik berasingan.

Bermaksud, jika ditakdirkan Tuhan, diserbu JAWI, saya tidak ada alasan kenapa kami berdua saja di rumah,kerana alasan “Tak tahu menahu siapa manusia ini” adalah alasan yang mungkin seringkali didengar pegawai JAWI oleh pasangan berkhalwat.

Bermaksud, lelaki itu jika dikuasai syaitonnirrojim, boleh saja mengapa-apakan saya dengan sewenang-wenangnya.

Pada waktu ini, saya cemburu dengan kakak saya. Jika dia sekarang di tempat saya, tentu, dia akan memaki hamun kawan serumah dua orang itu yang sesuka hati memberi kunci menumpangkan kawan lelaki mereka. Tentu, dia akan menghambur sesedap rasa meluah segala amarah di dada.

Masalahnya sekarang, saya adalah seorang Suhaila, yang benci pada konfrontasi. Yang lebih senang berdiam diri. Yang tidak berani bersuara.

Jadi, yang mampu saya buat, adalah beritahu, secara diplomasi, kenapa saya mahu pindah rumah lagi sekali, menyatakan ketidakselesaan saya dengan situasi sebegini, dan mengatakan saya akan pindah selewatnya bulan Januari.

Masih lagi dengan diplomasi.

Padahal yang sebenarnya, yang mahu saya katakan kepada budak berdua itu adalah:

“Korang ni memang tak guna bawak lelaki tak bagitahu aku memang celaka pegi mati”

Dah, sekian.

Oh ada sambungan lagi:

Ini tips kepada perempuan di luar sana yang seperti saya, sedang mencari-cari rumah/bilik sewa yang sesuai di ibu kota. Jika kamu melayari laman web Mudah.My mencari rumah/bilik sewa, janganlah terkejut jika ada iklannya yang memberitahu terus-terang, tidak kisah duduk serumah lelaki perempuan.

Contoh iklan:

  1. Open to couple, female or male.
  2. Rumah sekarang ada dua perempuan dan seorang lelaki.
  3. Tak kisah lelaki atau perempuan, janji bayar sewa tepat pada masa.
  4. Dan yang sewaktu dengannya.

Pada mulanya, saya juga menjadi jakun dan terkejut beruk dengan keadaan begini. Tapi lama-lama macam dah tak hairan. Antara iklan paling menakjubkan yang saya pernah jumpa:

  1. Mahukan lelaki lembut sahaja
  2. Penyewa mestilah memahami keadaan kami yang bercinta sesama gegirl. Hik hik hik. (ya betul, ada ‘hik hik hik’ di hujung ayat)

Jadi, modus operandi saya adalah mencari iklan yang mengatakan ‘Bilik untuk penyewa perempuan sahaja”.

Tetapi malang, M.O saya itu masih ada kekurangan. Tidaklah bermakna jika mereka mahukan ‘Perempuan sahaja’ sebagai penyewa rasmi, mereka tidak membawa masuk lelaki sebagai penyewa tidak rasmi.

Jadi nasihat saya adalah, cari iklan yang tertulis secara spesifik:

  1. Mahukan muslimah yang tidak sosial
  2. Lelaki tidak dibenarkan langsung dalam rumah.
  3. Lelaki adalah diharamkan sama sekali menjejakkan kaki walau seinci
  4. Dan yang sewaktu dengannya.

Happy house/room hunting! Wish me luck guys. Moga-moga ini peng’hijrah’an bilik terakhir untuk tahun ini. Dan tahun depan. Dan tahun-tahun akan datang.

Penat weh angkat barang. (T_T)

 
7 Comments

Posted by on December 1, 2012 in Bengong, jiwa kacau, Manusia, Pengalaman

 

tiga titik

1. Baru dapat tahu penulis buku “The 7 Habits of Highly Motivated People” dan motivator terkenal Stephen Covey sudah meninggal dunia beberapa minggu lalu.

2. Baru tahu juga, di Aurora, Colorado ada mass shooting dalam panggung wayang. Jumaat lepas. Masa filem Batman. 12 orang meninggal. 51 lebih cedera. Penembaknya adalah seorang pemuda berusia 24 tahun yang sedang belajar Neuroscience peringkat phD.

3. Sebenarnya kau takkan tahu apa yang ada dalam minda orang lain sampai mereka boleh membunuh sesuka hati.

4. Ternyata, mempunyai phD atau minda yang bijak bestari bukanlah penjamin kau adalah stabil dari segi mentaliti. Minda dan mental – dua benda yang tak sama rupanya.

5. Pembunuhan dan penyembelihan di Syria juga adalah sesuatu yang sangat disturbing. Sampai tak tahu nak cakap apa dah.

6. Membaca buku Veronica Decides to Die karya Paulo Coelho membuatkan saya terfikir – hidup yang monotonous adalah sesuatu yang menakutkan. Sampai ada yang sanggup mati dari menjalani hidup sebegitu.

7. Walaupun saya tak setuju dengan Veronica, tapi sekurang-kurangnya saya faham apa yang dia rasa.

8. Psikiatri adalah satu profesion yang sama seperti doktor gigi. Orang takkan pergi kalau tak terdesak. Tak ada orang yang suka mengadap pakar psikiatri. Sebab tak ada siapa yang nak mengaku dia ada masalah jiwa atau sakit jiwa atau dalam erti kata mudah – gila.

9. Apabila ada manusia yang mengatakan “Ah, psikiatri itu pun sebenarnya orang gila”, Ia membuatkan saya teringin nak belajar psikologi. Tentu, saya juga akan disangka gila.

10. Tapi, sebelum itu banyak benda lagi nak belajar sebenarnya.

Belajar tukar tayar kereta, menunggang motosikal, berenang, menjahit (walau sebiji butang baju), buat kek, bahasa Jepun, seni pertahanan diri (apa-apa saja), belajar main snooker, bowling, dan banyak lagi.

11. Kadang-kadang, manusia terlampau mencari apa erti hidup sampai manusia sendiri lupa untuk benar-benar hidup.

12. Rest In Peace (pada semua jiwa-jiwa yang terkorban) Mereka ini tak berdosa sekelumit pun pada si pembunuh.

13. Dosa mereka hanyalah kerana bersifat idealistik untuk pergi ke panggung wayang dan menonton filem paling dinanti-nanti abad ini, dan menganggap mereka akan hidup lepas 2 jam 40 minit di dalamnya tanpa menyangka akan ada pembunuh gila yang menembak mereka sesuka hati.

14. Apa pula dosa kanak-kanak di Syria? Hanya kerana mereka lahir di Syria – pada waktu yang salah di tempat yang salah.

15. Rest In Peace.

 
Leave a comment

Posted by on July 23, 2012 in Dunia, jiwa kacau, Manusia

 

Blok untuk Menulis.

This is exactly my condition right now.

Dah 20 tahun tak update blog.

Sebetulnya banyak benda nak dicerita. Malah, ada peristiwa yang berlaku berbulan-bulan lepas pun masih terpendam dalam hati tanpa dikeluarkan di sini.

Banyak benda nak dicerita. Nak ditulis. Nak diberitahu.

Banyak sangat.

Tapi entah kenapa, setiap kali melihat skrin komputer, minda jadi macam Najwa Latif.

Kosong.

Mungkin betul kata Kelambu. Kadar graf keinginan menulis dalam blog berkadar terus dengan peningkatan umur. Semakin meningkat umur seorang blogger, semakin malas beliau mahu menulis.

Mungkin.

Mojo dah hilang, kot.

Teringat dulu, zaman mula-mula blog ini dicipta, sebulan boleh dapat sampai 20 entri. Tapi sekarang, nak dapat 5 entri pun payah. Kalau cecah 10 entri, itu sudah dikira satu keajaiban. Boleh masuk rancangan Ripley’s Believe it Or Not.

Tiba-tiba teringat kata-kata seorang blogger, bahawa blog adalah seperti binatang peliharaan. Mesti ada komitmen kuat dan rasa tanggungjawab untuk menjaga binatang peliharaan kau. Tapi, mula-mula memang kau sayang gila pada dia, lama-lama kau akan jadi bosan dan mula abaikan dia.

Tapi, walau macam mana pun, akhirnya kau akan jadi kasihan dan takkan sampai hati nak biar dia mati.

Entri ini adalah salah satu usaha untuk tidak membiarkan blog ini mati.

Yes, sounds pathetic. But that’s the truth. Sigh ~

 
1 Comment

Posted by on June 25, 2012 in Bebelan saya, Bengong, jiwa kacau

 

surat terbuka untuk haikal

Haikal,

Kita tak tahu macam mana nak mula tulis surat ini. Sebelum ini, tak pernah terlintas sedetik pun di cepu fikir kita bahawa suatu hari nanti kita akan menulis warkah untuk awak. Sebab kita ingat awak aka nada dengan kita, temankan kita sampai bila-bila. Tapi, rupanya kita silap. Awak pergi tanpa diduga, meninggalkan kita sendiri terkaku sepi tanpa bicara.

Haikal,

Sebenarnya tujuan kita tulis surat ini adalah untuk beritahu bahawa kita rindukan awak sangat, sangat. Benar-benar rindu kepada awak. Kejam kan kita? Sepanjang awak dengan kita, tak pernah sekali pun kita ucap rindu dan sayang pada awak. Bila awak dah tak ada, barulah kita rasa kehilangan yang sangat besar dalam hidup. Pemergian awak bagai mencabut pergi sebahagian ruang dalam jiwa kita, dan ruang itu sampai sekarang masih kosong, tiada berganti.

Haikal,

Kita ingat lagi pada tahun 2003, semasa ayah telefon kata dia sudah ‘pinang’kan awak untuk kita, kita gembira tak terkata. Senyum kita lebar sampai ke telinga. Lepas itu, awak sentiasa ada di mana-mana temankan kita. Awak ada semasa kita sibuk dengan tugasan kuliah. Apabila kita tengah bosan, awak ceriakan kita dengan cerita-cerita lucu. Apabila kita sedih, awak hiburkan kita dengan lagu-lagu. Apabila kita hilang semangat, awak carikan semula semangat kita dengan kisah-kisah yang membangkitkan motivasi. Terima kasih awak!

Haikal,

Awak tahu tak, setiap kali awak jatuh sakit, kita jadi resah gelisah tak tentu arah. Kadang-kadang mungkin kerana usia atau hentakan kuat di kepala, awak kena amnesia, dan doctor terpaksa padam balik semua memori awak dan bina semula memori baru. Entah berapa kali memori awak terpaksa ditukar ganti, kita pun sudah lupa.Tetapi, walau berulang kali jatuh sakit dan pulih kembali, awak tetap setia temani kita, di kala sihat atau sakit, di kala senang atau susah, di kala gembira mahupun gundah, awak sentiasa ada.

Haikal,

Tadi kita singgah di kedai gajah purba gading panjang. Saja-saja kita mahu menjenguk kalau-kalau ada yang boleh dibuat pengganti, tapi sayang, tak ada satu pun yang berkenan di hati. Kita langsung tak tertarik pada Lokman, Farid, Helmi, Jonathan ataupun Malik yang menjeling manja dari bawah cermin kaca, cuba-cuba menggoda dan memancing minat kita untuk memilih mereka. Ikatan kimia antara kita dan mereka lemah dan longgar. Tak serupa seperti ikatan kimia antara kita dan awak.  Awak memang payah untuk diganti, Haikal.

Tadi kita telefon mak lagi. Luahkan rasa rindu kita pada awak yang sering datang menjengah sanubari. Kata mak untuk pujuk kita “ Sudahlah dik…barang yang lepas usah dikenang, sudah menjadi miliknya orang…”

Jadi Haikal *tarik nafas panjang*

Walau berat hati, kita terpaksa terima akan kehilangan awak. Walau amat payah, kita lepaskan juga pemergian awak. Tetapi, percayalah, sampai mati pun kita tak akan maafkan si celaka yang telah merampas awak pergi dari kita. Akan kita tuntut di Padang Mahsyar kelak.

Haikal,

Semoga awak baik-baik saja, di mana pun awak berada.

Dan ya, kita rindu bangat sama awak.

 

Yang benar,

Kita-yang-sudah-gila-meroyan-tak-dapat-main-games-dan-tengok-Desperate-Housewives-terus-menerus-dari-musim-satu-hingga-enam-dem!

:rujuk sini untuk gambar Haikal:

 
2 Comments

Posted by on November 15, 2010 in jiwa kacau, Saja Mengada

 

keliru

Jadi baik hati dan orang buli,

Atau jadi keji dan orang benci?

Jika dua pilihan ini saja yang ada, mana satu kamu pilih?

 
6 Comments

Posted by on May 14, 2010 in jiwa kacau