RSS

Category Archives: famili

Saya ada untuk kamu.

Dalam dunia ini banyak benda yang susah untuk kita faham. Kerana setiap manusia adalah unik dan tidak mempunyai aliran pemikiran yang sama.

Seorang doktor moden tidak faham kenapa ada yang memilih untuk berubat alternatif homeopati apabila yang sebenarnya kanser beliau cuma boleh dirawat dengan kimoterapi.

Seorang bomoh tidak faham kenapa ada manusia yang memilih untuk berbelanja beribu-ribu ringgit untuk dibedah apabila beliau dengan mudahnya boleh menghalau ‘jin’ dan ‘jembalang’ dalam tubuhnya dengan jampi serapah.

Seorang jurutera yang berfikiran teknikal tidak akan faham bagaimana seorang pemuisi mampu menjadi begitu puitis hanya dengan melihat langit dan laut.

Begitu juga seorang wanita yang berjiwa seni tidak akan faham kenapa teman lelakinya memberi seketul blender pada hari kekasih, sedangkan yang lebih dia mahu hanyalah puisi cinta dengan sekuntum mawar merah.

Jadi hakikatnya, banyak benda yang kita tak akan faham tentang orang lain. Kerana kita semua tidak sama jiwa dan pemikiran. Kerana itulah perlunya saling memahami dan bertolak ansur. Saling menerima dan terbuka.

Saya – contohnya, tidak akan pernah faham sampai bila-bila, kenapa ada wanita yang sering mencipta alasan dan bertahan dengan lelaki-lelaki yang mendera mereka, mental dan fizikal. Saya tidak faham bagaimana ada wanita yang masih berkata “Ini semua salah aku” apabila dirinya diterajang bertubi-tubi. Saya juga tidak faham akan wanita yang masih bertahan, sedaya upaya walau dirinya ditipu, lagi dan lagi, berkali-kali.

Akan tetapi, saya baru sedar bahawa ketidakfahaman saya itu adalah hasil daripada sikap ignorant diri saya sendiri. Saya tidak mahu mencuba untuk peduli. Saya tidak mahu mencuba untuk meletakkan diri dan memakai kasut mereka. Dan, sama sekali bukan silap mereka jika saya tidak faham.

Manusia, jika terjadi sesuatu yang mereka sukar untuk fahami, jalan mudah adalah untuk terus menghukum. Cepat saja untuk menghakimi. Sedangkan, yang sebenarnya perlu mereka lakukan adalah cuba untuk peduli. Dan memahami.

Seorang yang bertudung labuh cepat saja memandang jijik pada wanita yang telanjang rambutnya dengan warna-warna perang.

Seorang wanita yang berambut bebas (free hair) mudah saja mencebik pada wanita yang berpurdah.

Cepat benar kita membuat andaian bahawa wanita begitu rosak akhlak atau wanita begini kolot dan jumud, tanpa cuba mengenali siapa mereka sebenarnya di sebalik penampilan mereka.

Saya baru sedar bahawa saya adalah antara manusia yang begitu cepat menghukum. Begitu mudah menghakimi. Sedangkan diri saya sendiri bukanlah terlalu sempurna untuk menghukum dan menghakimi orang lain.

Baru-baru ini saya berada dalam persimpangan apabila terjadi sesuatu yang sukar saya fahami. Lantas saya memilih untuk berpaling. Dan menjauh. Kerana saya tidak mahu peduli perkara yang saya tidak faham.

Kemudian saya terbaca bahawa Oprah Winfrey, mogul media yang kaya-raya itu juga, pernah begitu ketagihkan cinta lelaki. Walau dilayan seperti sampah, tetapi beliau masih sanggup bertahan hingga ke tahap melutut dan merayu supaya tidak ditinggalkan.

Lantas, ia membuatkan saya terfikir bahawa jika wanita sekaya dan seberjaya itu pun pernah lemah dan jatuh rebah, tentu ia akan terjadi kepada wanita-wanita lain. Kerana setiap orang tidak sama. Ada yang mampu berdikari, ada yang perlu bergantung pada orang lain untuk berdiri.

Jadi, adalah satu kezaliman bagi saya untuk tidak mempedulikan orang lain yang perlukan pertolongan, perlukan nasihat, perlu mengadu kepada saya, hanya kerana saya tidak faham dengan keadaannya.

Jadi, ini adalah permohonan maaf saya kepada beliau. Ini adalah cara saya untuk mengatakan:

“Saya tidak faham kamu. Tapi saya ada untuk kamu. Ini telinga saya. Ini bahu saya. Mengadu dan menangislah sepuasnya. Saya ada.”

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on May 3, 2014 in famili, Peribadi

 

Kronologi Ogos 2013

Bulan Ogos untuk tahun ini. Macam-macam perkara berlaku. Ini secara kronologi, seringkas mungkin.

1 Ogos 2013

Genap 2 tahun bekerja di Kuala Lumpur. Cepat sungguh masa berlalu. Untuk seseorang yang pernah belajar dan bekerja di tempat yang aman damai tenang sunyi seperti Gambang, Taiping dan Seri Iskandar, sememangnya menetap di KL adalah satu kejutan budaya buat saya.

kuala-lumpur-HDR

Antara yang membuatkan saya agak terkejut masa mula-mula menjejakkan tapak kaki di sini adalah:

  • The traffic jam. Ya Tuhan, unbelieveable. Di Taiping, saya cuma mengambil masa 7 minit untuk ke tempat kerja. Di sini saya perlu bertolak 30 minit / sejam lebih awal.
  • Adalah perkara biasa rupa-rupanya, untuk melihat jalan raya sudah penuh dengan kenderaan seawal 6.30 pagi. Jika di Taiping, kau masih boleh berguling-guling atas jalan pukul 7.00 pagi.
  • Sumpah, saya tak pernah tengok manusia yang begitu gila shopping sepertimana di KL. Seolah2 setiap warganya telah diprogramkan minda untuk menjadi hilang akal ketika musim sales. Saya melihat ini ketika singgah di Jusco untuk membeli sepasang stokin dan….humang aih, manusia ramai tak hengat. Rupa-rupanya hari itu adalah AEON JCard Day. Ouh-kay…Macam itu rupanya.
  • Lelaki dan perempuan boleh duduk serumah dan sesuka hati mengiklankannya di Mudah.My.
  • Kuala Lumpur adalah syurga pusat membeli-belah. Saya agak terkesima melihat besar-besar gedabak dan bersepah shopping complex di sini.
  • Kos sara hidup – tinggi tak ingat. Saya sewa sebuah rumah teres setingkat dengan harga RM150 di Taiping. Tapi jumlah sebanyak itu tak mampu lagi nak bagi kau sebuah bilik kecil di flat sempit.
  • Malam di Kuala Lumpur – heaven. Saya suka pemandangan KLCC waktu malam. Tengok banyak kali pun tak jemu.
  • Mindset MYOB (Mind Your Own Business) yang tinggi di antara warganya. Bersepah2 kereta rosak di tepi jalan, tapi jarang sangatlah tengok orang berhenti dan membantu. (termasuklah saya =P)

Ok, itu saja kejutan budaya saya. Tapi sekarang macam dah lali kot dengan keadaan di sini.

Tempat kerja yang sekarang – awesome. Cuti banyak, kawan-kawan best, boss sempoi, selalu ada makan-makan, flexible hours, ada insuran perubatan, etc etc. Seriously, no complaint at all. I’m happy here. (^_^)

Read the rest of this entry »

 
4 Comments

Posted by on August 28, 2013 in famili, Kerja, Peribadi

 

Untuk ibu. Di hari jadi.

23 November 1958

Dear God,
I can’t thank You enough,
For the day my mom was born,
For choosing me to breath life out from HER womb,

For blessing me with the best, the greatest and the most wonderful mother in the universe.The one that believes in me when I doubt myself.
The one that sheds tears when I am sad.
The one that laughs when I am joyful.
The one that will listen, to my endless stories, over the phone, at any time, any day, for hours and hours, without a sigh.
The one who will pick up my call, during working hours, just to answer my silly question “Mak, goreng cekodok guna tepung apa?” “Guna tepung gandum sayangku…” =P
The one who will come to my rescue when I’m in trouble.
The one I owe for everything I was, I am and I hope to be.

And because of that, I’m truly blessed and grateful.

To my best friend, my confidante, my mother,
I wish you “Happy birthday mom”
Aishiteru. =)

“But there’s a story behind everything. How a picture got on a wall. How a scar got on your face. Sometimes the stories are simple, and sometimes they are hard and heartbreaking. But behind all your stories is always your mother’s story, because hers is where yours begin.” – Mitch Albom, For One More Day

 
2 Comments

Posted by on November 23, 2012 in famili

 

ayah, maafkan anakmu ini.(yang hanya mahu dihargai tetapi tidak tahu menghargai)

suatu waktu dahulu, di sebuah daerah lampau, dalam sudut kenangan paling dalam, seorang teman pernah bertanya kepada saya,

esok hari ibu. saya mahu masakkan sesuatu untuk ibu saya. apa pendapat awak?

teman itu seorang lelaki. dan apabila anak lelaki mahu masakkan sesuatu kepada ibunya, saya kira itu adalah hadiah paling istimewa. paling berharga.

seolah-olah saya, sebagai anak perempuan, tolong membaikikan kereta ayah yang sudah lama terperuk kerana rosak.

dan pada hari bapa, ada nota yang bertulis “ayah, adik dah repairkan kereta ayah. selamat hari bapa! =)” elok terletak di windshield kereta.

metaforanya begitu.

kerana anak perempuan tidak bisa membaiki kereta. mungkin ada tapi jarang.

sepertimana anak lelaki tidak bisa memasak. memang ada tapi jarang.

jadi, perkara-perkara yang jarang dibuat, tetapi dilakukan untuk orang tersayang, tentu ia sangat berharga.

jadi, saya menyokong teman saya itu. saya katakan padanya

“bagus sekali. masakkan makanan yang ibu awak suka. dan tinggalkan nota di bawah tudung saji. katakan awak sayangkan dia dan masakan ini sempena hari ibu.”

malam itu saya menelefon dia. bertanya apa reaksi ibunya setelah menerima kejutan hadiah sempena hari ibu.

dia menjawab, dalam nada suram dan kelam,

“entahlah. dia diam sahaja.”

“awak letak nota tak di bawah tudung saji? kata awak masakkan ayam masak kicap itu untuk dia sempena hari ibu?

“sudah. dia nampak. tapi dia buat tak tahu. sampai sekarang dia tak cakap apa-apa. dia makan saja.”

entah kenapa, hati saya luruh. dapat saya rasakan, tentu hatinya lebih pedih lagi. mungkin ibunya seorang yang konservatif. orang dulu-dulu yang tidak bisa menunjukkan kasih sayang. tidak betah memeluk cium anak-anak apabila sudah besar.

saya bayangkan jika ibu di tempatnya. tentu, ibu akan memeluk dan mencium saya. walau saya sudah berusia dua puluhan. dan akan mengatakan terima kasih. dan memberitahu dia juga sayangkan saya. dan memuji-muji betapa saya anak yang baik kerana mengingati hari istimewanya.

entahlah. semua ibu tidak sama. walaupun saya pasti, ibunya juga tentu amat sayangkan dia. cuma cara menunjukkan itu yang berbeza.

hari ini, saya merasa apa yang dia rasa.

rasa tidak dihargai.

menempahkan sebuah bilik apartment di port dickson untuk keluarga bercuti, rupa-rupanya menghadiahkan saya sebuah duka tersembunyi.

ayah menelefon marah-marah. katanya bilik terlampau panas. penghawa dingin rosak. dia mahu pulang katanya. dan tidak mahu menghabiskan baki percutian yang tersisa.

air mata hampir luruh mendengar suara keras ayah di corong telefon. tetapi saya sabarkan hati. ayah memang begitu. barannya masih ada. lantas saya berurusan dengan pemilik apartment. mohon ditukarkan bilik.

urusan selesai.

sekarang saya masih lagi di bilik pejabat. terasa keterujaan untuk menyertai keluarga bercuti di port dickson pada keesokkan hari mati serta merta. padam lenyap begitu sahaja.

kemudian saya ingatkan diri, bahawa rasa ‘tidak dihargai’ ini sebenarnya kecil sahaja. sekelumit cuma. sebesar hama. sehalus kuman. sekenit bakteria.

saya teringatkan telefon bimbit beratus ringgit yang ayah belikan. jatuh dalam air dan langsung rosak tak boleh dibaiki lagi.

telefon sebelum sebelum itu, juga ayah belikan, hilang tertinggal entah di mana.

jam tangan yang ayah beri sempena hadiah nombor satu ketika sekolah rendah, pakai sekejap sudah hilang.

rantai leher, buku sekolah, jam tangan, telefon bimbit, external hard disk, walkman, mp3 player, laptop dan entah berapa banyak lagi barang yang ayah belikan, pasti hilang , dicuri orang, tertinggal di mana-mana atau rosak.

kerana saya tidak tahu menjaga. kerana saya asyik terlupa. kerana saya rasa tidak penting. kerana saya tak tahu menghargai.

“apa saja barang yang ayah beli, hangpa tak pernah nak hargai”

pernah ayah mengeluh, begitu. dulu. kepada kami adik beradik.

jadi, apalah sangat ‘pengorbanan’ saya yang baru satu ini sahaja, berbanding entah berapa ribu yang ayah berhabis untuk saya,

dan tak pernah saya hargai. tak pernah saya hargai.

minta maaf ayah. atas kekhilafan anakmu ini.

minta maaf. minta maaf sekali lagi. =(

 
2 Comments

Posted by on October 24, 2012 in famili, Nostalgia

 

Ibuku sayang (“,)

 

Beberapa hari lepas, saya dapat SMS daripada ibu tercinta.

“Sorry tak telefon balik malam tadi. Lupa ar.”

 

Lupa ar?

Amboi mak…. remaja no… (bak kata Kak Tasik)

=P

 
Leave a comment

Posted by on September 27, 2012 in famili

 

perihal panik dan pintu

Ketika saya  berumur 4 tahun, saya dan kakak pernah terkunci di dalam bilik air. Pada mulanya kami merancang untuk berendam di dalam tab mandi sambil berlakon sebagai ikan duyung. Untuk mengelak dari pengetahuan mak dan ayah, pintu bilik air kami kunci supaya kami dapat menjadi ‘ikan duyung’ dengan senang hati.

Kemudian, saya tidak berapa ingat apa yang berlaku selepas itu. Sudahnya, saya hanya tersedar apabila ayah mencempung saya keluar dari tab mandi. Kata ayah, dia terpaksa memecahkan pintu bilik air kerana panggilan dan ketukannya yang  bertalu-talu tidak kami jawab. Sebaik saja pintu terbuka, kata ayah lagi, kepala saya sudah terendam di dalam air dan hampir lemas.

Jujurnya, saya benar-benar tidak ingat apa yang berlaku.

Baru-baru ini, anak saudara saya, Anas telah terkunci di dalam bilik. Saya dan kakak cuma tersedar apabila mendengar rengekannya di dalam bilik.

Kami panik. Kunci pendua bilik pula tidak ada.

Dengan tangan yang menggigil, saya mencuba satu-persatu kunci yang kami jumpa. Entah bagaimana, tiba-tiba tombol pintu dibuka dan keluarlah si comel Anas sambil tersenyum riang. Kami lega, selega-leganya. Syukur yang tak terhingga.

Anas Sufyan, umurnya baru 1 tahun 6 bulan, masih tidak tahu bercakap dengan jelas, masih berjalan terkedek-kedek, masih hisap botol susu, masih tidak tahu memakai kasut sendiri, masih belum tahu membezakan mana satu bahu mana satu siku dan sudah tentu masih belum tahu menulis dan membaca, tetapi mujurlah, mujur yang tersangat mujur, dia tahu MEMBUKA PINTU sendiri (walau tak ada siapa pun yang mengajar)

Jadi, saya kira ini adalah iktibar dan pengajaran untuk semua ibu-ibu di luar sana (dan untuk saya juga jika ditakdirkan menjadi ibu satu hari nanti):

1. Sebaik sahaja anak-anak sudah tahu berjalan dan berlari, selain daripada mengajarnya bercakap, mengenal mana kepala mana satu mata, mengenal huruf dan angka, atau apa-apa saja yang boleh diajar, ajar juga dia untuk membuka pintu sendiri. Sekurang-kurangnya jika terjadi kejadian dia terkunci di dalam bilik, tidak kiralah bilik di mana (rumah sendiri, rumah pengasuh, rumah nenek di kampung, etc), at least  dia tahu untuk buka pintu sendiri.

2. Sentiasa simpan kunci pendua bagi setiap bilik di rumah.

3. Letak sendal pintu di bawah pintu bagi mengelakkan pintu tertutup sendiri.

Sekian tips hari ini. Kalau ada apa-apa tips lain yang berguna, boleh kongsi bersama.

 
Leave a comment

Posted by on March 22, 2012 in famili

 

mak dan ayah

Beberapa bulan lalu:

Lewat panggilan telefon,

Anak:

Ayah, adik dah jumpa satu rumah sewa ni. Cantik. Harga pun ok. Dekat  sangat dengan tempat kerja. Ayah rasa macam mana? Adik rasa dah ok la…. bla-bla-bla!*nada teruja*

Ayah:

Laa…kalau dah suka ambik je la….apa la yang payah sangat…isk isk isk!

Anak:

Err….ok…. mak ada tak? Nak cakap dengan mak jap.

Ayah:

Ani oooo Ani….!!!

Anak:

Mak, adik dah jumpa satu rumah sewa ni. Cantik. Harga pun ok. Dekat  sangat dengan tempat kerja. Mak rasa macam mana? Adik rasa dah ok la…. bla-bla-bla!*nada teruja*

Mak:

Ye ke? Kejap mak check dekat Google Image. Apa nama tempat tu? Oooo…mak dah nampak dah….ok laa…tapi cat bangunan tu macam lama laa….ada security guard tak? Tapi dari gambar memang cantik la…bla-bla-bla-pok-pek-pok-pek. Kawasan sekeliling selamat tak? Kalau tak ada kolam renang tak bestla. bla-bla-bla-pok-pek-pok-pek

Dan perbualan pun berlangsung selama satu jam

Kesimpulannya, patutlah lelaki selalu nampak lebih muda. Mereka tak suka pening-pening kepala fikir benda-benda remeh.

**********

Beberapa minggu lalu,

Lewat panggilan telefon,

Anak:

Ayah, ada sorang kawan adik tu kan….*mengumpat*mengumpat* Tak best la….Dia selalu ….. *mengumpat*mengumpat* Tertekan betulla…*meluahkan perasaan* Dah tu pulak dia tu….. *mengumpat sambil sedekah pahala free kepada budak tersebut*

Ayah:

Takpela. Biarla. Lain-lain orang lain-lain la perangai. Janji kita buat kerja kita. Jangan kacau hal orang.

Anak:

Err….ok…. mak ada tak? Nak cakap dengan mak jap.

Ayah:

Ani oooo Ani….!!!

Anak:

Mak, ada sorang kawan adik tu kan….*mengumpat*mengumpat* Tak best la….Dia selalu ….. *mengumpat*mengumpat* Tertekan betulla…*meluahkan perasaan* Dah tu pulak dia tu….. *mengumpat sambil sedekah pahala free kepada budak tersebut*

Mak:

Ye ke?  Mak dulu pun ada kawan macam tu *mengumpat sikit-sikit*. Lepas tu mak pun apa lagi….bla-bla-bla-pok-pek-pok-pek. Kita ni kena tegas Ila. Bla-bla-pung-pang-pung-pang.

Dan perbualan pun berlangsung selama satu jam

Kesimpulannya, patutlah lelaki paling ramai masuk syurga. Mereka tak suka mengumpat. Isk Isk…. 😦

Nota tapak kaki:

Saya bercerita semua benda dengan mak. Kerana respons mak lebih ‘aktif’ berbanding ayah. Kerana itu kadang-kadang telah membuat ayah terasa hati kerana kami (saya dan kakak) bergayut lebih lama dengan mak. Kadang-kadang saya tetap akan ambil hati ayah dengan berbual perkara-perkara yang dia suka, tentang politik misalnya.

Saya cuma tertanya-tanya, adakah semua ayah dan anak perempuan akan jadi begini apabila anaknya sudah dewasa?

Ada tak ayah yang lebih banyak bercakap dari si ibu?

Saya fikir perkara begini tidak akan terjadi jika saya adalah anak lelaki, agaknya lah.

Sebab anak lelaki juga pendiam dan jarang mahu bergayut lama-lama, dengan ibu mahupun bapa.

Atau sebenarnya anak lelaki dewasa juga lebih senang berbual dengan ibu, betulkah?

 
4 Comments

Posted by on February 27, 2012 in famili