RSS

Category Archives: Bebelan saya

hari membebel sedunia

  • Melayari laptop ayah, saya jumpa laman blog ini berada di bahagian bookmark. Diam-diam, saya padamkannya. Entah kenapa, sampai bila-bila pun rasa tidak selesa itu masih ada, jika ahli keluarga membaca blog ini.
  • Maaf kepada siapa-siapa yang masih bertanya, adakah saya masih menjual buku-buku teks Chemical Engineering zaman belajar dulu. Tidak ada. Saya sudah tidak menjual buku-buku tersebut. Ada yang telah saya jual sedikit, dan selebihnya, biarlah disimpan saja.
  • Ramadhan dah 20 hari. Progress iman – masih nil.
  • Sejak akhir-akhir ini, asyik risaukan mati. Tidak tahu kenapa. Takut mati – tanda masih belum cukup persediaan. Ya, tidak akan pernah bersedia untuk mati. Mengenangkan dosa-dosa yang menggunung itu, hanya mampu berharap diberi peluang untuk mencari jalan pulang. Walau sepuluh ribu kali sesat, tetap mahu pulang. Tetap.
  • Saya selalu serba-salah jika orang2 terdekat ditimpa kesusahan. Tidak tahu bagaimana mahu menenangkan. Kerana saya tidak berada di situasi dia. Tidak berdiri dengan kasutnya. Tidak tahu ayat apa yang sesuai untuk memberi kata semangat. Kerana khuatir akan dikatakan “kamu tidak faham sebab kamu tidak rasa apa yang saya rasa”. Jadi, apa yang mampu saya lakukan adalah mendengar dan mendengar. Dan berada di situ jika dia memerlukan. Dan memberi sedikit kata-kata perangsang. Harap dia baik-baik saja. Harap semangatnya tidak luntur sepenuhnya. Harap dia bangkit semula. *peluk kuat*
  • Jiwa agak runsing. Entah kenapa.
  • Baru lepas membaca buku ‘Commitment’ dari Elizabeth Gilbert. Ada banyak persoalan yang bermain di minda. Nantilah, lain kali akan saya tulis tentangnya.
  • Tahun ini, seperti biasa tidak ada baju raya. Saya sudah berhenti membeli baju raya sejak 4 tahun lepas. Kerana selalunya, emak yang akan membelikan baju untuk saya sejak kecil sampailah habis belajar. Apabila sudah bekerja, saya jadi malas pula membeli baju raya sendiri. Cuma tahun lepas, saya beli juga, selepas puas dipujuk dan dibebel oleh emak.
  • Tiba-tiba terasa mahu kembali ke UTP. Kali terakhir ke sana 2 tahun lepas. Dengar cerita kawasan Seri Iskandar macam dah banyak kemajuan. Ada Tesco, McD, bagai.
  • Hidup masih lagi rutin. Yang itu-itu juga. Politik masih lagi memualkan. Dunia masih lagi penuh dengan darah dan peperangan. Yang menambah sedikit excitement dalam diri adalah ketika membuat persiapan perkahwinan. Bukan kerana berfikir mahu kahwin, tapi persediaan untuk event itu agak mengujakan. Mungkin saya patut jadi wedding planner satu hari nanti.
  • Saya tak faham kenapa ramai sungguh umat manusia yang beratur di McD semata-mata untuk mendapatkan seketul patung minion yang lepas 3 bulan akan disepah-sepahkan tak tahu letak di mana?
  • Saya suka rumah sewa sekarang. Sudah tak ada masalah lelaki suka hati masuk dalam rumah. Housemates pun ok.
  • Saya agak bosan membeli di bazaar ramadhan. Tapi saya malas masak. Jadi, tak tahu nak berbuka apa. Seorang kawan mencadangkan “Makan saja dinding-dinding rumah tu kalau dah malas tak tahu nak makan apa” Ok, itu sarkastik. 😛
Advertisements
 
2 Comments

Posted by on July 29, 2013 in Bebelan saya

 

Bebel

1. Saya tak suka user interface wordpress yang baru. Semak.

2. Sikap suka menangguh-nangguh kerja atau procrastinating yang telah bersemadi dan berakar umbi dalam diri saya ini nampaknya telah memakan diri. Sebenarnya ia sudah memakan diri saya banyak, banyak kali tapi masih lagi, tak insaf-insaf-buruk-perangai-anak-sapolah-ni.

3. Sudah pukul 7.01 pm. Saya masih di pejabat, melayari internet, mendengar lagu, dan melakukan kerja-kerja lagha yang lain. Saya perlu balik sekarang juga.

4. Sebelum itu, saya nak update blog dulu.

5. Maaflah, saya membebel tanpa arah tuju. Tiba-tiba dan tak tentu pasal. Saya agak serabut sebenarnya. Jadi, maafkan lah bebelan mengada-ngada saya ini.

7. Saya tidak faham dengan diri sendiri yang suka benar membuka pintu masa lalu.Melihat-lihat, membelek-belek semula cerita-cerita dulu. Sedangkan saya sudah arif bahawa ia tidak pun membawa sekelumit faedah pun kepada diri saya, melainkan membuat saya lebih sakit hati sahaja.

8. Ada satu manusia, yang jika saya sebut sahaja namanya, saya akan secara automatik akan ‘bersedekah pahala percuma’ kepadanya (baca: mengutuk). Tapi apabila difikir-fikir semula, beliau banyak juga mengajar saya perkara baik. Tapi lumrah manusia, suka benar melihat titik-titik hitam padahal di sekelilingnya adalah warna putih suci.

9. Satu hari nanti, saya pasti akan menghubungi beliau. Meminta maaf secara ikhlas kepadanya. Pada Hari Raya barangkali. Tahunnya belum tentu lagi. Harapan saya semoga kami sama-sama panjang umur.

10. Yeay, dah cukup 10 point yang merapu meraban tak tentu hala. Maaflah, membuang masa kamu sahaja.

11. Kamu mesti tak perasan, nombor 6 sebenarnya tak ada.

Hahaha 😈

 
4 Comments

Posted by on June 18, 2013 in Bebelan saya, Saja Mengada

 

Cantik.

 

 

Untitled

Jawapan untuk yang bertanya dan tersesat ke blog saya:

“Beauty is in the eyes of the beholder” =)

Atau jawapan standard pertandingan Ratu Cantik,

“Kecantikan dalaman adalah lebih baik dari kecantikan luaran”

Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on December 2, 2012 in Bebelan saya, Saja Mengada

 

Persoalan tentang tudung.

Kalau dapat tahu seorang perempuan bawak lelaki bukan muhrim masuk dalam rumah, antara benda pertama yang ditanya adalah

“Perempuan tu bertudung tak?”

Apakah beza perempuan bertudung dan tak bertudung zaman sekarang ini?

Tudung zaman sekarang bukan lagi simbol wanita beriman.
Tudung bukan lagi lesen kau untuk dianggap mulia.
Tudung bukan lagi penyekat untuk kau buat maksiat.

Tudung sekarang adalah fesyen. Ada 1001 alasan kenapa seorang perempuan bertudung. Sebab agama, mak ayah suruh, boyfriend suruh, ikut kawan, sebab cool, sebab ikut trend, sebab fesyen, dan lain-lain.

Jadi, janganlah hairan jika wanita bertudung bawak lelaki ajnabi masuk rumah. Serius, tak hairan.

Tudung, selabuh mana pun, takkan mampu halang kau buat dosa, kalau kau tak ada iman di dada. Dan kau tak hayati pun kenapa kau pakai tudung pada mulanya.

Tudung tak mampu halang kau buat maksiat. Tak ada tudung yang – setiap kali kau bawak masuk lelaki – akan berbunyi siren dengan kuat dan berkata “SILA JAGA IMEJ KAMU SEBAGAI WANITA BERTUDUNG DAN HALAU LELAKI ITU KELUAR SEKARANG JUGA!”

Tak ada!

Tudung hanyalah sehelai kain yang kau pakai di atas kepala ketika keluar ke kota, dan akan kau tanggal ketika berbuat dosa, dan akan dipakai semula keesokkan harinya macam tak ada apa.

Jadi, kalau kau tahu kenapa kau bertudung, kenapa kau DISURUH bertudung, kenapa kau DIWAJIBKAN bertudung, sehelai kain atas kepala itu sudah cukup sebenarnya untuk halang kau buat dosa.

Masalahnya kau sendiri tak tahu kenapa kau bertudung.
Jadi tudung hanya tinggal sebagai sehelai kain yang tak bawak erti apa-apa.

Sekian, tazkirah untuk diri sendiri juga. Untuk lebih menghayati erti sehelai tudung yang dipakai di kepala.
 
4 Comments

Posted by on December 1, 2012 in Bebelan saya, Refleksi

 

Chicks? Eewwww… (-_-“)

Adam: You chicks like that words, don’t you?

Amal: I hate it when you say chicks! What is it about female gender that even vaguely resembles a yellow fur ball that chirps and eats worms?

– from the book Does My Head Look Big In This by Randa Abdel Fattah-

It is so true. We are not chicks. We are ladies, women, girls, mothers, daughters, wives, sisters, lovers, grandmothers, granddaughters, etc.

Over the centuries, we have become lawyers, engineers, doctors, dentists, accountants, teachers, lecturers, architects, housewives, businesswomen, presidents, singers, stewardess, runway models, CEO’s, nurses, dancers, writers, pilots, psychologists, computer programmers, and thousands other roles with thousands other responsibilities.

But, never, in the history of mankind – have we become – even once – a CHICK.

So nope, we definitely not chicks. Thank you.

 
Leave a comment

Posted by on October 21, 2012 in Bebelan saya

 

Monolog. Rawak.

i.

Setiap kali terlihat gambar wanita yang seksi – maksud saya benar-benar seksi – sehingga rasanya seperti kulit yang menutupi baju, dan bukan baju yang menutupi kulit – terpampang di laman muka buku, saya akan membelek sungguh-sungguh gambar itu.

Saya akan membelek dan meneliti terutama di bahagian leher.

Kalau ternampak buah halkumnya, maka saya akan menarik nafas lega.

Bukanlah maksud saya, tidak ada wanita yang seksi. Tetapi, selalunya, manusia akan lebih suka memperaga, benda yang dulu dia tidak ada. Kemudian dengan susah payah pula mendapatkannya.

ii.

Saya mula terfikir untuk menutup laman muka buku. Ia membuatkan saya menghakimi dan mengadili orang lain. Sedangkan diri saya sendiri serba tidak sempurna, kekurangan di sini sana, tidaklah layak menjadi judgemental.

Tetapi muka buku juga ada baiknya. Banyak ilmu yang disebarkan. Banyak nasihat yang boleh digunakan.

iii.

Di tempat kerja saya, yang dahulu, di Taiping, punctuality adalah benda nombor satu. Kalau Pengurus Besar panggil, kau kena cepat-cepat datang. Malah berlari-lari anak naik tangga untuk ke biliknya. Jika kau mahu dimaki hamun sesedap rasa, silalah berlenggang kangkung masak lemak apabila dipanggil Pengurus Besar.

Kalau mesyuarat pula, janganlah bermimpi untuk masuk lambat.

Kerana Pengurus Besar telah menetapkan undang-undang. Setiap minit yang kau masuk lambat, akan digandakan dengan jumlah manusia yang menunggu kau, dan kemudian akan direkodkan.

Contoh, jika mesyuarat pukul 2.00 petang, tetapi saya masuk pukul 2.05 petang. Sebaik saja saya masuk ke bilik mesyuarat, ada 10 orang kakitangan yang sudah menunggu, termasuk Pengurus Besar.

Maka, saya sudah lewat 5 minit dan telah menyebabkan 10 orang manusia menunggu. Oleh itu, setiausaha akan menulis di dalam minit mesyuarat:

Suhaila datang lambat 50 minit.

Nah, lihatlah betapa besarnya beza 5 minit dan 50 minit. Kerana itulah, tak ada siapa yang berani masuk lambat setiap kali mesyuarat.

Saya kira itu mungkin kerana budaya masyarakat Cina yang tulen dari negara China. Secara tak langsung, ia melatih kau berdisiplin dan menghargai masa. Dengar macam harsh, tapi itulah yang mengajar dan mendidik kau supaya tak berani buat lagi.

Manusia yang tidak punctual sebenarnya mementingkan diri sendiri. Ini kerana dia tidak memikirkan orang lain yang menunggunya. Saya fikir, benda ini harus dititik beratkan terutama di kalangan satu-bangsa-yang-tidak-boleh-dinamakan dan terkenal dengan sikap lenggang kangkung, suka bersantai-santai, dan tidak menepati masa.

Sehingga menjadi bahan jenaka dan disindir dengan kata-kata “Dah nama pun Janji ‘satu-bangsa-yang-tidak-boleh-dinamakan'”

Akan datang , perlu ingatkan diri sendiri juga untuk lebih menepati dan menghargai masa.

 
4 Comments

Posted by on October 6, 2012 in Bebelan saya, Manusia, Peribadi

 

Entri ini terinspirasi dari Pak Ungku Aziz.

Apabila Prof Ungku Aziz berkata baru-baru ini dalam temuramah dengan Berita Harian bahawa :

“Saya tidak mahu menjadi hamba internet”

Tatkala itu saya merasakan seperti tangan beliau keluar dari lembaran surat khabar itu dan menempeleng saya berkali-kali.

Sungguh, saya sangat tertampar dengan kata-kata beliau.

Ini kerana, mahu atau tidak, sedar atau tidak, saya sebenarnya sudah diperhambakan oleh internet.

 Apa saja yang mahu dilakukan, saya akan rujuk pada internet. Mahu membeli pencuci muka baru, search internet. Mahu tahu petua mengatasi kulit kering, search internet. Mahu tahu cara-cara menurunkan kadar degupan jantung, search internet. Pendek kata, saya seorang ‘penagih’ maklumat di internet.

Itu belum masuk cerita-cerita tak berfaedah pasal artis seperti siapa yang salah antara Neelofa dan Anzalna. Itu pun nak tahu. Macamlah bila mati nanti, soalan dua orang artis itu yang akan ditanya Munkar Nakir.

Dah tahu, tapi buat jugak. Aduhai…. 😦

Tapi, sedikit sebanyak saya agak bersyukur kerana tidak ketagih dengan laman sosial mukabuku. Mujur Tuhan tidak membukakan hati saya untuk menjadi hamba mukabuku. Ini kerana sejak saya mempunyai laman itu, boleh dikira dengan jari tangan dan kaki, berapa banyak status yang telah saya kemas kini.

Sebetulnya, saya sangat hairan akan manusia yang ketagihan muka buku. Apabila saya terserempak dengan gambar seorang wanita yang meletakkan gambar beliau di sisi anaknya yang masih bayi (dalam 9 bulan kot) di katil hospital, sambil tersenyum girang dengancaptionyang berbunyi “Dengan Boboi, sebelum masuk ke bilik bedah untuk buang tumor di otak. Doakan anak saya ini selamat…”, saya jadi sungguh takjub dan aneh.

Pernah juga saya terjumpa gambar seorang anak yang menjaga bapanya yang sedang koma, tetapi meletakkan gambar di muka buku, dengan caption “Menjaga ayah yang sedang koma. Doakan dia cepat sedar…” Kemudian terpampang gambar beliau sedang senyum di sebelah ayahnya yang tidak sedarkan diri.

Saya ternganga. Aneh. Hairan. Pelik.

Apa neraka kah ini?

Sedar atau tidak, kita sudah menjadi generasi yang gilakan ‘komen’ dan dahagakan seketul simbol ibu jari tegak bernama ‘like’. Kita meletakkan apa saja, menulis apa saja, dengan harapan mendapat komen dan like.

Kita dahagakan perhatian sebenarnya, kan?

Lantas, membuatkan saya rasa, betapa sunyinya menjadi manusia. Kerana kita sentiasa mahu diberi perhatian.

Apabila meletakkan gambar anak atau bapa yang sakit, maka berpuluh-puluh komen simpati dan ‘doa’ akan berbaris di laman muka buku kita. Ramai kawan-kawan yang mengucapkan selamat dan doa semoga cepat sembuh.

Ia adalah sesuatu yang sangat, sangat aneh.

Lantas, membuatkan saya terfikir, jika saya di tempat sang ibu, mempunyai anak yang ada tumor di otak, esoknya mahu pembedahan, apa yang akan saya fikirkan? Mungkin saya terlalu risau, terlalu sedih, jiwa saya terlampau resah dan gelisah, galau dan walang dan yang saya fikir, hanya mahu berada di sisi anak saya, setiap ketika sambil berdoa dan berdoa.Mungkin saya langsung tak terfikir untuk bergambar, apatah lagi menempekkannya di muka buku.

Ini kerana, saya pernah mengalami keadaan itu ketika ibu disahkan mengidap kanser dahulu.

Air mata turun setiap masa setiap ketika, tanpa mengira tempat dan suasana. Air mata turun ketika sibuk membuat eksperimen di dalam makmal, ketika melihat sampel di bawah mikroskop sempat lagi menangis, ketika mentelaah pelajaran di dalam billik, ketika makan di kafeteria, ketika berjalan di sepanjang koridor, kelenjar air mata begitu aktif bekerja 24 jam sehari.

Malah, ia menjadi begitu hebat saat melihat ibu baru habis pembedahan. Perasaan sedih untuk menghadapi kemungkinan hilang orang tersayang itu payah nak digambarkan. Dan, haram saya tak terfikir langsung untuk bergambar dengan ibu ketika itu untuk diletakkan di blog atau laman sosial. Malah, untuk tersenyum pun rasanya sudah tak mampu.

Saya akui, saya pernah menulis tentang ibu di blog ini. Memberitahu akan keadaannya dan memohon untuk sesiapa yang membaca untuk mendoakan beliau.

Tetapi, entah kenapa, tak tergamak rasanya untuk meletakkan gambar beliau dengan saya ketika itu. Saya rasa sangat janggal sekali.

Atau mungkin ini cuma teraplikasi untuk saya seorang. Mungkin, bagi orang lain, itu adalah perkara biasa. Bergambar dengan orang tersayang yang sedang sakit dan meletakkan di laman muka buku supaya orang lain boleh turut doakan adalah perkara normal.

Bergambar mungkin tak salah, tetapi……..kenapa perlu tersenyum segirang itu?

Haih.

Apalah yang saya tahu akan penangan mukabuku. Masuk pun cuma sekali sekala. Senarai kawan pun adalah dalam dua digit angka. Tulis status pun kadang-kadang sahaja.

Akan tetapi, apa yang saya lihat, selepas beberapa bulan mempunyai muka buku, ada satu perbezaan ketara antara muka buku dan blog.

Pengguna muka buku sangat pemurah dalam memberi komen. Padahal, pembaca blog kebanyakannya kedekut dalam memberi komen. (termasuklah saya, yang suka membaca blog orang lain secara senyap saja)

Ayah saya meletakkan gambar beliau berdiri di sebelah seketul Lamborghini-entah-siapa-punya.

40 komen berderet di laman muka bukunya.

Setengah orang menulis entri blog dengan lebih 1500 patah perkataan.

Adalah dalam 4 komen yang kelihatan.

Patutlah orang ketagih muka buku. Sebab manusia di dalamnya begitu suka memberi perhatian dan diberi perhatian.

Tetapi, walaupun ada berpuluh komen di status kau, tapi itu tak bermakna status kau itu hebat. Ini kerana, dari pemerhatian saya, kau tulislah apa benda status pun tetap akan diberi perhatian dan mendapat komen dari khalayak ramai.

“Laparlah hari ni”

“Marahnya…”

“Rindu dia….”

“Benci aku orang macam ni”

dan macam-macam status lagi yang tak sampai 10 patah perkataan, terus dapat komen bersepah.

Malah, saya yakin, jika kau tulis status paling merapu, paling keji, paling tak senonoh, paling ridiculous, tetap juga akan diberi perhatian.

Contoh,

“Hari ni gua kentut tiga serangkai. Bunyinya put…put…put…”

Saya jamin, berpuluh komen akan menjelma. Walaupun mungkin separuh daripadanya akan mengutuk dan memaki kau kerana memberi komen tak senonoh dan busuk seperti itu, but still they are comments, dan itu saja yang diambil kira.

Oleh kerana itulah, saya lebih gemarkan blog. Dan merupakan penagih kronik tahap kritikal kepada beberapa blog yang saya ikuti secara senyap atau bising. Ini kerana, kebanyakan blog-blog ini memberi lontaran idea, menulis tentang manusia dan perilakunya, bercerita tentang kehidupan yang dilaluinya, mengajak kita berdebat tentang sesuatu perkara, membuka fikiran kita untuk melihat sesuatu dari perspektif berbeza dan ada yang boleh memberi inspirasi kepada pembacanya.

Kalau mereka mendapat komen yang berpuluh-puluh, that is because they have earned it.

(Ouh, tolong abaikan komen-komen dalam blog gossip artis dan hiburan. Walaupun ada lebih 500 komen, tapi komen “aku first” atau “aku second” tak termasuk dalam contoh komen yang membina)

Saya sendiri terinspirasi dari sebuah blog legenda, yang penulisnya bernama Sera. Tapi, sekarang Sera sudah menyepi tanpa berita. Tetapi, tetap juga saya tidak akan lupa, betapa terinspirasinya saya tatkala membaca setiap untaian kata di blog beliau.

Dan sepanjang 4 tahun mengikuti blog beliau, mengkhatamkan 10 tahun tulisan beliau (1997 – 2007), cuma 2 kali kot, saya meninggalkan komen.

Bukankah sudah saya katakan, pengikut blog secara senyap, (seperti saya) seorang yang kedekut meninggalkan komen.

Untuk mengesahkan teori ini, biar saya beritahu entri ini saya tulis dengan 1083 patah perkataan, dah jadi 1087 sekarang, mari lihat berapa komen yang saya dapat. 😉

p/s: saya sedang berfikir-fikir untuk menyahaktifkan muka buku, tengoklah dulu macam mana. Ok, dah 1109 patah perkataan. 😛

 
4 Comments

Posted by on July 7, 2012 in Bebelan saya, Manusia