RSS

Holier-than-thou

22 Jun

Tangan saya menggigil masa menulis ini. Ada banyak sangat benda yang nak diluah tapi kadang-kadang, bila otak kau dah bersedia nak menyembur 5000 patah perkataan sesaat, tangan kau pulak jadi lambat nak pick-up  sebab tak tau nak tulis yang mana satu dulu. Bila otak dan jari jadi tak synchronize, itu yang buat menggigil tu.

Saya baru dikejutkan dengan berita seorang budak OKU berumur 15 tahun yang dijumpai dalam keadaan maha menyedihkan. Dengan baju koyak rabak, badan yang cuma tinggal rangka dibalut kulit, dikurung dalam bilik yang cuma berlantaikan tanah, dan penuh dengan najis dan sampah, saya rasa bukan saya sahaja yang terkejut. Semua orang terkejut rasanya.

Dan apa yang menyedihkan dan menaikkan api amarah saya adalah kerana kanak-kanak itu ada ibu bapa. Yes, bapanya dah bercerai dengan ibu dan mungkin tinggal entah mana hala langsung tak peduli keberadaan anaknya. Tapi yang hairannya, ibu beliau ada, masih hidup sihat dan walafiat, elok tinggal di rumah itu, tapi tegar membiarkan anaknya dalam keadaan azab sebegitu.

Jadi, binatang apakah ibu tersebut sampai membiarkan anaknya sebegitu rupa?

Saya tahu mungkin ramai binatang dan haiwan yang akan marahkan saya atau berkecil hati dan merasa terhina kerana saya menyamakan makhluk yang tidak layak digelar ibu itu se’spesis’ dengan mereka, kerana binatang pun sayangkan anak-anaknya, akan tetapi saya tidak tahu apakah lagi yang layak dipanggil kepada ibu yang sekeji ini.

Akan tetapi, yang amat menghairankan saya adalah, apabila ramai yang mengutuk perbuatan ibu tersebut, tiba-tiba ada yang bangkit bingkas membela beliau mengatakan “Kau suka-suka hati nak gelar orang binatang kau tu dah baik sangat kah?” atau “Dah kaya-raya senang-senang nak panggil orang binatang” atau ayat-ayat bajet maksum yang lain.

Sebenarnya, ada garis tipis antara manusia positif dengan manusia yang bajet maksum (holier than thou)

Manusia yang optimis, positif, opportunis, liberalis, idealis dan segala ‘is’ yang lain, mereka ini dikurniakan Tuhan dengan kemampuan untuk bersangka baik dalam semua hal.

Sebagai contoh komen seorang sahabat:

“Entahlah. Kita tak tahu apa yang berlaku. Mungkin ibu itu ada alasan sendiri”

Itu adalah orang yang bersangka baik. Walaupun saya  tak bersetuju kerana terang-terang kau tinggal serumah dengan budak tu macam mana boleh biar sampai tinggal rangka? Dah tu anak kau sendiri pulak tu? Tapi saya diamkan sahaja kerana setiap orang berhak di atas pendapatnya.

Dan banyak juga orang yang bersangka baik seperti ini. Di mana kehadiran mereka boleh mengimbangkan antara manusia yang mudah beremosi (macam saya) dengan manusia yang langsung tak nak ambil peduli.

Cuma saya fikir, bersangka baik pun mungkin perlu bertempat.

Seperti jika artis bercerai kita tak tahu salah siapa, jadi tak payah nak jadi hakim menghukum siapa-siapa. Mungkin mereka ada masalah sendiri di sebalik rahsia rumahtangga. Itu bersangka baik.

Atau orang tu mungkin bawak kereta laju berdesup sampai menyelit kiri-kanan tu, mungkin nak cepat balik rumah sebab isteri nak bersalin kot. Itu bersangka baik.

Atau nampak lelaki asing masuk rumah jiran kau yang disewa oleh anak-anak dara bujang, mungkin kau boleh fikir lelaki tu datang sekejap je kot nak pinjam senduk. Itu bersangka baik.

Tapi kalau macam kes seperti di atas yang terang-terang ibu tersebut mengabaikan anaknya, maaflah, saya tidak mempunyai sebongkah hati yang sesuci embun pagi untuk masih bersangka baik.

Ia sama seperti bapa yang merogol anaknya sampai termengandung, berkali-kali. Adakah masih mahu bersangka baik?

Oh, biarlah. Kita tak tahu apa ceritanya. Mungkin budak tu yang seksi sangat kat rumah. Mungkin ayah dia tak tahan nafsu. Mungkin mak dia dah tak boleh nak layan. Etc. Etc.

Entahlah. Bagi saya, kadang-kadang ada benda yang memang tak boleh dimaafkan. Kerana saya bukan maksum. Kerana saya bukan lah manusia sempurna. Dan saya juga tidak lepas dari sikap menghakimi orang lain.

Akan tetapi saya masih menghormati manusia yang bersangka baik. Kerana itu sikap semulajadi mereka yang tidak mudah melatah dan menghakimi. Mereka mempunyai kawalan emosi yang tinggi dan boleh lagi bertimbangrasa dalam hal-hal sebegini.

Tetapi, yang membuat saya menggeleng kepala adalah manusia yang suka menjadi polis moral tidak tentu hala.

Manusia yang suka mengganggap diri holier than thou dan kemudian menghentam orang lain kerana tidak punya toleransi tinggi terhadap benda begini. “Pepandai kau je nak binatangkan mak dia, Kau tu dah elok sangat ke?” Ini contoh manusia holier than thou. Mereka sepatutnya faham bahawa penerimaan setiap manusia tak sama. Jangan semata-mata orang lain mudah marah dan tidak boleh bersabar dengan benda-benda begini, kau pulak nak kutuk orang tersebut.

Metaforanya begini:

Ada tiga sahabat sedang berjalan. Di tengah jalan mereka berjumpa seorang lelaki yang membelasah seorang wanita.

Ali, sebagai manusia yang bersangka baik akan berkata “Biarlah. Kita tak tahu apa cerita mereka. Adalah tu yang buat lelaki tu marah. Mungkin perempuan tu curi duit dia kot” lantas Ali pun berlalu pergi dengan membawa sangkaan baiknya.

Abu, sebagai manusia yang penuh emosi terus menghambur ke arah lelaki itu dan cuba menghentikan perbuatan beliau “Hoi syaitan! Kau ni takde hati perut ke??? Yang kau belasah perempuan ni kenapa?? Tak boleh bawak berbincang elok-elok? Tau guna kaki tangan je…jantan apa kau ni hah??” kata Abu dengan bengisnya.

Ahmad, sebagai manusia holier than thou, tiba-tiba menengking Abu “Hoi Abu, suka-suka hati kau je kata lelaki ni syaitan. Apa kau tu dah baik sangat? Dah gerenti masuk syurga??”

Nampak tak isunya di sini.

Pokoknya adalah, penerimaan orang tak sama. Kau tak boleh nak hukum orang yang menerima sesuatu isu itu tak se’tenang’ atau se’positif’ kau. Kau tak boleh terus maki dia semata-mata kerana dia rasa marah pada benda yang bagi dia tak patut pun berlaku.

Pada pendapat saya, manusia-manusia polis moral dan holier than thou ini bolehlah menjadi pahlawan kekunci (keyboard warrior) di blog-blog gossip. Itu adalah tempat yang paling sesuai untuk menjadi manusia suci. Kerana komen-komen fitnah dan keji dan kutuk dan maki sangat berleluasa di sana.

Kau bolehlah nak menegur seperti “Ente semua ni kutuk Ayu Raudhah tu, ente punya rumah tangga konfem bahagia ke?”

Ye, kau boleh jadi polis moral tahap Pesuruhjaya Polis di sana

Pautan berita tentang kanak-kanak malang tersebut di sini. Maaf lah, tidak ada pautan pasal rumahtangga Ayu Raudhah di sini.

 
Leave a comment

Posted by on June 22, 2014 in jiwa kacau, Manusia

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: