RSS

Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama

16 May

Dulu, Khanyi pernah bertanya kepada saya:

“Awak rasa orang kulit hitam atau kulit putih yang lagi cantik?”

Perlu dimaklumkan bahawa Khanyi adalah seorang gadis dari Afrika Selatan dan berkulit hitam.

Jadi, apakah yang perlu saya jawab?

Jika saya pun berkulit hitam, tentu saya menjawab “Orang kulit hitam la cantik lagi”

Jika saya berketurunan Pan Asian pula, tentu saya akan menjawab “Kulit putih la lagi cantik”

Tapi, memandangkan saya adalah Melayu – Jawa totok berkulit hitam-tidak-putih-pun-tidak-kelabu-mungkin ini, pertanyaan itu membuatkan saya terkebil-kebil. Saya terperangkap antara mahu memberitahu apa yang sebenarnya saya rasa, atau menjaga hati seorang teman.

Ia seperti seorang gadis kurus kering atau gadis obesiti bertanya “Kau rasa orang kurus ke gemuk lagi cantik?”

Jadi, kau yang berat sedang-sedang, BMI stabil, tak kurus tak gemuk ini mahu jawab apa?

Serba salah kan?

Jadi, saya pun menjawab dengan ayat paling klise sepanjang zaman “Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama”

Serius macam jawapan pertandingan Miss Universe.

Lepas itu, apabila pulang ke rumah, masuk ke bilik air, dan melihat berpuluh-puluh jenis produk ‘memutihkan’ wajah sedang berbaris di atas meja solek membuatkan saya rasa seperti mahu hantuk kepala ke dinding akibat malu menjadi seorang yang hipokrit.

Secara jujurnya – sejujur-jujurnya – pada pendapat saya, kecantikan itu subjektif. Ada yang kulit hitam tapi cantik. Ada yang kulit putih, tapi biasa-biasa saja.

Akan tetapi, untuk diri saya sendiri, saya juga terperangkap dengan dogma. Dengan definisi masyarakat. Apa yang cantik dan apa yang tidak. Saya juga antara yang akan ke kaunter kecantikan dan mencari produk mencerahkan muka untuk diaplikasi setiap hari.

Jadi, itu menunjukkan bahawa, pada pendapat dan tindakan saya, saya sebenarnya mahu putih.

Saya kira ini adalah kerana penyakit masyarakat kita juga yang sering saja melabel dan membuat definisi apa yang cantik dan apa yang tidak. Kalau kau gemuk, pendek, hitam, hidung kembang – maka kau akan diejek. Kalau kau slim, tinggi, putih melepak, kulit mulus, hidung mancung – maka kau akan dipuji atau dipuja dan kadang-kadang ditanya, apa tips kecantikan supaya orang lain pun boleh jadi seperti itu juga.

Media juga berperanan dalam mendefinisikan ‘cantik’ mengikut acuan mereka. Semua model-model di majalah adalah kurus, tinggi dan putih malah produk-produk kecantikan juga – kebanyakannya mahu memutihkan kulit. Maka mengikut definisinya – putih itu cantik.

Kita sudah ada satu set guidelines apa yang cantik dan apa yang tidak. Belum lagi dikira tentang peer pressure. Di mana tekanan atau pujian daripada orang sekeliling sama ada rakan-rakan dan keluarga, adalah penyebab keyakinan diri kita jatuh merudum ke tahap di bawah sifar atau melambung naik ke awan sembilan.

Sebenarnya kita (termasuk diri saya juga) sering lupa bahawa apa saja fizikal seseorang itu, adalah ciptaan Tuhan. Dan apabila kita mengutuk atau mengejek orang, maka kita mengutuk ciptaan Tuhan. Sedangkan hebat sangatkah kita untuk mengkritik ciptaan-Nya?

Dulu, semasa saya menjadi guru tuisyen, ada seorang pelajar perempuan yang sedikit berisi tubuhnya. Mati-mati beliau diejek oleh kawan-kawan lelaki sekelas. Kasihan amat saya kepada beliau. Maka, habislah setengah waktu mengajar saya mentarbiah budak-budak yang nakal mengejek itu. Ini kerana, saya selalu berfikir, bagaimanalah manusia-manusia begini mahu melalui kehidupan setiap hari jika orang sekeliling asyik bersikap kejam dan merendah-rendahkan dirinya? Bagaimana mereka mahu membina semula keyakinan diri yang jatuh merudum akibat diejek rakan-rakan?

Seorang kawan saya pernah menulis di dalam buku nota nya “Aku gemuk dan itu ok. (I’m fat and that is fine)”

Saya sangat memuji manusia sebegini. Yang tetap mempunyai keyakinan diri dan tidak kisah akan kata-kata orang. Dan kita sebenarnya perlu manusia-manusia begini.

Perlunya iklan yang berkata “Saya gemuk dan saya ok” atau “Saya hitam dan saya ok” atau “Saya kurus dan saya ok” dan yang sewaktu dengannya. Bukannya “Saya gay dan saya ok”

Baru-baru ini, saya ke Pulau Mantanani, Sabah. Selain daripada kenangan manis dan beberapa pengajaran berguna, saya juga membawa pulang kulit muka yang hitam akibat dibakar cahaya suria. Habislah saya diketawakan rakan-rakan dan diejek kerana kulit muka yang gelap zulumat ini.

Lantas, disebabkan saya seorang wanita normal yang obses pada kecantikan, kelam kabut lah saya mencari petua-petua yang boleh menyebabkan wajah saya keluar daripada kegelapan yang menyelubunginya (ayat tak boleh blah). Kemudian, ketika leka melayari internet, saya tersedar sesuatu:

“Kenapakah saya begitu mengambil berat akan pandangan manusia sedangkan pandangan Tuhan tidak saya pedulikan?”

Tak guna saya sibuk mencari petua mencerahkan kulit sampai solat Maghrib pun di akhir waktu.

Tak guna untuk saya menempek segala macam masker kalau panggilan azan tidak saya endahkan

Sebenarnya ini adalah peringatan untuk diri saya juga, yang kadang-kadang sering mentertawakan suami apabila dia pulang dengan kulit gelap zulumat. Sepatutnya saya perlu cakap “Tak kisah abang hitam atau putih, janji abang jaga solat dan jadi imam yang baik”

Kesimpulannya adalah, tak salah kalau nak jaga kecantikan, tetapi biarlah seimbang (atau perlu lebih lagi) menjaga kecantikan dalaman, iaitu hati dan iman.

Akhirnya, ayat klise sepanjang zaman itu juga yang betul.

“Warna kulit tak penting. Kecantikan dalaman yang lebih utama”

p.s: Jangan ejek fizikal orang sangatlah. Takut kena pula pada keluarga atau anak sendiri. (Refleksi untuk diri sendiri juga)

 
Leave a comment

Posted by on May 16, 2014 in Manusia, Refleksi

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: