RSS

Saya ada untuk kamu.

03 May

Dalam dunia ini banyak benda yang susah untuk kita faham. Kerana setiap manusia adalah unik dan tidak mempunyai aliran pemikiran yang sama.

Seorang doktor moden tidak faham kenapa ada yang memilih untuk berubat alternatif homeopati apabila yang sebenarnya kanser beliau cuma boleh dirawat dengan kimoterapi.

Seorang bomoh tidak faham kenapa ada manusia yang memilih untuk berbelanja beribu-ribu ringgit untuk dibedah apabila beliau dengan mudahnya boleh menghalau ‘jin’ dan ‘jembalang’ dalam tubuhnya dengan jampi serapah.

Seorang jurutera yang berfikiran teknikal tidak akan faham bagaimana seorang pemuisi mampu menjadi begitu puitis hanya dengan melihat langit dan laut.

Begitu juga seorang wanita yang berjiwa seni tidak akan faham kenapa teman lelakinya memberi seketul blender pada hari kekasih, sedangkan yang lebih dia mahu hanyalah puisi cinta dengan sekuntum mawar merah.

Jadi hakikatnya, banyak benda yang kita tak akan faham tentang orang lain. Kerana kita semua tidak sama jiwa dan pemikiran. Kerana itulah perlunya saling memahami dan bertolak ansur. Saling menerima dan terbuka.

Saya – contohnya, tidak akan pernah faham sampai bila-bila, kenapa ada wanita yang sering mencipta alasan dan bertahan dengan lelaki-lelaki yang mendera mereka, mental dan fizikal. Saya tidak faham bagaimana ada wanita yang masih berkata “Ini semua salah aku” apabila dirinya diterajang bertubi-tubi. Saya juga tidak faham akan wanita yang masih bertahan, sedaya upaya walau dirinya ditipu, lagi dan lagi, berkali-kali.

Akan tetapi, saya baru sedar bahawa ketidakfahaman saya itu adalah hasil daripada sikap ignorant diri saya sendiri. Saya tidak mahu mencuba untuk peduli. Saya tidak mahu mencuba untuk meletakkan diri dan memakai kasut mereka. Dan, sama sekali bukan silap mereka jika saya tidak faham.

Manusia, jika terjadi sesuatu yang mereka sukar untuk fahami, jalan mudah adalah untuk terus menghukum. Cepat saja untuk menghakimi. Sedangkan, yang sebenarnya perlu mereka lakukan adalah cuba untuk peduli. Dan memahami.

Seorang yang bertudung labuh cepat saja memandang jijik pada wanita yang telanjang rambutnya dengan warna-warna perang.

Seorang wanita yang berambut bebas (free hair) mudah saja mencebik pada wanita yang berpurdah.

Cepat benar kita membuat andaian bahawa wanita begitu rosak akhlak atau wanita begini kolot dan jumud, tanpa cuba mengenali siapa mereka sebenarnya di sebalik penampilan mereka.

Saya baru sedar bahawa saya adalah antara manusia yang begitu cepat menghukum. Begitu mudah menghakimi. Sedangkan diri saya sendiri bukanlah terlalu sempurna untuk menghukum dan menghakimi orang lain.

Baru-baru ini saya berada dalam persimpangan apabila terjadi sesuatu yang sukar saya fahami. Lantas saya memilih untuk berpaling. Dan menjauh. Kerana saya tidak mahu peduli perkara yang saya tidak faham.

Kemudian saya terbaca bahawa Oprah Winfrey, mogul media yang kaya-raya itu juga, pernah begitu ketagihkan cinta lelaki. Walau dilayan seperti sampah, tetapi beliau masih sanggup bertahan hingga ke tahap melutut dan merayu supaya tidak ditinggalkan.

Lantas, ia membuatkan saya terfikir bahawa jika wanita sekaya dan seberjaya itu pun pernah lemah dan jatuh rebah, tentu ia akan terjadi kepada wanita-wanita lain. Kerana setiap orang tidak sama. Ada yang mampu berdikari, ada yang perlu bergantung pada orang lain untuk berdiri.

Jadi, adalah satu kezaliman bagi saya untuk tidak mempedulikan orang lain yang perlukan pertolongan, perlukan nasihat, perlu mengadu kepada saya, hanya kerana saya tidak faham dengan keadaannya.

Jadi, ini adalah permohonan maaf saya kepada beliau. Ini adalah cara saya untuk mengatakan:

“Saya tidak faham kamu. Tapi saya ada untuk kamu. Ini telinga saya. Ini bahu saya. Mengadu dan menangislah sepuasnya. Saya ada.”

 
Leave a comment

Posted by on May 3, 2014 in famili, Peribadi

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: