RSS

Berlakon seolah-olah tiada apa yang terjadi adalah lebih baik daripada mengeluarkan kata-kata yang menyakiti.

10 Mar

Dalam hidup ini, ada dua jenis manusia yang, jika diizinkan Tuhan diberi kelebihan untuk saya bertukar jasad dan fikiran cuma untuk satu hari, ingin sekali saya bertukar jasad dan fikiran dengan dua jenis manusia ini.

Satu, manusia yang suka membuli orang lain.

Dua, manusia yang tidak sensitif dengan perasaan orang lain.

Ya, saya sangat ingin menyelami jiwa manusia-manusia ini. Apa yang membuatkan mereka jadi begitu? Mengapa mereka sekejam itu? Apa sejarah mereka sehingga mereka berkelakuan sebegitu? Apa yang mereka fikirkan?

Saya tidak mahu bercerita tentang manusia pertama yang suka membuli kerana ia akan memerlukan satu entri lain.

Saya ingin bicara tentang manusia yang tidak ada sensitiviti sesama manusia.

Manusia yang insensitive ini ada di mana-mana. Selalunya mereka bertebaran di media sosial. Berselindung di sebalik fake account atau anonymous.

Saya teringat ketika membaca Beautifulnara (ya, saya juga ada sisi Makcik –Joyah-penyibuk-suka-bergosip-pasal-artis di dalam diri), ketika Khairul Fahmi Che Mat berkongsi gambar anaknya yang baru lahir di media sosial, antara komen yang didengari adalah “Buat apa kongsi gambar anak? Lahir pun tak bawak tuah. Kelantan kalah jugak semalam. Puih!”

Ya Tuhan, manusia jenis apakah ini?

Saya sungguh hairan. Teringin sekali saya mengintai dan menyelami ke dalam hati manusia2 ini dan melihat apa yang dilakukan sehingga membuatkan mereka menjadi sebegini insensitive.

Itu baru berkongsi gambar anak. Belum lagi artis-artis yang memang menempah maut dengan berkongsi gambar tak cukup kain atau berfoya-foya di kelab malam. Berbakul-bakullah kejian dan cacian dan makian yang mereka terima cukup untuk tujuh keturunan.

Saya agak bersyukur kerana tidak menjadi artis. Kerana saya tidak punya kekuatan untuk TIDAK menyumpah seranah manusia keji yang sesuka hati mengatakan anak saya lahir tidak membawa tuah.

Kemudian timbul pula isu Felixia Yeap yang bertudung. Sekali lagi, manusia jika namanya Melayu, memang tahu mengutuk sahaja. Boleh pula dipertikaikan kenapa bertudung kalau tidak memeluk Islam? Sangkanya, hidayah Allah itu seperti buah-buahan yang bergayut di pokok gamaknya. Boleh dipetik sesuka hati di mana-mana.

Dan saya lihat, manusia insensitive ini akan mengeluarkan toksik negatifnya walau dalam apa jua keadaan pun. Baik bab artis atau politik, malah jika ada kesusahan menimpa manusia lain, makhluk insensitive ini tetap ada menyebarkan kata-katanya.

Saya pernah terbaca keluhan Fynn Jamal, bercerita tentang manusia sebegini. Ketika ramai ibu-bapa yang memohon derma untuk anak mereka yang sedang sakit dan memerlukan pembedahan segera, ada suara-suara sinis yang bertanya “Kalau sudah tahu tak mampu, kenapa mahu dibedah di klinik swasta?”

*speechless*

Jika tidak mahu menderma, lebih baik diam sahaja.

Jika tidak mahu membantu, lebih baik membisu.

Janganlah mempertikaikan apa yang dilakukan oleh ibu bapa itu, kerana kita tidak berada di dalam kasut mereka. Ibu bapa itu dalam keadaan terdesak dan mereka memerlukan pembedahan yang secepat mungkin. Kalau harapkan hospital kerajaan, nak tunggu sampai berapa lama? Janganlah menyemai prejudis tak tentu hala.

Haish!

Pernah suatu masa, saya meluahkan rasa sedih dan marah kepada seorang sahabat tentang kisah seorang pelajar di India yang mati dirogol secara beramai-ramai sehingga terkeluar usus dan terburai isi perutnya. Jawapan yang saya terima adalah “Buat apa nak marah-marah? Yang kena rogol tu orang kafir. Bila mati masuk neraka jugak.”

Jawapan beliau membuatkan saya terkesima dan tertanya-tanya.

Terkesima kerana tidak sangka beliau merupakan manusia yang tidak sensitif tentang nasib malang orang lain.

Dan tertanya-tanya, kenapa dan bagaimana saya boleh bersahabat dengan beliau pada mulanya.

Dan kini, dunia sedang berduka akan kehilangan pesawat MH370 secara tiba-tiba pada ketinggian 35,000 kaki, tetapi manusia-manusia insensitive ini tetap ada. Terlampau banyak komen-komen negatif, prasangka buruk, provokatif melampau, ‘gila’ politik, tiada adab dan ‘kurang cerdik’ yang berlegar di garis masa media sosial.

Aduhai, kenapakah tidak sensitif di waktu-waktu sebegini? Tidakkah ada sekelumit pun simpati pada keluarga mangsa?

Saya fikir itulah yang bahayanya media sosial. Setiap orang berlumba-lumba mencari publisiti, menjadi wartawan tidak rasmi atau sengaja menimbulkan provokasi.

Aneh, perkara sebegini dijadikan bahan lawak dan senda gurau.

Ke manakah hilangnya simpati sesama manusia?

Ke manakah perginya cinta di dalam jiwa?

Ke manakah lenyapnya empati di dalam dada?

Jika tidak tahu apa yang mahu dikata, senyap dan kirimkanlah saja doa. Jika doa pun tidak mahu, apa kata butakan saja mata dan pekakkan saja telinga. Buatlah tidak tahu saja pada berita-berita ini dan sibukkanlah diri dengan kerja anda seperti biasa.

Berlakon seolah-olah tiada apa yang terjadi adalah lebih baik daripada mengeluarkan kata-kata yang menyakiti.

1604394_820419377984726_708241053_n

1236597_725652484135221_580422704_n

 
1 Comment

Posted by on March 10, 2014 in Uncategorized

 

One response to “Berlakon seolah-olah tiada apa yang terjadi adalah lebih baik daripada mengeluarkan kata-kata yang menyakiti.

  1. CAHAYA MATA

    March 11, 2014 at 3:36 pm

    ye lah kan… daripada mana manusia2 jenis mcm ni datang ekk….? zaman kecil mereka tentu sangat tragis lagi menyedihkan…. trauma tahap kekal agaknya…

    kesiannnnnn…😦

    *terus doakan untuk MH370*

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: