RSS

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

19 Oct

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

Keluarga saya baik-baik, kawan-kawan, guru-guru, pensyarah-pensyarah, teman sekerja, makcik cleaner, pakcik sekuriti, makcik jual nasi lemak, rakan sekelas, teman-teman di media sosial, malah sesiapa saja yang saya jumpa, adalah orang yang baik-baik.

Tidak ada yang cuba berbuat jahat kepada saya.

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

Jadi, apabila saya berjumpa dengan seorang pakcik di dalam LRT, lingkungan umur 50-an, wajah yang kemas seperti orang berpendidikan, seluar panjang dan kemeja yang kemas bergosok, saya betul-betul yakin, beliau juga orang baik-baik.

Cara cakapnya tenang. Campur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Perkataan yang keluar dari mulutnya juga sopan terjaga.

Ceritanya, dia seorang warga Singapura, datang ke Malaysia kerana ada mesyuarat di Putrajaya. Beg sandangnya tertinggal di dalam teksi. Langsung tidak dapat dicari lagi. Dia mahu naik bas, ada adiknya di Johor Bharu. Tetapi, tiada duit mahu membeli tiket.Kata pemandu bas, naik mesti ada tiket. Walaupun katanya, adiknya akan menunggu di stesen bas untuk membayarkan tiketnya, tetapi pemandu enggan.

Kecewa benar dia dengan sikap pemandu bas yang tidak bertimbang rasa. Suaranya serak-serak. Air mata tergenang di pelupuk matanya. Hati saya dirundung kasihan yang amat.

Dia bercerita lagi tentang keluarganya. Sudah berkahwin dengan warganegara Jepun. Punya 3 anak. Nama mereka ada disebut tapi saya sudah lupa. Bercerita lagi dia tentang anak-anaknya. Kerja apa mereka. Dan di mana mereka sekarang.

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik. Dan saya yakin, pakcik itu juga niatnya baik dan memang perlukan pertolongan.

Ini kerana, saya juga pernah berada di tempatnya. Di tingkatan 2, terpaksa menebalkan muka, meminta wang dari orang lalu lalang, untuk membeli tiket bas berharga RM2.00 untuk pulang ke asrama, selepas beg sekolah diragut orang.

Kakak saya, pernah juga meminjam telefon bimbit entah siapa-siapa, selepas begnya tertinggal di dalam teksi, dan dia mahu menelefon teman serumah.

Saya juga terpaksa menahan malu, meminjam syiling RM0.20 dari entah manusia mana di pasaraya, kerana terlupa membawa dompet, dan perlu menelefon ibu dengan telefon awam.

Pokoknya di sini, jika ada orang datang pada saya, katanya perlu pertolongan kerana dilanda malang tiba-tiba atau kesusahan yang tak diduga, saya akan mudah percaya. Kerana saya pernah berada di tempatnya. Pernah berdiri di dalam ‘kasut’nya.

Jadi, saya pun memberikan pakcik itu sejumlah wang. Jumlah yang dikatanya untuk membeli tiket bas dari KL ke JB. Harga RM150. Dia bersyukur tak terhingga.

“Betullah memang Tuhan akan tolong kalau kita mintak sungguh-sungguh. 3 jam pakcik di surau Puduraya, berdoa kalau-kalau ada yang akan menolong. Anak memang baik hati. Terima kasih banyak-banyak”

Kemudian, saya pulang ke pejabat. Saya semak harga tiket bas dari KL-JB. Tak sampai RM50. Kawan sepejabat hairan, mana mungkin harga tiket bas sampai seratus lebih.

Saya tepuk dahi. Sudah kena tipu rupanya saya ini. Langsung tak terfikir kerana saya tidak pernah naik bas KL-JB. Patutlah, kawan-kawan mengatakan saya ini lurus bendul. Mudah sangat percayakan orang. Terlampau lurus, kata mereka, hinggakan – gurau mereka – jika mahu membuat garisan, tidak perlu gunakan pembaris. Guna saja Suhaila. Tidak tahu saya mahu ketawa atau menangis dengan jenaka mereka.

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

Tahun lepas, bapa seorang sahabat telah diserang sekumpulan lelaki-lelaki keji. Lelaki-lelaki sampah itu telah mengerumuni bapa sahabat saya itu di dalam kereta, dan mahu merompak dompet dan telefon bimbitnya. Kejadian berlaku betul-betul di depan pintu pagar rumahnya.

Bapa sahabat saya menyerahkan semua wang dan telefon bimbit yang dia ada. Tetapi, syaitan-syaitan itu tidak puas hati lantas menetak pakcik itu dengan parang. Mujur beliau sempat menahan wajahnya dengan tangan. Akibatnya, urat di ibu jari putus, dan sampai sekarang, dia tidak boleh menggenggam tangannya dengan betul.

Jadi, teringatkan kejadian itu, saya bersyukur kepada diri sendiri. Walaupun pakcik di LRT itu menipu wang saya, tetapi sekurang-kurangnya dia meminta dengan cara yang tidak membahayakan saya secara fizikal. Tidak meletakkan parang di leher, atau tidak mengacu pistol di pinggang, atau lebih parah, lepas diberi duit, boleh saja dia menculik atau melarikan saya atau apa-apa saja benda bahaya yang sering dilakukan orang.

Ya, dia menipu saya, tetapi sekurang-kurangnya dia tidak membahayakan saya.

Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

Walaupun ada orang yang berbuat jahat kepada saya, sekurang-kurangnya jahat beliau masih lagi kategori ‘baik’.

Pengajaran yang saya dapat adalah:

Kalau ada orang yang datang minta duit untuk beli tiket bas sebab beg tertinggal / diragut / dirompak / atau yang sewaktu dengannya, pergi ke stesen bas bersama-sama dengan orang itu, dan belikan tiket bas kepadanya. Jangan sekali-kali berikan duit buta-buta.

Sekian.

 
14 Comments

Posted by on October 19, 2012 in Pengalaman

 

14 responses to “Dalam hidup saya, saya dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

  1. kelambu

    October 19, 2012 at 6:48 pm

    sebenarnya, insiden sama pernah hadap juga dalam 6-7 tahun lepas di pudu raya. seorang pakcik mengaku guru mintak duit tambang ke melaka. katanya, sedang bercuti tanpa gaji dan ditinggal isteri yang dikebas kawan baik sendiri dari indonesia. serius, siap menangis bagai. persoalannya, dia bersembang dekat sejam pasal macam-macam benda semata-mata nak minta rm15. mujurlah saya bagi rm5 saja. entahkan orang yang sama.

     
    • sUe

      October 20, 2012 at 2:24 pm

      ya, entahkan orang yang sama. Modus operandi pun dah macam sama. Bercerita segala bagai siap berlakon sedih.

      Haih entahlah ~ byk sgt org yang tak boleh dipercayai kat dunia ni. Macam mana lah orang lain tak jadi paranoid atau berfikir byk kali bila nak tolong orang tak dikenali.

      Hurm…

       
  2. hazwan

    October 19, 2012 at 8:01 pm

    aku pernah kena benda sama! tapi situasi di kedai makan. elok la kau belanja orang tu makan daripada bagi seringgit dua untuk belanja makan. entah entah beli rokok sebatang dua. atau entah entah pendapatan sampingan. dunia saya dikelilingi orang orang baik tapi semua tak bole dipercayai sangat.

     
    • sUe

      October 20, 2012 at 2:25 pm

      Ye betul. Itu apa yang kawan aku pernah ckp. Kalau org mintak duit, kau belanja je makan. Sebab duit tu entah-entah dia salah guna. Pergi kedai ekor atau beli rokok misalnya.

       
  3. anis

    October 19, 2012 at 9:01 pm

    kaksue sy pernah jumpa orang mcm ni kat hentian putra. dia memang pakai smart. baju kemeja. seluar slack. katanya ada miting kat kelate,. dia dari kajang. tapi beg dia sume kena curi masa sembahyang magrib. tel pun sama kena curi. dia mintak ngan sy rm100 nk bayar teksi balik kajang. tapi dalam beg saya ada rm20 je ms tu, sy nk balik kelate juga.

    saya cakap saya takde duit nak bagi. ade rm20 je. dia pun ckp takpelah rm20 pun dik. saya ckp kalau sy bagi rm20 tu saya takde duit langsung.

    last2 saya cakap amiklah rm10 naik komuter. naik kat pwtc turun kajang tak sampai rm10. then dia cakap eh ade komuter ke kat sini.

    sy ckp ye boleh naik komuter terus ke kajang. tawakal je sy balik kelate ngan duit rm10

    walahuallam dia tipu ke betul. saya pun ringan je bagi masa dia mintak tu.

     
    • sUe

      October 20, 2012 at 2:27 pm

      entah-entah orang yang sama tak anis? pakcik tu macam botak2 sikit tak? misai tipis?

      tapi memang tertipulah sebab dia pakai smart, cakap pun speaking macam educated.

      huhu…takpelah…anggap je lah sedekah. dan satu pengajaran berguna di masa depan.

       
  4. Luqman Misri

    October 20, 2012 at 10:39 am

    pernah jugak hadapi pengalaman sebegini rupa. nak sedapkan hati, anggap je la tu sebagai sedekah.. haha

     
    • sUe

      October 20, 2012 at 2:30 pm

      haha. betul tuh. it is exactly what my mom said.

      “anggap je lah sedekah…yang penting Allah tahu niat kita”

      Kadang2 bila fikir sangat pun, buat sakit hati je. Bila kita anggap sedekah dan redha dan bersyukur sekurang2nya dia tak apa-apakan atau membahayakan kita, hati jadi tenang balik.

      Patutlah Allah suruh beriman pada Qadha dan Qadar. =)

       
  5. hazwan

    October 21, 2012 at 7:25 pm

    tiba tiba aku terpikir. i am not saying that i believe this. tapi pernah tak kau terpikir benda benda macam pukau? probability ada di situ.

     
    • sUe

      October 25, 2012 at 12:33 pm

      yes true. aku mmg percaya pukau ni.
      sebab kawan2 aku mmg ada yg kena.
      bila kena pukau, walau kau tahu benda itu salah, dan kau mmg tak nak bagi duit kat dia, tapi tgn kau mcm bergerak sendiri.
      your whole body is out of control. mmg terpaksa bagi duit dan nombor pin atm segala bagai.
      lepas habis pukau, baru menangis gila-gila.
      itu cerita kawan aku itu lah.

      tapi dalam hal aku ni, aku mmg willingly nak bagi.
      aku tak rasa kena pukau. sebab kitorg berborak sakan.
      aku rasa aku ditipu, bukan dipukau.
      aku jatuh percaya pada intellectuallity yang ditunjukkan oleh pakcik tu.
      cakap pasal isu semasa kat spore,sistem pengangkutan, job prospect, bla bla bla segala bagai.

      ouh whatever. anggap je la takde rezeki. huhu!

       
  6. hatikiara

    October 21, 2012 at 9:12 pm

    kak sue, mule-mule saya gelak je..sbb sampai ati kawan kak sue ckp kalo nak buat garis lurus, xyah gune pembaris, gune je kak sue.haha..sian kak sue jadi bahan. hmm..orang macam tu, kita bersangka baik jela. mungkin kita kasi duit kat die, Allah akan selamatkan kita dari bala yang lain. anggap jela sebagai penghapus dosa. memang la geram, 150 tuh..tapi nak buat macam mane, kadang-kadang belum tentu duit yang dalam beg duit atau bank tu, kita yang punya. kadang-kadang kita menjadi saluran untuk memberi kepada manusia yang lain.

    Bersangka baik itu menghapus kemarahan dihati.

     
    • sUe

      October 25, 2012 at 12:28 pm

      hahaha kawan2 kak sue kat ofis ni memang macam tu.
      diorang gila-gila sket. silap. gila-gila BANYAK.
      bab bahan orang mmg nombor 1.
      tapi memang happening la environment kat sini.
      gelak je manjang. adeh!

      kak sue appreciate sgt komen syuk pasal duit rm150 tu. tenang sket hati baca nasihat syuk.
      betul sgt2 apa yg syuk ckp. kdg2 belum tentu duit yg ada pada kita itu milik kita.
      kadang2 mmg dah ditakdirkan utk org lain sama ada hilang, kena curi, kena tipu, etc.

      dan juga penghapus dosa. mcm sakit kan? tak boleh nak mengeluh sgt bila ditimpa ujian.
      bersangka baik sajalah.

      thanks syuk. i heart you!🙂

       
  7. CAHAYA MATA

    October 22, 2012 at 12:10 pm

    hehehe..gelak jgk bab “kalau nak buat garisan tak payah guna pembaris tu…..” hihihii..

    tapi bab RM150 tu saya sentap…!! gila2 punya sentap… awak bagi dia RM150 cik sue….?? isyyyhhhhhh….saya, kalau kesian kat orang pun x “tergamak” nk keluarkn duit banyak tu.. paling2 pun, saya bagi RM50 je..lepas tu suruh dia try minta kt orang lain plak ke… ehh, jap.. RM50 tu pun kira banyak tau….😦

    *err..maybe lepas ni cik sue jgn bw cash banyak2 sngt lah ye…bahaya cik sue..

     
    • sUe

      October 25, 2012 at 12:24 pm

      hahaha entahla cik cahaya.
      saya ni cepat kesian kat org. cepat percaya pulak tu.
      sebenarnya dlm wallet tak ada pun duit byk tu.
      usaha bawak keluar duit dulu kat atm.😦

      takpelah, anggap sajalah tak ada rezeki.
      dan perbuatan dia itu, biar Tuhan sahaja lah yang mengadili.🙂

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: