RSS

kerana.tak.ada.siapa.yang.peduli.

14 Dec

Malam Ahad lepas, saya melalui satu pengalaman yang agak mendebarkan. Dan ia juga telah memberi saya beberapa pengajaran berharga.

Ketika saya baru pulang membeli barang dapur di Carrefour, sebaik sahaja saya meletak kereta di kawasan parkir kereta bawah tanah, entah macam mana, kunci kereta terjatuh dari tangan, dan entah macam mana lagi, saya sempat pula memicit punat kunci kereta, dan entah macam mana lagi, but kereta telah saya tutup tetapi tidak rapat.

Kesimpulannya, saya telah tertinggal kunci kereta di dalam kereta yang berkunci, dalam keadaan but kereta tidak bertutup dengan rapat, dan ia menyebabkan siren alarm kereta berbunyi tak henti-henti.

Kamu dapat gambaran itu?

But kereta pula tidak boleh ditutup rapat kerana kebiasaannya perlu dibuka dan ditutup semula, tetapi nak buka macam mana sebab dah berkunci?

Ok, saya mula panik. Tetapi saya pura-pura tenang dan cool. Ya, sebagai seorang yang perasan dirinya adalah wanita berdikari, berhati waja dan bersemangat tinggi,  saya perlu menjaga imej dan tidak boleh panik atau histeria sesuka hati.

Setelah puas menggodek-godek pintu kereta sendiri, saya mengambil keputusan pergi meminta pertolongan Bapak Sekuriti. Kereta yang sedang melolong dan meraung tak henti2 itu terpaksa saya tinggalkan sebentar.  Bapak Sekuriti tidak menolong, sebaliknya memberi saya dawai dan cara2 untuk membuka pintu kereta ala-ala gaya ‘pencuri kereta’ yang selalu kita tengok di televisyen.

Ok, fine. Sekuriti tak nak tolong tak apa. Saya buat sendiri.

Lalu, berbekalkan pisau dan dawai, saya pun mula menggodek-godek. Puas juga menjolok pintu kereta, tetapi kuncinya tetap tidak mahu naik sendiri seperti yang diharapkan. Hampir sejam saya begitu.

Dan disinilah pokok cerita yang ingin saya sampaikan,

Bayangkan (sila tutup mata sekarang dan bayangkan)….

Selama sejam saya menggodek-godek kereta, dengan bunyi siren alarm yang tidak henti2, dengan segenap susah payah hingga peluh menyimbah,

Ada lebih kurang 30 kereta yang lalu lalang,

Tidak ada seorang pun yang berhenti, menolong, atau sekurang-kurangnya sekadar bertanya “Kamu kenapa?”

Malah, sepasang suami isteri bangsa Cina yang meletak kenderaan betul-betul di sebelah saya (yang sedang terkial-kial dan terhegeh-hegeh menggodek kereta yang sedang berbunyi bising) hanya sekadar menjeling dan berlalu pergi tanpa bersuara sepatah pun.

Hebat sungguh masyarakat kita kan???

Saya mula rasa sedih. Bukanlah tidak pernah saya mengalami konflik tentang kereta sebelum ini. Tetapi ini kali pertama, saya mengalami kesusahan dan tiada siapa yang sudi membantu. Jika hanya saya seorang di situ, tak apalah jugak.

Sedih kerana rasa diabaikan. Rasa tak dipedulikan. Rasa seperti kepayahan saya itu langsung tidak layak untuk disimpatikan.

Mujurlah ada juga seorang Encik Baik Hati yang berhenti, dan menolong. Walaupun tidak berjaya, sekurang-kurangnya dia mencuba. Dan terima kasih kepada beliau, kerana membuatkan saya rasa seperti seorang manusia yang wujud, hidup, dan perlukan pertolongan. Bukannya sebatang tunggul yang halimunan.

Saya teringat cerita seseorang yang pernah berhijrah ke Kuala Lumpur. Katanya, KL tempat jenayah yang berleluasa. Tempat aku dengan hal aku dan kau dengan hal kau saja. Katanya, dia pernah terjumpa seorang wanita yang bertelanjang bulat sedang berdiri di tepi jalan, hanya mampu menutup kemaluan sahaja, dan ternyata dia seperti baru lepas dirogol memandangkan tanda lebam dan cedera di badan dan muka. Wanita itu melambai-lambai meminta pertolongan kepada kereta yang lalu-lalang, dan, seperti yang dijangka, tidak ada siapa yang berhenti. Termasuklah si empunya cerita tadi. Katanya “Tak beranilah aku nak berhenti. Entah-entah taktik nak menyamun ke apa…”

Ya, taktik menyamun menggunakan wanita yang bertelanjang bulat. Taktik terbaru mungkin. Haih~😦

Sampai ke tahap itu terhakisnya sifat kemanusiaan kita.

Lantas, fikiran saya melayang pula kepada sebuah video YouTube yang menunjukkan seorang budak kecil di China. Dia dilanggar dua kali, oleh van dan lori, tetapi malang, orang yang lalu-lalang hanya buat tidak tahu. Berlalu begitu sahaja, malah ada yang cuba mengelak tubuh si kecil yang sudah lembik dan kaku.

Sampai ke tahap itu terhakisnya simpati manusia.

Lalu, ia membuatkan saya terfikir, apalah sangat kepayahan saya jika dibandingkan dengan wanita dan budak kecil itu. Sedangkan perkara yang melibatkan nyawa dan maruah diri pun, orang boleh buat tidak tahu, apalah sangat diri saya yang sekadar tertinggal kunci kereta. Memang langsung tidak layaklah untuk diberi simpati.

Sekali lagi, saya rasa sedih hidup di dunia di mana rasa simpati menolong orang yang tak dikenali menjadi begitu mahal sekali. Mungkin, 10 tahun lagi, kau perlu kemana-mana dengan sejumlah wang yang banyak dalam poket kau.

Supaya jika kau ditimpa kesusahan, katakan kau diserang sakit jantung misalnya, menggelupur teruk di tepi jalan, kau perlu menghulur duit pada orang yang lalu-lalang:

“Nah ini RM1000!! Tolong aku, tolong aku!!!”

Kerana simpati itu mahal harganya dan perlu dibeli.😦

Ouh ya, kesudahan cerita saya di atas, akhirnya kunci kereta saya berjaya dibuka. Saya dibantu oleh dua orang kawan lelaki sepejabat yang sanggup datang dari Sungai Besi  untuk membantu. Terima kasih banyak-banyak kalian. You guys are my saviour.🙂

Dan satu pesanan pada penjenayah di luar sana,

Jika kau nak curi kereta, kau kena pura-pura macam kau tertinggal kunci kereta di dalam. Jangan panik bila alarm berbunyi. Buat-buat kecewa dan tendang pintu kereta, seolah-olah itu kereta kau dan kau frustated sebab kau dah tak tau nak buat apa. Lepas itu, kalau tak ada orang, kau bolehlah curi kereta itu dan berlalu pergi.

Percayalah, kau boleh mencuri dengan mudah.

Kerana tak ada siapa yang peduli.

Tak. Ada. Siapa. Yang. Peduli.

Betul!!

 
13 Comments

Posted by on December 14, 2011 in Bengong, Manusia, Pengalaman

 

13 responses to “kerana.tak.ada.siapa.yang.peduli.

  1.  Hana (@hanakirana)

    December 14, 2011 at 7:53 pm

    mungkin ini juga indication kepada betapa kita tak bertawakal kepada Tuhan (as in dah tak yakin kpd Tuhan). bukan ke kalau kita betul2 tawakal kita akan yakin yang satu malapetaka pun tak akan terjadi tanpa izin-Nya? maka kita tak sepatutnya teragak-agak menolong orang. aku rasalah.

     
    • sUe

      December 15, 2011 at 2:53 pm

      Saya sangat2 setuju kata Hana pasal tawakkal itu. Kita berada di dunia yang semua orang takut mati. Jenayah terlalu berleluasa.Sampaikan nak berbuat kebaikan pun, akan dibayangi dengan kematian.

      Tetapi, macam Hana kata, kalau kita Tawakkal pada Allah, dan betul2 ikhlas dan percaya Allah sahaja yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, kita tidak akan ragu2 untuk tolong orang lain.

      Lagu satu, manakah yang lebih mulia,

      Mati dalam keadaan nak buat kebaikan, atau terus hidup tetapi langsung mensia-siakan peluang untuk berbuat kebaikan?

      Dan lagi satu, macam kes budak di China yang dilanggar mati tapi tak ada orang peduli itu, saya tertanya-tanya, bagaimana diorang boleh tidur setiap malam? Tak ada rasa bersalah langsung kah?

      We are living in such a selfish community. Let’s pray that we will never be one of them.

       
  2. luqmanmisri

    December 15, 2011 at 11:36 am

    mungkin disebabkan scam yang wujud zaman sekarang dah terdapat dalam pelbagai bentuk, rupa, kisah dan cara menyebabkan sehingga saudari diabaikan sebegitu rupa kerana mereka TAKUT. Atau pun, kebanyakkan yg menyedari keadaan saudari tu adalah lelaki yg takut dengan kenyatan poyo-gila-tolong-awek, dan mereka MALU jika martabat mereka sbg seorang lelaki direndahkan sebegitu rupa. Mereka, saya dan saudari adalah manusia.

     
    • sUe

      December 15, 2011 at 2:37 pm

      Terima kasih atas komen saudara.🙂

      Saya kira segala-gala hidup kita nanti akan berakhir dengan hanya satu kesudahan, iaitu MATI. Lantas saya hanya ingin bertanya,

      apakah nanti, apabila kita sudah di ambang kematian, lying on our deathbed, kita akan melihat kembali ke dalam hidup kita, dan agak2 apakah yang akan kita fikirkan?

      “Oh, aku hidup dengan gembira. Nasib baik aku tidak tolong orang lain. Sekurang-kurangnya tidaklah aku mati dalam keadaan dikatakan POYO. Nasib baik juga aku tidak tolong wanita bogel itu. Tidak adalah aku mati dengan dirompak atau disamun atau dibunuh. Aku bahagia sebab aku hidup dengan dapat mengelakkan setiap bencana dan kejahatan manusia demi keselamatan nyawa aku sendiri…”

      atau adakah ini?

      “Oh, aku dah banyak menolong orang susah. Aku dah menyelamatkan banyak nyawa. Aku dah berbakti pada orang miskin dan anak yatim. Aku rasa aku dah gunakan usia aku sebaik-baiknya. Aku hidup dengan gembira dan aku tidak menyesal walau satu apa pun….”

      Saya fikir tidak ada manusia yang apabila mati, akan terfikir akan DIRInya sendiri (kecuali mungkin dosa-dosanya). Selalunya mereka akan fikir tentang orang sekeliling, orang tersayang dan sesiapa sahaja, dan apa yang telah dilakukan pada mereka, sama ada yang baik atau yang buruk.

      Percayalah saudara,

      KEBAHAGIAAN bukanlah terletak pada apa yang kita lakukan untuk DIRI SENDIRI, tetapi pada apa yang kita lakukan untuk ORANG LAIN (walaupun yang tak dikenali). Kata Pak Harfan dalam Laskar Pelangi “Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya”

      Saudara,

      Menolong orang susah tidak memerlukan keberanian tahap tinggi,
      Menolong orang susah tidak memerlukan semangat membara sehangat api
      Menolong orang susah tidak memerlukan jiwa sekental besi

      Apa yang diperlukan hanyalah sebongkah hati yang basah dengan perasaan simpati.

      Selebihnya, tentang bencana yang mungkin akan menimpa kalau menolong orang tak dikenali, perkara itu, bertawakal saja pada Allah Taala. Bukankah Dia yang memegang setiap kejadian dan peristiwa?

      Pilihan ada di tangan kita. Pilihlah untuk menjadi yang lebih baik.🙂

      p/s: Maaf komen ini terlampau panjang mengalahkan entri la pulak.😛 Komen ini sebenarnya adalah nasihat kepada sesiapa sahaja di luar sana (termasuk saya sendiri) yang terlampau takut atau malu utk menolong orang asing yg dalam kesusahan.

       
      • Luqman Misri

        December 15, 2011 at 3:05 pm

        haha.. sy memang setuju dengan balasan saudari diatas dan sy x kisah pun kalu ianya panjang berjela-jela sbb sy suka dgn tulisan saudari yang penuh ngan isi dan kena dengan cita rasa sy yang tidak suka membaca. mampu menarik minat sy utk terus membaca, walaupun sy seorang yg tidak suka membaca. harap saudari paham. hahah..

        kadang-kadang sy sendiri pun x paham kenapa kebanyakkan dikalangan kita x alert ngan perkara yang dikatakan ‘common sense’ ni. dan MANUSIA yg diciptakan dengan pelbagai ragam, berdasarkan situasi saudari didalam entri ni, sy cuma ambil yg PENAKUT dan PEMALU. sbb tu saudari diabaikan.

         
  3. Luqman Misri

    December 15, 2011 at 5:09 pm

    btw, teruskan menulis ok? ianya akan terus masuk ke dalam inbox sy. THANX!😀

     
    • sUe

      December 23, 2011 at 9:59 am

      You’re welcome!😀

      Dan terima kasih juga mengikuti blog saya.🙂

       
  4. hatikiara

    December 18, 2011 at 3:08 pm

    nanti saya nak jadi jiran kak sue kalo sume orang perlukan ganjaran atas segala bantuan yang diberikan. betapa susah menjadi keikhlasan dan kemurnian hati pada masa sekarang kan?sekarang, pakaian tu tidak lagi mencerminkan hati sang pelaku. sadisnya kehidupan ini.

     
    • sUe

      December 23, 2011 at 10:18 am

      entahlah syuk. kadang2 macam tak percaya betapa selfishnya masyarakat kita.
      kak sue terbaca di internet, ada seorang lelaki tua yang tempang, naik komuter dan tak ada siapa pun yang beri tempat duduk pada dia.
      dan ia berlaku di Malaysia. kalau common courtesy macam ini pun kita tak ada, jangan hairanlah apabila jenayah berleluasa sebab semua orang pentingkan diri sendiri sahaja.

       
  5. i am stranger

    December 25, 2011 at 9:38 am

    terdapat beberapa kemungkinan lain utk seseorang itu tidak menghulurkn pertolongan atau tidak menghiraukn kite semasa menghadapi masalah.
    1. Sebab tak reti. Nak tolong macam mane. Nak bagi no tukang kunci pun takde.
    2. Sebab nak cepat. Ade masalah yang lebih penting. Dunia sekarang orang kejarkan masa dan duit.
    3. Pentingkan diri. Kalau tolong pun bukan dapat ape-ape.
    4. Teragak-agak. Nak tolong ke tak? Ah biarla. Nti ade la orang lain tolong die tu. Tak pun die dah mintak tolong org lain. Biar orang yang lebih pakar uruskan masalah tu. Takut aku tak berjaya tolong, wat malu je.
    5. Jaga perasaan orang lain. Tolong nanti bini or awek cemburu. Tak pasal2 gaduh family
    6. Prasangka buruk. Entah-entah pencuri. Wat pe nak bersubahat.
    7. Malu. Segan nak bertanya dengan orang yang tidak dikenali.
    8. Tidak tahu memerlukan pertolongan. Org ni macam bole buat sendiri je. Senang je tu. Tak cakap pun die nak mintak tolong or tak tau buat. Biar je la
    9. Mengenai perempuan yang bogel. Barangkali org lain fikir wanita itu gila. Mengenai kanak-kanak tu. Mungkin org tidak perasan sebab nak cepat. Atau ade yang takut dipersalahkan.
    10. Aku ade beribu alasan untuk tak nak tolong. Org kata hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih.
    11. Kalau penulis perasan. Terdapat manusia yang memilih untuk membantu orang lain. Kadang kala, hanya wanita cantik selalu dapat bantuan dari lelaki. Hanya orang yang berpengaruh diberi bantuan. Hanya lelaki yang menarik mendapat layanan baik dari seseorang wanita. Kadang kala penampilan dan tingkah laku dapat mempengaruhi orang lain.
    12. Kadang kala, sesama family pun berat tangan nak tolong. Ape lagi kalau orang asing. Pernah tak minta tolong adik beradik, atau kawan baik, jawapan yang kite dengar, kau buat sendiri la.
    Kesimpulan.
    Keindahan ciptaan Allah adalah kepelbagaian. Setiap makhluk berbeza dari segi rupa, sikap, bentuk, warna. Kadang kala terdapat sedikit persamaan. Tapi bila diliihat dengan teliti, pasti ade sedikit perbezaan. Cuba kita bayangkan, jika semua manusia baik. Memangla dunia akan aman. Tapi pasti ade sedikit kebosanan. Bayangkan la semua org baik, berebut-rebut nak tolong. Tak ke sesak. Haru jadinya. Saya tahu pendapat saya ade betulnya dan ade banyak gak yang salah. Semua yang saya tulis ni bukanla satu fakta. Tapi pendapat diri sendiri, pandangan orang terdekat dan pemerhatian terhadap orang lain

     
    • Luqman Misri

      December 27, 2011 at 9:06 am

      haha.. saya kerap kali teragak-agak akhirnya hilang dari pandangan (ketika memandu) sambil diselubungi rasa bersalah selama beberapa minit.

       
  6. hamba Allah

    December 25, 2011 at 10:49 am

    Bismillahirrahmanirrahim.
    Assalamualaikum. w.b.t

    …..hmm..
    nasib baik dah kat rumah. cube bayangkan kejadian berada di kawasan parking yang sunyi dan jauh dari kawasan perumahan.. ape terjadi terhadap anda? adakah ditolong atau.. Nauzubillah..

    nasihat saya..
    1.. sediakan kunci pendua or kunci ganti di rumah..
    2.. asingkan kunci rumah dan kunci kereta unuk mengelakkan sebarang masalah..
    3. pastikan selamat sebelum melakukan sesuatu unuk mengelakkan kecuaian berulang.
    3.1.. pastikan kunci berada ditangan, sebelum menutup pintu.
    3.2.. pastikan selepas menutup pintu, semak sekali lagi semua barangan sebelum mengunci pintu..
    3.3.. tidak perlu terburu-buru dalam melakukan sebarang perkara. mengelak masalah lebih mudah dari menyelesaikan masalah..
    4. pastikan anda mempunyai sahabat atau orang yang boleh diharap berdekatan dengan anda.. seperti jiran tetangga, rakan serumah, etc. tidak kira dimana anda berada atau dimana anda pergi. pastikan sentiasa ade orang yang dikenali berhampiran dengan anda atau berada di tempat yang di tuju. cube bayangkan jika anda rapat dengan jiran serta rukun tetangga, pasti mereka tidak keberatan untuk membantu. kite hidup bermasyarakat. bukan bersendirian didunia ini..

    kadangkala jangan menuding jari terhadap orang lain. kite sendiri pun sellfish. kalau tak kenapa tiada jiran yang boleh diharapkan utk memohon pertolongan. jangan fikir nak harapkan bantuan dari orang yang tidak dikenali. sedangkan dari orang yang dikenali pun susah. cari la sahabat bukan kenalan yang hanya bersama apabila senang dan tinggalkan kita apabila berada dalam kesusahan. untuk mencari sahabat, kite hendaklah mulakan ikatan sillaturrahim itu sendiri. sentiasa berbuat baiklah dengan jiran dan orang yang sentiasa berhampran dengan kite seperti pakcik guard, makcik cleaner, adik cashier, kakak promoter. sekian perkongsian nasihat dari saya terhadap semua termasuk diri sendiri.
    segala yang baik datang dari Allah, yang salah dan silap datang dari kesilapan saya sendiri.

     
  7. sUe

    March 27, 2012 at 1:15 pm

    Dear commenters,

    Thank you very much for your time to comment in this entry. I really appreciate it.
    Saya hargai setiap pandangan anda semua. Malah tips-tips yang diberi sangat bermanfaat sekali untuk digunakan.

    Terima kasih banyak2….

    p/s: Perkongsian pandangan sebegini yang dicari. Kerana tak semestinya pendapat saya saja yang betul. Every one is entitled to their own opinion. Thanks!

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: