RSS

Kenangan bulan Oktober 2009

22 Aug

Kadang-kadang sesuatu nasihat yang hebat itu datang pada saat-saat tak diduga, pada tempat yang bukan biasa, dan daripada orang yang langsung tak disangka-sangka.

Pada bulan Oktober 2009, saya bekerja sambilan di sebuah restoran makanan segera yang popular dengan tagline “I’m Lovin’ It”. Setiap hari, saya akan masuk ke restoran itu, disambut patung badut berambut merah yang tersenyum lebar, mengenakan pakaian uniform belang kuning dan hijau, saya akan melakukan apa sahaja kerja selayaknya seorang ‘crew’. Lap meja, mop lantai, hantar pesanan, goreng fries, dan sebagainya.

Ok, kalau kamu tak pernah kerja di restoran makanan segera, marilah saya beritahu, penatnya memang tak hingat dunia. Dan saya pula, melakukan dua kerja dalam satu masa. Balik kerja pukul 2.30 pagi dan sebelum 8.30 pagi perlu ke pejabat pula melakukan tugas sebagai chemist. Balik pejabat pukul 5.30 petang, terpaksa bergegas pula pukul 6.30 ke restoran. Jadi, saya seperti hidup di dua dunia berbeza. Siang saya di makmal menjalankan ujikaji, dan malam pula saya di restoran melayan pelanggan yang silih berganti.

Jadi, pada satu hari Ahad, dalam huyung-hayang kepenatan di kaunter, saya terlupa polisi utama syarikat.

1. Sentiasa ucap selamat kepada pelanggan anda dengan senyuman semanis 10 kilo gula, tidak kira sepenat mana pun anda.

Ya, ketika itu saya sudah tidak kuasa untuk ucap selamat, kerana rasanya untuk menarik otot bibir supaya tersenyum pun memerlukan kekuatan tahap 10 kuasa kuda. Jadi, polisi utama itu saya abaikan.

Rupa-rupanya saya diperhatikan oleh seorang Brader CL (Crew Leader). Beliau menghampiri saya dan menegur “Sue, cuba greet customer. Muka tu cuba senyum sikit.”

Saya membalas dengan keluhan “Tak larat la bang. Rasa macam nak pengsan.”

Dan tatkala itu, dia menjawab lembut “Sue, cuba tengok Fauzi (salah seorang crew). Abang rasa, kalau dia di tempat Sue sekarang, ada kelebihan yang Sue ada sekarang, mesti dia tak kisah untuk greet customer. Abang rasa kalau dia perlu cakap ‘HAI, SELAMAT DATANG KE MCDONALD’S’ 10 juta kali sehari pun dia sanggup.”

Ya, kawan-kawan, Fauzi adalah seorang yang bisu.

Saat brader CL itu memberi nasihat sebegitu, saya rasa seperti ada satu tukul besi dibaling tepat ke muka. Lantas, membuatkan saya jatuh terduduk dan meraung-raung keinsafan.

Ok, saya tipu.

Tapi sungguh, saya termenung sejenak saat dinasihat sebegitu. Ia telah memberi impak teramat besar pada saya. Ia telah mengubah perspektif saya dalam melihat kehidupan. Ia membuatkan saya rasa seperti mahu tempeleng diri sendiri atas sikap tidak bersyukur yang saya miliki. Ia menyebabkan saya mahu lari terjun ke laut kerana benci dengan sikap sendiri yang suka mengeluh tak henti-henti.

Dan alangkah anehnya, nasihat hebat itu saya terima bukan di dalam suasana sepi dan aman bilik kuliah yang lengkap berhawa dingin, tetapi di tengah bau tengik minyak kentang goreng, di antara bingitnya bunyi mesin yang tidak berhenti ber’beep beep’ dari tadi tanda ayam sudah siap dimasak, di antara Double Cheeseburger dan Big Mac yang silih berganti di atas kaunter dan di tengah seribu satu keriuhan suasana sebuah restoran makanan segera.

Nasihat hebat itu juga bukanlah saya terima dari mulut seorang Professor atau Doktor atau rakan-rakan sepengajian yang bijak-bijak belaka, yang kebanyakannya mengumpul berderet-deret A1 dalam slip periksa mereka, tetapi nasihat itu saya terima daripada seorang abang Crew Leader yang menurutnya, result SPM hanya credit dua subjek sahaja.

Lalu saya terfikir, bahawa kita boleh belajar banyak perkara di universiti, tetapi di tempat lain, di tempat yang tak terfikirkan, seperti di rumah usang, di lorong kecil, di hiruk pikuk pekan, di riuh restoran, adalah tempatnya di mana kita benar-benar belajar erti kemanusiaan dan kehidupan.

Ya, kadang-kadang sesuatu nasihat yang hebat itu datang pada saat-saat tak diduga, pada tempat yang bukan biasa, dan daripada orang yang langsung tak disangka-sangka.

Jadi apa yang ingin saya simpulkan di sini adalah (peringatan untuk diri sendiri):

1. Bersyukurlah kerana kau ada suara dan mampu bercakap. Ucapkanlah salam, selamat, maaf (jika kau melakukan kesilapan), terima kasih (sebagai tanda penghargaan) atau apa-apa sahaja perkataan yang sedap didengar, kepada siapa-siapa sahaja, walaupun orang yang tak dikenali, kerana ia dapat mencipta silaturrahim yang baru, dan mengeratkan silaturrahim yang sedia ada. Dan bersyukurlah sekali lagi  sebab kau ada suara dan mampu berkata-kata.

2. Ya, belajarlah sampai ke universiti. Tuntutlah ilmu sampai ke menara gading. Tapi, dalam masa yang sama sentiasa cari ilmu ‘tidak formal’ yang ada di sekeliling kau, cedoklah apa saja yang kau nampak di sekitar kau, yang boleh mengajar kau erti kemanusiaan dan kehidupan.

3. Jangan ingat apabila kau dah pegang ijazah, bermaksud kau adalah manusia paling bijak di alam semesta. Kau rasa tak layak untuk bergaul dengan orang yang tak lulus periksa. Kau rasa status kau sebagai graduan adalah terlalu ‘mulia’ untuk bekerja sambilan sebagai atendan pam minyak, menjaga kaunter, mencuci pinggan atau mop lantai di restoran. Kau lebih sanggup menganggur di rumah (sementara mencari kerja yang sesuai dengan ijazah kau), goyang kaki, buat muka tak malu menghabiskan beras mak bapak berbulan-bulan, dari menjatuhkan ‘standard’ kerja dengan ‘orang kelas bawahan’. Sebenarnya saya ingin beritahu, bekerja di situ, bercampur dengan manusia dari pelbagai lapisan masyarakat, kau akan dapat lebih banyak pelajaran yang kau tak jumpa pun dalam tembok universiti.

Jadi, ini nasihat pada graduan yang menganggur sebab memilih kerja.

“Kalau kau malu untuk melakukan kerja-kerja sebegitu, kau patut malu dengan mak bapak yang masih terpaksa menyara kau walau kau dah besar panjang kurus tinggi gemuk pendek bermisai berjambang”

“Kalau kau lelaki, ini lebih memalukan. Rasanya tak ada perempuan yang mahu berkahwin dengan lelaki bijak tetapi pemalas dan tak ada kerja. Lebih baiklah lelaki yang tidak ada ijazah tetapi rajin bekerja dengan bersungguh-sungguh menyara keluarga. Akan tetapi, kalau dapat yang sudahlah bijak, rajin dan kacak serta beriman pula, itu adalah satu bonus. ”

Amin…(eh tak pasal-pasal)😛

 
10 Comments

Posted by on August 22, 2011 in Kerja, Manusia, Pengalaman

 

10 responses to “Kenangan bulan Oktober 2009

  1.  Hana (@hanakirana)

    August 22, 2011 at 9:07 pm

    3 nasihat yg cukup berguna utk semua orang. Amiin juga. hahaha

     
    • sUe

      August 24, 2011 at 4:32 pm

      hahaha!!
      sila-sila.
      mana tau makbul di bulan ramadhan yg penuh barakah ini. eceh!😉

       
  2. hazwan

    August 25, 2011 at 12:19 am

    teringat juga kisah seorang sahabat kerja di a&w
    kena pakai kostum beruang
    dan kena lambai budak2 yang datang
    bagus dedikasi sahabat tu

     
  3. sUe

    August 25, 2011 at 4:58 pm

    ouh ye ke?
    sape sahabat kau tu?
    teringin pulak aku nak kenal.
    mesti beliau seorang yg bijaksana, comel, berpekerti mulia, berhemah tinggi, bersemangat waja, dan yang sewaktu dengannya.

    hehe😛

     
  4. drama a.k.a CAHAYA MATA

    September 6, 2011 at 5:55 pm

    ermm..tak tahu kenapa..tiba2 rasa sebak baca entrie ni..

    thanks a lot cik sue… (-___-)

     
    • sUe

      October 31, 2011 at 11:31 am

      you’re welcome cik cahaya.😉

       
  5. Eko Yuniarsyah

    September 15, 2011 at 10:12 pm

    ehm.. pengalaman yang menarik…

     
    • sUe

      October 25, 2011 at 5:30 pm

      thanx.🙂

       
  6. Luqman Misri

    December 17, 2011 at 7:48 am

    post “Life is given to us, we earn it by giving it” – Rabindranath Tagore, telah mengheret sy kesini diatas sikap ingin tahu yang membuak-buak, dan sekali lagi sy tertunduk…

     
    • sUe

      December 23, 2011 at 10:03 am

      ya, brader CL itu juga kerap buat saya tertunduk malu.
      dia sering ‘melempang’ saya dengan kata-katanya.
      tegurannya halus tapi menusuk.😛

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: