RSS

Bahagia adalah hak setiap insan.

12 Aug

Tangan saya masih lagi memegang secawan air milo, yang saya kacau perlahan-lahan sebelum menghirupnya penuh hati-hati. Pagi itu sejuk sekali. Dan air milo panas sememangnya sesuai untuk suasana sejuk dengan hujan renyai-renyai sebegini.

Tetapi, entah kenapa hari ini, air milo yang sering saya bancuh secara ‘ritual’ setiap pagi, sangat tawar dan hambar rasanya.

Sebenarnya, minda saya tidak tenteram. Ia berkocak hebat. Cuba menghadam dan mencerna satu perkara yang sedang menganggu gugat jiwa.

Segalanya terjadi selepas perbualan saya dengan seorang teman. Kami berbual tentang banyak perkara, dan akhirnya topik beralih ke perkara perkahwinan. Tentang perkahwinan adalah suatu perjudian. Sama ada kau menang atau kalah, itu bergantung pada nasib dan takdir yang telah tersedia. Jika kau menang, kau adalah manusia yang bertuah. Jika kau kalah, mungkin ia adalah hikmah dari Allah, untuk memberi kita yang lebih baik dari itu. Kami berbual dan berbual dan berbual.

Sehinggalah kata-katanya yang ini terus membuatkan air milo saya terasa tawar dan hambar.

Sue, seorang perempuan boleh terima jika suaminya jahat. Tetapi, jangan sekali-kali suaminya kahwin lain.

Ayatnya membuatkan saya terkesima. Ternganga dan terpana.

Maksud akak, kalau suami kaki pukul, hisap dadah, kaki minum arak, kaki judi, adalah lebih baik daripada suami yang kahwin lain? Maksudnya, akak takkan minta cerai kalau suami pukul akak, tapi akan minta cerai kalau dia kahwin lain?

Dengan tenang dia mengangguk. Dan melihatkan wajah tidak percaya saya, dia menjelaskan,

Sebab apa tau Sue? Sebab suami itu, walau dia jahat, tapi kita tahu, hati dia masih pada kita. Tapi suami yang kahwin lain, kita tahu hati dia sudah tak ada pada kita. Buat apa mahu tunggu lagi?

Saya termenung sejenak. Cuba memikirkan betapa aneh dan ‘absurd’nya kenyataan itu.

Saya mahu katakan bahawa saya tidak setuju.

Saya mahu katakan bahawa  ia tidak sepatutnya dilihat seperti itu.

Dan apa yang menghairankan saya adalah, kenapakah memiliki hati suami itu terlalu penting, sehingga kau sanggup disepak terajang didera mental dan fizikal asalkan apa-yang-dikatakan ‘hati’ suami itu tidak berbelah bahagi?

Adakah wanita sebenarnya adalah makhluk yang tersangat tamak, terlalu dahagakan kasih sayang, terlalu mahu mempertahankan sebuah ‘kepunyaan’, sehingga sanggup melakukan apa sahaja, asalkan yang kita punya itu adalah hak milik kita seorang, tanpa boleh dikongsi-kongsi?

Dan lebih ‘absurd’ nya persepsi seperti itu adalah, adakah seorang suami yang buruk perangai, memperlakukan isteri seperti hamba, layak untuk kita katakan bahawa ‘hati’nya masih ada pada sang isteri? Jika sang suami benar sayangkan isterinya, pasti dia akan meninggalkan segala tabiat buruknya, kan?

Ah, apa yang saya tahu tentang perkahwinan?

Walau terlalu ingin saya cuba menasihati, menyuntik rasional kepada minda teman saya itu, bahawa suami yang baik bukan hanya dilihat dari sudut ‘hati’ tapi juga dengan perbuatan, pasti nasihat saya ditolak mentah-mentah.

Sue tak tahu keadaan macam mana. Sebab Sue tak kahwin lagi.

Sudah berapa kalikah kata-kata begini dilempar kepada saya?

Saya akui, saya tidak layak untuk berbicara apatah lagi memberi nasihat soal perkahwinan. Pengetahuan saya soal perkahwinan adalah seperti remaja 17 tahun dalam soal memandu kereta. Hanya tahu secara teori, tetapi pengetahuan secara praktikal adalah ‘nil’ sama sekali. Dan lesen untuk mempraktikkannya pun tidak lagi saya perolehi.

Tetapi, adakah itu membuatkan saya langsung tidak boleh menasihati, jika benar ada yang tidak kena?

Adakah manusia hanya akan menerima pandangan daripada orang yang pernah mengalami sahaja?

Adakah seorang abang perlu lumpuh kakinya terlebih dahulu sebelum dia dapat menasihati si adik akan bahaya berlumba motosikal haram?

Adakah seorang ibu perlu mengandung anak luar nikah dahulu sebelum dia dapat menegur anak gadisnya jangan terlalu sosial bertukar2 teman lelaki?

Adakah seorang datuk perlu kudung jari-jarinya terlebih dahulu sebelum dia dapat melarang cucunya bermain mercun?

Adakah seorang teman perlu keluar pusat pemulihan sebelum dia menasihati teman yang lain akan bahayanya najis dadah?

Entahlah.

Lalu saya hanya mengambil langkah berdiam diri. Selepas segala nasihat saya tidak dituruti. Setelah penat saya yakinkan bahawa lelaki itu tidak layak dipanggil suami. Setelah lelah saya cuba menasihat tapi hanya ibarat mencurah air ke daun keladi. Setelah puas saya memujuk “tinggalkan dia kak. Akak patut dapat yang lebih baik dari itu” tapi hanya ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Dan perlahan-lahan air milo yang sudah semakin sejuk itu saya hirup. Tawar dan hambar masih terasa.

Dan mata saya cuba untuk mengelak dari melihat ke wajahnya.

Pada lebam di bawah matanya.

Pada pecah di tepi bibirnya.

“Terlanggar pintu bilik air” katanya.

Selepas alasan “terjatuh katil”, “tercucuk duri bunga”, “terkena seterika”, “terkena ekzos moto”,”terjatuh di bilik air”,”terkena pisau”, “terpijak pasu pecah” dan segala macam alasan “kemalangan” lain lagi, sudah habis diguna.

Saya tidak tahu kenapa. Saya rasa sungguh hiba mengenangkan nasibnya.

Ini cerita pada September tahun lepas.

Tadi, saya mendapat tahu, teman saya itu sudah pun bercerai dengan suaminya.

Entah kenapa, saya berasa sungguh lega.

Saya harap, saya tidak berdosa.

Kerana berasa lega.

Atas keruntuhan sebuah rumah tangga.

 
6 Comments

Posted by on August 12, 2011 in Manusia, Peribadi, Teman

 

6 responses to “Bahagia adalah hak setiap insan.

  1. Ili Nabila Mohd Zazili

    August 17, 2011 at 8:57 am

    yup. truly agree wif u kak sue. low self esteem menyebabkan orang fikir mcm tu. like, kalau takde husband tu akan mati tak boleh hidup sbab harus jalani hidup sendirian dalam dunia yang kejam ni.

    tapi kiranya dia faham bahawa hidup ini Allah yang takdirkan, dia akn mengerti sepenuhnya macam mana untuk memaknakan sebuah kehidupan dan akan belajar untuk menyayangi diri sendiri.

    just my 2cents. =)

     
    • sUe

      August 17, 2011 at 4:30 pm

      yup!!
      betul cakap nabila bhw org yg berfikiran begitu sebab low self esteem. dan sometimes maybe sbb terlalu bergantung pada suami, jadi tak boleh berdikari kalau tak ada suami.

      atau mungkin juga sbb cinta. still madly in love with the husband.

      tp bak kata teman kak sue itu – penceraian bukan benda mudah. hanya dgn tgk pada mata anak2 dan kita takkan sanggup berpisah dgn ayah mereka.

      kak sue tak rasa benda itu (sbb tak ada anak), jadi kak sue beriya memujuk suruh minta cerai.it’s quite selfish actually.😐

      but in the end, jodoh itu tetap urusan Allah. hurm…~

       
  2. Ili Nabila Mohd Zazili

    August 19, 2011 at 1:16 pm

    hurm….yes, betul anak2 perlukan ayah. tapi ayah yg macam mane? ayah yg boleh memberi impak yg baik dan membimbing…atau ayah yg menambahkan lagi statistik dan kadar jenayah juvana di malaysia?

    sekali pun bercerai, itu tidak menidakkan status die tetap ayah kepada anak2 dia. tetapi zalimlah seorang ibu sekiranya membiarkan kehidupannya dan anak-anak terabai, terbiar hanya kerana ingin mengekalkan tali perkahwinan.

    saya tak menggalakkan perceraian. tapi tak juga mengiyakan tindakan untuk stick for the marriage atas alasan semata-mata kerana tak sanggup…kesian anak-anak. unless ada usaha untuk mengubah dan berubah from both parties. try ur best to save it. tapi kalau lebih banyak buruk daripada baik, why stay?

    sometimes breaking up is one way to make ppl realize and change. but not always and everytime. Allah knows best. =)

    life is a long journey. we never know what we might get.

     
    • sUe

      August 24, 2011 at 4:20 pm

      yer betul tu nabila.
      sokong 150%🙂

       
  3. hazwan

    August 21, 2011 at 1:44 am

    which reminds me u r turning seventeen in three days time..at the time i am typing dis..
    so have a sweet seventeen bebeh
    ngeh ngeh

     
    • sUe

      August 24, 2011 at 4:26 pm

      hehehe…
      thanx a lot buddy.
      come to think again, kau x pernah lupa wish besday aku.
      since we’re fourteen!
      wah, terharu seyh!🙂

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: