RSS

I can no other answer make, but, thanks, and thanks. ~William Shakespeare

20 Jun

Dia itu, seorang sahabat yang pernah akrab. Mula berkenalan rapat saat sama-sama praktikal dahulu, dan menjadi rafik akrab pada semester-semester terakhir di universiti.

Banyak juga saya berkongsi rasa dengan dia, bercerita tentang mimpi dan harapan, tentang angan dan kenyataan. Sering juga kami berdebat hebat. Dia penyokong kuat kerajaan dan saya, pendukung  ‘totok’ barisan pembangkang.

Malah, ketika mendapat tahu ibu ditimpa sakit, dia orang pertama yang saya luahkan walang di hati. Kerana saya tahu, dia pernah mengalami, maka pasti dia akan memahami.

Tetapi, lazimnya kawan akrab yang lain, kami semakin berjauhan. Kerana lazimnya di alam pekerjaan, payah untuk saling berhubungan. Atau mungkin kerana sudah tiada apa topik yang mahu dibualkan. Atau mungkin kerana masing-masing dihambat kesibukan.

Lalu, dia itu hanya mampu saya pahatkan dalam kanvas kenangan. Yang mungkin semakin lama, akan luput dari ingatan.

***

Dia itu, junior ketika di universiti. Berkenalan kerana melakukan tesis projek tahun akhir yang sama. Selama satu semester, hanya dia yang saya hadapkan, di dalam makmal bersama-sama melakukan kajian.

Perbualan kami terhad dalam ruang lingkup kajian semata-mata. Berbincang tentang keputusan eksperimen atau bertanya tentang laporan. Kerana dia lelaki, maka dia yang diharapkan untuk melakukan kerja-kerja keras. Pernah juga, dia terpaksa mengangkut berpuluh-puluh tong berisi sisa-sisa kumbahan naik ke atas lori, hingga katanya dia betul-betul mahu pengsan.

Tetapi, lazimnya sebuah perhubungan senior-junior yang lain, maka hubungan kami juga terhenti di ruang lingkup makmal sahaja. Tidak ada cerita yang mahu dipanjangkan, tidak ada hal peribadi yang mahu dikongsi, tidak ada kegembiraan yang mahu dirai. Perbualan kami terhad kepada projek dan kajian semata-mata.

Dan dia juga, akhirnya tinggal kenangan di dalam minda saya.

***

Dia itu, supervisor saya ketika tahun terakhir di universiti. Kebaikannya, Tuhan sahaja yang Mengetahui. Beliau sentiasa mahu membantu, sedaya mana yang mampu.

Walaupun tahun akhir universiti adalah tahun paling mencabar bagi saya, tetapi dengan bantuan beliau, syukur Projek Tahun Akhir dapat saya tempuh dengan berjaya.

Dan lazimnya seperti perhubungan pensyarah-anak didik yang lain, maka perhubungan itu terhenti begitu sahaja, saat tersarungnya jubah graduasi dan topi mortar di atas kepala. Dan saat sang anak didik keluar ke alam kerja, maka pensyarah tinggal di universiti, menabur bakti kepada anak didiknya yang lain pula.

***

Tiga manusia ini bukanlah tidak boleh saya hubungi langsung.

Bukanlah tidak boleh saya bertanyakan khabar berita mereka.

Bukanlah langsung tidak mampu untuk saya jejaki sekadar mahu bertanyakan apa cerita mereka kini.

Tetapi entah kenapa,

hubungan itu saya biarkan begitu sahaja, berlalu pergi dibawa angin waktu.

ikon yahoo messengger atau google talk yang berkelip-kelip di sebelah nama mereka tidak pernah saya endahkan.

nombor telefon di dalam telefon bimbit tidak pula terfikir untuk saya dailkan.

seolah-olah takdirnya hadir mereka itu, hanya sebentar cuma, dan selepas melangkah ke  alam kerja, kami seolah-olah terpisah oleh dua dunia berbeza.

***

akan tetapi, pada satu hari, saya memerlukan pertolongan mereka. benar-benar terdesak memerlukan mereka.

lantas nombor mereka saya dail juga.

ikon google talk itu saya klik juga.

setelah sekian lama.

hanya untuk meminta pertolongan.

dan ajaibnya, mereka tetap sudi membantu, sedaya mana yang mampu. mereka tidak kisah tentang saya yang menyepikan diri. mereka tidak hiraukan tentang saya yang tidak pernah mahu ambil peduli.

kerana bagi mereka, kita sesama manusia adalah bersaudara. dan perhubungan kami sebenarnya tidak pernah mati. tidak pernah terhenti.

***

dan atas kesudian mereka masih sudi membantu seorang suhaila,

yang lebih senang mendiamkan dirinya

yang tidak pernah peduli tentang orang lain yang pernah ada dalam hidupnya

yang lebih senang menyepikan sebuah perhubungan kerana sudah tidak tahu  mahu bicara tentang apa

yang hanya mencari mereka saat dia terdesak perlukan bantuan sahaja

ya, dan atas kesudian itu,

mohd shahnaz, khairul anwar dan dr azmuddin,

dari sudut hati paling dalam,

saya hanya mampu mengucapkan,

terima kasih yang tidak terhingga.

terima kasih. terima kasih banyak-banyak.

One can pay back the loan of gold, but one dies forever in debt to those who are kind.  ~Malayan Proverb

 
3 Comments

Posted by on June 20, 2011 in Nostalgia, Peribadi, Teman

 

3 responses to “I can no other answer make, but, thanks, and thanks. ~William Shakespeare

  1. fz

    July 11, 2011 at 12:16 pm

    “dia mahu ke bintang, tapi tak tergapai tangan. dia senyum dapat pelangi, yang datang selepas hujan.”-suka ayat ni

     
  2. ainunlmuaiyanah

    July 15, 2011 at 4:00 pm

    saya dan kawan-kawan rapat saya memang macam tu. kami sangat jarang berhubung tetapi bila berhubung seperti tidak pernah berpisah.

    bersahabat sekali, bersahabat selamanya…🙂

    hehe, atau komen sekali di blog, bersahabat selamanya🙂 ki ki ki

     
  3. sUe

    July 22, 2011 at 6:31 pm

    “komen sekali di blog, bersahabat selamanya…”

    hehe…i loikeee…😀

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: