RSS

perihal malu di bulan puasa

07 Sep

Saya pandang Kak Lin. Kak Lin pandang saya. Kami saling pandang memandang. Kening berkerut. Resah-gelisah. Perkara ini sudah kami fikirkan, berkali-kali.

“Macam mana Kak Lin?” tanya saya.

“Ah, buat selamba saja lah” jawabnya.

“Malulah…tapi lapar.” keluh saya pula.

“Biarlah…kita ada alasan kan…lagipun macamlah orang tak tahu sebab apa.” Kak Lin cuba meyakinkan.

Ya, itulah dilema kami sebagai wanita. Malu jika tidak berpuasa atas sebab-sebab tertentu yang dibolehkan. Malu jika dinampak orang sedang membeli makanan di cafeteria berhampiran. Malu jika dikata orang “ha…ini mesti datang bulan.”

Itulah, kadang-kadang perkara yang sememangnya fitrah wanita sejak azali, yang memang sudah dipelajari dalam subjek Sains sejak tingkatan 3 lagi, yang memang mana-mana manusia yang akil baligh cukup sifat waras fikiran pun akan mengetahui, yang memang sejak dulu turun temurun nenek moyang kita pun mengalami, yang secara saintifiknya hanyalah kerana seketul ovum keluar dari ovari, ya, benda seperti itu pun, masih dianggap memalukan.

“Oklah, jomlah…” akhirnya saya kalah kepada tuntutan perut yang sudah berbunyi minta diisi. Lapar semasa berpuasa lain. Lapar macam mana pun kau tetap tidak boleh makan, dan sedaya upaya akan ditahan. Tapi, lapar dalam keadaan kau tahu memang dibolehkan untuk makan, laparnya berkali-kali ganda lagi.

Ketika kami sedang menceduk lauk ke dalam bekas polisterine, dengan kepala yang tertunduk-tunduk sambil tangan secepat kilat mencapai apa sahaja lauk yang ada, kerana khuatir kafeteria yang lengang itu akan dipenuhi manusia bukan Islam yang akan makan tengahari, tiba-tiba kami ditegur seorang lelaki.

Lelaki itu mendekati saya, dan dengan senyuman sinis dia menegur “Hai tak puasa ke?”

Tiba-tiba waktu seakan berputar dan saya seperti kembali semula ke waktu persekolahan dahulu. Kerana wujudnya lelaki-lelaki seperti ini lah, kami yang wanita berasa malu setiap kali tiba hari keuzuran.

Kerana lelaki-lelaki ini yang akan mengejek dan menyindir jika tiba-tiba baju kami bertompok merah tanpa disedari,

kerana lelaki-lelaki ini yang akan tersenyum-senyum penuh makna dan berbisik sesama sendiri apabila kami menggeleng tidak mahu menjawab soalan di papan putih kerana sudah terasa ada ‘kebocoran’ yang sedang berlaku,

kerana lelaki-lelaki ini yang apabila berjalan di belakang kami mula menyanyi-nyanyi lagu yang liriknya ada perkataan ‘darah’ hanya kerana ternampak setompok kecil merah di baju putih kami,

kerana lelaki-lelaki ini yang akan datang kepada kami dan bertanya ‘kau uzur eh?’ hanya kerana melihat sekilas bulu kening kami atau wajah kami atau entah apa-apa lagi anggota tubuh badan kami yang konon-konon boleh ditafsir sesuka hati.

Ya, kerana wujudnya lelaki-lelaki ini, yang terlalu bebal dengan konsep ‘gentleman’, terlalu dungu untuk menjadi matang, dan terlalu bodoh untuk berlagak bersahaja, hingga seolah-olah wajib hukumnya bagi mereka untuk memalukan kami dalam hal sebegitu, dan seolah-olah jika melihat wajah kami yang berubah kerana malu itu adalah satu puncak kegembiraan paling agung bagi mereka.

Dan alangkah ironinya, alangkah sungguh ironi sekali,

Lelaki yang bertanya kepada kami “Hai tak puasa ke?” itu, dengan selambanya juga SEDANG MENYENDUK LAUK KE PINGGANNYA.

Dan yang hairannya, KAMI pula yang berasa malu. Sedangkan DIA yang tidak berpuasa tanpa alasan kukuh itu langsung tidak ada riak malu melakukan dosa terang-terangan, tetapi tegar pula memalukan kami. Aneh bukan?

Seolah-olah kau menegur seorang wanita tidak bertudung, sedangkan kau sendiri sedang berseluar pendek atas lutut.

Tetapi, sekurang-kurangnya teguran kepada wanita yang tidak bertudung itu tetap berasas kerana dia tetap berdosa tidak menutup auratnya, lantaran seorang tokoh (tak ingat siapa) pernah berkata “Jangan dilihat SIAPA yang menasihat, tetapi lihat APA yang dinasihat”

Masalahnya sekarang, apakah kami sedang berdosa kerana membeli makanan pada waktu tengahari di bulan Ramadhan, sedangkan kami mempunyai alasan untuk berbuat demikian? Dan apa pula alasan anda, wahai lelaki, untuk tidak berpuasa?

Lantas, dengan bengangnya saya menjawab “Kami tak puasa ada sebab. Yang awak tu bertanya, awak tu apa alasan pula tak puasa?” Dan mulalah beliau tersengih-sengih dan tersipu sendiri.

Benci betul!

Seorang sahabat pernah berkata, jika kau masih ada rasa malu, resah, gelisah, dan takut ketika berbuat dosa, bersyukurlah, kerana sesungguhnya, iman kau walau sedikit, walau setipis kulit kelkatu, tetapi sekurang-kurangnya masih ADA. Tetapi, jika kau sudah tiada rasa malu, rasa takut, atau rasa resah ketika melakukan dosa, mungkin sudah tiba masanya untuk kau cari balik, iman kau di mana?

Dan lelaki itu, yang dengan selamba badak tanpa rasa bersalah, mengingkari rukun Islam ketiga, secara terang-terangan pula, kemudian ada hati menegur kami dengan selamba, agak-agak imannya di mana?

Ouh, marahnya saya.👿

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita berhenti dari tersipu-sipu malu apabila berbicara soal period atau datang bulan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menjawab dengan tegas “Ya, kami tak puasa sebab uzur. Kenapa? Ada masalah kah?”

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita bercakap secara terbuka tentang sesuatu yang memang menjadi fitrah kita.

Kerana yang sepatutnya tersipu-sipu bukan kita, tetapi mereka (yang tidak berpuasa).

Kerana yang sepatutnya resah gelisah bukan kita, tetapi mereka (yang tidak berpuasa).

Kerana yang sepatutnya malu bukan kita, tetapi mereka (yang tidak berpuasa).

Tetapi malangnya, benda ini tetap tak akan berlaku,

Kerana mereka langsung tidak tahu, MALU itu menatang apa?

p/s: Selamat hari raya kepada semua. Maaf andai ada salah dan silap dalam menyusun kata. Akhir sekali, berhati-hati di jalan raya. Ouh ya, berpuasa di bulan Ramadhan itu adalah rukun Islam ketiga. Dan tidak berpuasa tanpa sebab itu besar dosanya. Itu sahaja. Sekian terima kasih.

 
2 Comments

Posted by on September 7, 2010 in Uncategorized

 

2 responses to “perihal malu di bulan puasa

  1. hanakirana

    September 7, 2010 at 7:10 pm

    “tokoh (tak ingat siapa) pernah berkata “Jangan dilihat SIAPA yang menasihat, tetapi lihat APA yang dinasihat”

    -Saidina Ali r.a.

     
    • sUe

      October 6, 2010 at 5:47 pm

      thanx ingatkan!🙂

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: