RSS

Entri ini tentang kakak saya (dan entri ini juga sangat panjang berjela)

10 Jul

Saya dan kakak, kami berbeza seperti langit dan bumi. Seperti bulan dan matahari. Tidak serupa tetapi saling melengkapi. Kadang-kadang jika bukan kerana kami membesar bersama, payah untuk saya percaya bahawa dahulunya, selama 9 bulan, kami pernah menginap di dalam rahim wanita yang sama.

Perbezaan kami bermula sejak lahir. Kakak lahir sebagai anak sulung yang dinanti, sempurna dari setiap segi. Dia adalah bayi yang comel, berkulit putih merah, dengan mata besar bercahaya, dan ke mana-mana sentiasa menambat hati sesiapa yang mendekati. Sedangkan saya, anak kedua yang lahir setahun selepas itu, adalah bayi yang – menurut emak- adalah hitam legam. Menurut cerita emak lagi – kulit saya adalah gara-gara terkenankan seorang budak India yang melecur tubuhnya dan kebetulan satu wad dengan emak ketika itu.  Jadi boleh bayangkanlah betapa gelap zulumatnya saya ketika bayi.

Menjelang alam kanak-kanak, perbezaan kami lebih ketara. Bukan sahaja dari segi fizikal, tapi dari segi sikap, kami memang langsung tidak serupa. Ketika kakak seorang yang baik dan lurus, saya pula lebih nakal dan memberontak. Ketika emak – dengan mata terjegil – bertanya siapa yang menconteng dinding rumah – kakak dengan lurusnya mengaku dan menerima ‘habuan’ emak dengan pasrah. Sedangkan saya, mati-mati tidak mengaku sehingga terpaksa dikejar emak sekeliling rumah. Kata emak, apa-apa saja perkara nakal yang kami berdua buat – pecahkan meja, melompat atas katil sehingga patah kaki katil, conteng dinding rumah, tangkap ikan dalam kolam, dan macam-macam lagi, jika mahu tahu siapa yang buat – tanya saja pada kakak. Kerana kakak seorang yang jujur dan berani mengaku salah. Sedangkan saya pula memegang prinsip “berani kerana benar, tetapi lagi kena buat-buat berani walaupun salah”

Perbezaan kami tidak terhenti di situ. Di sekolah rendah, ketika saya bergiat aktif dalam kokurikulum, bertanding pertandingan itu dan ini, kakak pula lebih cemerlang dalam bidang akademik. Dia tidak pernah mendapat nombor selain nombor satu sepanjang 6 tahun dia di sekolah rendah.

Semakin kami membesar, semakin ketara perbezaan kami. Kakak tegas dan tidak mudah dibuli, sedangkan saya lebih ‘lemah’ dan tidak berani berkonfrontasi. Kakak lantang menyuarakan segala ketidak puasan hati kepada siapa saja, sedangkan saya lebih senang memendam segala rasa. Ironinya, walau kakak berani dan lantang dengan orang lain , tetapi dia pemalu amat jika perlu membuat pembentangan di hadapan kelas. Dia akan menjadi manusia paling gugup dan gemuruh bercakap di khalayak. Sedangkan saya, membuat pembentangan di hadapan kelas adalah antara perkara yang menyenangkan. Kerana saya suka apabila suara saya didengari dan percakapan saya diamati.

Citarasa kami juga jauh berbeza. Kakak akan menggeleng kepala melihat baju raya saya yang berwarna merah terang berkilat sambil berkata “Ila…Ila…bila la taste hang ni nak matang?”. Dan saya pula akan mencebik pada baju kurung hitam atau kelabu yang dibeli sambil berkata “Eeee….taste macam orang tua. Nenek pun baju sama macam hang..haha!” Begitulah, katanya saya tidak matang dan seperti kanak-kanak. Kata saya pula, citarasanya seperti orang tua-tua.

Kasutnya sandal loafer rona beige itu kata saya, seperti yang selalu dipakai ibu-ibu mengandung. Ejek dia pula, kasut saya yang berwarna hijau terang dengan polka dot hitam itu seperti yang selalu dipakai kutu-kutu lepak di pasaraya. Ketika dia suka mendengar lagu-lagu Inggeris, lagu-lagu Melayu pula lebih sering menjadi halwa di telinga saya. Dia hanya menggeleng kepala apabila saya katakan bahawa lagu Indonesia boleh tahan juga, dan saya pula hanya memandang sepi apabila dia menyanyi lagu-lagu rap atau hip hop atau pop Inggeris yang tidak pernah saya dengari.

Dia memandang pelik apabila saya berkata “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” karya Hamka itu buku terhebat dan Andrea Hirata pula adalah antara penulis kesukaan saya. Ini kerana, buku Bahasa Melayu yang dibacanya hanyalah terhad kepada buku teks sekolah semata-mata. Kakak lebih sukakan buku Bahasa Inggeris dan penulis kegemarannya – adalah Sidney Sheldon – dan ini adalah antara satu-satunya persamaan antara kami. Menyukai buku-buku Sidney Sheldon.

Kakak berani dengan makhluk mistik, sedang saya penakut nak mati. Kakak tidak boleh tidur dalam lampu terang bercahaya, sedang saya wajib tidur dalam keadaan lampu terpasang sentiasa. Kakak teliti dalam setiap kerja, sedang saya lebih semberono saja. Kakak tidak suka memasak tetapi rajin mengemas, sedangkan saya pula adalah sebaliknya. Kakak sukakan warna-warna suram dan kelam seperti hitam, coklat dan kelabu, sedangkan saya lebih sukakan warna warni ceria seperti hijau, kuning, merah dan biru.

Kata emak, kakak nampak keras dan tegas di luar, tapi di dalam dia sebenarnya lembut hati. Sedangkan saya, kata emak lagi, nampak lemah dan lembut di luar, tapi di dalam saya sebenarnya keras hati.

Ah, terlalu banyak perbezaan antara kami. Persamaannya, mungkin hanya boleh dikira dengan jari. Tapi kalau perbezaan, luasnya tidak bertepi. Seperti langit dan bumi. Seperti bulan dan matahari. Tetapi, walau tidak serupa, sebenarnya kami saling melengkapi.

Entri ini tentang kakak saya. Tatkala rindu terasa begitu menggebu kepada dia. Kerana kami – entah kenapa – semakin jarang berhubung. Jika dahulunya, kami seperti zarah-zarah pepejal yang tidak dapat berpisah, kini kami seperti zarah-zarah gas yang semakin berjauhan.

Entri ini tentang kakak saya. Selepas saya menyelak folder-folder lama dan terjumpa gambar-gambar kami sewaktu kecil. Dan kenangan lalu mula menerjah minda.

Entri ini tentang kakak saya. Yang pernah menadah tubuhnya untuk melindungi saya ketika dilibas ibu dengan penyangkut baju tiga segi. Yang akan membela saya apabila diusik budak-budak lelaki. Yang akan bergaduh bagi pihak saya apabila saya dibuli. Yang akan sama-sama menangis apabila saya patah hati. Yang nombornya adalah yang pertama saya dail apabila sepi datang mencengkam diri. Yang kepulangannya dari asrama sentiasa saya nanti supaya kami dapat berborak panjang sehingga ke subuh dinihari. Yang tangannya saya genggam di dalam masjid pada hari bersejarah dia sah bergelar isteri dan kini akan pula bergelar ibu tidak lama lagi.

Entri ini tentang kakak saya. Yang saya kenal selama 25 tahun, tetapi entah kenapa – kami sudah seperti orang asing yang tidak pernah mengenali. Lantaran dia yang sudah bersuami dan saya pula sibuk dengan kerjaya sendiri. Sudah terlalu lama tidak berhubung, sehingga untuk mula semula berhubung, terasa sungguh janggal sekali.

Entri ini tentang kakak saya. Kerana entah kenapa, tiba-tiba saya rindukan dia.

Sungguh sungguh rindu. Kepada dia.

 
8 Comments

Posted by on July 10, 2010 in famili, Nostalgia, Peribadi, Uncategorized

 

8 responses to “Entri ini tentang kakak saya (dan entri ini juga sangat panjang berjela)

  1. gadis moto

    July 12, 2010 at 10:17 am

    cerita kte adalah sma… anda mengingatkan sy kpd kakak sy yg juga sudah b’kahwin ttp alhamdulillah hubungn kmi masih akrab seperti dlu… tidak perlu berasa janggal utk menghubunginya kerana mungkin die b’harap anda b’buat bgitu..

     
    • sUe

      August 5, 2010 at 6:02 pm

      terima kasih gadis moto.
      dan baguslah kakak anda masih akrab dgn anda even lepas dia kahwin.
      mine pun still the same, cuma mungkin saya je yg terasa lebih.
      PMS kot. hehe!😛

       
  2. syuk

    July 12, 2010 at 10:29 am

    Kak sue, makin hari kn, kak sue makin pandai menulis.
    menyentuh perasaan betol entri kali ni. maybe u shud just call her and say hi.

     
    • sUe

      August 5, 2010 at 4:31 pm

      ouh ye ke? thank you…i just wrote what ever i felt inside at the moment.🙂

      ouh, pasal kakak kak sue, kitorg baru jumpa last week.
      lepas 5 bulan kot dia tak balik rumah dan kitorg lgsg tak contact.

      her pregnancy will be due very soon. tiba-tiba kak sue pulak yg nervous. ahah!

       
  3. temauan

    July 12, 2010 at 2:32 pm

    this is sweet. beautifully written.

     
    • sUe

      August 5, 2010 at 4:27 pm

      thanks! glad you like it.🙂

       
  4. hazwan

    July 22, 2010 at 5:26 pm

    suhaila mmg pandai menulis

    **baru pas korek surat lame ko.hehe gelak kuat gila baca sorang2

     
    • sUe

      August 5, 2010 at 1:11 pm

      haha! simpan lagi kau ye surat2 aku tu.😳
      aku teringat satu word kau “currydoh = currypuff + playdoh”
      masa tu kau kutuk karipap kat kantin SDAR…
      gile kaw-kaw punya kutuk…😆

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: