RSS

Tentang sebuah kehilangan

06 Jun

Sebenarnya, saya tidak tahu bagaimana mahu memulakan entri ini.

Sebenarnya juga, sudah beberapa kali saya cuba menaip, tetapi akhirnya butang ‘Backspace’ juga yang saya tekan, lantas mematikan semua bait aksara.

Sebenarnya, saya ingin sekali bercerita, meluahkan rasa, tetapi entah kenapa, ilham itu seperti membeku bagaikan tertimbus di bawah salji Kutub Utara.

Begini, ceritanya adalah tentang seorang sahabat, seorang bapa, dan tentang kasih sesama keluarga. Juga tentang erti sebuah kehilangan.

*****

Sahabat itu, biar saya namakan sebagai Siti sahaja.

Siti itu, saya kenali hampir 10 bulan lalu dan pantas, kami menjadi rafik akrab. Terlalu akrab mungkin. Kami bertukar cerita dan berkongsi rahsia. Keluarganya sudah seperti keluarga saya, dan saya juga sudah seperti sebahagian daripada keluarganya.

Siti itu, mempunyai satu rasa marah yang tak berkesudah kepada ayahnya, lantaran sikap si ayah yang tidak pernah mempedulikan keluarga ketika zaman mudanya.

Siti itu, pernah disangka sebagai anak yatim oleh kawan-kawan, kerana sikap si ayah yang tidak pernah ada di rumah dan kadang-kadang akan pulang dan pergi sesuka hati.

Siti itu, pernah berkata bahawa sepanjang 27 tahun dia hidup, hanya tiga jasa ayahnya yang dia ingat. Satu, memberi benih untuk kelahirannya ke dunia. Dua, memberi nama untuk diisi dalam sijil lahir. Dan tiga, membawa balik buah-buahan untuk dia adik beradik jika ayahnya pulang ke rumah sekali-sekala.

Siti itu, pernah saya paparkan kisahnya di sini.

Siti itu, pernah berkata “hidup Siti hanya untuk ibu Siti. terus terang cakap, kalau abah Siti dah tak ada pun, Siti tak rasa apa-apa”

Dan Siti yang itu jugalah, yang saya peluk erat bahunya pada 31 Mei lepas, sedang membelai ubun-ubun si ayah yang sedang kritikal sambil mengajar dia mengucap  “La Ila Ha Illallah….La Ila Ha Illallah….abah..mengucap abah…La Ila Ha Illallah….” dengan air matanya mencurah-curah keluar.

Sungguh, itu pemandangan paling mengharukan tiada terperi. Bagaikan ada satu tangan halimunan yang merobek-robek dan memerah setiap inci hati saya dan menyimbahnya dengan rasa pilu yang tak terhingga. Sehingga saya terpaksa bergegas ke tandas hospital, menangis teresak seperti anak kecil, menghamburkan segala sebak di dada. Kerana Siti yang saya kenal, yang sangat marah pada ayahnya atas sikap lampaunya, kini sedang menangis pilu, kerana saat itu, ayahnya sudah sangat nazak, dan bila-bila masa sahaja akan dijemput Izrail.

Sebusuk-busuk daging, dibasuh, dimakan juga. Seteruk-teruk mana pun orang itu, dia tetap darah daging kita. Dan kita tak akan mahu dan mampu melihat dia hilang dari pandangan mata, untuk selama-lamanya.

*****

Sesungguhnya ini pengalaman pertama saya berhadapan dengan kematian.

Ada tiga orang ahli keluarga terdekat yang meninggal tanpa kehadiran saya. Arwah Embah pergi akibat kemalangan jalan raya, ketika usia saya hanya beberapa bulan. Arwah Tok Wan pergi ketika saya sedang bergelut dengan kertas PMR dan pemergiannya dirahsiakan ayah kerana tidak mahu tumpuan saya terganggu. Dan arwah Tok yang saya sayangi pergi ketika saya jauh di Kuantan sana, dan hanya sempat pulang ketika jenazahnya sudah pun disemadikan.

Dan ironinya saya berada di situ, ketika ayah Siti yang saya panggil Pakcik sedang bergelut dengan sakaratul maut.

Saya ada ketika dia sedang kritikal dengan tiub dan wayar berselirat di tubuhnya dan hanya tangki oksigen yang digunakan sebagai penyambung nyawa.

Saya ada ketika garis hijau dan merah di monitor skrin yang menunjukkan tekanan jantung dan darahnya berbunyi beeeeeppppppppppp…..sebagai indikator bahawa tekanan darahnya sudah tidak ada, dan degupan jantungnya juga akan menyusul pada bila-bila masa.

Saya juga ada ketika semua jururawat sedang bersedia sambil berkata kepada ahli keluarga “Ajar dia mengucap….ajar dia mengucap…” sambil diiringi esak tangis Siti, ibu dan kakak-kakaknya.

Dan saya juga ada ketika doktor muda itu bertanya kepada ibu Siti sama ada mahu dilakukan CPR atau tidak jika jantung Pakcik terhenti, kerana katanya, melihat keadaan Pakcik, CPR mungkin tidak dapat membantu dan hanya akan menyakitkan dirinya. Dalam erti kata lain – Pakcik sudah sangat nazak dan sebarang usaha untuk menyelamatkannya mungkin tidak membuahkan hasil.

Dan akhirnya, pada 31 Mei 2010, tanggal 3.34 petang, kegagalan fungsi paru-paru, jantung, buah pinggang dan hati  telah menghantar Pakcik kembali kepada Illahi.

Innalillahi wainnalillahi roji’un.

*****

 Kehilangan.

Ada pelbagai cara manusia menghadapi kehilangan orang tersayang. Sama ada kehilangan sementara mahupun kehilangan yang kekal abadi. Bagi yang tipis imannya dan cetek akalnya, mungkin menghadapinya dengan menggantung diri atau terjun bangunan.  Bagi yang masih ada iman dan sedar bahawa nyawa itu hanyalah pinjaman dari Tuhan, akan bersedih tetapi tetap redha dengan ketentuan Tuhan.

Kehilangan Pakcik sebetulnya memberi impak yang berbeza dalam hidup saya.

Kesedihan yang saya rasai tidak sama seperti sedihnya saya ketika mendapat tahu akan penyakit barah ibu dahulu, di mana air mata menjadi murah dan bisa tumpah pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.

Kesedihan ini juga tidak serupa seperti sedihnya putus cinta pertama sehingga air mata mengalir tanpa henti setiap kali teringat atau terkenang si dia yang sudah pergi.

Malah, ketika kehilangan Pakcik, air mata saya bergenang dan berlinang hanya dua kali. Pertama, ketika melihat keadaan Pakcik yang sudah kritikal di hospital. Dan kedua, ketika membacakan Yassin di hadapan jenazahnya yang sudah terbujur kaku.

Tetapi, kehilangan Pakcik adalah kehilangan yang tidak dapat digambarkan. Ini kerana walau saya sudah berhenti menangis dan mampu meneruskan kerja seperti biasa, tetapi, seperti ada satu lompong besar dalam hati yang tak mampu diisi.

Saya tidaklah bersedih yang terlampau, tetapi, sepertinya ada sesuatu yang tidak kena yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Seolah-olah saya bangun tidur pada waktu pagi dan berasakan bilik tidur saya sudah tidak sama, walau perabotnya tetap serupa. Seperti ada orang yang masuk dan mengubahnya ketika saya tidur. Kaki katil dirasakan lebih tinggi dari biasa, atau meja kecil dialihkan ke kiri beberapa inci, atau almari besar diserongkan sedikit beberapa darjah.

Segala-galanya nampak sama dan serupa, tetapi seperti ada sesuatu yang tidak kena. Itulah gambaran perasaan saya, dalam menghadapi kehilangan Pakcik.

*****

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata terakhir Pakcik kepada saya, dua bulan lepas. “Pakcik anggap Su ni macam anak sendiri. Su pun buatlah rumah ni macam rumah sendiri”.

Kini, sudah tidak ada lagi kelibat Pakcik setiap petang, yang akan duduk bersantai di kerusi malas depan pintu.

Sudah tidak ada lagi Pakcik yang akan menyambut saya dengan senyuman yang menampakkan gusi, setiap kali saya membuka pintu pagar dan melaungkan “Assalamualaikuummmm…..”

Sudah tidak ada lagi Pakcik yang akan tersengih suka apabila saya mengusik “Wah, pakcik potong rambut ya? Hensem lah!” atau “Pakcik nampak sihat dan lebih berisi sikit hari ni.”

Sudah tidak ada lagi suara Pakcik yang akan ketawa geli hati setiap kali menonton filem P.Ramlee di kaca televisi.

Sudah tidak ada lagi nasi goreng pattaya atau buah tembikai kegemaran Pakcik yang akan saya belikan setiap kali singgah di kedai makan atau pasar malam.

Sudah tidak ada lagi suara Pakcik mengadu sakit lelah dan penat setiap kali saya datang bertanyakan khabar.

Ya, Pakcik sudah tidak ada. Tetapi kenangan tentang dia, masih ada dan segar dalam ingatan, dan akan tetap kekal bersemadi di lubuk hati.

Untuk Siti, makcik dan keluarganya, takziah saya ucapkan. Semoga pemergian Pakcik dalam keredhaan Allah.

Pakcik, semoga Pakcik aman di sana.

Al-Fatihah.

 

 
Leave a comment

Posted by on June 6, 2010 in famili, Manusia, Pengalaman, Peribadi

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: