RSS

cabaran itu yang buat kita kuat sebenarnya.

22 Mar

Saya pandang mereka satu-persatu. Lima belas pasang mata itu memandang semula ke arah saya. Kesemua mata itu milik anak-anak muda mudi harapan bangsa tiang negara. Bakal pemimpin masa hadapan, yang akan mencorak dan menyumbang kepada negara.

Mereka semua adalah pelajar-pelajar saya.

Beberapa minit kemudian, senyap sunyi itu pecah semula, oleh tawa dan senda mereka. Lantas, mereka kembali semula seperti biasa, bergelak tawa bercanda ria, tanpa mempedulikan saya, guru mereka yang sedang berdiri di hadapan, cuba sedaya upaya mencurah ilmu menyemai bakti.

Helpless.

Itulah yang saya rasa sekarang. So completely, totally helpless.

Saya berasa seperti seorang stand-up comedian yang tercangak-cangak berdiri di pentas, cemas dan gelisah kerana  jenakanya tidak mampu menghiburkan, malah terlalu membosankan hingga langsung tidak dihiraukan oleh hadirin yang datang.

Saya berasa seperti seorang pemidato, yang lantang bersuara penuh bersemangat, tetapi hujahnya tidak bernas, gayanya tidak mampu meyakinkan si penonton, dan akhirnya, dia dibiarkan terjerit-jerit seorang diri langsung tak dipeduli.

Saya berasa seperti seorang penyanyi, yang menyanyi sepenuh hati, tetapi malang, suaranya sumbang, lagunya pincang, melodinya goncang, dan lantas, hanya diejek dan dicemuh penonton yang datang.

Syok sendiri.

Mungkin itulah yang sebetulnya terjadi kepada saya. Mengajar dan mengajar tetapi langsung  tak dipeduli. Kecewa, marah, tertekan, terkilan, mahu mengamuk, geram, dan segala macam perasaan mula menguasai diri.

Seperti ikan emas. Yang terbuka dan terkatup mulutnya, tetapi setiap butir bicara langsung tidak sampai ke gegendang telinga pendengarnya. Sebetulnya, kerana tiada siapa pun yang mahu mendengar.

Saya mula mengutuk-ngutuk diri sendiri.

Ibu saya guru. Ayah saya guru. Darah guru mengalir dalam diri saya. Sepatutnya, saya boleh mengawal budak-budak ini. Yang usia mereka baru 15 tahun. Boleh memancing minat mereka. Boleh menarik perhatian mereka. Untuk mendengar ajaran saya. Hanya untuk diam dan mendengar. Itu sahaja yang saya pinta.

Hanya diam dan dengar.

Tetapi saya gagal. Bukan sekali, malah berkali-kali. Saya tidak mampu mengawal kanak-kanak ini, yang sedang meningkat remaja. Saya tidak ada kekuatan untuk menjerit marah, melontar amuk atau meninggi suara. Boleh memarahi atau memaki anak orang, itu bukan kelebihan saya.

Bukankah sudah saya katakan, saya ini terlalu lemah orangnya. Amarah saya hanya mampu diluahkan dengan air mata, bukannya kata-kata.

*diam dan tarik nafas*

Kerana itulah, saya ‘angkat topi’ kepada semua guru di Malaysia. Kerana mampu mengawal anak-anak murid anda yang berpuluh-puluh orang itu. Alangkan mengawal 15 orang pun, saya perlu mengumpul kekuatan sebesar bumi, inikan pula kalau dua kali ganda dari itu.

Patutlah di UK, profesion guru merupakan profesion yang paling tinggi tahap stressnya, diikuti pakar bedah dan juruterbang.* Kerana untuk mengawal kanak-kanak pra-matang ini, kau perlu kesabaran setinggi gunung dan ketabahan seluas lautan.

Mungkin benar kata ibu:

“Ila tak dilahirkan untuk menjadi guru. “

Saya memang tiada bakat itu. Tiada pengalaman. Malah, tiada pendidikan formal bagaimana menjadi guru. Pengalaman yang saya ada, jika boleh dikatakan “pengalaman”, hanyalah ketika berumur 8 tahun, bermain ‘cikgu-cikgu’ dengan kakak dan sepupu.

Tetapi, walau bagaimana pun, saya lihat ini sebagai cabaran. Pelajar-pelajar itu adalah cabaran baru bagi saya, dan akan saya sahut cabaran ini dengan tekad dan azam, bahawa saya boleh hadapinya.

InsyaAllah, saya akan cuba. Sedaya-upaya.

*nota: Ini berdasarkan kajian yang dibuat oleh Cardiff University.

 
1 Comment

Posted by on March 22, 2010 in Kerja, Manusia, Pengalaman

 

One response to “cabaran itu yang buat kita kuat sebenarnya.

  1. hazwan

    March 26, 2010 at 5:38 pm

    hu
    dulu
    saya sering mengata guru2 saya
    ah produk sbp
    last2 kuar jadik cikgu
    gila tak best
    *mintak ampun guru guru sdar (sila sebut hps/sbt hehe)
    sekarang
    saya yang sibuk nak masuk bidang akademik
    kerana saya teramat menyampah
    duduk practice dalam industry
    irony gila

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: