RSS

Belasungkawa Ustaz…

08 Feb

Ustaz,

Saya mengenali ustaz seawal usia saya enam tahun. Kata mak, saya dan kakak membesar di depan mata ustaz. Setiap petang, kami berdua akan dihantar oleh mak untuk mengaji di rumah ustaz. Untuk diajar mengenal apa itu alif, ba, ta.  Untuk diajar mendalami huruf-huruf yang membentuk kalam Allah yang mulia.

Pada muka surat muqaddam buruk berhabuk ditemani lidi sate yang panjang sejengkal, kami mula melagukan  “alif fathah aa, alif kasrah ee, alif dhommah uu, aa ee uu” dengan suara nyaring. Berbekalkan rotan di tangan, ustaz mengajar kami dengan penuh sabar. Berhikmah tetapi tegas. Lembut tetapi keras.

Ustaz,

Alangkah anehnya hidup, apabila ustaz sudah tiada, tidak semena-mena, satu persatu kenangan datang menerpa, bermain di layar minda seperti sebuah filem yang baru bermula. Secara tiba-tiba, kesemua memori-memori bersama ustaz datang menerjah, bercantum satu persatu, seolah-olah segala-galanya baru semalam tercipta.

Masih segar, fresh, dan raw di dalam fikiran saya, susun atur rumah ustaz yang setiap petang kami kunjungi. Kerusi malas berwarna putih dengan jalur biru,merah dan kuning yang menjadi tempat ustaz membaca surat khabar, pokok mangga di hadapan rumah, kusyen kayu dengan sofa hijau, akuarium besar di tepi televisi, lantai yang hanya beralas tikar getah hijau, dan almari tempat ustaz menyimpan segala kitab dan Al-Quran.

Di dalam almari itulah, kami mengambil papan rehal Al-Quran, yang dikatup kuat selepas tamat mengaji, diikuti ucapan nyaring “Sadhaqallahul’aziiimmm…!!” sebelum kami cepat-cepat keluar untuk terlompat-lompat bermain teng teng atau terjerit-jerit bermain polis sentri di halaman rumah ustaz.

Ustaz, masih ingatkah ustaz?

Setiap malam Khamis dan Jumaat, pasti saya, kakak dan kawan-kawan lain akan bersolat Maghrib di rumah ustaz. Kami akan membentang kain putih panjang sebagai ganti tikar sembahyang. Dan sama-sama bersolat dengan ustaz sebagai imam.

Pada ketika itu, betapa nakalnya kami, aktiviti bersolat tidak pernah dipandang serius. Kadang-kadang, kami meng’amin’kan bacaan ustaz dengan lolongan ‘aaammiiinnnnnn…’ yang langsung tidak toma’ninah, mencabik-cabik kewibawaan ustaz seperti yang dilakukan si Arai kepada Penggawa Hamim dalam buku Sang Pemimpi.

Dan pernah sekali, saya, kakak dan kawan-kawan, entah apa rasuknya, saja bermain-main ketika solat. Kami sengaja mendahului ustaz dalam setiap rukun solat. Kami rukuk sebelum ustaz rukuk dan kami sujud sebelum ustaz sujud, sambil ketawa-ketawa geli hati. Alangkah marahnya ustaz ketika itu, terhadap kami yang telah membatalkan solat berjamaah. Dan akhirnya, solat itu terpaksa diulang sekali lagi.

Maafkan kami ustaz, yang sengaja mendahului imam. Sedangkan fitrahnya, imam harus diikuti, bukan didahului. Maafkan kami ustaz. Kami tidak tahu. Kami adalah budak-budak nakal yang belum mumaiyiz ketika itu.

Ustaz,

Maafkan saya sekali lagi, kerana tidak pernah sekali pun datang melawat ustaz, bertanya khabar bertukar berita. Walaupun rumah ustaz tidak sampai sepuluh minit dari rumah saya, walaupun sudah beratus-ratus kali saya melewati rumah ustaz sepanjang 13 tahun ini, tapi tidak pernah sekali pun saya singgah di sana. Hubungan saya dengan ustaz seolah terkhatam bersama-sama surah terakhir Al-Quran yang telah saya khatamkan untuk kali kedua, pada usia 12 tahun ketika itu.

Sebetulnya,  setiap kali memandu melewati rumah ustaz, pasti saya akan mengerling  ke arah sana, dan kadang-kadang terlihat kelibat ustaz yang sedang menyapu laman atau sekadar bersantai di kerusi, membaca surat khabar. Tetapi, sekadar kerlingan mata ke arah rumah ustaz, tidak mampu menghantar mesej telepati bahawa saya bertanyakan khabar ustaz, tidak boleh memberi justifikasi kenapa saya, anak didik ustaz ini, tidak pernah pun datang melawat.

Selalu dan selalu, setiap kali balik ke rumah, saya berniat mahu melawat, tetapi selalu dan selalu juga lah, niat itu tertangguh. Nanti dan nanti, kata hati saya, sehingga akhirnya, ustaz sudah tiada lagi.

Ustaz,

Kalaulah ( ya, betapa manusia sering menggunakan perkataan ‘kalaulah’ untuk sesuatu yang acapkalinya, sudah pun terlambat) ustaz masih ada, kalaulah saya berpeluang melawat ustaz, kalaulah saya dapat berbual panjang dengan ustaz, saya mahu khabarkan ini:

Saya dan kakak, kami (boleh dikatakan) telah berjaya dalam bidang kami masing-masing. Kakak sudah menamatkan ijazah, menjadi jurutera, mendirikan rumah tangga dan sekarang sedang menanti kelahiran cahaya mata pertama. Saya pula, Alhamdulillah, telah melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah dan sekarang juga sedang bekerja di bidang yang sama.

Saya memberitahu ini bukan untuk berbangga. Jauh sekali untuk membongkak riak. Saya ceritakan ini kerana saya tahu, ia dapat membuat ustaz gembira dan tersenyum bangga. Bahawa anak-anak didik ustaz ini sekurang-kurangnya membesar menjadi orang yang (boleh dikatakan) berguna.

Ustaz,

Entah tidak terkira banyaknya ilmu yang kami timba. Tidak terhitung jumlahnya pengalaman yang kami ceduk, di rumah ustaz. Selama enam tahun, saya dan kakak mengaji, setiap petang di rumah ustaz, pelbagai kenangan telah kami rakam di sana. Pelbagai nostalgia yang telah tercipta di sana.

Terima kasih ustaz atas kesudian ustaz mengajar kami apa itu alif, apa itu ba dan apa itu ta sampailah ya. Terima kasih ustaz atas kesanggupan ustaz membimbing dan mendidik kami, melayan kerenah dan kenakalan kami. Terima kasih ustaz. Terima kasih yang tidak terhingga.

Ustaz pergi pada malam Jumaat lepas. Alhamdulillah, itu salah satu petanda orang beriman. Saya berdoa semoga roh ustaz bersemadi dengan aman di sana. Berpuluh tahun ustaz menabur bakti, mencurah budi, dan kini ustaz telah dipanggil menghadap Illahi. Tenang-tenanglah ustaz di sana.

Dan sekali lagi Ustaz Hassan, terima kasih. Atas segala-galanya.

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)

 
1 Comment

Posted by on February 8, 2010 in Nostalgia, Pengalaman, Peribadi

 

One response to “Belasungkawa Ustaz…

  1. CAHAYA MATA

    February 11, 2010 at 5:56 pm

    tersentuh.. (-,-)

    al-fatihah utk arwah ustaz hassan..

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: