RSS

Memuja dia yang-namanya-milik-orang…

27 Oct

“Awak, saya nak kahwin la. Carikan saya seorang?”

 

SMS dari seorang teman buat saya hampir ketawa. Satu, kerana dia lelaki. Saya kira untuk lelaki pada usia 24 tahun, bukanlah usia yang terdesak untuk berkahwin. Kedua, masih kerana dia lelaki. Dan sebagai lelaki, dia tidak ada masalah untuk mencari teman wanita. Kerana selalunya lelaki yang harus mula langkah pertama. Bukan wanita. Ya, kata lah saya kolot, konservatif, kuno atau ketinggalan zaman. Tapi, idea ‘perigi cari timba’ masih sukar untuk saya aplikasi dalam kehidupan.

 

Jadi saya tanyakan dia “Awak lelaki. Apa yang susah sangat mahu cari gf?”

 

“ Ah, susahlah. Semua yang saya suka milik orang. Tak kan saya nak rampas pulak.” – dia membalas.

 

Ya, mesejnya buat saya berfikir sejenak. Jika kamu jadi dia, sanggupkah kamu berebut untuk mendapatkan cinta? Maksud saya, jika kamu betul-betul pasti dia memang untuk kamu, tegarkah kamu ketepikan segala prinsip dan nilai moral hanya untuk memiliki dia, si pujaan hati?

 

Entah.

 

Saya rasa semua orang pernah jatuh hati pada seseorang yang sudah berpunya sama ada kekasih orang atau tunangan orang atau mungkin suami atau isteri orang. Itu lumrah. Ada sesuatu yang  terletak pada yang-namanya-milik-orang itu. Mereka bagaikan magnet. Sungguh sungguh ‘menarik’ hati.

 

“Kau tak pernah rasa Sue. Kalau boleh aku pun tak nak benda ni jadi. Tapi hati dan perasaan, bukan kita boleh paksa-paksa”. Itu kata seorang teman yang pernah tersungkur jatuh cinta pada suami orang. Sedangkan dulu dia lah yang paling benci dengan lelaki yang pasang dua kerana pengalaman ayah sendiri yang mengamalkan poligami. Tapi, apa yang boleh dikatakan lagi? Jatuh cinta itu perkara kompleks. Kita tidak mampu merancangnya. Dah namanya pun ‘jatuh’ kan?

 

Ikut pengalaman saya sendiri, ketika saya ditakdirkan jatuh cinta pada yang-namanya-milik- orang, saya lebih selesa untuk memendam rasa dan cuma menjadi pemuja rahsia dari jauh. Untuk meluahkan rasa cinta, tidak sekali-kali. Pertama, kerana saya perempuan. Kedua, kerana dia milik orang. Dua alasan itu sudah cukup kukuh untuk saya. Entah. Mungkin kerana saya seorang yang mudah suka dan mudah juga lupa, jadi perkara ini tak pernah menjadi sesuatu yang terlalu mengganggu gugat jiwa.

 

Cuma sekali saja. Saya menyukai seseorang yang-namanya-milik-orang untuk satu tempoh yang agak lama. Selama 3 tahun. Ya, 3 tahun itu benar-benar menguji kerana jatuh cinta pada teman sekelas yang juga kekasih orang , ternyata bukan perkara mudah. Tapi, seperti biasa, cinta dan rasa itu saya simpan molek-molek dalam hati. Cuma sekadar melihat dan mengagumi dari jauh. Sampai lah rasa itu lama kelamaan hilang sendiri. Dan sekarang, sudah langsung lenyap tak bersisa lagi.

 

Jadi, satu perkara yang saya belajar ialah, rasa dan cinta itu jika tidak dilayan, ia akan berhenti setakat itu saja. Seperti bunga yang tidak disirami, akhirnya akan mati layu sendiri. Jadi, setiap kali saya ‘ter’jatuh cinta dengan yang-namanya-milik-orang, saya cuba untuk tidak melayan perasaan itu. Bagaimana? Dengan mengelakkan tuan empunya diri itu sendiri. Berhubung cuma bila benar-benar  perlu. Mengelak jika bertemu. Ouh, dan cuba jangan bertentang mata dengannya jika itu bisa menggetarkan hati kamu. Dan sibukkan minda setiap masa supaya tidak terlalu memikirkan tentang dia.

 

Sahabat saya pernah bertanya “Kenapa ya, kita asyik jatuh cinta dengan lelaki-lelaki yang salah?” Lelaki-lelaki salah itu tentulah yang-namanya-milik-orang itu. Bagi saya tidak ada salah ketika jatuh cinta. Kita boleh ‘ter’jatuh cinta pada siapa saja. Pada kekasih orang atau suami orang atau tunang orang atau penagih dadah atau ketua Mafia atau Ayah Pin sekalipun ( ok, ini sedikit hiperbola ). Kerana ‘jatuh cinta’ itu tidak mampu untuk kita rancang. Bak kata Anthony Hopkins “ Who knows? Lightning might strike!”

 

Tapi, saya rasa kita boleh memilih dengan siapa kita mahu ‘bercinta’. Jika kamu memilih untuk bercinta dengan suami orang kerana kamu sudah jatuh cinta dengannya, maka serahkanlah hati kamu padanya. Dan bersedialah hadapi walau apa jua cabaran yang mendatang. Tapi, jika kamu memilih untuk tidak bercinta dengan yang-namanya-milik-orang kerana tak sanggup digelar ‘perampas’ atau kerana tidak sanggup membina bahagia atas kekecewaan insan lain, mungkin rasa itu perlu dilupakan begitu saja.

 

InsyaAllah, waktu akan mampu merawat hati kamu yang terluka akibat terpaksa melupakan cinta kepada yang-namanya-milik-orang itu. Dan tentu, ada seseorang di luar sana yang sebenarnya sedang setia menunggu kamu…

 

Apa-apa pun, ini hanya pendapat peribadi saya. Kerana kuasa jodoh itu tetap di tangan-Nya. Hanya Dia penentu segala-gala nya.

 

p/s: entri ini saya dah  taip lebih seminggu lalu. Tapi sebab kesibukan yang terlampau kritikal dan internet yang entah kenapa sejak akhir-akhir ini tidak berapa sihat, baru kali ini saya berpeluang untuk ‘publish’.

 

p/s/s: Saya mahu cerita tentang pengalaman ESQ training, tetapi nantilah. Bila masa, keadaan dan tahap kerajinan saya mengizinkan. InsyaAllah…

 
8 Comments

Posted by on October 27, 2008 in Manusia, Peribadi

 

8 responses to “Memuja dia yang-namanya-milik-orang…

  1. amirahsyuhada

    October 27, 2008 at 7:27 pm

    Semua tu pengalaman yang amat berharga, kadangkala beribu kali kita akan kecewa dan jatuh cinta, lalu baru kemudiannya sampai ke arafah (titik pertemuan adam dan hawa).

    “Kenapa kita selalu jumpa lelaki-lelaki yang salah?”, saya pernah baca tulisan dr hm tuah iskandar, kita dipertemukan dengan orang-orang yang salah kerana Allah mahu kita menghargai insan yang ‘tepat’ bila akhirnya kita dipertemukan.

     
  2. tasikmerah

    October 28, 2008 at 3:06 pm

    sue, tu signal dia mahukan kamu.

     
  3. hayati

    October 29, 2008 at 12:20 am

    sy juga pernah jatuh cinta pd dia yg milik org..nk mengelak diri, dia itu teman rapat sejak kecil lagi..saya rasa bersalah kerana punya perasaan lebih dari seorg kwn pd dia ketika itu..tapi itu kisah 2 tahun yg lpslah..now sy dh tak punya perasaan itu pada dia lagi..mgkn kerana sy sudah belajar melepaskn diri dia dari hidup saya dan belajar utk tdk terus melayan perasaan tersebut..tapi sy tak pernah kesal jatuh cinta pada dia

     
  4. kel@mbu

    October 29, 2008 at 2:40 am

    kpd kwn yang tiba2 nk kawin.. miang le tu.. hahaha!
    cinta, spatutnya tak perlu dirumitkan.. yg rumit manusia tu sendiri..
    bak kata Anthony Hopkins “ Who knows? Lightning might strike!”

     
  5. sUe

    October 29, 2008 at 3:33 pm

    amirah syuhadah: Ya, saya juga pernah terbaca begitu. Dan segala-gala yang terjadi memang ada hikmahnya. Cuma kadang-kadang manusia jer yang tak nampak, kan?

    tasikmerah: aiseh, saya lambat pickup la kak bab signal-signal nih. hehe…:mrgreen:

    hayati: pengalaman yang menarik.🙂 Lagi susah kan kalau orang itu sahabat baik sendiri… tapi saya kira kamu memang cukup kuat dapat lepaskan dia… Jangan sedih-sedih… InsyaAllah ada yang sedang menunggu di luar sana….ok?😉

    kel@mbu: haha… miang macam mana tuh? heheh! manusia kan memang suka merumitkan keadaan. Yang mudah pun nak buat jadi susah. Haih~

     
  6. CAHAYA MATA

    October 30, 2008 at 6:44 pm

    agak terlambat SAYA meninggalkan comment.. tapi tajuk ni begitu menyentap-nyentap…

    SAYA ingin mengatakan lebih… tapi kebuntuan kata-kata… sebenarnya SAYA *bisu* bila mendengar bait2 kata awak dlm entrie ni…

    * tak tahu nak cakap apa lagi *

    cumanya SAYA harap awak tahu.. semua yg awak taipkan dlm entrie ini BETUL dan SAYA setuju semuanya.. sngt setuju…!!

    andaikan saje SAYA mampu mengaplikasikan semua yg dlm entrie ini ke dalam hidup SAYA… kalaulah SAYA mampu… kan…?

    terima kasih untuk entrie bernas ini… (-,-)

     
  7. sUe

    November 1, 2008 at 3:10 pm

    Cik Cahaya, maaf dan maaf jika entri ini menyentap hati awak. Tak bermaksud pun sebenarnya.

    Saya faham perasaan awak. Memang sukar sangat nak lepaskan seseorang yang pernah bertakhta di hati. Tambah-tambah lagi bila dia memang dah bukan milik kita.

    Harap Cik Cahaya kuat dan tabah. Mungkin ada hikmah atas apa yang berlaku. Redha dan maju lah ke hadapan.

    Jangan toleh-toleh ke belakang lagi, ok?

     
  8. Anonymous

    September 3, 2012 at 10:49 am

    Assalamualaikum… Saya jatuh cinta dengan tunangan orang. Saya sayang dia. Ketika saya memohon kepada ALLAH, untuk hadirkan seorang lelaki yang boleh membimbing saya, dia hadir. Tetapi kini, hati saya terluka. Dia merahsiakan status dia. Saya sendiri tidak faham apa yg dia inginkan. Bantu saya.

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: