RSS

Dia yang buat saya malu…

31 Aug

Tahun 1998.

Lokasi di common room sebuah aspuri. Ketika itu pelajar-pelajar puteri ramai yang sedang bersantai di situ. Semua mahu tengok cerita drama di tv.

Siaran iklan. Di skrin keluar lagu Negaraku. Mungkin kerana bulan itu bulan kemerdekaan.

Tiba-tiba dia bangun. Berdiri tegak tidak bergerak. Lepas lagu habis, dia duduk semula. Sambung tengok tv macam tak ada apa-apa. Kami yang melihat ini terpinga-pinga. Terkesima. Ternganga.

Itulah seorang senior di sekolah saya dulu. Biarlah saya namakan dia Kak Da saja. Dia memang unik dan aneh orangnya. Dia merupakan pelajar tingkatan 4 yang baru masuk. Istilah asrama ialah ‘student form 4 baru’.

Semasa dia mula-mula masuk, mungkin kerana keunikannya, dia seperti dipinggirkan oleh rakan-rakan setingkatan. Dia sedih. Yang amat. Hingga kemuncaknya, dia berlari keliling padang dan menjerit laksana orang sedang histeria. Terlampau tertekan barangkali. Melihat keadaannya, barulah kakak-kakak senior lain cuba mendekati dia sedikit demi sedikit.

Semasa itu saya di Tingkatan 2. Memang banyak cerita tentang keanehan dia. Tapi, bagi saya dia salah seorang senior yang paling pemurah dengan senyuman. Paling cepat mesra. Bila kami yang junior ini memberi salam, dia sentiasa tersenyum saja. Tidak seperti senior lain yang pandang pun tak mahu.

( Di asrama, bagi salam pada senior tercatat dalam Akta Asrama Tidak Rasmi nombor satu. Kalau tidak bagi salam, kamu dah buat jenayah besar. Boleh di’brainwash’ 40 hari 40 malam bagi perempuan, atau dibelasah 40 hari 40 malam bagi lelaki – ok, angka itu cuma hiperbola untuk bagi nampak sensasi sikit…)

Warden kami pernah bercerita, dia hampir terkejut badak sumbu bila dia meronda di kawasan padang dan terjumpa sepasang kaki manusia terjuntai di atas pokok. Rupa-rupanya itu Kak Da. Memanjat pokok mangga di tengah malam buta. Itu kaedahnya untuk menenangkan fikiran barangkali.

Ok. Cukup pasal keanehan Kak Da. Apa yang ingin saya sampaikan sebenarnya ialah manusia-manusia seperti Kak Da kadang-kadang tidak mendapat keadilan sepenuhnya. Dia dihakimi kerana menjadi diri sendiri. Kerana berkelakuan tidak seperti orang lain. Kerana tidak hipokrit atau berpura-pura hanya untuk ‘fit in’ dengan kawan-kawan lain.

Saya akui saya juga antara manusia-manusia yang menganggap keanehan dia sebagai sesuatu yang melucukan. Bila di bilik, kami akan bercerita dan ketawa. Seperti insiden dia bangun semasa keluar Lagu Negaraku di tv. Kami rasa itu pelik dan kami ketawa.

Tapi, bila difikirkan balik, ketawa kami itu sebenarnya untuk menutup rasa malu kerana diri sendiri tidak sepatriotik dia. Atau sekurang-kurangnya tidak berani menzahirkan sifat patriotisme kami seperti dia. Bila secara normalnya, orang lain tak bangun bila lagu Negaraku keluar tv, kami pun mengikut orang lain. Tak bangun juga. Dan apabila ada manusia yang menyongsang arus kebiasaan, kami ketawakan dia. Walaupun apa yang dilakukan adalah sesuatu yang patut dipuji.

Sebab itu lah saya katakan manusia tidak adil. Pernah baca cerpen “Bila Bintang-bintang Berguguran” dari antologi cerpen Suatu Subuh Yang Bening? Wak Samulo yang tempang di dalam cerita itu punya semangat cintakan negara yang luar biasa tingginya. Dia pergi ke perarakan merdeka dengan pingat-pingat dan bintang-bintang yang diperolehinya semasa menjadi tentera dulu tersemat molek di dadanya. Tapi, akhirnya dia diseret dan dihalau macam orang gila.

Sebenarnya, berapa kerat manusia yang punya semangat begini? Yang tak peduli apa orang kata. Yang tak ambil pusing orang lain yang ketawakan dia? Yang tidak kisah walau dikatakan pelik atau gila?

Mereka menjadi diri mereka sendiri. Seperti Kak Da yang bangun tidak bergerak bila lagu Negaraku berkumandang di tv. Dia tidak peduli orang ramai yang melihat. Dia tidak kisah walau dia seorang saja yang bangun. Dia fikir itu perkara yang betul. Dan itu lah yang dia buat.

Sebetulnya, saya berterima kasih kepada Kak Da. Saya rasa bertuah mengenali Kak Da. Dia adalah antara salah satu watak yang mewarnakan lagi lukisan kenangan saya. Bagi saya, dia contoh manusia patriotik. Dengan caranya sendiri.

Saya bercerita tentang dia kerana saya tidak ada cerita tentang saya. Saya tidak sepatriotik dia. Saya tidak gantung bendera. Saya tidak bangun atau berhenti bila keluar Lagu Negaraku. Saya tidur saja bila sambutan merdeka. Sebab itu, bila teringat dia, saya jadi malu sendiri.

Ouh, tentang Kak Da, dia medapat 10A1 dalam SPM dan sekarang ini sudah selamat di oversea melanjutkan pelajaran. Mungkin sudah grad atau kerja…

Selamat maju jaya pada dia.

 
5 Comments

Posted by on August 31, 2008 in Manusia, Nostalgia

 

5 responses to “Dia yang buat saya malu…

  1. tuan tanah

    August 31, 2008 at 8:16 pm

    Nice one.

    Thanks for sharing this.πŸ™‚

     
  2. sUe

    September 1, 2008 at 1:45 am

    You’re most welcomed cik tanah…πŸ™‚

    Baru balik bercuti ya?
    Jelesnya…hehe..πŸ˜›

     
  3. ainunlmuaiyanah

    September 2, 2008 at 5:05 pm

    cik sue, sya pernah baca cerpen bila bintang berguguran itu tapi tak ingat siapa penulisnya…

     
  4. sUe

    September 2, 2008 at 6:52 pm

    saya pun sama…huhu…
    saya baca semasa sekolah rendah…
    cuma ingat jalan cerita dan dalam antologi cerpen Suatu Subuh Yang Bening saja…
    penulisnya langsung tak ingat…
    sebab itu tak disebut…huhu..

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: