RSS

….=(

29 Jul

Ika (bukan nama sebenar),

Kau tahu kisah pahlawan Qothman?

Dia adalah pahlawan yang berperang bermati-matian semasa zaman Nabi dahulu. Dalam peperangan, dia menghambur seperti singa lapar menyerang lawannya iaitu golongan kafir. Semua sahabat menyangkakan dia mati syahid tetapi Rasulullah s.a.w bersabda bahawa dia adalah penghuni neraka.

Kau tahu sebabnya Ika?

Kerana semasa peperangan, dia luka parah. Kerana tidak dapat menahan kesakitan, diambilnya pedang dan ditusuk ke dadanya sendiri. Akhirnya, dia mati bukan kerana dibunuh musuh. Tetapi kerana membunuh dirinya sendiri. Oleh itu, jadilah dia salah seorang penghuni neraka. Nauzubillah.

Aku ceritakan tentang Qothman kerana kau seperti dia, Ika. Bezanya, kau tidak gunakan pedang sebaliknya kau gunakan berpapan-papan pil Panadol ditelan dengan air Coke untuk meragut nyawa kau sendiri. Bodohnya kau Ika!

Kau tahu Ika siapa yang beritahu aku berita sial pasal kau ini? Kau ingat Mei Mei? Gadis Tionghua berkulit putih mulus itu. Dia lah yang beritahu aku semasa aku pulang ke SP baru-baru ini. Cuma dia seorang yang masih bekerja di tempat lama kita di Central Squa*e. Cashier dan promoter lain semuanya aku sudah tidak kenal. Semuanya sudah orang baru. Pada dia aku tanyakan tentang kawan-kawan yang sama-sama bekerja sebagai cashier akhir hujung 2006 dulu. Aku tanyakan tentang Yi Ching, Sundra, Rani, Ah Leong, Kak Tie, dan lain-lain. Kemudian, dia bagitahu aku berita tentang kau sudah pergi kerana bunuh diri. Kering darah aku, Ika!

Ika,

Banyak benda aku mahu katakan pada kau. Aku mahu katakan kau bodoh!Aku mahu katakan kau tak guna otak! Kau ikut hati! Kau tak fikir guna akal! Dan macam-macam lagi. Aku mahu bagitahu kau, dalam hidup ini kita tak boleh mengalah. Kadang-kadang memang kita perlu untuk jatuh tersungkur dan rebah berdarah. Supaya kita boleh kumpul kekuatan dan kemudian bangkit semula menjadi manusia yang lebih tabah. Jangan sekali-kali mengalah! Tapi aku tahu semua itu sia-sia. Sebab hakikatnya kau memang sudah tak ada. Kesalnya aku, Ika.

Ika,

Kau ingat lagi semasa kita sama-sama meredah hujan untuk makan di gerai laksa sebelah landasan keretapi waktu rehat dulu? Kau ceritakan pada aku tentang lelaki India yang mahu bunuh diri di landasan keretapi itu. Beriya-iya dia mahu bunuh diri sampai polis dan orang ramai yang datang memujuk pun tak berjaya mengubah niatnya. Akhirnya, bila keretapi datang, dia sendiri lari lintang pukang. Aku ketawa lucu membayangkan peristiwa itu. Tapi rupanya, kau lebih lebih berani dari lelaki India itu, Ika. Kau lebih nekad dari lelaki itu. Tekad kau sudah bulat dan tak bergoyah lagi. Akhirnya, ‘keretapi maut’ pun menjemput kau yang sudah sangat bersedia untuk pergi.

Ika,

 Aku tahu kita bukanlah terlalu rapat dan akrab. Malah, aku tidak tahu pun nombor telefon kau atau alamat rumah kau atau even nama penuh kau. Persahabatan kita cuma terhad di ruang lingkup pasaraya Central Squa*e. Itupun cuma semasa rehat untuk kita makan bersama. Atau semasa waktu tidak ramai pelanggan dan kau pun akan berlenggang ke kaunter aku untuk bersembang tentang itu dan ini. Aku cuma kenal kau selama 2 bulan iaitu sepanjang cuti akhir semester. Lepas itu, bila buka semester baru, aku berhenti kerja sebagai cashier dan langsung, selama 2 tahun tidak ada berita yang aku dapat tentang kau. Sampailah berita sial yang Mei Mei beritahu hari Sabtu lepas.

Ika,

Walaupun kau dah tak ada, tapi aku mahu berterima kasih pada kau. Sebab seingat aku, kau orang pertama yang menegur aku semasa hari pertama aku bekerja di situ. Kau bertanyakan nama aku, dan kau ajak aku makan sekali semasa rehat nanti. Mana mungkin aku lupakan kau, Ika. Kerana kau telah ada di minda, menempa kenangan yang tetap tersemadi di lubuk hati.

Ika,

Apa yang kau dah buat itu satu dosa besar. Teramat besar. Tapi, aku percaya rahmat Tuhan lebih lebih besar dari itu. Malah, aku yakin kalau seluruh dosa manusia di muka bumi ini dikumpulkan, rahmat Tuhan tetap jauh lebih besar lagi. Oleh itu, aku berdoa dengan rahmatNya, dengan sifatNya yang Maha Pengasih dan Penyayang, aku berdoa supaya Dia ampunkan kau, Ika.

Semoga Tuhan ampunkan kau…Semoga Tuhan ampunkan kau…Semoga Tuhan ampunkan kau…Ika…

Rest In Peace.😦

 

 
Leave a comment

Posted by on July 29, 2008 in jiwa kacau, Teman

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: