RSS

Category Archives: Refleksi

Terima kasih Tuan Haji atas sebuah inspirasi.

“Adik nampak tak lelaki yang pakai jubah putih itu?”

Kata ayah, sambil menunjuk kepada seorang lelaki yang sedang makan selang satu meja dari kami sekeluarga. Sebetulnya kami sedang berada di sebuah restoran baru (Tak adalah baru sangat. Saya saja yang baru pertama kali ke sana) di Sungai Petani yang menghidangkan mi udang paling sedap di alam semesta.

Saya pun memandang lelaki itu. Perkara pertama yang menerpa cepu kepala saya adalah “warna putih”. Kerana segala-gala tentangnya berwarna putih. Beliau memakai serban putih, jubah putih, rambutnya putih, malah menyimpan misai dan janggut panjang yang juga sudah memutih.

Orang tua seperti ini kalau terserempak di mana-mana, waktu tengah malam buta, pada bulan Ramadhan misalnya, kemudian memberi kau beberapa nasihat berguna, mesti lepas itu akan hilang ghaib macam itu saja. Dan kau mesti fikir, malam ini Lailatul Qadar agaknya.

Ya, orang tua begini, boleh buat mata kau silau dek cahaya keimanan yang terpancar-pancar dari wajahnya.

“Kenapa dengan lelaki tu yah?” tanya saya kembali.

“Itu bekas pengetua ayah. Masa di Merbok dulu….” jawab ayah.

Saya pandang lagi lelaki itu. Ternyata dia mempunyai sebuah keluarga yang besar. Kerana di sekelilingnya ada ramai anak-anak dan cucu-cucunya turut makan bersama.

Lantas, ayah bercerita tentang lelaki itu, yang dipanggilnya Tuan Haji (Namanya saya dah lupa)

Kata ayah, lelaki itu adalah manusia yang tidak pernah berhutang. Beliau begitu menjaga setiap sen duit dan hartanya daripada segala perkara-perkara syubhah. Perkara haram memang jauh sekali.

Beliau tidak pernah menyimpan duit di dalam bank konvensional yang mungkin terlibat dengan riba. Setiap kali duit gaji masuk ke dalam bank, beliau akan mengeluarkan kesemua duitnya (kecuali RM10) dan disimpan di tempat lain. Sehinggalah wujudnya Bank Islam dan Tabung Haji, barulah beliau menyimpan duitnya.

Beliau juga tidak akan sama sekali membeli rumah dengan bank konvensional. Beliau hanya mula memiliki rumah selepas wujudnya Bank Islam.

Semasa menjadi pengetua, beliau mendapat Elaun Rumah sebanyak RM700. Tetapi, sewa rumahnya ketika itu hanyalah RM400. Akan tetapi, beliau tetap juga membayar tuan rumah sebanyak RM700.

“Eh Tuan Haji, sewa rumah saya RM400 saja lah.” kata tauke tuan rumah.

“Tak apalah. Kamu ambil lah RM700. Elaun rumah saya banyak itu. Berdosa kalau saya guna duit itu bukan untuk bayar sewa rumah.” jawabnya.

Ya, beliau sama sekali tidak akan menggunakan lebihan RM300 itu untuk perkara lain selain membayar sewa rumah, kerana namanya adalah Elaun Rumah, maka satu sen pun tidak akan digunakan untuk selain daripada Rumah.

Dan sudah tentu, beliau sama sekali tidak mempunyai kad kredit.

Dan yang paling menarik hati saya adalah ketika ayah bercerita, bahawa jika makan di gerai, Tuan Haji akan terus membayar harga makanan, SEBELUM makanan itu sampai. Sangat berbeza dengan kita yang hanya membayar selepas makan.

Lantas ayah pernah bertanya,

“Kenapa Tuan Haji bayar makanan sebelum makan?”

Jawapannya membuat saya termenung sejenak.

“Saya bayar dulu sebab saya tak tahu bila saya mati. Mana tahu saya mati masa tengah makan, jadi tak sempat nak bayar.”

Saya terpegun mendengar cerita ayah.

Sebaik-baik manusia adalah yang sentiasa mengingati mati, dan lelaki tua ini mengingati mati pada setiap saat, malah ketika makanan terhidang di depan mata, tetap juga mati yang menjengah mindanya.

Lalu saya berfikir-fikir sendiri. Sepanjang 27 tahun saya hidup, pernahkah, walau SEKALI, saya mengingati mati ketika hendak makan? Tak pernah, rasanya. Lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadhan waktu hendak berbuka. Saat pelbagai makanan sudah tersedia depan mata, memang haram-langsung-tak-terfikir-pasal-mati-lah-jawabnya.

Yang saya fikirkan saat itu, adalah apa benda yang nak dimakan dulu. “Mula-mula minum air tebu, lepas tu makan popia basah, lepas tu makan murtabak, nasik dengan ayam makan kemudian, makan buah dulu…etc etc etc”

Ya, saya lebih sibuk berfikir bagaimana ‘menyusun atur’ makanan di dalam perut untuk sistem penghadaman daripada mengingati akan kematian.

*menyedihkan*

Saya pandang lagi Tuan Haji itu. Beliau kelihatan begitu tenang sekali. Jika tidak kerana uban di kepala dan janggutnya, tentu saya tidak menyangka yang beliau sudah berusia 70-an, kerana wajahnya yang seperti tidak dimakan tua.

Saya belajar sesuatu dari kisahnya. Saya harap, dengan menulis tentang beliau di sini, anda juga dapat belajar sesuatu daripadanya.

Dan moga-moga kisahnya dapat memberi inspirasi kepada saya, kepada anda, kepada kita semua supaya lebih berhati-hati dalam urusan kewangan kita. InsyaAllah.

*credit picture to Google Image*

 
5 Comments

Posted by on May 10, 2012 in Manusia, Refleksi

 

tentang Zaki, budaya Melayu, Julia, erti hidup pada kaca mata Andrea Hirata, dan nasihat tentang perkahwinan.

Katanya, kawannya yang bernama Zaki* (bukan nama sebenar) itu akan berkahwin.

Katanya lagi, dia risau jika Zaki berkahwin.

Katanya lagi sekali, ini kerana Zaki adalah seorang yang tidak ada nafsu kepada wanita dan naluri seksualnya lebih terarah kepada lelaki.

Atau dalam erti kata lain, Zaki adalah seorang pengamal homoseksual atau gay.

“Aku tak faham Sue. Kenapa dia perlu kahwin hanya kerana nak puaskan hati ibu bapa dia yang risau tengok dia lama sangat membujang? Kenapa dia perlu tunduk pada tekanan orang lain?”

Ya, Zaki adalah dari keluarga Melayu. Dan sebagai seorang Melayu, saya juga tersangat faham akan situasi yang dihadapi Zaki.

Err….bukan situasi sebagai gay. Tapi situasi sebagai anak-muda-lama-sangat-membujang-tak-elok-baiklah-kahwin-cepat-cepat!

Saya melepaskan keluhan. Yang sebenarnya saya agak kecewa dengan budaya Melayu. Atau budaya apa-apa saja bangsa yang beriya-iya benorrrrrrrrr mahu anak mereka berkahwin tanpa mempedulikan sama ada anak itu bersedia atau tidak sebenarnya untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Read the rest of this entry »

 
3 Comments

Posted by on April 29, 2012 in Manusia, Refleksi

 

“Life is given to us, we earn it by giving it” – Rabindranath Tagore

November 2009

Saya masih lagi bekerja separuh masa di McDonald’s. Hari Ahad itu memang sibuk. Orang ramai berpusu-pusu. Saya perlu segera membersihkan meja supaya pelanggan yang baru datang boleh duduk dan makan.

Di satu sudut, ada sekumpulan pelajar lelaki. Lebih kurang 7-8 orang kesemuanya. Berpakaian batik asrama warna hijau pucuk muda. Tidak pasti pula saya sekolah mana. Mereka duduk di 2 meja yang sebelah-menyebelah. Ada 1 meja di sebelah mereka, dan ia diduduki oleh hanya seorang pelajar. Saya boleh meneka, dia juga adalah dari kelompok yang sama, tapi mungkin kerana tidak cukup tempat duduk, dia terpaksa duduk di meja kosong sebelah.

Apa yang menarik perhatian saya adalah kerana, pelajar lelaki ini tidak ada apa-apa makanan di atas mejanya. Tatkala rakan-rakan lain sedang enak mengunyah burger, fries dan ayam goreng, dia hanya duduk diam-diam menyedut Coke dalam gelas minuman. Saya agak pelik, tetapi tidak terfikir pula untuk bertanya.

“Dia belum lapar barangkali” fikir saya.

30 minit kemudian, saya datang semula mengemas meja. Saya lihat dia sedang enak mengunyah ayam goreng. Saya pergi ke arahnya.

Read the rest of this entry »

 
9 Comments

Posted by on December 16, 2011 in Manusia, Pengalaman, Refleksi

 

tentang persoalan (dua)

Hari ini tiba-tiba ada satu lagi persoalan menjengah fikiran. Mengganggu gugat minda. Ia persoalan agama, tentang niat, tentang hidayah, tentang…entah, apa-apa saja.

Saya tertanya-tanya yang mana satukah lebih baik?

Kau yang asyik mahu berusaha ke arah kebaikan tetapi tetap juga jatuh ke lembah kejahatan, atau kau yang tetap dan terus dalam kegelapan tanpa mahu bangun ke arah kebaikan?

Ok, saya cuba permudahkan.

Kes 1:

Tina yang  sekejap bertudung sekejap tidak adakah lebih baik daripada Ani yang langsung tidak bertudung?

Kes 2:

Abu yang mahu berhenti merokok untuk kali ke 800 tetapi cuma bertahan seminggu adakah lebih baik daripada Ali yang tidak pernah terfikir untuk berhenti merokok?

Kes 3:

Hamid yang bertaubat sudah tidak mahu berzina tetapi akhirnya tunduk pada godaan  wanita dan terjebak semula, dan kemudian bertaubat lagi, dan kalah lagi dan berzina lagi dan insaf semula dan bertaubat lagi adakah lebih baik daripada Farid yang bersekedudukan bertahun-tahun tanpa terfikir langsung untuk bertaubat?

Kes 4:

Rahmat yang keluar masuk pusat pemulihan dadah dan cuma ’bersih’ sebulan sebelum bergelumang dengan najis dadah semula, kemudian ditangkap lagi dan insaf lagi dan bertahan sebulan dua dan hisap semula, adakah lebih baik daripada Rosli yang terus menghisap dadah tanpa terfikir untuk insaf?

Pokoknya di sini adalah, berusaha tetapi hangat-hangat tahi ayam adakah lebih baik daripada tidak berusaha langsung?

Saya tahu, ada pepatah omputeh yang mengatakan “jika anda gagal, itu adalah lebih baik daripada langsung tidak mencuba”

tetapi,

ada juga pepatah yang mengatakan “anda tidak bodoh jika anda gagal, tetapi anda bodoh jika terus gagal kerana sebab yang sama, tentang perkara yang sama dan di tempat yang sama”

Iyalah, seperti kau jatuh lubang misalnya.

Jatuh sekali, ok tak kisah. Kau boleh bangun. Lepas itu kau jalan dan jatuh lubang lagi. Ok, kau pun bangun dan jalan lagi, dan jatuh lagi. Dan lagi dan lagi dan lagi sampai 500 kali. Ini menunjukkan 2 perkara:

Satu, kau memang tak reti nak belajar untuk tunduk bawah tengok lubang ketika berjalan.

Dan dua, mungkin kau perlu periksa mata kot-kot dah rabun asyik tak nampak lubang jalan saja kerjanya.

Akan tetapi, adakah kau yang asyik jatuh, bangun, berjalan, jatuh, bangun balik, berjalan dan jatuh lagi ini adalah lebih baik daripada orang yang langsung tidak mahu bangun dan hanya mahu duduk  dalam lubang jalan yang gelap itu sampai bila-bila?

Entah, saya tidak tahu.

Kerana hidayah itu datang dari Allah. Manusia boleh mencuba, berusaha, berdoa untuk mendapatkan hidayah-Nya, tetapi terpulang pada Dia untuk memberi kepada siapa yang Dia suka. Terserah pada Dia untuk mencampakkan hidayah pada mana-mana jiwa yang Dia berkenan. Kadang-kadang, hidayah datang tak semena-mena pada orang yang langsung tidak cuba mencari pun.

Namun, saya fikir walau sesat sepuluh ribu kali, tetapi selagi tidak putus asa untuk kembali, tentu ada kesudahan baik yang akan menanti.

InsyaAllah.

Wahai Sang Pemilik Hati, Sang Empunya Jiwa, tetapkanlah dan kukuhkanlah imanku sehingga saatnya aku kembali padaMu.

 

 
2 Comments

Posted by on April 11, 2011 in Peribadi, Refleksi

 

tentang persoalan (satu)

Saya adalah seorang makhluk yang suka berfikir yang pelik-pelik. Dalam minda saya seolah-olah ada satu laci yang di dalamnya penuh dengan fail-fail yang aneh-aneh kandungan isinya. Penuh dengan persoalan yang entah apa-apa  dan perkara yang agak mengarut, kadang-kadang. Dan ia adalah sesuatu yang agak melecehkan sebenarnya.

Seperti persoalan peribahasa tentang pisang berbuah dua kali dan kenapa mati dengan sia-sia itu dipanggil mati katak dan bukan mati binatang lain, seperti mati siput babi atau mati ulat gonggok misalnya?

Atau kadang-kadang persoalan politik seperti apa akan jadi jika tiba-tiba PAS bergabung dengan UMNO misalnya? (ini raja segala mengarut,kot.)

Atau persoalan binatang, seperti bagaimana kucing jika dilepaskan dari tempat tinggi tetap mendarat pada kakinya atau perihal bayangan ular sawa albino yang kerap kali mengganggu gugat minda?

Atau perihal psikologi seperti entri yang ini misalnya?

Atau persoalan yang mungkin jika asyik difikir-fikir, boleh jadi gila atau mungkin terkeluar akidah dibuatnya, seperti persoalan berapa lamakah ‘selama-lamanya’ di akhirat sana?

Dan pernah juga, ketika putus cinta dahulu, saya terfikir bagaimanakah jika Allah mencipta satu lagi jantina di dunia ini, selain lelaki dan perempuan, (kita beri nama jantina itu jantina ‘X’ sebagai contoh.) Dan ketiga-tiga jantina ini bebas berkahwin antara satu sama lain.

Jadi, jika saya kecewa dengan jantina lelaki, saya boleh memilih jantina satu lagi iaitu jantina ‘X’ yang mungkin lebih memahami, kerana sungguh, ada kalanya, saya penat dengan manusia bernama ‘lelaki’, tetapi mahu buat bagaimana, kerana itu saja pilihan yang ada. Mana mungkin saya jatuh cinta dengan perempuan (walau perempuan itu penuh ciri kelelakian, tetapi selagi ‘aset’nya sama sebijik segabak dengan saya, maka haramlah saya untuk mencintai beliau.)

Dan adalah sangat gila meroyan bunyinya untuk saya bercinta atau berkahwin dengan makhluk Allah yang lain seperti binatang, pokok-pokok, udara, tanah, api, matahari atau angin. Jadi mahu tidak mahu, saya perlu akur bahawa saya mesti dan harus mencintai makhluk bernama ‘lelaki’ juga akhirnya.

(Ok, baru saya teringat, ada satu lagi jantina iaitu ‘khunsa’, tetapi itu juga tidak boleh dikira sebagai jantina ketiga kerana in the end, dia perlu memilih mahu cenderung ke arah lelaki atau perempuan)

Eh bersambung lagi sebab dah panjang.

 
Leave a comment

Posted by on April 10, 2011 in Bebelan saya, Refleksi

 

just.a.thought.

Mana satu yang lebih menyedihkan?

Mengetahui bahawa kita akan mati dan meninggalkan orang yang kita sayang?

Atau

Mengetahui bahawa orang yang kita sayang akan mati dan meninggalkan kita?

 
2 Comments

Posted by on April 3, 2011 in Refleksi

 

Have courage. Be bold.

 

Sebenarnya, saya terhutang budi kepada sekaki payung. Jika tidak kerana sekaki payung (dan tentu sekali dengan izin Allah Ta’ala) saya tidak lahir ke dunia ini.

Pada awal tahun 80-an, di satu tempat di Sarawak, ibu saya (yang ketika itu masih anak dara) telah tertinggal sekaki payung di sekolah tempat beliau mengajar. Jadi, ibu telah meminta tolong ayah (yang ketika itu masih bujang trang tang tang) untuk tolong ambilkan payung tersebut. Sedangkan sebelum itu, mereka tidak pernah bertegur-sapa walaupun bekerja di satu sekolah yang sama.

Jadi, apabila melihat ayah bersungguh-sungguh mengambilkan payung tersebut walaupun dalam hujan dengan menaiki motosikalnya, maka berbunga-bungalah hati ibu. Ayah pula, apabila melihat ibu bergantung kepada beliau untuk tolong mengambilkan payungnya yang tertinggal, maka dalam hatinya pun ada taman.

Biasalah, perempuan kalah pada pengorbanan. Lelaki kalah pada kebergantungan.

To make it short, mereka berkahwin dan saya pun lahir ke dunia ini.

“Ayah Ila dulu pendiam. Langsung tak bercakap dengan mak” kata ibu saya.

“Iyelah, dah mak hang garang sangat. Tapi, boleh pulak suruh tolong ambilkan payung..” balas ayah pula. Dan mereka berdua akan saling tersenyum, penuh rahsia.

It is amazing how after all these years; their love story still amused me. :)

Saya tertanya-tanya, jika ibu tidak meminta tolong ayah mengambilkan payung itu, mungkin ibu dan ayah  tidak akan berkahwin antara satu sama lain. Dan mungkin tempat saya akan digantikan dengan orang lain. Dan mungkin sekarang ini saya masih lagi terawang-awang di alam roh, mencari-cari rahim wanita mana yang akan ditakdirkan untuk saya menginap dan membesar selama 9 bulan.

Jadi, apabila ibu berani meminta tolong ayah dan memulakan langkah pertama walau mereka tidak pernah bertegur sapa, saya jadi salut sama ibu dan berterima kasih atas keberaniannya. Read the rest of this entry »

 
2 Comments

Posted by on February 14, 2011 in Dunia, famili, Refleksi

 

‘Berjaya’ dan ‘bahagia’ definisi ibu bapa – Part II

Ok, saya tidak salahkan ibu bapa.

Walaupun saya tidak pernah menjadi seorang ibu dan tidak mungkin menjadi seorang bapa, tetapi saya faham dan akur dengan harapan melangit tinggi yang dimiliki para ibu-bapa kepada anak-anak mereka. Secara fitrahnya, setiap ibu bapa, yang telah bersusah-payah melahirkan dan membesarkan dengan penuh kasih sayang pasti menginginkan yang terbaik sahaja untuk anak mereka.

Dan benih harapan ini sudah pun tertanam sejak anak-anak masih kecil lagi, dan makin bercambah apabila dewasa.

Masih terpateri kukuh di cepu minda saya, ketika saya berusia 8 tahun, ayah masuk ke bilik dan duduk di birai katil. Sambil membelai rambut saya dengan penuh kasih sayang, beliau berkata :

“Adik, ayah nak adik belajar tinggi-tinggi. Jangan fikir pasal duit atau pasal lain. Tugas adik belajar saja sampai dapat phD…ok?”

Dan saya ketika itu, hanya mengangguk walau dalam hati tertanya-tanya “phD tu apa ke benda?”

Ya, bayangkan betapa tingginya harapan seorang ayah. Beliau sudah menyimpan impian untuk melihat anaknya menggenggam phD walaupun anaknya ketika itu, untuk mengambil UPSR pun belum layak lagi!

Ah, waima ibu bapa si Nobita itu pun, sudah berangan-angan anaknya itu mesti akan menjadi seorang professor universiti, hanya kerana si Nobita sudah tahu pergi ke tandas sendiri ketika baru berumur 5 tahun.Kemungkinan bahawa anaknya itu mungkin akan mendapat markah ‘0’ atau asyik dibuli kawan-kawan sahaja langsung tidak terfikir di benak mereka.(sila rujuk doraemon isu #42 kot!:P)

Malah kakak saya sendiri, ketika melihat anaknya Anas Suffian sudah pandai bertindak balas dengan bunyi-bunyian luar sambil mengedip-ngedipkan matanya yang bulat hitam itu sudah cukup membuatkan kakak menyimpan harapan tinggi bahawa anaknya itu akan menjadi saintis suatu hari nanti, walhal bayi itu baru berusia tak sampai pun 30 hari!

Apa yang ingin saya khabarkan di sini sebenarnya adalah, betapa ibu bapa ini, atas sifat kasih dan sayang yang menebal dan cinta yang mendalam terhadap anaknya, maka sudah menyimpan harapan yang ke-langit-tujuh tingginya kepada anak-anak masing-masing.

Mereka menginginkan kita berjaya.

Mereka mengimpikan kita bahagia.

Kebahagiaan kita adalah kebahagiaan mereka.

Kejayaan kita adalah kejayaan mereka.

Akan tetapi! (jeng…jeng…jeng…)

bagaimanakah  jika definisi ‘berjaya’ dan ‘bahagia’ ibu bapa itu adalah sangat jauh berbeza dengan definisi yang dimiliki anak-anak mereka?

Ok, bersambung lagi. Lapar nak pergi cari nasi jap.

 

 
2 Comments

Posted by on November 13, 2010 in famili, Manusia, Refleksi

 

‘Berjaya’ dan ‘bahagia’ definisi ibu bapa – Part I

SEMUA ibu bapa menyimpan harapan yang menggunung tinggi untuk anaknya.

Silap.

Pembetulan.

SEMUA ibu bapa yang WARAS DAN NORMAL menyimpan harapan yang menggunung tinggi untuk anaknya.

Kita abaikan ibu bapa yang tidak waras dan tidak normal seperti yang membunuh atau merogol atau membiarkan teman lelaki membunuh atau merogol anak sendiri. Kerana mereka tidak termasuk dalam lingkungan ibu bapa yang waras dan normal.

Pokoknya, secara fitrah, semua ibu bapa menyimpan impian mahu melihat anak-anaknya berjaya dan bahagia dalam kehidupan.

Jadi, apa sebenarnya definisi BERJAYA DAN BAHAGIA dalam kehidupan itu?

Secara umumnya, ‘berjaya’ dan ‘bahagia’ dalam kamus ibu bapa adalah:

1. Berjaya dari segi akademik. (Contoh: Belajar setinggi boleh , makin tinggi tahap akademik sehingga bergelar Dr atau Professor misalnya, makin’ berjaya’lah anda )

2. Berjaya  dari segi kerjaya yang diukur mengikut tahap professional kerjaya tersebut . (Contoh: mendapat kerja yang dalam golongan ‘orang professional ’ – yang mampu membuatkan makcik Joyah sebelah rumah ternganga dan berasa dengki dengan ibu anda apabila dia menyebut  akan jawatan anda)

3. Berjaya  dari segi kewangan (Contoh: Diukur dengan berapa digit angka yang terdapat dalam slip gaji anda – semakin banyak digit angka, semakin ‘berjaya’ dan ‘bahagia’ lah anda)

4. Berjaya dari segi tuntutan materi (Contoh: Diukur dari segi rumah yang anda duduki atau kereta yang anda pandu – semakin mewah dan semakin besar harta anda, semakin besarlah lobang hidung ibu bapa anda kerana teramat bangga dengan ke’jaya’an dan ke’bahagia’an anda)

5. Berjaya dari segi pasangan atau teman hidup (Contoh: Diukur dengan kerjaya, tahap kewangan, rupa paras pasangan anda – supaya jika dibuat kenduri, apabila orang bertanya “Menantu kerja apa?” maka bolehlah dijawab dengan senang hati “Ouh…kerja Aerospace Engineer dekat NASA…”)

Eh, bersambunglah pulak… :P

 

 
Leave a comment

Posted by on November 11, 2010 in Manusia, Refleksi

 

Tanggung

Kalaulah tanggungjawab tu macam beg yang digalas di bahu, agaknya haku ni dah bongkok sabut kot.

Tanggungjawab sebagai hamba Tuhan pun kadang-kadang tak tergalas. :(

 

 
Leave a comment

Posted by on July 3, 2010 in Refleksi

 
 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.