RSS

Category Archives: Peribadi

radio.

Baru-baru ini saya telah ber’hijrah’.

(ceh bunyi macam artis-artis yang baru mula nak pakai tudung pulak)

Ok, saya sebenarnya telah mula berhijrah, daripada mendengar stesen radio Hot FM, Mix FM, Suria FM dan kadang-kadang Red FM atau Muzik FM kepada stesen radio IKIM FM sahaja.

Sebelum ini saya selalu mendengar radio aliran arus perdana sahaja, dan tabiat saya setiap kali mendengar radio, baik sebelum tidur atau di dalam kereta, adalah dengan bermain punat radio, mencari stesen yang memberikan lagu yang boleh menjadi halwa telinga saya. Setiap kali stesen tersebut mengeluarkan iklan, maka tangan saya pun pantas mencari stesen lain pula.

Dan selalunya, 5 stesen radio di atas adalah yang selalu menjadi pilihan saya.

Tetapi, tidak pernah, dalam saya mencari-cari stesen radio, jari saya akan berhenti pada stesen Tamil, Cina atau IKIM FM. (ya, memang menyedihkan).

Sejujurnya, IKIM FM hanyalah di’gunakan’ ketika saya memandu seorang diri, pada waktu malam, keliling sunyi sepi, tiada lampu jalan, dan saya mulalah berfikir bukan-bukan, lantas saya pun membuka IKIM FM supaya perjalanan saya ditemani alunan ayat suci Al-Quran.

Sebaik sahaja saya sampai ke kawasan yang cerah, terang benderang dengan lampu jalan dan banyak kereta, maka stesen pun ditukar kepada stesen muzik pula.

Ya, saya tahu sangat keji perbuatan begitu.

Ibarat habis madu sepah dibuang sahaja.

Read the rest of this entry »

 
8 Comments

Posted by on February 29, 2012 in Peribadi

 

tajuk adalah apa-apa saja yang kau suka

i.

Februari adalah bulan yang penuh sibuk. Jadi tak ada masa dan idea dan mood dan jiwa dan rasa untuk mengupdate blog.

Maaf.

ii.

Tiba-tiba kau terfikir:

Kenapa kebanyakan penulis blog akan minta maaf kalau mereka lama tak update blog? Padahal jarang la orang nak marah “Eh apasal kau dah lama tak update blog?? Kau dah buat aku tertunggu2. Minta maaf cepattt!”

Paling kurang pun, orang cuma bukak sekejap, tengok tak ada update, then terus tekan tanda pangkah belah atas bahagian kanan skrin dan keluar dari situ. Tak ada yang marah2 kalau kau tak update pun.

Jadi tak perlula nak minta maaf kan?

Lagipun, ini blog kau. Bukan orang bayar kau untuk update hari-hari pun kan?

iii

Tapi perasaan dia lain macam bila lama tak update blog. Tambah-tambah bila tengok stat ada je yang menjenguk. Walau pun takdelah ramai mana, tapi tetap rasa bersalah satu macam.

Menulis blog kini bukan sudah sekadar suka-suka.

Bukan sekadar nak meluah rasa.

Menulis blog sekarang sudah jadi macam satu obligasi sosial. Tambah-tambah kalau ada orang yang baca blog kau. Walaupun tak adalah ramai mana.

Jadi, kau mesti nak minta maaf kalau lama tak update blog. Sebab tak seronok buat orang kechiwa lepas jenguk blog kau tapi tak ada apa-apa. Sebab perasaan ini, kau pun pernah ada. Bila bloggers yang kau suka lama tak update blog diorang, kau pun rasa hampa dan kechiwa.

iv

Tiba-tiba kau rasa menulis blog adalah satu perkara yang berisiko tinggi.

Ia macam kau nak buat tatu. Kat muka. Kau kena fikir masak-masak-masak-masak sampai hangus. Sebab benda itu kekal di situ. Dah tak boleh nak diubah dah.

Macam tatu kat muka.

Contoh: Apabila sekali kau publish kau penakut gila orangnya tapi tiba-tiba rasa tak best mengaku akan kelemahan kau sendiri di mana boleh menjejaskan reputasi ciptaan kau sebagai seorang gadis berdikari yang berhati waja, jadi kau pun delete. Tapi entri yang kau delete itu tak akan ter’delete’ sekali dalam otak pembaca kau. Kalau diorang jumpa kau kat mana-mana, diorang akan kata “eh inilah dia yang penakut hantu tu kan?”

Ia macam telanjangkan diri kau di tengah jalan biar orang lalu lalang nampak siapa sebenarnya diri kau dengan alasan tak nak hipokritlah kononnya.

Tetapi tiba-tiba macam malulah pula, terus pakai baju semula.

Tapi tetap juga tak bagi kesan apa-apa. Sebab orang lain dah nampak segala apa yang kau ada.

The damage is done – bak kata omputih.

Jadi, nak menulis blog pun sebenarnya sesuatu yang kau kena hati-hati. Tak boleh nak publish sesuka hati. Sekali kau publish satu entri dan biar orang baca, itu macam kau dah buat satu tatu di kepala. Dah tak boleh nak ubah dah walau apa pun orang kata. Even if you deleted the entry, it is still there. In your reader’s mind.

v

Tiba-tiba kau terfikir lagi. Apasal kau boleh sesuka hati tulis hal peribadi, hal famili, hal perasaan dan hati, di dalam blog kau di mana entah berapa orang yang kau kenal atau tak kenal yang baca dan mungkin akan judge kau dari setiap kata-kata yang kau taip?

Dan kebanyakan entri dalam blog kau pun, mostly famili kau sendiri pun tak pernah tahu cerita.

Apasal kau lagi senang bercerita di alam maya, kepada entah siapa-siapa, daripada bercerita di alam nyata, kepada kaum keluarga?

Mungkin itu keindahan dunia maya. Tiba-tiba kau boleh jadi  begitu terbuka dan bersahaja.

vi.

Tapi kau rasa payah juga kalau tulis blog berkonsepkan peribadi ini. Sebab banyak cerita yang merupakan cerita orang lain, orang sekeliling, famili dan saudara mara (yang mungkin kau dah ubah nama) tapi kau rasa ada nilai pengajaran atau menarik untuk dicerita, yang kau dah tulis dalam blog kau.

Sebab kalau terjumpa dengan orang yang kau kenal, tapi mereka buat-buat tak kenal,

mulalah kau tertanya-tanya “Eh apasal dia tak tegur aku? Dia baca blog aku ke? Ada ke aku tulis apa-apa pasal dia?”

So, this is something I would like to say.

If you know me, and you read my blog, and you think that some of the entries are about you,

“Eh macam cerita aku lah. Walau nama tak sama, tapi betul-betul macam cerita aku.”

If you do think like that, please email me and ask me personally to remove the entry.

I will gladly do so if it offended you.

I am really sorry and it is never in my intention to hurt your feeling.

Mungkin lepas ni kau patut tulis blog pasal resepi atau pasal petua kecantikan diri.

Atau mungkin tulis pasal review buku dan filem sahaja.

Atau mungkin tulis pasal hari ini buat apa, pergi mana, balik bila, penat giler kay….ok tu je lah u olllsss….da nak tidoooo baiii!!

Ya, apa-apa saja yang tak terlalu peribadi. Dan tak berisiko tinggi.

Mungkin.

 
6 Comments

Posted by on February 17, 2012 in Bebelan saya, Peribadi

 

organ

“Ila, apa benda surat sampai kat rumah ni?”pertanyaan ibu suatu pagi mengejutkan saya dari tidur. Suaranya di corong telefon, kedengaran seperti sedang menangis.

Saya mula panik. “Surat apa mak?” tanya saya semula.

Fikiran saya mula ligat, mencari surat apakah yang membuatkan ibu menangis. Adakah surat saman dari PTPTN yang menyaman ibu saya sebagai penjamin kerana saya tidak membayar hutang? Atau adakah surat layang beserta gambar menunjukkan saya sedang bercumbu dengan mana-mana lelaki (atau perempuan?) Atau adakah surat dari Ah Long mengugut “wang atau nyawa?” kerana saya tidak melunaskan pinjaman? Atau adakah surat sijil berkahwin di Siam dengan mana-mana lelaki tanpa pengetahuan ibu?

Sungguh saya buntu. Kerana daripada reaksi ibu yang sedang bersedih, seolah-olahnya saya telah melakukan sesuatu yang menconteng arang ke wajahnya dan telah memalukan seisi keluarga, selama 7 keturunan. Sedangkan saya langsung tidak pernah melakukan apa-apa yang boleh mencemarkan nama keluarga.

“Ni surat dari Pusat Sumber Transplan Nasional ni…apa cerita ni?” tanya ibu lagi.

“Ouh……..” saya menghela nafas.

Rupa-rupanya permohonan saya untuk menderma organ bulan lalu telah sampai ke pengetahuan ibu. Dan itu yang membuatkan dia bersedih.

Sebetulnya, niat itu sudah lama saya ajukan kepadanya. Tapi kata ibu “Tak tahulah.Kena tengok hukum dulu.” Lantas apabila saya melakukan ‘research’ di internet, saya dapati pendermaan organ tidaklah diharamkan dalam Islam, malah digalakkan, dengan syarat organ yang diderma mestilah bukan kepada musuh Islam.

Saya terangkan kepada ibu, bahawa itu memang niat saya, jika saya sudah tiada kelak. Sekurang-kurangnya organ saya boleh digunakan untuk menyelamatkan orang lain yang lebih memerlukan. Itu adalah lebih baik daripada dibiarkan reput dimamah ulat.

Dia masih sedih. Katanya, kenapa dah terfikir pasal kematian? Nanti bagaimana dia mahu berdepan dengan orang lain yang menyakiti jenazah anaknya? Bagaimana dia mahu terima hakikat, jenazah anaknya tidak sempurna? Dan dia menerangkan hukum pendermaan organ masih ada khilaf pada sesetengah ulama’.

Saya cuba menenangkan ibu. Saya katakan supaya dia bayangkan jika dia mempunyai anak yang sedang tenat, memerlukan organ dari orang lain. Ketika itu, tentu dia tidak peduli pun tentang hukum menderma organ. Tentu dia tidak kisah pun penderma itu dari mana atau bangsanya apa. Dan bayangkan, bagaimana sedihnya jika dia perlu menunggu saban hari, menanti ada orang yang sudi menderma organ kerana nyawa anaknya semakin hari semakin tipis.

Ibu terdiam. Kedengarannya seperti akur dengan hujah saya. Saya agak, dia terpaksa redha. Bahawa kemahuan anaknya yang seorang ini sudah tetap, dan tidak boleh diubah-ubah lagi.

Teman saya, tatkala saya ceritakan kepada dia, juga tidak bersetuju dengan niat saya. Katanya:

“Niat Sue memang elok. Tapi, Sue kan di bawah tanggungjawab ibu bapa. Kalau ibu tidak suka, janganlah derhaka. Bayangkan begini, di akhirat kelak, Sue menderma organ. Ok, timbangan belah kanan jadi berat. Tetapi, Allah kata – Kamu tak ikut cakap ibu kamu dan menyebabkan dia bersedih. Timbangan belah kiri pula jadi berat. Agak-agak, antara kedua-dua itu, mana satu yang akan jadi lebih berat?”

Kata-katanya membuatkan saya terdiam.

Tetapi, sebetulnya ibu saya sudah membenarkan. Cuma dengan rasa berat hati. Yang sangat.

notakaki:

Hari itu saya balik ke Kedah. Saya tanyakan ibu di mana surat dari Pusat Transplan itu, dan tentu sekali ada dihantarkan sekali sekeping kad ‘Organ Donor’ kepada saya. Jawab ibu “Entah. Tak tahu. Cari sendiri.” sambil berpura-pura sibuk. Saya lihat ada senyuman ‘mischief’ di hujung bibirnya. Puas saya cari satu rumah tapi tak jumpa.

Haih ibu…ibu…. satu hal pula saya kena telefon semula Pusat Transplan Nasional dan minta mereka serahkan semula surat dan kad itu pakai alamat pejabat, kerana ibu saya telah ‘ter’hilangkannya. Huhu. :roll:

Saya kagum dengan seorang lelaki (tak ingat nama) yang pernah menjadi terkenal kerana mendermakan separuh hatinya kepada seorang budak lelaki (juga tak ingat nama) yang sedang sakit tenat. Lelaki itu menderma ketika masih hidup, dan budak lelaki itu langsung dia tak pernah kenal pun. Dia cuma tahu apabila terbaca tentang penderitaan budak itu di dada akhbar. Dia memang sudah nekad dan tidak teragak-agak lagi untuk menderma. Seingat saya, ketika itu saya masih sekolah rendah atau menengah, kot.

 
18 Comments

Posted by on January 7, 2012 in Peribadi, famili

 

doubt

 

“Do you love him?”

“Yes, I do love him…”

“Then, what’s the problem?”

“I’m just not in love with him…”

 

 
Leave a comment

Posted by on October 31, 2011 in Peribadi, Teman

 

momok

1.

Arakian maka tersebutlah kisah kawan saya yang berkelah di air terjun dengan sahabat-sahabatnya. Mereka pergi berempat. Balik juga berempat. Di dalam satu kereta.

Setelah puas bermandi-manda bersuka-ria berhu-ha-hu-ha, mereka pun pulang.

Malam itu, dalam pukul 11 malam, kawan saya terdengar bunyi ketukan di pintu rumahnya. Sebaik saja pintu dibuka, berdiri seorang budak lelaki kecil yang hanya berseluar dalam.

Katanya “Bak kunci kereta. Nak balik rumah.”

Kawan saya yang terkejut terus menutup pintu dan beristighfar sebelum membukanya semula. Budak itu hilang sekelip mata.

“Muka dia macam budak Ju-On Sue. Cuma tak bertinggung je.”

Saya menyumpah seranah beliau kerana cerita benda seram malam-malam dan sekarang saya asyik terbayang-bayang seekor anak jin seperti Ju-On yang mereka ‘ter’bawa balik dalam kereta. Yang lucunya, tahu pulak budak tu nak memandu kereta. Beriya-iya mintak kunci. :P

2.

“Kenapa kamu tidur buka lampu?” tanya Canyee ketika kami sampai di Tesco.

“Saya takut hantu” jawab saya selamba, sambil memusing-musing stereng kereta mencari tempat parking.

“Serius?” dia terkejut. 5 saat kemudian dia ketawa bagai nak tercabut kepala.

Kemudian baru saya tersedar, mengaku bahawa kau penakut hantu pada usia 27 tahun adalah satu kebodohan yang nyata. Ia sebenarnya adalah satu kelemahan yang memalukan, seperti mengaku bahawa kau tak tahu baca Quran pada usia 50 tahun atau kau sebenarnya tak pernah tahu mengira.

Tapi apabila difikir-fikirkan semula, saya takut pada banyak benda lain lagi.

ular sawa, perogol bersiri,doktor gigi,gunung berapi,gempa bumi, tempat tinggi, tikus mondok,ular tedung … dan lima juta perkara lain lagi. Cuma darjah ketakutan antara setiap benda itu sahaja yang berbeza.

“Heck, you’re afraid of EVERYTHING!” kata Canyee, antara kagum dan pelik dengan sikap penakut yang ada dalam DNA saya.

Kemudian, baru saya tersedar, bahawa semua perkara2 yang saya takutkan itu sebenarnya adalah cabang2 daripada SATU perkara yang PALING saya takuti. Iaitu MATI.

Saya takut ular sawa sebab nanti kena telan dan MATI.

Saya takut doktor gigi sebab kalau silap cabut berdarah-darah sakit gila rasa macam nak MATI

Saya takut perogol bersiri sebab kesan trauma yang dihadapi mungkin boleh buat orang bunuh diri dan MATI.

Saya takut tempat tinggi sebab takut jatuh patah tulang dan MATI

Saya takut gunung berapi dan gempa bumi juga sebab boleh bawa MATI.

Pendek kata semua perkara yang boleh membawa saya ke arah KEMATIAN adalah sesuatu yang cuba saya jauhkan. Padahal hakikatnya, saya tahu bahawa ia adalah perkara yang mustahil untuk dielakkan.

“Bagaimana dengan hantu? Awak pernah dengar ‘hantu’ boleh buat orang MATI?” tanya beliau, sinis.

Saya terdiam sejenak.

“Hantu datang daripada roh orang MATI. Jadi, ia tetap salah satu saudara mara kepada KEMATIAN.” jawab saya memberi alasan. Kami sama-sama ketawa kemudian.

“Awak tahu Sue, awak tak perlu takut pada kematian. You should embrace death. Kerana kematian yang mengajar kita erti kehidupan.”

Kata-kata gadis dari Afrika Selatan itu membuat saya terdiam sejenak.

Dan berfikir. Panjang.

3.

Saya tidak ingat bila kali pertama saya mula tidur dalam keadaan lampu terpasang terang benderang. Seingat saya, sejak kecil lagi, saya dan kakak sentiasa tidur dalam gelap, kerana kakak tidak boleh tidur walau ada sedikit pun cahaya.

Saya mula tidur dengan lampu terpasang ketika berumur 12 tahun, rasanya. Ketika itu, kakak pergi ke sekolah berasrama penuh, dan meninggalkan saya tidur terkontang kanting sendirian. Untuk mengelakkan rasa takut tidur seorang diri, maka saya membuka lampu. Dan tabiat itu kekal sampai sekarang.

Ketika mengambil diploma di Kuantan, saya beruntung mendapat teman sebilik yang tidak kisah tidur di dalam terang. Jadi, bilik kami tidak pernah ditutup lampu pada waktu malam 365 hari setahun.

“Weh, apasal aku tengok bilik korang tak pernah tutup lampu hah?” tanya seorang budak lelaki, teman sekelas kawan saya itu. Asrama lelaki dan perempuan cuma bertentangan dan beliau dapat melihat kedudukan bilik kami dari tempatnya.

“Well, kitorang rajin. Kitorang study sampai pagi.” jawab kawan saya, selamba. :)

4.

Disebabkan saya terlampau biasa tidur dalam keadaan terang bercahaya, maka sistem biologi badan saya juga sudah membiasakan diri dengan kehadiran cahaya. Seperti mana orang lain yang akan terjaga jika lampu dipasang, saya pula akan terjaga jika lampu dipadam.

Entah berapa puluh kali, mak atau ayah akan memadamkan lampu di bilik saya apabila melihat saya sudah tidur, tetapi beberapa minit selepas itu, saya akan terbangun. Dan terus membuka lampu. Dan tidur semula.

5.

“Sue patut biasakan diri tidur dalam gelap. Tidur dalam cerah tak baik untuk kesihatan. Lagipun, bilik ’7 kaki x 3 kaki’ kat bawah tu nanti, confirm takde lampu kan?” kata Kak Sya, mengusik.

Maka terwujudlah perkara #93 dalam senarai Mesti Buat Sementara Masih Hidup saya. Iaitu “Tidur seorang diri dalam gelap selama 44 malam”

Hurm, mungkin saya patut cuba tidur dengan ‘night lamp’ dahulu.

6.

Ouh, kepada sesiapa yang meraikannya, “Happy Halloween” diucapkan. (saya cuma tahu ia pada Oktober tapi tak tahu bila. Tak pernah ambil tahu pulak.)

*eh tiba-tiba teringat satu babak filem melayu yang hero dia takut sangat tengok hantu sampai silap sebut kalimah syahadah jadi kepada menghina Nabi pulak. s.t.u.p.i.d. *geleng kepala tepuk dahi*

*image dicuri dari Yahoo Image*

 
2 Comments

Posted by on October 11, 2011 in Bengong, Peribadi, Saja Mengada

 

Bahagia adalah hak setiap insan.

Tangan saya masih lagi memegang secawan air milo, yang saya kacau perlahan-lahan sebelum menghirupnya penuh hati-hati. Pagi itu sejuk sekali. Dan air milo panas sememangnya sesuai untuk suasana sejuk dengan hujan renyai-renyai sebegini.

Tetapi, entah kenapa hari ini, air milo yang sering saya bancuh secara ‘ritual’ setiap pagi, sangat tawar dan hambar rasanya.

Sebenarnya, minda saya tidak tenteram. Ia berkocak hebat. Cuba menghadam dan mencerna satu perkara yang sedang menganggu gugat jiwa.

Segalanya terjadi selepas perbualan saya dengan seorang teman. Kami berbual tentang banyak perkara, dan akhirnya topik beralih ke perkara perkahwinan. Tentang perkahwinan adalah suatu perjudian. Sama ada kau menang atau kalah, itu bergantung pada nasib dan takdir yang telah tersedia. Jika kau menang, kau adalah manusia yang bertuah. Jika kau kalah, mungkin ia adalah hikmah dari Allah, untuk memberi kita yang lebih baik dari itu. Kami berbual dan berbual dan berbual.

Sehinggalah kata-katanya yang ini terus membuatkan air milo saya terasa tawar dan hambar.

Sue, seorang perempuan boleh terima jika suaminya jahat. Tetapi, jangan sekali-kali suaminya kahwin lain.

Ayatnya membuatkan saya terkesima. Ternganga dan terpana.

Maksud akak, kalau suami kaki pukul, hisap dadah, kaki minum arak, kaki judi, adalah lebih baik daripada suami yang kahwin lain? Maksudnya, akak takkan minta cerai kalau suami pukul akak, tapi akan minta cerai kalau dia kahwin lain?

Dengan tenang dia mengangguk. Dan melihatkan wajah tidak percaya saya, dia menjelaskan,

Sebab apa tau Sue? Sebab suami itu, walau dia jahat, tapi kita tahu, hati dia masih pada kita. Tapi suami yang kahwin lain, kita tahu hati dia sudah tak ada pada kita. Buat apa mahu tunggu lagi?

Saya termenung sejenak. Cuba memikirkan betapa aneh dan ’absurd’nya kenyataan itu.

Saya mahu katakan bahawa saya tidak setuju.

Saya mahu katakan bahawa  ia tidak sepatutnya dilihat seperti itu.

Read the rest of this entry »

 
6 Comments

Posted by on August 12, 2011 in Manusia, Peribadi, Teman

 

“Memory is a way of holding onto the things you love, the things you are, the things you never want to lose.”

Ini bukan surat cinta buat sang kekasih hati.

Ini bukan satu deklarasi bahawa hati ini sudah dimiliki.

Ini bukan pengumuman menghebahkan rasa cinta yang tak bertepi.

Kerana pada usia 27 tahun, satu perkara yang saya belajar tentang CINTA adalah ini:

“Jika kau terlalu menghebah-hebahkan ia, jika kau terlalu mengembur-gemburkan ia, jika kau terlalu suka mengumumkan kepada dunia, berkongsi cerita bahawa betapa kau terlalu bahagia, dan kau hebahkan ke seantero dunia, melalui facebook atau friendster atau blog misalnya, memaparkan gambar  kau dengan dia sedang berpelukan mesra,

tidaklah mengapa…

jika hubungan itu menjadi, Alhamdulillah syukur sekali.

akan tetapi, jika hubungan itu tidak menjadi, silap-silap kau yang akan malu sendiri. “

Yes, I’ve learnt that the hard way.

Read the rest of this entry »

 
12 Comments

Posted by on July 24, 2011 in Nostalgia, Pengalaman, Peribadi, Teman

 

I can no other answer make, but, thanks, and thanks. ~William Shakespeare

Dia itu, seorang sahabat yang pernah akrab. Mula berkenalan rapat saat sama-sama praktikal dahulu, dan menjadi rafik akrab pada semester-semester terakhir di universiti.

Banyak juga saya berkongsi rasa dengan dia, bercerita tentang mimpi dan harapan, tentang angan dan kenyataan. Sering juga kami berdebat hebat. Dia penyokong kuat kerajaan dan saya, pendukung  ‘totok’ barisan pembangkang.

Malah, ketika mendapat tahu ibu ditimpa sakit, dia orang pertama yang saya luahkan walang di hati. Kerana saya tahu, dia pernah mengalami, maka pasti dia akan memahami.

Tetapi, lazimnya kawan akrab yang lain, kami semakin berjauhan. Kerana lazimnya di alam pekerjaan, payah untuk saling berhubungan. Atau mungkin kerana sudah tiada apa topik yang mahu dibualkan. Atau mungkin kerana masing-masing dihambat kesibukan.

Lalu, dia itu hanya mampu saya pahatkan dalam kanvas kenangan. Yang mungkin semakin lama, akan luput dari ingatan.

***

Dia itu, junior ketika di universiti. Berkenalan kerana melakukan tesis projek tahun akhir yang sama. Selama satu semester, hanya dia yang saya hadapkan, di dalam makmal bersama-sama melakukan kajian.

Perbualan kami terhad dalam ruang lingkup kajian semata-mata. Berbincang tentang keputusan eksperimen atau bertanya tentang laporan. Kerana dia lelaki, maka dia yang diharapkan untuk melakukan kerja-kerja keras. Pernah juga, dia terpaksa mengangkut berpuluh-puluh tong berisi sisa-sisa kumbahan naik ke atas lori, hingga katanya dia betul-betul mahu pengsan.

Tetapi, lazimnya sebuah perhubungan senior-junior yang lain, maka hubungan kami juga terhenti di ruang lingkup makmal sahaja. Tidak ada cerita yang mahu dipanjangkan, tidak ada hal peribadi yang mahu dikongsi, tidak ada kegembiraan yang mahu dirai. Perbualan kami terhad kepada projek dan kajian semata-mata.

Dan dia juga, akhirnya tinggal kenangan di dalam minda saya.

***

Dia itu, supervisor saya ketika tahun terakhir di universiti. Kebaikannya, Tuhan sahaja yang Mengetahui. Beliau sentiasa mahu membantu, sedaya mana yang mampu.

Walaupun tahun akhir universiti adalah tahun paling mencabar bagi saya, tetapi dengan bantuan beliau, syukur Projek Tahun Akhir dapat saya tempuh dengan berjaya.

Dan lazimnya seperti perhubungan pensyarah-anak didik yang lain, maka perhubungan itu terhenti begitu sahaja, saat tersarungnya jubah graduasi dan topi mortar di atas kepala. Dan saat sang anak didik keluar ke alam kerja, maka pensyarah tinggal di universiti, menabur bakti kepada anak didiknya yang lain pula.

***

Tiga manusia ini bukanlah tidak boleh saya hubungi langsung.

Bukanlah tidak boleh saya bertanyakan khabar berita mereka.

Bukanlah langsung tidak mampu untuk saya jejaki sekadar mahu bertanyakan apa cerita mereka kini.

Tetapi entah kenapa,

hubungan itu saya biarkan begitu sahaja, berlalu pergi dibawa angin waktu.

ikon yahoo messengger atau google talk yang berkelip-kelip di sebelah nama mereka tidak pernah saya endahkan.

nombor telefon di dalam telefon bimbit tidak pula terfikir untuk saya dailkan.

seolah-olah takdirnya hadir mereka itu, hanya sebentar cuma, dan selepas melangkah ke  alam kerja, kami seolah-olah terpisah oleh dua dunia berbeza.

***

akan tetapi, pada satu hari, saya memerlukan pertolongan mereka. benar-benar terdesak memerlukan mereka.

lantas nombor mereka saya dail juga.

ikon google talk itu saya klik juga.

setelah sekian lama.

hanya untuk meminta pertolongan.

dan ajaibnya, mereka tetap sudi membantu, sedaya mana yang mampu. mereka tidak kisah tentang saya yang menyepikan diri. mereka tidak hiraukan tentang saya yang tidak pernah mahu ambil peduli.

kerana bagi mereka, kita sesama manusia adalah bersaudara. dan perhubungan kami sebenarnya tidak pernah mati. tidak pernah terhenti.

***

dan atas kesudian mereka masih sudi membantu seorang suhaila,

yang lebih senang mendiamkan dirinya

yang tidak pernah peduli tentang orang lain yang pernah ada dalam hidupnya

yang lebih senang menyepikan sebuah perhubungan kerana sudah tidak tahu  mahu bicara tentang apa

yang hanya mencari mereka saat dia terdesak perlukan bantuan sahaja

ya, dan atas kesudian itu,

mohd shahnaz, khairul anwar dan dr azmuddin,

dari sudut hati paling dalam,

saya hanya mampu mengucapkan,

terima kasih yang tidak terhingga.

terima kasih. terima kasih banyak-banyak.

One can pay back the loan of gold, but one dies forever in debt to those who are kind.  ~Malayan Proverb

 
3 Comments

Posted by on June 20, 2011 in Nostalgia, Peribadi, Teman

 

bunyi yang paling bingit.

Apakah bunyi yang paling membingitkan yang pernah anda dengar dalam hidup anda?

Dahulu, saya fikir bunyi paling membingitkan adalah bunyi keretapi bergesel di landasannya. Kemudian, sudah besar sedikit, bunyi bebelan yang keluar dari mulut emak adalah paling membingitkan. Sudah pernah naik kapal terbang, bunyi kapal terbang berlepas dan mendarat adalah paling bising. Kenderaan yang tersekat dalam traffic jam dan asyik membunyikan hon juga adalah sangat bising dan merimaskan. Bunyi ketika dalam bas dan pemandu memasang lagu dangdut juga sangat menyakitkan telinga.

Jadi, banyak bunyi yang bingit dan bising dalam hidup saya.

Semalam, saya tersedar ada satu bunyi paling bising, paling nyaring, paling bingit mengatasi segala bunyi yang pernah saya hadapi sebelum ini.

Bunyi yang tiada bunyi lansung.

Antara dua manusia.

Di tempat tertutup.

Di dalam lif atau di dalam kereta misalnya.

Pernahkah kau berada dalam satu lif dengan orang yang kau kenal, lepas bertegur hai dan senyum, kau tak tahu nak kata apa, mata cuma memandang pada nombor-nombor tingkat yang bercahaya satu persatu,

kedua-duanya senyap. bungkam dan bisu.

dan sebaik pintu lif terbuka, kau melangkah pergi sambil menarik nafas lega.

Ya, bunyi antara dua manusia yang tidak tahu mahu berborak apa, lantas kedua-duanya senyap sahaja, itu adalah bunyi paling membingitkan dan melemaskan telinga.

The silence is deafening.

Read the rest of this entry »

 
3 Comments

Posted by on May 8, 2011 in Peribadi, famili

 

tentang persoalan (dua)

Hari ini tiba-tiba ada satu lagi persoalan menjengah fikiran. Mengganggu gugat minda. Ia persoalan agama, tentang niat, tentang hidayah, tentang…entah, apa-apa saja.

Saya tertanya-tanya yang mana satukah lebih baik?

Kau yang asyik mahu berusaha ke arah kebaikan tetapi tetap juga jatuh ke lembah kejahatan, atau kau yang tetap dan terus dalam kegelapan tanpa mahu bangun ke arah kebaikan?

Ok, saya cuba permudahkan.

Kes 1:

Tina yang  sekejap bertudung sekejap tidak adakah lebih baik daripada Ani yang langsung tidak bertudung?

Kes 2:

Abu yang mahu berhenti merokok untuk kali ke 800 tetapi cuma bertahan seminggu adakah lebih baik daripada Ali yang tidak pernah terfikir untuk berhenti merokok?

Kes 3:

Hamid yang bertaubat sudah tidak mahu berzina tetapi akhirnya tunduk pada godaan  wanita dan terjebak semula, dan kemudian bertaubat lagi, dan kalah lagi dan berzina lagi dan insaf semula dan bertaubat lagi adakah lebih baik daripada Farid yang bersekedudukan bertahun-tahun tanpa terfikir langsung untuk bertaubat?

Kes 4:

Rahmat yang keluar masuk pusat pemulihan dadah dan cuma ’bersih’ sebulan sebelum bergelumang dengan najis dadah semula, kemudian ditangkap lagi dan insaf lagi dan bertahan sebulan dua dan hisap semula, adakah lebih baik daripada Rosli yang terus menghisap dadah tanpa terfikir untuk insaf?

Pokoknya di sini adalah, berusaha tetapi hangat-hangat tahi ayam adakah lebih baik daripada tidak berusaha langsung?

Saya tahu, ada pepatah omputeh yang mengatakan “jika anda gagal, itu adalah lebih baik daripada langsung tidak mencuba”

tetapi,

ada juga pepatah yang mengatakan “anda tidak bodoh jika anda gagal, tetapi anda bodoh jika terus gagal kerana sebab yang sama, tentang perkara yang sama dan di tempat yang sama”

Iyalah, seperti kau jatuh lubang misalnya.

Jatuh sekali, ok tak kisah. Kau boleh bangun. Lepas itu kau jalan dan jatuh lubang lagi. Ok, kau pun bangun dan jalan lagi, dan jatuh lagi. Dan lagi dan lagi dan lagi sampai 500 kali. Ini menunjukkan 2 perkara:

Satu, kau memang tak reti nak belajar untuk tunduk bawah tengok lubang ketika berjalan.

Dan dua, mungkin kau perlu periksa mata kot-kot dah rabun asyik tak nampak lubang jalan saja kerjanya.

Akan tetapi, adakah kau yang asyik jatuh, bangun, berjalan, jatuh, bangun balik, berjalan dan jatuh lagi ini adalah lebih baik daripada orang yang langsung tidak mahu bangun dan hanya mahu duduk  dalam lubang jalan yang gelap itu sampai bila-bila?

Entah, saya tidak tahu.

Kerana hidayah itu datang dari Allah. Manusia boleh mencuba, berusaha, berdoa untuk mendapatkan hidayah-Nya, tetapi terpulang pada Dia untuk memberi kepada siapa yang Dia suka. Terserah pada Dia untuk mencampakkan hidayah pada mana-mana jiwa yang Dia berkenan. Kadang-kadang, hidayah datang tak semena-mena pada orang yang langsung tidak cuba mencari pun.

Namun, saya fikir walau sesat sepuluh ribu kali, tetapi selagi tidak putus asa untuk kembali, tentu ada kesudahan baik yang akan menanti.

InsyaAllah.

Wahai Sang Pemilik Hati, Sang Empunya Jiwa, tetapkanlah dan kukuhkanlah imanku sehingga saatnya aku kembali padaMu.

 

 
2 Comments

Posted by on April 11, 2011 in Peribadi, Refleksi

 
 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.