RSS

Category Archives: negara

Patriotik

Saya terbaca entah-di-mana bahawa kanak-kanak di Palestin, apabila ditanya:

“Kamu anak siapa?”

Mereka tidak menjawab

“Saya anak Abdullah” atau “Saya anak Kassim” atau “Saya anak *letak nama bapa di sini*”

Tetapi mereka menjawab

“Saya anak PALESTIN..”

Saya cuba berimajinasikan kalau keadaan yang sama berlaku di Malaysia.

“Kamu anak siapa?”

Mereka tidak menjawab

“Saya anak Lim” atau “Saya anak Mutusamy” atau “Saya anak Harun”

Tetapi mereka menjawab

“Saya anak MALAYSIA”

Pergh…memang patriotik habissss….!! :P

Tapi saya fikir, untuk seorang rakyat berasa bangga akan negaranya, negara itu sendiri perlulah mempunyai sesuatu yang mampu dibanggakan.

Seperti pemimpin yang zuhud misalnya. :P

 
2 Comments

Posted by on November 22, 2011 in negara

 

Ada sesuatu bergelodak dalam jiwa dan harus saya luahkan di sini.

Saya tak tahu apa yang mereka alami. Apa yang mereka hadapi. Sebab saya bukan mereka. Dan tidak pernah berada dalam sepatu mereka.

Saya sudah biasa dibesarkan dalam lingkungan keselesaan. Diberi hak keistimewaan itu dan ini. Bila isi borang, sudah biasa tanda ‘right’  pada kotak di sebelah perkataan ‘BUMIPUTRA’. Apabila masuk asrama penuh, boleh kata 99% adalah sama sebangsa. Apabila masuk universiti kerajaan, 80-90% juga adalah sebangsa seagama. Cuma, apabila sambung ijazah  di universiti swasta saja, baru boleh nampak kepelbagaian dan warna warni pelbagai bangsa dari seluruh dunia.

Jadi, saya dibesarkan dalam mentaliti bahawa saya adalah bangsa majoriti yang sering diberi keutamaan dan hak keistimewaan. Dan saya langsung, langsung tidak tahu atau mungkin pura-pura tidak tahu apa yang bangsa lain hadapi atau alami di negara Satu Malaysia yang terchenta ini.

Cuma apabila sudah bekerja di syarikat yang majoriti adalah bangsa bukan bumiputra, barulah saya sedar, walau saya mahu menganggap bahawa saya dan mereka adalah sama, tetap punya hak dan kebebasan yang sama, tetapi saya terpaksa akui, bahawa mereka perlu berusaha lebih gigih untuk mendapat apa yang saya dapat. They have to struggle to survive. Dan sering juga saya mendengar kata-kata seperti ini:

“You orang Melayu tak apa, orang lain tak akan kacau punya”

“You bumiputra senang dapat pinjaman maa…”

“You tak apa, orang Melayu senang masuk Universiti. Dapat biasiswa lagi…”

“Anak I masuk tusyen dari tadika sebab persaingan hebat maa….You orang Melayu senang masuk asrama penuh. Kita orang ni, kalau tak struggle, susah loooo….”

dan Melayu itu dan Melayu ini dan Melayu begitu dan Melayu begini.

Akhirnya, tamparan terhebat saya terima pada minggu lepas, tatkala bercerita tentang pinjaman PTPTN yang begitu menjerut, dan ketika saya mengeluh betapa bunga pinjaman yang terlalu tinggi dan betapa tidak patutnya kerajaan membebankan pelajar dengan pinjaman yang begitu mencekikdarahkan dan mengutuk pula menteri-menteri yang sampai sekarang pun masih belum melunaskan pinjaman , saya dibalas dengan kata-kata begini:

“Alaa…tak apa maaa…orang lain punya hutang, itu biar dia orang settle. Kita sudah hutang kerajaan, kerajaan sudah kasi duit untuk kita belajar, sudah kerja kita bayar saja maaa….”

Ya, itu kata-kata dari seorang teman sepejabat yang punya keputusan SPM bagus tetapi tidak dapat masuk mana2  universiti awam, dan akhirnya terpaksa ke universiti swasta. Dan rumahnya adalah rumah papan di tengah hutan belukar yang hampir roboh tetapi tetap juga tidak layak untuk mendapat biasiswa, dan akhirnya terpaksa berhutang dengan PTPTN.

Tetapi, despite of everything, dia masih lagi tenang dan langsung tidak mengeluh.

Pada saat dan ketika itu, saya rasa macam nak merangkak dalam selimut dan tidak keluar2 kepala dah sebab malu, kepada dia, dan kepada diri sendiri.

Walau berat hati, saya terpaksa akui, hak keistimewaan kadang-kadang buat kita jadi terlebih manja dan mengada-ngada.

:(

 
3 Comments

Posted by on July 3, 2010 in Manusia, negara

 

Kecewa rakyat marhaen vs ayam goreng ulam kacang botol dengan kicap.Nyam,nyam!!

Marah betul apek perut gendut itu. Marah bukan main.

“Ah, tutup saja itu tivi. Jangan percaya. Itu semua propaganda Ar-Tee-Em saja.” dengusnya.

Wah, ini memang marah betul ni. Sampai rancangan wanita yang membincangkan topik kenapa wanita sekarang suka berkahwin lelaki lebih muda pun dituduh sebagai satu propaganda. Satu konspirasi. Ada muslihat tersembunyi. Ada udang di sebalik mi.

Sedangkan trang-tang-tang rancangan itu milik satu syarikat swasta. Tidak ada kena-mengena dengan Ar-Tee-Em.

Apek  perut gendut itu bingkas bangun mahu membayar makanan yang dibungkusnya. Sempat lagi dia merungut pada makcik jaga gerai yang sungguh peramah dan suka tersenyum itu. (saya kata makcik itu. bukan apek perut gendut)

“Ahhh…undi PASS pun tarak guna. Dapat dekat Bee-End jugak!! Ini macam gua masuk komunis lagi senang!” marahnya sambil berlalu pergi dari situ. Dengan perut gendutnya.

Memang marah betul dia. Marah bukan main-main. Kecewa sungguh-sungguh. Harapan menggunung kini hancur berkecai. Negerinya sudah bertukar hak milik.

Saya diam saja. Melihat dia pergi. Dengan perut gendutnya. Saya sudah tidak peduli apa-apa. Payah untuk saya peduli apa-apa bila di depan sudah terhidang ayam goreng, ulam kacang botol dan sambal belacan. Memang masyuk tak ingat dunia.

Ouh, jangan lupa. Kicap mesti ada ya?

Nyam nyam!!

Nota kaki 1: kadang-kadang bagus juga sikap tak peduli dan tak mahu ambil tahu ini. tak perlu serabut kepala. tak perlu memaki hamun segala. sebab hakikatnya, diri ini sudah terlalu penat untuk ambil tahu. sudah terlalu lelah untuk rasa kecewa dengan dunia polit(a)ik Malaysia. apa nak jadi pun, gasaklah! duduk bilik, goyang kaki, tengok movie lagi bagus.lalalala~

Nota kaki 2: kata ayah “biarlah. itu semua atas izin Tuhan. Dia rasa nak bagi, Dia bagi. sekarang dah Dia nak ambil, Dia pun ambil lah balik. semua tu kan pinjaman dari Dia saja.”

Nota kaki 3: bukankah bagus kalau semua urusan, selepas berusaha,  akhirnya kita serah pada Tuhan. Konsep redha pada takdir, berapa orang yang betul-betul faham  agaknya ya?

 
5 Comments

Posted by on February 6, 2009 in Manusia, negara

 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan

Arwah Tok Wan cukup anti dengan Jepun.

Daripada dia saya dapat cerita yang tentera Jepun dulu seksa penduduk Malaya dengan bagi minum air sabun. Lepas itu dia pijak perut orang itu. Kadang-kadang, mereka angkat pedang samurai tinggi-tinggi dan pancung kepala orang.

Ngeri.

Sebab tentera Jepun lah, arwah Tok Wan tak boleh sambung belajar di sekolah walaupun dia pelajar yang pandai. Sebab itu, arwah benci sangat-sangat pada Jepun.

Kalau cerita Jepun atau berita tentang Jepun atau tempat-tempat di Jepun keluar tv, arwah akan acu-acu penumbuk di skrin. Tanda geram. Tanda dendam.

Sekarang arwah dah tak ada. Jepun juga dah tak ada. Tapi kesan duka yang Jepun bawa tetap terasa . Tetap tertinggal pada orang-orang macam arwah Tok Wan yang melalui sendiri pengalaman dijajah.

Al-Fatihah untuk arwah Tok Wan.

                                           xxxxxxxxxxxxxxxxxxx

“Sue patut bersyukur tinggal di Malaysia. Walaupun pemimpinnya Sue tak suka, tapi sekurang-kurangnya dia orang Islam. Dia tak akan biar orang Islam ditindas atau dibunuh.”

Itu kata-kata seorang teman dari Thailand.

Dia menceritakan tentang pergolakan di negaranya. Tentang pembunuhan orang Islam di Yala, di Pattani dan di Tak Bai. Tentang saudara-saudaranya yang ramai telah terbunuh oleh tentera kerajaan. Tentang bagaimana seorang tentera naik ke mimbar dan menembak rambang orang-orang yang sedang sembahyang di masjid. Tentang kepala-kepala orang Islam yang dipancung dan diletak di atas jambatan.

Dia bercerita tentang hak orang Islam yang dihalang di Thailand. Tentang mereka dilarang bertudung di sekolah. Tentang penduduk Islam dilarang memegang jawatan-jawatan atau kerja-kerja professional. Tentang orang Islam yang sentiasa dianggap pengganas.

Tentang penderitaan. Tentang penindasan.Tentang penganiayaan.

Dia buat saya lebih menghargai nilai sebuah keamanan. Di negara saya.

                                  xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-51.

 
Leave a comment

Posted by on August 30, 2008 in negara, Refleksi

 
 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.