RSS

Category Archives: Manusia

Terima kasih Tuan Haji atas sebuah inspirasi.

“Adik nampak tak lelaki yang pakai jubah putih itu?”

Kata ayah, sambil menunjuk kepada seorang lelaki yang sedang makan selang satu meja dari kami sekeluarga. Sebetulnya kami sedang berada di sebuah restoran baru (Tak adalah baru sangat. Saya saja yang baru pertama kali ke sana) di Sungai Petani yang menghidangkan mi udang paling sedap di alam semesta.

Saya pun memandang lelaki itu. Perkara pertama yang menerpa cepu kepala saya adalah “warna putih”. Kerana segala-gala tentangnya berwarna putih. Beliau memakai serban putih, jubah putih, rambutnya putih, malah menyimpan misai dan janggut panjang yang juga sudah memutih.

Orang tua seperti ini kalau terserempak di mana-mana, waktu tengah malam buta, pada bulan Ramadhan misalnya, kemudian memberi kau beberapa nasihat berguna, mesti lepas itu akan hilang ghaib macam itu saja. Dan kau mesti fikir, malam ini Lailatul Qadar agaknya.

Ya, orang tua begini, boleh buat mata kau silau dek cahaya keimanan yang terpancar-pancar dari wajahnya.

“Kenapa dengan lelaki tu yah?” tanya saya kembali.

“Itu bekas pengetua ayah. Masa di Merbok dulu….” jawab ayah.

Saya pandang lagi lelaki itu. Ternyata dia mempunyai sebuah keluarga yang besar. Kerana di sekelilingnya ada ramai anak-anak dan cucu-cucunya turut makan bersama.

Lantas, ayah bercerita tentang lelaki itu, yang dipanggilnya Tuan Haji (Namanya saya dah lupa)

Kata ayah, lelaki itu adalah manusia yang tidak pernah berhutang. Beliau begitu menjaga setiap sen duit dan hartanya daripada segala perkara-perkara syubhah. Perkara haram memang jauh sekali.

Beliau tidak pernah menyimpan duit di dalam bank konvensional yang mungkin terlibat dengan riba. Setiap kali duit gaji masuk ke dalam bank, beliau akan mengeluarkan kesemua duitnya (kecuali RM10) dan disimpan di tempat lain. Sehinggalah wujudnya Bank Islam dan Tabung Haji, barulah beliau menyimpan duitnya.

Beliau juga tidak akan sama sekali membeli rumah dengan bank konvensional. Beliau hanya mula memiliki rumah selepas wujudnya Bank Islam.

Semasa menjadi pengetua, beliau mendapat Elaun Rumah sebanyak RM700. Tetapi, sewa rumahnya ketika itu hanyalah RM400. Akan tetapi, beliau tetap juga membayar tuan rumah sebanyak RM700.

“Eh Tuan Haji, sewa rumah saya RM400 saja lah.” kata tauke tuan rumah.

“Tak apalah. Kamu ambil lah RM700. Elaun rumah saya banyak itu. Berdosa kalau saya guna duit itu bukan untuk bayar sewa rumah.” jawabnya.

Ya, beliau sama sekali tidak akan menggunakan lebihan RM300 itu untuk perkara lain selain membayar sewa rumah, kerana namanya adalah Elaun Rumah, maka satu sen pun tidak akan digunakan untuk selain daripada Rumah.

Dan sudah tentu, beliau sama sekali tidak mempunyai kad kredit.

Dan yang paling menarik hati saya adalah ketika ayah bercerita, bahawa jika makan di gerai, Tuan Haji akan terus membayar harga makanan, SEBELUM makanan itu sampai. Sangat berbeza dengan kita yang hanya membayar selepas makan.

Lantas ayah pernah bertanya,

“Kenapa Tuan Haji bayar makanan sebelum makan?”

Jawapannya membuat saya termenung sejenak.

“Saya bayar dulu sebab saya tak tahu bila saya mati. Mana tahu saya mati masa tengah makan, jadi tak sempat nak bayar.”

Saya terpegun mendengar cerita ayah.

Sebaik-baik manusia adalah yang sentiasa mengingati mati, dan lelaki tua ini mengingati mati pada setiap saat, malah ketika makanan terhidang di depan mata, tetap juga mati yang menjengah mindanya.

Lalu saya berfikir-fikir sendiri. Sepanjang 27 tahun saya hidup, pernahkah, walau SEKALI, saya mengingati mati ketika hendak makan? Tak pernah, rasanya. Lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadhan waktu hendak berbuka. Saat pelbagai makanan sudah tersedia depan mata, memang haram-langsung-tak-terfikir-pasal-mati-lah-jawabnya.

Yang saya fikirkan saat itu, adalah apa benda yang nak dimakan dulu. “Mula-mula minum air tebu, lepas tu makan popia basah, lepas tu makan murtabak, nasik dengan ayam makan kemudian, makan buah dulu…etc etc etc”

Ya, saya lebih sibuk berfikir bagaimana ‘menyusun atur’ makanan di dalam perut untuk sistem penghadaman daripada mengingati akan kematian.

*menyedihkan*

Saya pandang lagi Tuan Haji itu. Beliau kelihatan begitu tenang sekali. Jika tidak kerana uban di kepala dan janggutnya, tentu saya tidak menyangka yang beliau sudah berusia 70-an, kerana wajahnya yang seperti tidak dimakan tua.

Saya belajar sesuatu dari kisahnya. Saya harap, dengan menulis tentang beliau di sini, anda juga dapat belajar sesuatu daripadanya.

Dan moga-moga kisahnya dapat memberi inspirasi kepada saya, kepada anda, kepada kita semua supaya lebih berhati-hati dalam urusan kewangan kita. InsyaAllah.

*credit picture to Google Image*

 
5 Comments

Posted by on May 10, 2012 in Manusia, Refleksi

 

misteri.aneh.pelik.ganjil.(dan apa-apa saja yang sinonim dengannya)

Tak tahulah kenapa, dalam hidup saya asyik ditakdirkan berjumpa dengan budak yang pelik-pelik.

Sebelum ini dah jumpa sekali.

Kali ini pun jumpa lagi.

Bayangkan (sila pejam mata dan bayangkan sekarang jugak!),

Pukul 10 malam saya pulang ke rumah, tercegat seorang budak perempuan di depan pintu rumah, menanti kepulangan saya. Budak itu dari Iran, merupakan jiran depan rumah. Pernahlah saya berbual sekali dengannya sebelum ini, di dalam lif. Masa itu, saya berbual biasa-biasa saja. Dia pun kelihatannya biasa-biasa saja.

Tetapi entah kenapa, malam itu terserlah keanehannya.

Serius terkejut jugak lah apabila sampai saja di rumah, elok saja budak itu tercegat depan pintu. Dia memandang saya dengan matanya yang besar bercahaya dan senyuman lebar sampai ke telinga. Berdebar-debar jantung tak tahu nak cakap macam mana.

“Hi sister. Are you married?”

Tanya budak itu, masih lagi dengan senyuman lebar ke telinga.

“Errr…no. Why?”

Saya cuba berlagak biasa. Dalam hati tertanya-tanya “Apa la budak ni buat kat luar malam2 ni?”

 ”Why aren’t you married?”

Ok, ini serius pelik. Dahlah tercegat depan pintu rumah orang malam-malam, lepas itu boleh pulak lah bertanya pasal status kahwin orang lain. Memang ada potensi besar menjadi Makcik Joyah yang sejati.

“Well….I don’t meet anyone that I like, yet.”

 Jawab saya. Tak pasal-pasal lah pulak bercerita pasal hati dan perasaan dengan budak Iran ini.

“What if you meet someone that you like?”

Tanya budak itu, masih lagi dengan senyuman lebar dan mata besar bulat bercahaya. Those big round eyes that is really spooky.

“Well…yeah…maybe we’ll get married.”

Saya mula tak senang duduk. Nak masuk rumah budak ni betul-betul depan pintu. Rasa macam nak tolak budak ni ke tepi tapi takut la pulak pegang karang, tangan saya tembus ke belakang. Macam pegang asap. Ouh, masa ini minda saya mulalah fikir macam-macam.

“And have kids?”

“Yeah…yeah…”

Jawab saya, mula tidak sabar.

Lepas itu, inilah yang membuatkan saya yakin dan pasti budak ini memang sahih pelik dan aneh.

Dia memandang saya, masih dengan mata besar bulat bercahaya tetapi senyuman lebar sudah hilang entah ke mana.

Tiba-tiba dia menjerit marah.

“YOU’RE LYING!!!YOU DON’T LIKE KIDS!!! LIAR LIAR PANTS ON FIRE!!!”

Sumpah, terkejut-gila-babi-jantung-rasa-macam-dah-terkeluar-melantun-jatuh-13-tingkat-ke-bawah.

“Whoa….easy kid…..Do you MIND? I want to go inside.”

Saya menunjuk ke arah pintu dan memberi isyarat bahawa saya mahu masuk dan dia menghalang laluan saya. Sebenarnya saya sudah marah, dan terkejut dan agak takut. Budak ni apahal? Marah orang tak tentu pasal. Sudahlah tiba-tiba saja tercongok depan pintu.

Serentak dia kembali tersenyum lebar sambil berkata “Ouh sure…” dan beralih satu tapak ke tepi.

 Sepanjang saya membuka kunci rumah, dia berdiri di sebelah, masih tersenyum dengan matanya yang besar bulat bercahaya.

Ketika saya membuka pintu rumah,  dia masih berdiri di sebelah, masih tersenyum dengan matanya yang besar bulat bercahaya.

Ketika saya melangkah masuk, masih lagi dia tercegat di situ. Dalam hati saya terdetik “Kalau budak ni jadi tetamu rumah orang payah ni. Tak reti-reti nak balik. Tak boleh tangkap ‘hint’ tuan rumah suruh balik…”

Ketika saya menutup pintu rumah, masih lagi dia di situ. Dan benda terakhir yang saya lihat, sebelum saya menutup pintu adalah senyumannya yang lebar hingga ke telinga.

Dan sepasang mata yang besar bulat bercahaya.

Damn!

 
9 Comments

Posted by on May 1, 2012 in Bengong, Manusia, Pengalaman

 

tentang Zaki, budaya Melayu, Julia, erti hidup pada kaca mata Andrea Hirata, dan nasihat tentang perkahwinan.

Katanya, kawannya yang bernama Zaki* (bukan nama sebenar) itu akan berkahwin.

Katanya lagi, dia risau jika Zaki berkahwin.

Katanya lagi sekali, ini kerana Zaki adalah seorang yang tidak ada nafsu kepada wanita dan naluri seksualnya lebih terarah kepada lelaki.

Atau dalam erti kata lain, Zaki adalah seorang pengamal homoseksual atau gay.

“Aku tak faham Sue. Kenapa dia perlu kahwin hanya kerana nak puaskan hati ibu bapa dia yang risau tengok dia lama sangat membujang? Kenapa dia perlu tunduk pada tekanan orang lain?”

Ya, Zaki adalah dari keluarga Melayu. Dan sebagai seorang Melayu, saya juga tersangat faham akan situasi yang dihadapi Zaki.

Err….bukan situasi sebagai gay. Tapi situasi sebagai anak-muda-lama-sangat-membujang-tak-elok-baiklah-kahwin-cepat-cepat!

Saya melepaskan keluhan. Yang sebenarnya saya agak kecewa dengan budaya Melayu. Atau budaya apa-apa saja bangsa yang beriya-iya benorrrrrrrrr mahu anak mereka berkahwin tanpa mempedulikan sama ada anak itu bersedia atau tidak sebenarnya untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Read the rest of this entry »

 
3 Comments

Posted by on April 29, 2012 in Manusia, Refleksi

 

Eksperimentasi yang memualkan. (“,)

i.

Baiklah, biar saya mulakan entri ini dengan ketawa sekuat-kuat hati.

HAHAHAHAHAHAHA!!! :D

Kemudian, saya mahu memohon maaf kerana telah mendera anda dengan menulis entri yang begitu memualkan ini.

Sejujurnya, ia adalah rekaan semata-mata.

Saya ulangi, IA ADALAH REKAAN SEMATA-MATA tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati.

Sekali lagi, saya ulang, entri di bawah ini adalah satu rekaan, pembohongan, dan penipuan untuk tujuan gurauan sahaja. Jika kamu masih percaya, tak tahulah saya nak cakap apa. :P

Saya yakin, ketika kamu membaca entri tersebut, pasti kamu akan tertanya-tanya “Apa kena budak Suhaila ni? Buang tebiat ke apa”. Masuk ke perenggan seterusnya, mulalah rasa mual satu macam. Sampai ke perenggan terakhir, tentu kamu akan berfikiran “Ya-Allah-perasan-nak-mampus-budak-ni-rasa-cam-nak-lempang-je!”

Kan?

Sebetulnya, ketika saya menulis entri tersebut, saya juga rasa menggigil, bulu roma menegak, rasa macam nak menggelupur dan nak terjun bangunan pun ada, kerana terlampaulah MALU menulis entri yang sebegini rupa.

Ya, eksperimen tadi membuktikan ia adalah sesuatu yang AMAT, AMAT MEMALUKAN untuk menulis tentang kelebihan (kaya,cerdik,cantik) diri sendiri untuk tontonan umum.

Read the rest of this entry »

 
10 Comments

Posted by on April 6, 2012 in Bengong, Manusia, Saja Mengada, Teman

 

Perihal Facebook 2

Ia bermula apabila ada seorang kawan sepejabat yang sudah tiga hari tidak datang kerja. Apabila saya bertanya kepada kawan-kawan lain, mereka berkata,

“Sue, kak Z tak datang sebab tengkorak kepala anak dia retak masa di rumah pengasuh”

“Ya Allah, ye ke?”

Saya terkejut.

Seriously, gila khinzir punya terkejut.  Ini kerana anak beliau adalah seorang bayi yang mega comel. Super duper punya comel. Dan ia membuatkan saya hairan kenapa nasib begitu menimpa seorang makhluk Allah yang secomel itu. Sudahlah masih kecil, anak sulung pula. Tentu Kak Z sedih.

Kemudian kawan saya itu menegur:

“Sue, benda tu kitorang dah tau lama dah Sue. Kitorang dah terkejut awal-awal lagi. Kalau Sue ada FB, semua benda jadi dalam ofis ni Sue boleh tau.

Jadi, itulah antara sebab  saya membuka akaun FB.

Kerana semangat Makcik Bedah* yang membuak-buak dalam diri membuatkan saya pun akhirnya mempunyai akaun FB. Itupun seorang kawan saya Kak N yang tolong buatkan.

Beliau sebenarnya merungut kerana banyak perkara yang ingin dibincangkan kepada saya asyik melalui telefon sedangkan kami boleh saja berchatting di FB, jika saya ada FB. (Yahoo Messenger tak boleh buka di tempat saya).

Jadi, apabila Kak N merungut :

“Eee..kau ni Sue payah betullah tak ada FB”

Maka, saya dengan selambanya berkata:

“Akaklah tolong buatkan. Sue bagi email dan masukkan password”

Dan sungguh, beliau pun membuatkan akaun saya. Siap memasukkan gambar, mencarikan kawan-kawan dan memasukkan data peribadi. Wah, hebat! *tepuk-tepuk* Terima kasih tak terhingga kepada beliau. :)

Sebenarnya saya penat asyik ‘ketinggalan keretapi’ ketika berbual dengan rakan-rakan lain. Apabila saya menyampuk ‘eh korang berborak pasal apa ni?’, mereka akan menjawab “itulah Sue…tak ada FB”. Jika saya bertanya “Eh, kereta sapa tu?”, mereka akan menjawab “Sue tak tau sebab tak ada FB”.

Kiranya sekarang ini, FB sudah seperti satu cop mohor untuk membolehkan kita tahu every single thing yang berlaku di sekeliling kita. Jika tak ada, kau akan terpinga-pinga sebab tak tahu apa benda. Kau dah jadi macam katak puru di bawah tempurung, yang kemudian ditanam di dalam tanah dan dibina pula bangunan sepuluh tingkat di atasnya. Menggambarkan betapa payahnya kau nak keluar dari tempurung tersebut. Ya, begitulah gambaran betapa ketinggalan zamannya kau jika tak ada FB.

Gambar lukis sendiri yang huduh.

Apabila menggunakan FB, saya mendapati beberapa perkara.

Ok, sambung lagi sebab dah panjang.

* Perkataan Makcik Bedah atau Makcik Joyah adalah metafora kepada sikap penyibuk dan suka ambil tahu hal orang lain. Ini kerana selalu dipaparkan di kaca tv, makcik-makcik di kampung yang gemar benar menjaga tepi kain orang. Sambil mulut memuncung-muncung atau menenyeh curut dan mengunyah sirih, makcik-makcik ini akan bertanya itu ini pada orang lain tanda sifat ingin tahu yang terlebih ekstrim.

 
10 Comments

Posted by on March 31, 2012 in Dunia, Manusia

 

Perihal Facebook 1

Jadi, saya sudah pun ada Facebook.

Maka sekarang, secara rasminya saya pun tergolonglah dalam 500 juta pengguna website ciptaan Mark Zuckerberg ini.

*senyum sinis*

Sejujurnya, Facebook adalah satu-satunya website yang seboleh-bolehnya tidak mahu saya libatkan diri. Saya fikir dengan lebih 500 juta pengguna, ia sudah terlampau crowded dan tidak perlulah saya juga melompat bandwagon untuk menyertainya. Mengikut pengalaman dan pemerhatian saya, most of Facebook users are heavily and dangerously addicted to it.

FB adalah satu-satunya website yang pelbagai cerita dan perkara terjadi kerananya. Manusia seolah-olah sudah terlampau obses dan fanatik dengan FB ini sehingga ke tahap yang tak terfikirkan. Ini adalah senarai perkara-perkara paling gila dan mengarut dan tak senonoh kerana FB atau ada kaitan dengan FB.

1. Pernahkah kau dengar suami yang memukul isteri kerana website Google atau Amazon misalnya? Tak ada, tetapi kerana Facebook ada.

Mangkuk hayun yang bernama Benito Apolina dari Texas itu telah membelasah isterinya kerana si isteri tidak memberi comment atau sekurang-kurangnya menekan butang ‘like’ pada status updatenya yang terbaru.

Kata mangkuk tersebut,

‘That’s amazing everyone likes my status but you, you’re my wife. You should be the first one to “like” my status,’

Hoi mangkuk, kau dah berkahwin lebih 15 tahun dan sanggup pula membelasah isteri kau semata-mata seketul imej ibu jari tegak yang bodoh itu? Seriously, how stupid is that?

2. Kemudian seekor lagi makhluk Allah telah membunuh satu pasangan suami isteri kerana mereka telah ‘unfriend’ anak perempuannya di FB. Boleh baca di sini dan sini.

Amaran tak rasmi kerajaan:

Kalau perempuan ni nak add kau dalam FB, sila jangan accept. Kalau kau dah friend dia, maksudnya kau dah mempertaruhkan nyawa kau. Once you unfriend this girl, it means you have signed your death warrant. Careful people. =/

3.  Lelaki ini pula telah ditahan kerana menelefon 911 untuk menghalau isterinya yang asyik sibuk nak duduk di sebelah semasa lelaki ini khusyuk main FB. Tapi, at least ok lah. Dia tak pukul isterinya macam mangkuk hayun pertama. Dia telefon 911 jer.

4. Wanita ini yang namanya Hayley Jones, telah dibunuh oleh bekas suami selepas menukar status FB daripada ‘married’ kepada ‘single’. Hanya kerana sepatah perkataan, enam huruf, iaitu S.I.N.G.L.E, wanita ini hilang nyawanya, ibu bapanya hilang seorang anak perempuan, dan 4 orang anaknya jadi anak yatim. Menyedihkan bukan?

Sebenarnya, jika kau cari di internet dengan kata carian ‘killed over FB status’, kau akan jumpa berpuluh kes yang serupa. :(

5.  Apabila kebanyakan gadis-gadis berumur 15 tahun menulis di ruangan HOBI di FB mereka ialah membeli-belah, Taylor Swift, mendengar muzik, atau yang sewaktu dengannya, makhluk Allah bernama Alyssa Bustamante ini menulis ‘killing people’ sebagai hobinya. Dan sungguh, dia telah membunuh seorang jirannya, Elizabeth Olten, 9 tahun. Mencekik, menikam dan mengelar lehernya. Apabila ditanya kenapa dia melakukan jenayah itu, jawabnya:

“I just wanted to know what it felt like”

Ini adalah gambar profilenya di FB. Sekali tengok saja, kita boleh meneka bahawa gadis ini mempunyai masalah mental yang merbahaya.

Kau boleh baca banyak lagi kisah aneh dan bodoh dan gila tentang FB (dan ada juga tentang MySpace) di sini  . Dan kalau kau cari di internet, ada beratus malah mungkin beribu kes-kes bangang yang kau boleh jumpa yang ada kaitan dengan FB.

Ok, oleh kerana terlampaulah banyaknya benda-benda tak senonoh yang dipaparkan di media tentang FB membuatkan saya berazam tidak mahu membuka akaun FB. Walau jenuh dipujuk keluarga (ibu dan ayah saya pengguna tegar FB), kawan-kawan dan jiran tetangga (ok, ini tipu. Tak ada jiran yang sibuk suruh saya buka FB), tetapi tetap juga saya berkeras tidak mahu menggunakannya. Malah seorang kawan mengatakan saya ini ‘anti-sosial’ dan ‘tidak suka berkawan’ hanya kerana tidak mempunyai FB.

Ya, FB sekarang sudah menjadi satu macam status sosial seorang homosapiens. Sama seperti kereta mewah, rumah besar, jawatan hebat. Kalau tak ada FB, kau tidak cool. ~sigh.

Tekad saya untuk tidak mempunyai FB ditambah pula apabila menonton filem The Social Network yang menunjukkan bahawa Mark Zuckerberg sebenarnya mencuri idea asal daripada si kembar Cameron dan Tyler Winklevoss ketika dia menuntut di Harvard dahulu dan telah pula mengkhianati sohabat karibnya, Eduardo Saverin membuatkan saya semakin tidak minat untuk menyertai laman sosial ini.

Akan tatapi (bak kata Hanakirana), sebelum anda mengkeji, mencemuh dan mengutuk saya kerana beriya-iya mengkondem FB, biarlah saya cerita bagaimana hati saya terbuka untuk mempunyai akaun FB.

Nantiilah, di entri berikutnya pula. Dan panjang pulak entri ini.

 
2 Comments

Posted by on March 30, 2012 in Bengong, Dunia, Manusia

 

“Life is given to us, we earn it by giving it” – Rabindranath Tagore

November 2009

Saya masih lagi bekerja separuh masa di McDonald’s. Hari Ahad itu memang sibuk. Orang ramai berpusu-pusu. Saya perlu segera membersihkan meja supaya pelanggan yang baru datang boleh duduk dan makan.

Di satu sudut, ada sekumpulan pelajar lelaki. Lebih kurang 7-8 orang kesemuanya. Berpakaian batik asrama warna hijau pucuk muda. Tidak pasti pula saya sekolah mana. Mereka duduk di 2 meja yang sebelah-menyebelah. Ada 1 meja di sebelah mereka, dan ia diduduki oleh hanya seorang pelajar. Saya boleh meneka, dia juga adalah dari kelompok yang sama, tapi mungkin kerana tidak cukup tempat duduk, dia terpaksa duduk di meja kosong sebelah.

Apa yang menarik perhatian saya adalah kerana, pelajar lelaki ini tidak ada apa-apa makanan di atas mejanya. Tatkala rakan-rakan lain sedang enak mengunyah burger, fries dan ayam goreng, dia hanya duduk diam-diam menyedut Coke dalam gelas minuman. Saya agak pelik, tetapi tidak terfikir pula untuk bertanya.

“Dia belum lapar barangkali” fikir saya.

30 minit kemudian, saya datang semula mengemas meja. Saya lihat dia sedang enak mengunyah ayam goreng. Saya pergi ke arahnya.

Read the rest of this entry »

 
9 Comments

Posted by on December 16, 2011 in Manusia, Pengalaman, Refleksi

 

kerana.tak.ada.siapa.yang.peduli.

Malam Ahad lepas, saya melalui satu pengalaman yang agak mendebarkan. Dan ia juga telah memberi saya beberapa pengajaran berharga.

Ketika saya baru pulang membeli barang dapur di Carrefour, sebaik sahaja saya meletak kereta di kawasan parkir kereta bawah tanah, entah macam mana, kunci kereta terjatuh dari tangan, dan entah macam mana lagi, saya sempat pula memicit punat kunci kereta, dan entah macam mana lagi, but kereta telah saya tutup tetapi tidak rapat.

Kesimpulannya, saya telah tertinggal kunci kereta di dalam kereta yang berkunci, dalam keadaan but kereta tidak bertutup dengan rapat, dan ia menyebabkan siren alarm kereta berbunyi tak henti-henti.

Kamu dapat gambaran itu?

But kereta pula tidak boleh ditutup rapat kerana kebiasaannya perlu dibuka dan ditutup semula, tetapi nak buka macam mana sebab dah berkunci?

Ok, saya mula panik. Tetapi saya pura-pura tenang dan cool. Ya, sebagai seorang yang perasan dirinya adalah wanita berdikari, berhati waja dan bersemangat tinggi,  saya perlu menjaga imej dan tidak boleh panik atau histeria sesuka hati.

Setelah puas menggodek-godek pintu kereta sendiri, saya mengambil keputusan pergi meminta pertolongan Bapak Sekuriti. Kereta yang sedang melolong dan meraung tak henti2 itu terpaksa saya tinggalkan sebentar.  Bapak Sekuriti tidak menolong, sebaliknya memberi saya dawai dan cara2 untuk membuka pintu kereta ala-ala gaya ‘pencuri kereta’ yang selalu kita tengok di televisyen.

Ok, fine. Sekuriti tak nak tolong tak apa. Saya buat sendiri.

Lalu, berbekalkan pisau dan dawai, saya pun mula menggodek-godek. Puas juga menjolok pintu kereta, tetapi kuncinya tetap tidak mahu naik sendiri seperti yang diharapkan. Hampir sejam saya begitu.

Dan disinilah pokok cerita yang ingin saya sampaikan,

Bayangkan (sila tutup mata sekarang dan bayangkan)….

Selama sejam saya menggodek-godek kereta, dengan bunyi siren alarm yang tidak henti2, dengan segenap susah payah hingga peluh menyimbah,

Ada lebih kurang 30 kereta yang lalu lalang,

Tidak ada seorang pun yang berhenti, menolong, atau sekurang-kurangnya sekadar bertanya “Kamu kenapa?”

Malah, sepasang suami isteri bangsa Cina yang meletak kenderaan betul-betul di sebelah saya (yang sedang terkial-kial dan terhegeh-hegeh menggodek kereta yang sedang berbunyi bising) hanya sekadar menjeling dan berlalu pergi tanpa bersuara sepatah pun.

Hebat sungguh masyarakat kita kan???

Saya mula rasa sedih. Bukanlah tidak pernah saya mengalami konflik tentang kereta sebelum ini. Tetapi ini kali pertama, saya mengalami kesusahan dan tiada siapa yang sudi membantu. Jika hanya saya seorang di situ, tak apalah jugak.

Sedih kerana rasa diabaikan. Rasa tak dipedulikan. Rasa seperti kepayahan saya itu langsung tidak layak untuk disimpatikan.

Mujurlah ada juga seorang Encik Baik Hati yang berhenti, dan menolong. Walaupun tidak berjaya, sekurang-kurangnya dia mencuba. Dan terima kasih kepada beliau, kerana membuatkan saya rasa seperti seorang manusia yang wujud, hidup, dan perlukan pertolongan. Bukannya sebatang tunggul yang halimunan.

Saya teringat cerita seseorang yang pernah berhijrah ke Kuala Lumpur. Katanya, KL tempat jenayah yang berleluasa. Tempat aku dengan hal aku dan kau dengan hal kau saja. Katanya, dia pernah terjumpa seorang wanita yang bertelanjang bulat sedang berdiri di tepi jalan, hanya mampu menutup kemaluan sahaja, dan ternyata dia seperti baru lepas dirogol memandangkan tanda lebam dan cedera di badan dan muka. Wanita itu melambai-lambai meminta pertolongan kepada kereta yang lalu-lalang, dan, seperti yang dijangka, tidak ada siapa yang berhenti. Termasuklah si empunya cerita tadi. Katanya “Tak beranilah aku nak berhenti. Entah-entah taktik nak menyamun ke apa…”

Ya, taktik menyamun menggunakan wanita yang bertelanjang bulat. Taktik terbaru mungkin. Haih~ :(

Sampai ke tahap itu terhakisnya sifat kemanusiaan kita.

Lantas, fikiran saya melayang pula kepada sebuah video YouTube yang menunjukkan seorang budak kecil di China. Dia dilanggar dua kali, oleh van dan lori, tetapi malang, orang yang lalu-lalang hanya buat tidak tahu. Berlalu begitu sahaja, malah ada yang cuba mengelak tubuh si kecil yang sudah lembik dan kaku.

Sampai ke tahap itu terhakisnya simpati manusia.

Lalu, ia membuatkan saya terfikir, apalah sangat kepayahan saya jika dibandingkan dengan wanita dan budak kecil itu. Sedangkan perkara yang melibatkan nyawa dan maruah diri pun, orang boleh buat tidak tahu, apalah sangat diri saya yang sekadar tertinggal kunci kereta. Memang langsung tidak layaklah untuk diberi simpati.

Sekali lagi, saya rasa sedih hidup di dunia di mana rasa simpati menolong orang yang tak dikenali menjadi begitu mahal sekali. Mungkin, 10 tahun lagi, kau perlu kemana-mana dengan sejumlah wang yang banyak dalam poket kau.

Supaya jika kau ditimpa kesusahan, katakan kau diserang sakit jantung misalnya, menggelupur teruk di tepi jalan, kau perlu menghulur duit pada orang yang lalu-lalang:

“Nah ini RM1000!! Tolong aku, tolong aku!!!”

Kerana simpati itu mahal harganya dan perlu dibeli. :(

Ouh ya, kesudahan cerita saya di atas, akhirnya kunci kereta saya berjaya dibuka. Saya dibantu oleh dua orang kawan lelaki sepejabat yang sanggup datang dari Sungai Besi  untuk membantu. Terima kasih banyak-banyak kalian. You guys are my saviour. :)

Dan satu pesanan pada penjenayah di luar sana,

Jika kau nak curi kereta, kau kena pura-pura macam kau tertinggal kunci kereta di dalam. Jangan panik bila alarm berbunyi. Buat-buat kecewa dan tendang pintu kereta, seolah-olah itu kereta kau dan kau frustated sebab kau dah tak tau nak buat apa. Lepas itu, kalau tak ada orang, kau bolehlah curi kereta itu dan berlalu pergi.

Percayalah, kau boleh mencuri dengan mudah.

Kerana tak ada siapa yang peduli.

Tak. Ada. Siapa. Yang. Peduli.

Betul!!

 
13 Comments

Posted by on December 14, 2011 in Bengong, Manusia, Pengalaman

 

Islam itu indah (satu)

“Awak tahu, keluar dengan awak ni saya nak pakai skirt pendek yang saya beli di Singapura dulu.”

“Habis kenapa tak pakai?”

“Saya tak mahu pakai sebab tak mahu orang pandang pelik pada awak.”

“Kenapa orang nak pandang pelik pada saya? Bukan saya yang pakai skirt pendek.”

“Tapi orang akan pelik kenapa gadis bertudung seperti awak berjalan dengan saya yang memakai skirt pendek.”

“Ouh, ok…hurm…”

Tiba-tiba saya rasa Islam itu begitu indah. Cukup dengan menutup aurat, kau mampu buat orang lain rupa-rupanya segan untuk berpakaian tidak sopan di samping kau.

Dan rupa-rupanya, gadis yang berpakaian seksi, mereka tidak kisah jika aurat mereka menjadi ‘santapan’ mata orang lain yang melihat. Tetapi, mereka akan kisah atau segan jika ada orang lain yang menutup aurat berjalan di samping mereka.

Mereka tidak mahu orang itu rasa malu.

Padahal orang itu tak rasa apa pun sebenarnya.

Tak kisah langsung pun.

Sebab bukan aurat dia yang terdedah.

Dan lebih2 lagi kalau orang yang berpakaian seksi itu bukan beragama Islam pun.

*ini pendapat saya lah.*

 
2 Comments

Posted by on November 21, 2011 in Manusia

 

Kindness is the language which the deaf can hear and the blind can see. ~Mark Twain

Tak ada apa.

Cuma nak cakap:

Terima kasih kepada adik Jasmin Aida yang bersekolah di Sek Men Teknik Klang. Minta maaf kerana akak baca ‘name tag’ adik tanpa kebenaran.

Ucapan terima kasih ini adalah kerana kesudian dan kemurahan hati adik memberikan tempat duduk adik kepada seorang ibu yang memangku anak kecil yang menangis-nangis dalam komuter ‘koc wanita sahaja’ yang penuh-sesak-nak-mampus-nak-bernafas-pun-semput. Komuter itu dari Klang ke Batu Caves.

Adik mungkin tak kenal akak, tapi akak naik satu komuter dengan adik di hentian Subang Jaya. Ketika itulah ada wanita India dengan bayi yang dipangkunya turut naik sekali komuter itu. Bayinya menangis meraung-raung dan wanita itu kelihatan payah sekali. Sebelah tangan memegang bayi, sebelah tangan lagi perlu memegang tiang komuter.

Akak jadi sedih sekali melihat tiada seorang pun wanita dan gadis lain dalam ‘koc untuk wanita sahaja’ itu yang sudi memberi tempat duduk mereka kepada wanita India tersebut.

Mujurlah, adik yang terjaga dari tidur, terus bangun dan memberikan tempat duduk adik.

Akak bukan nak kata apa lah kan, wajah adik sudahlah cantik bak bulan purnama (serius wa cakap lu!), nama pun sedap, perangai pun molek, pengawas pulak tu, memang pandai ibu bapa adik menjaga dan mendidik adik. Beruntunglah bakal ibu mertua atau bakal suami adik nanti.

Itu sahaja yang akak nak cakap. Jaga diri adik baik-baik. Belajar rajin-rajin. Dan teruslah dengan sikap adik yang penuh perasaan empati dan belas ehsan dalam membantu sesama insan. (maaflah penutup macam karangan BM darjah 6 pulak!)

Semoga Tuhan merahmati adik selalu.

Yang benar, akak tudung hitam baju kemeja belang-belang. *senyum sambil tunjuk tanda ‘peace’*

Kesimpulannya,

Sentiasalah berbuat baik kepada orang lain. Selain dapat pahala, kita juga takkan tahu ada orang lain yang langsung tak dikenali yang akan mendoakan kesejahteraan kita, atas kebaikan yang kita lakukan.

Tak rugi apa pun kan? :)

 
2 Comments

Posted by on October 14, 2011 in Manusia, Pengalaman

 
 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.