Tentang seorang lelaki dari China dan sebuah misteri di mindanya.

October 29, 2009

Namanya Li Gang. Umur dalam pertengahan 30-an. Berasal dari negara yang pernah disebut Rasulullah “Carilah ilmu hingga ke negara China” .Orangnya comel. Bercermin mata berambut kerinting. Beliau adalah seorang jurutera dari syarikat Beijing Force, syarikat yang bertangggungjawab memindahkan teknologi mereka kepada syarikat tempat kerja saya. Syarikat ini juga lah yang melatih saya ketika di China dahulu.

Li Gang seorang yang bijak amat. Tanya lah apa sahaja tentang kejuruteraan, pasti beliau dapat menjawabnya. Malah segala rumus dan prinsip kejuruteraan, fizik dan matematik yang begitu misteri dan rumit pun berjaya dirungkainya.

Akan tetapi, dalam banyak-banyak misteri yang berjaya diselesaikan, hanya satu misteri sahaja yang masih belum dapat dicari jawapannya. Dan misteri itu lah yang sentiasa bermain di benaknya, setiap masa dan ketika.

Ya, beliau masih belum faham kenapa wanita Islam perlu bertudung?

Dan tentu saja, saya lah antara orang yang sentiasa diburu untuk memenuhi keperluan inkuirinya itu. (Kebetulan, cuma dua orang sahaja perempuan Melayu di tempat kerja saya).

“Kenapa kamu perlu bertudung?” tanya beliau dalam bahasa Inggeris yang tersekat-sekat. (Seperti yang kita ketahui, orang China, seperti Jepun, tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantaraan antarabangsa.)

Dan saya cuba menjawab sebaik mungkin “Ini tuntutan agama.”

Masih belum berpuas hati, beliau bertanya lagi “Sampai bila kamu bertudung? Sudah tua nanti, adakah boleh ditanggalkan?”

“ Boleh. Jika terpaksa. Untuk saja-saja, saya kira tidak perlu.”

Saya ingin memberitahu lebih lanjut sebenarnya. Tetapi, memandangkan pemahaman bahasa Inggeris beliau yang terhad, dan bahasa Mandarin saya pula hanya lah setakat “Terima kasih (Xie Xie)”, “Minta maaf (Dui bu qie) ” dan “Saya cinta kamu (Wo ai ni)” sahaja, jadi seboleh-boleh saya cuba memendekkan perbualan yang seperti ‘ayam dan itik’ itu sependek mungkin.

“Jika di rumah pun kamu bertudung kah?” tanyanya lagi.

“Tidak. Saya tidak perlu bertudung di rumah ” Masih lagi saya sabar melayan setiap pertanyaannya.

“Jika begitu, saya perlu ke rumah kamu lah untuk melihat rambut kamu?”

Ketawa besar saya jadinya tatkala mendengar pertanyaannya. Bersungguh-sungguh benar beliau mahu melihat rambut saya yang seperti iklan Sunsilk ini.

“Jika kamu datang, saya perlu bertudung”

Wajahnya hampa.

Nampaknya beliau tidak faham tentang konsep bertudung dalam Islam. Persoalannya bukan ‘di mana tempatnya’, tetapi ‘siapa yang melihatnya’. Jika di rumah pun, kalau ada lelaki bukan muhrim, saya wajib bertudung. Tetapi, katakan lah ada satu pasaraya tertutup hanya untuk perempuan sahaja, tentulah dengan senang hati saya boleh membeli-belah tanpa perlu bertudung. Bukan di mana tempat, tetapi siapa yang melihat itu yang perlu dijaga.

“Jadi, siapa yang boleh melihat rambut kamu? Selain ahli keluarga?”

“Ada. Iaitu suami saya.” Saya senyum sambil mengenyitkan mata. Eh tidak, bab kenyit mata hanyalah rekaan semata-mata. :P

“Oh, maknanya saya perlu berkahwin dengan kamu lah untuk melihat rambut kamu?” Soalnya, masih tidak berputus asa mahu melihat mahkota yang saya simpan.

Saya hanya tertawa.

“Kalau kamu kahwin dengan saya, kamu perlu disunatkan. Kamu sanggup?”

Ouh, tentu sekali pertanyaan itu tidak saya ajukan kepada beliau. Ia hanyalah keluar dari hati kecil yang tiba-tiba menjadi gatal nakal.

Kadang-kadang, kelakar dan lucu juga melayan kerenah lelaki dari China ini. Dan kadang-kadang penat dan lelah pula menjawab setiap pertanyaan beliau yang tak sudah-sudah.

Pernah sekali, ketika saya sedang sibuk dengan kerja, beliau datang dan tiba-tiba menerjah dengan soalan “Ketika tidur pun kamu perlu bertudung kah?”

Saya terpinga-pinga lantas memandang wajahnya. Dan kemudian, dengan selamba saya menjawab “Ketika mandi pun saya perlu bertudung!”

“Hah??” Beliau terkejut, jatuh pengsan dan terus koma.

Ok. Yang itu saya tipu. Mana mungkin saya memengsan dan meng’koma’kan lelaki secomel beliau. Hikhikhik. (gelak gedik)

Ouh, adakah ini bermakna lelaki yang tidak comel boleh dipengsan dan dikomakan dalam cerita saya? Cis, sungguh *‘rupa’listik benar diriku ini.

*’rupa’listik – seperti wanita yang materialistik dan memandang material semata-mata, wanita yang rupalistik juga hanyalah memandang rupa luaran semata-mata.

**Saya berazam mahu mencari sebuah buku tentang Islam dalam bahasa Mandarin untuk dihadiahkan kepada Li Gang. Mudah-mudahan terjawab segala persoalan beliau tentang Islam. Masalahnya, di mana saya mahu mencari buku seperti itu? Hurm…..

***Tidak sangka, rupa-rupanya sudah 3 minggu saya tidak mengemaskinikan blog yang sudah semakin bersawang ini. Alam pekerjaan telah mampu menghilangkan ketagihan saya kepada dunia blogosfera. Ia memang mengubah saya menjadi orang yang berbeda’. (bak kata Cinta dalam AADC).

****Oh, dan terima kasih kepada kamu yang masih sudi singgah di sini walau blog ini sudah amat lama tidak dikemaskini. Terima kasih sekali lagi!

Entry Filed under: Kerja, Manusia, Saja Mengada. .

3 Comments Add your own

  • 1. ainz  |  October 29, 2009 at 6:47 pm

    nice post.. semoga temanmu itu diberi hidayah dari Allah, melalui soalan-soalannya tu. ;)

    Reply
  • 2. saad  |  November 16, 2009 at 4:38 pm

    teruskan usaha dakwah.. semoga dia terima hidayah..

    Reply
  • 3. ainunlmuaiyanah  |  November 17, 2009 at 1:35 am

    huhu. samalah. dah kerja tak ada mood mahu tulis apa-apa.. sedihnya

    Reply

Leave a Comment

hidden

Some HTML allowed:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


ONLINE

Author

RSS Quote of The Day

Calendar

October 2009
M T W T F S S
« Sep   Nov »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Twitter

Archives

The Other Bloggers

The Other UTP-ians

The Websites

Recent Posts

Recent Comments

nuna on tentang hujan,beg,adik lelaki …
anis on tentang hujan,beg,adik lelaki …
SHIMI on tentang hujan,beg,adik lelaki …
nuna on Protected: Bertahan
ainunlmuaiyanah on Tentang seorang lelaki dari Ch…

Top Posts

Category Cloud

bahasa Bebelan saya Bengong Buku Dunia famili Filem jiwa kacau Kerja lagu Manusia negara Nostalgia Pengalaman Peribadi puisi Refleksi Saja Mengada Sekolah Tag Teman Uncategorized

Blog Stats

FEEDJIT

wordpress blog stats