Doktor # 1
Saya masih ingat rupa doktor yang merawat saya ketika saya berumur 14 tahun di Hospital Besar Bukit Mertajam. Dia adalah seorang doktor lelaki berbangsa Cina dan berbadan gempal. Rambutnya putih dengan uban. Keningnya asyik berkerut. Wajahnya masam langsung tidak senyum. Seolah-olah dia diperbuat daripada tembikar. Jika dia tersenyum, wajahnya akan retak seribu.
“Sakit apa?” tanya dia, kasar.
“Sakit perut” jawab saya, perlahan.
“Sini, angkat baju.”
“Huh?”
“Angkat baju!” tengkingnya.
Perlahan-lahan saya mengangkat baju sekolah, menampakkan perut saya untuk diperiksanya.
Dia menarik getah kain biru saya, mendedahkah kulit perut saya seluas-luasnya, and to my horror, dia mengambil lampu suluh dan menyuluh perut saya. Seolah-olah perut saya lutsinar dan dia boleh melihat organ di dalamnya dengan menyuluh perut saya. Apa neraka kah itu?
Seumur hidup saya, sejak saya sudah pandai mengadu sakit perut ketika berumur 3 tahun, dan telah dirawat oleh berpuluh-puluh doktor, tidak pernah sekali pun, seorang doktor menyuluh perut saya apabila saya katakan, saya sakit perut. Mereka akan mengurut, menjentik-jentik untuk melihat jika ada angin atau menekan-nekan belah kanan untuk melihat jika sakit saya itu sebenarnya apendiks.
Tapi, tidak pernah, tidak pernah sekali pun, MENYULUH perut saya dengan lampu suluh!
“Mana ada sakit. Tipu ni! Nak ponteng sekolah saja!” dengusnya, marah.
Saya tergamam. Terkesima. Terdiam tak terkata apa.
Saya melihat ke kiri. Seorang pelajar lelaki, satu sekolah dengan saya rupa-rupanya turut berada di dalam bilik itu. Menunggu gilirannya untuk dirawat. Saya terus keluar dari bilik doktor tersebut. Lantas, tanpa dapat ditahan-tahan lagi, air mata turun selaju-lajunya. Saya menangis sepuas-puasnya. Hingga terpaksa ditenangkan oleh guru pengiring.
Saya menangis kerana malu. Pelajar lelaki itu telah melihat perut saya, dan percayalah, sebagai seorang remaja perempuan yang tidak pernah bercakap dengan lelaki, perkara itu adalah sangat, amat, memalukan.
Saya menangis kerana marah. Dituduh menipu oleh seorang doktor yang ‘tidak waras’. Memanglah, sebagai seorang pelajar asrama, pergi ke hospital antara taktik ponteng sekolah yang popular. Kami hanya perlu ke hospital dengan menaiki ‘coaster’ beramai-ramai, mendapatkan MC dan tidak perlu lagi ke sekolah untuk hari itu.
Tetapi, adilkah untuk dia menghukum saya ponteng sekolah hanya selepas menyuluh perut saya, dan tidak ‘nampak’ bahawa perut saya sedang sakit? Ini pertama kali saya berjumpa dengan doktor yang sebodoh dan sebangang ini, dan lebih celaka dan malang lagi, telah dirawat pula oleh dia dengan penuh biadap.
Sejak itu, saya berjanji kepada diri sendiri, saya tidak akan dirawat oleh doktor itu lagi. Saya telah mengikat wajahnya ketat-ketat di dalam kepala saya. Dan tidak akan saya biarkan dia merawat keluarga saya, anak saya, cucu saya, dan seluruh 7 keturunan saya.
Dia adalah seorang doktor yang aneh, bengis, kasar, biadap, dan tidak layak untuk bergelar doktor.



